5 Helah Tangkis Rasa CEMBURU, No 5 Tu Sangat Penting!

5 Helah Tangkis Rasa CEMBURU, No 5 Tu Sangat Penting!

Cemburu tandanya sayang. Cemburu merupakan satu sifat di mana seseorang itu takut kehilangan sesuatu yang amat disayangi. Tetapi cemburu itu perlu ada batasnya, kalau tak dibendung pasti akan mengundang padah. Cemburu antara suami isteri menandakan bukti cinta yang mendalam terhadap pasangan.

Menurut kajian, individu yang cemburu ialah seorang  yang sangat posesif iaitu terlalu mengongkong, sering berasa was-was atau syak wasangka terhadap pasangannya, tidak percaya dan terlalu sensitif. Cemburu terbahagi kepada tiga. Normal iaitu cemburu dalam hubungan suami isteri, Neurotik iaitu cemburu berlebihan tetapi masih boleh dikawal dan Psikotik iaitu cemburu keterlaluan akibat perkara yang remeh.

Ikuti 5 langkah ini bagi mengatasi perasaan cemburu:

  • KENAL PASTI PUNCA

Nilaikan sama ada ia berbaloi untuk dicemburukan. Berbincang dengan pasangan dan luahkan perasaan kepadanya. Perasaan cemburu amat penting dalam perhubungan tetapi kalau tak dikawal dengan baik, ia akan menyebabkan hubungan boleh terputus.

  • PANDANGAN SUDUT BERBEZA

Cuba tempatkan diri anda di kedudukan pasangan. Anda tak boleh hanya melihat sesuatu situasi dari pandangan pihak diri sendiri sahaja. Minta pandangan orang terdekat agar anda dapat membuat keputusan sewajarnya.

  • FOKUS

Fokus terhadap fakta. Bukan pada andaian dan terlalu mengikut emosi. Elak andaian negatif serta buat sedikit kajian mengenai masalah yang timbul. Fakta dapat membantu menyelesaikan masalah anda. Bertenang dan fikirkan sama ada situasi itu benar-benar berlaku atau hanya imaginasi anda sahaja.

  • BERBINCANG

Cara ini paling berkesan bagi mengatasi masalah cemburu terhadap pasangan. Bincangkan dan nyatakan apa yang membuatkan anda cemburu agar pasangan lebih faham dan dapat menyelesaikannya bersama.

  • PERCAYA DAN BERFIKIRAN POSITIF

Sentiasa berfikiran positif dan percaya sepenuhnya terhadap pasangan kerana masalah cemburu sering terjadi akibat tak percaya kepada pasangan lantas menyebabkan seseorang itu mudah berpersepsi negatif.

Tangkis Aura Negatif Di Pejabat, Praktikkan 5 Tip Ini Terhadap RAKAN SEKERJA Yang Cemburu!

Tangkis Aura Negatif Di Pejabat, Praktikkan 5 Tip Ini Terhadap RAKAN SEKERJA Yang Cemburu!

Banyak perkara remeh-temeh yang boleh mengganggu akal fikiran ketika di pejabat, tetapi yang paling kerap dan agak merunsingkan adalah ‘sifat cemburu’ rakan sejawatan. Golongan profesional tidak terkecuali mengalami perasaan cemburu ini. Cemburu boleh jadi sekali-sekali atau sepanjang masa. Tahu kah anda bagaimana rasanya jika ketua anda memuji-muji rakan sejawatan anda kerana kualiti kerjanya atau ketika hanya namanya sahaja yang disebut-sebut untuk kenaikan pangkat?

Perasaan ini sebenarnya mendatangkan lebih banyak masalah. Jika anda menjadi punca rakan-rakan merasa cemburu, hal ini disebabkan oleh kemampuan dan kredibiliti anda yang ditakuti oleh rakan lain. Jadi apa harus dilakukan jika rakan sekerja ingin menjatuhkan anda kerana sifat cemburu sedangkan anda mahu menapak dan terus berjaya dalam kerjaya anda? Lima tip ini membantu anda menepis sifat teman-teman terhadap cemburu ini.

1. Jadi rakan sepasukan yang baik

Anda bekerja tekun untuk mendapatkan kedudukan yang stabil di dalam sesebuah organisasi, melakukan tugasan khas dengan baik dan menerima pujian dari ketua, yang membuat anda terlupa menumpukan perhatian pada persekitaran tempat kerja. Walaupun anda cuba untuk tidak menghiraukan orang sekeliling anda atau rakan sepasukan, atau cuba mengetepikan pujian ketua terhadap anda, anda tetap terdedah dengan risiko dikritik rakan sekerja. Anda boleh sahaja, cuba mengelak perkara ini seperti, gunakan lebih perkataan ‘kami’ ketika mengutarakan pendapat berbanding ‘saya’, dan cuba dapatkan bantuan daripada rakan sekerja jika anda mengendalikan projek penting. Sekalipun prestasi anda ibarat bintang yang menyinar, sebarkan pujian itu kepada rakan di dalam pasukan anda dan puji mereka sebanyak sebagaimana anda menerimanya. Ini tidak bermakna anda harus menutup atau merasa malu dengan hasil kerja baik yang anda lakukan, tetapi menjadi lebih ‘sensitif’ kepada rakan sekeliling, mewujudkan suasana kerja yang lebih selesa untuk orang lain.

2. Dapatkan bantuan.

Tiada peraturan mengatakan anda perlu bergerak secara solo ketika berjuang di tempat kerja. Jika anda kurang senang terhadap tindakan rakan sekerja yang mencemburui anda, mengadu hal ini kepada ketua anda. Jika anda tidak inginkan rakan sekerja anda bertindak melampaui batasan, anda harus mendahuluinya dengan melaporkan kepada ketua agar dia faham situasi anda. Hakikatnya, rakan sekerja anda merasai begitu akibat tindakan ketua anda sendiri. Contohnya, kemungkinan rakan sekerja anda cemburu kerana peluang kenaikan pangkat untuknya terlepas dan tiada jalan untuknya maju ke hadapan. Tetapi ini tiada kena mengena dengan diri anda, jadi lebih mudah baginya untuk melepaskan tekanan perasaannya terhadap anda, berbanding ketua anda. Jika ketua anda memahami isu ini, kedua mereka harus memahami puncanya. Namun pastikan, anda menguasai perbualan dengan ketua anda secara profesional dan berhati-hati. Cara ini tidak membantu sekiranya, anda akhirnya didapati cuba mengkhianati rakan sekerja anda.

3. Jauhi perangkap gosip.

Rakan sekerja yang cemburu gemar bergosip dan menyebarkan cakap-cakap kosong kepada rakan-rakan mereka terhadap anda, yang dianggap cuba menyekat pintu rezeki mereka. Apa pun yang anda lakukan, cuba jauhi gosip negatif yang lebih banyak buruk dari baik ini. Jika anda dengar gosip terhadap anda atau orang lain, jauhkan diri anda. Jika anda terlibat, rakan-rakan lain akan menyedari anda adalah gunting dalam lipatan, dan mereka beranggapan khabar angin juga boleh datang dari orang ‘harapan’ di dalam syarikat.

4. Dokumenkan pemerhatian anda, jika keadaan ini boleh mendatangkan bahaya kepada karier anda.

Sebahagian rakan sekerja yang cemburu, sanggup bermain taktik kotor dan cuba mensabotaj karier rakan-rakan sekerja yang berjaya. Jika anda terperangkap dalam situasi ini, anda harus berjaga-jaga dan mula jaga kepentingan diri anda. Catat maklumat terperinci jika perkara yang bukan-bukan mula tersebar terhadap diri anda dan pastikan anda bukti yang kukuh untuk membuktikan khabar angin negatif terhadap kebolehan anda. Semoga ketua anda mampu menilai khabar angin yang didengar sama ada betul atau tidak.

5. Kekalkan tahap profesional anda.

Cemburu di tempat kerja boleh jadi sesuatu yang menyakitkan, tetapi apa yang anda harus lakukan adalah kekalkan tahap profesional anda dan buat kerja yang diberikan sebaik mungkin. Jangan ambil pusing sangat kritikan yang didengar terhadap diri anda dan jangan mengambil kesempatan ini untuk menyerang balik mereka yang cemburu terhadap anda. Mereka mencemburui kebolehan dan kejayaan anda, jadi ianya positif. Cuma anda harus membuktikan pada mereka anda sebenarnya memang berkebolehan. Hanya itulah sahaja caranya untuk menang di tempat kerja.

Bila Suami Terlalu RAMAH, Isteri Mana Tak Cemburu! Ini CARA TERBAIK Hadapinya

Bila Suami Terlalu RAMAH, Isteri Mana Tak Cemburu! Ini CARA TERBAIK Hadapinya

Isteri mana yang tidak bahagia apabila memiliki seorang suami yang terlalu baik serta ramah dengan semua orang. Ditambah pula dengan sikapnya yang bertanggungjawab dan prihatin membuatkan wanita berasa cukup beruntung.

Sikapnya itu pasti akan disenangi ramai bukan hanya di kalangan kaum lelaki sahaja bahkan mungkin kebanyakan wanita juga. Tidak kiralah rakan wanita sepejabat mahupun yang tidak dikenalinya. Mungkin kebaikannya itu tidak bermaksud apa-apa dek sikapnya yang terlalu baik.

Namun ia tetap akan mengundang kebimbangan, kecurigaan serta salah faham yang pasti mencetuskan cemburu pada diri anda sebagai isteri. Apa yang penting kendalikannya dengan positif agar anda tidak mudah tertekan atau makan hati.

SENTIASA TENANG DAN BERFIKIRAN POSITIF

Memang susah hendak bersikap tenang ketika melihat suami terlalu ramah dengan rakan-rakan wanitanya. Apatah lagi yang anda tidak kenal secara dekat dan tidak tahu latar belakangnya. Saat berhadapan dengan situasi ini cubalah untuk tenang dan bersabar agar tidak mudah terpancing emosi.

KOMUNIKASI

Meluahkan kepada suami tentang apa yang terbuku di hati dapat mengurangkan rawan di jiwa anda. Berterus teranglah kepada suami bahawa sikapnya yang terlalu baik itu membuatkan anda kurang senang. Mungkin suami anda tidak sedar atau tidak peka dengan sikapnya itu sehingga membuatkan anda terguris. Komunikasi dua hala kunci penyelesaian bagi setiap permasalahan rumahtangga.

KAWAL RASA CEMBURU

Berikan alasan mengapa anda tidak suka melihat suami terlalu baik dengan wanita lain mungkin kerana rasa cemburu anda. Tidak salah hendak cemburu namun ada batasnya. Usah tunjuk amarah dan berusahalah bersikap natural. Selagi tiada hal yang mencurigakan maka situasi itu masih dalam keadaan normal.

TETAPKAN BATASAN SOSIAL

Setelah berumahtangga pasti ada batasannya antara suami isteri termasuk batasan-batasan bersosial sesama rakan masing-masing. Pentingnya ada kesepakatan bersama agar tidak berlaku salah faham. Ungkapkan kepada suami dengan tenang bahawa sikapnya yang terlalu baik itu sudah mengganggu kententeraman jiwa anda.

PERCAYA TERHADAP SUAMI

Walau apa pun anda seharusnya meletakkan kepercayaan terhadap suami jika masing-masing sudah saling sepakat dan memahami. Tunjukkan bahawa anda mempercayainya dan semoga suami anda juga begitu. AMY MOHD

Mengenali Jenis-Jenis Cemburu & Kaitannya Dengan Wanita. Mungkinkah ‘Terkena’ Dengan Diri Kita?

Mengenali Jenis-Jenis Cemburu & Kaitannya Dengan Wanita. Mungkinkah ‘Terkena’ Dengan Diri Kita?

Manusia memang dilahirkan sempurna tetapi diri sendiri yang mencipta ketidaksempurnaan. Setiap manusia pernah mempunyai perasaan cemburu. Tidak kira cemburu dalam konteks perhubungan antara lelaki dan wanita, keluarga dan rakan-rakan sekerja.

Ada yang mengatakan cemburu tanda sayang tetapi, jika tidak terkawal boleh mendorong seseorang diselubungi perasaan negatif sehingga melakukan sesuatu yang di luar batasan.

Definisi Cemburu

Tidak senang atau iri hati melihat kelebihan orang lain. Sifat kurang percaya kerana takut hilang atau diambil oleh orang lain. Seseorang itu rasa curiga seperti melihat suaminya bercakap-cakap dgn perempuan lain.

 Cemburu & Wanita

Dua orang profesor psikologi Steven Most, dan Jean-Philippe Laurenceau, dari University of Delaware, Newark, Delaware, Amerika, melakukan kajian mengenai reaksi wanita yang mendapati pasangannya melihat wanita lain.

Mereka mendapati bahawa perempuan yang sengaja diberi gambar pasangan bersama dengan perempuan lain menjadi sukar untuk fokus melihat gambar tersebut. Mereka tidak sanggup untuk meneruskan sasaran yang perlu diteliti.

Cemburu & Otak

  • Otak kiri mempunyai peranan ketika perasaan cemburu mula menguasai diri. Mungkin tiada fakta yang khusus tetapi para ilmuwan menghubungkannya dengan emosi seperti rasa malu dan merangsang timbul rasa cemburu.
  • Faktor lain yang turut memainkan peranan adalah system noggin dopamine yang mengatur zat kimia yang berkaitan dengan kebahagiaan dan penghargaan.

Cemburu & Tubuh

  • Ketika pengaruh cemburu sedang menguasai diri biasanya seseorang itu gagal melihat sesuatu dengan rasional. Perasaan marah dan cemburu bersatu dan membuat tubuh cepat panas dan sukar berfikir dengan betul. Semakin kuat rasa cemburu semakin kusut fikiran dan selalu membuat keputusan mengikut kata hati.
  • Keadaan tubuh ketika cemburu boleh merangsang stres dalam tubuh kerana hormon stres bertambah maka tekanan darah semakin meningkat dan denyut jantung menjadi semakin laju.

Cemburu Kerana Tidak Yakin Diri

Rasa cemburu terbit mungkin kerana menyedari kekurangan diri. Biasanya seseorang menjadi cemburu kerana tidak yakin kepada diri sendiri.

Rasa takut kepada rasa cinta pasangan beralih kepada orang lain atau rasa takut jawatan yang di idam jatuh kepada orang lain boleh mendorong rasa cemburu timbul. Bagi mengatasinya cari kekurangan diri sehingga menjadi tidak percaya diri.

Pupuk rasa sayang kepada diri sendiri dan pasti akan menghargainya. Jika yakin kepada diri sendiri pasti tidak timbul rasa cemburu.

Cemburu Buta

Cemburu memang perlu dalam sebuah percintaan tetapi apabila sering tidak percaya kepada pasangan boleh merosakkan hubungan. Ciri-ciri orang cemburu buta adalah cenderung bersifat posesif dan bertanya semua perkara secara terperinci.

Mereka juga sering memberi komen hal fizikal dan juga kemampuan intelektual. Pasangan akan rasa rimas dan kadang-kadang sukar mengawal situasi tersebut.

Cara-Cara Mengatasi Cemburu

Berfikir positif

Apabila hati rasa sakit akibat cemburu cuba ingatkan diri bahawa pasangan sentiasa mencintai dan hargai hubungan. Katakan kepada diri sendiri anda langsung tidak pernah berubah sehingga membuat pasangan mula jauh hati dan mencari yang lain. Perasaan anda dan pasangan masih sama ketika mula-mula jatuh cinta dahulu.

Tenangkan hati

Jika timbul rasa sangsi kepada pasangan cara yang paling baik berterus terang dan huraikan segala kekusutan. Tanya sendiri kepada pasangan apa yang terbuku dalam fikiran. Jangan selalu prasangka dan membuat kesimpulan sendiri. Tenangkan hati dan soal dengan jujur. Tubuh tidak stres dan anda bahagia meniti rumah tangga bersama.

Komunikasi dua hala

Tidak kira lelaki dan wanita sering berfikir yang bukan-bukan tentang pasangan apabila berjauhan. Selalunya perasaan itu terbit kerana melihat orang lain menghadapinya atau menonton drama di kaca televisyen. Jika timbul fitnah dalam rumah tangga anda perlu berfikiran terbuka dan dengan setiap alasan yang diberi pasangan. Komunikasi sangat penting apabila dilanda masalah dalam perhubungan.

Selidik fakta

Jika cemburu cuba duduk sebentar dan melihat secara positif apa yang membuat anda cemburu. Kemudian tanya diri sendiri apakah perasaan terancam tadi masuk akal. Adakah bukti yang menjadikan perkara tersebut membahayakan hubungan. Anda juga perlu fikir adakah rasa cemburu ini boleh menyelamatkan sebuah hubungan? Hamizatul Maizan Mohamed

KORPORAT     POLISI DATA PERIBADI    PENAFIAN   •   LANGGANAN      PENGIKLANAN      KERJAYA       HUBUNGI KAMI

© Hakcipta Terpelihara • Dikendali Oleh Astro Group

error: