Fasha Sandha bakal mengakhiri kehidupan sebagai ibu tunggal apabila memilih pelakon Aidil Aziz sebagai suaminya. Kelihatan menawan dengan persalinan rona ungu ketika majlis berinainya baru-baru ini Fasha begitu optimis apabila berbicara tentang anak-anaknya, Putra Rayfal dan Putri Raysha Jemyma.
Ketika diajukan pertanyaan bagaimana menghabiskan masa dengan anak-anak, jawabnya, “Memang jadual kerja saya tidak mengira masa. Kadang-kadang hari cuti pun saya terpaksa bekerja. Namun, sesibuk mana sekalipun saya akan meluangkan masa bersama anak-anak.
Sekurang-kurangnya saya akan menonton televisyen bersama-sama atau mempunyai sedikit masa kami akan keluar menonton wayang. Ini merupakan aktiviti wajib yang dilakukan bersama. Saya juga sering mengharapkan waktu kerja saya tidak melampaui waktu tidur anak-anak kerana sudah menjadi kebiasaan saya untuk membaca bedtime stories sebelum mereka tidur.
Saya juga suka berbual dengan kedua anak-anak kerana mereka petah kala bercakap. Ada sahaja cerita menarik yang keluar daripada bibir kecil mereka. Paling menyedihkan sebagai seorang ibu apabila saya terpaksa keluar bekerja dan melihat anak kedua, Putri Raysha Jemyma menangis mahu mengikut keluar bekerja.
Ads
Ramai juga yang bertanya tentang komen saya jika suatu hari nanti ditakdirkan anak-anak menceburi bidang seni. Jika ditanya kepada saya, saya lebih bersikap terbuka tentang hala tuju anak-anak namun ayah mereka Rizal Ashram Ramli, tidak membenarkan sama ada Putra Rayfal mahupun Putri Raysha Jemyma terlibat dalam bidang seni. Full stop,” ulas Fasha Sandha.
Ads
Ramai wanita yang beranggapan setelah memiliki anak, seorang ibu tidak perlu menjaga penampilan dan cukup hanya memikir tentang keselesaan. Lebih-lebih lagi apabila mempunyai anak yang masih kecil. Apabila diutarakan tentang persoalan adakah peningkatan usia atau mempunyai anak-anak yang masih kecil menjadi penghalang dalam berfesyen kepada wanita yang bijak bergaya ini, Fasha bersetuju dengan pandangan tersebut.
Ads
“Memang benar apabila memiliki anak-anak yang masih kecil masa kita agak terhad dalam bergaya. Namun, sebagai wanita kita tidak boleh terus meminggirkan soal penampilan ini, namun biarlah kena tempat dan masanya. Tak kan nak menghadiri majlis berprestij hadir dengan t-shirt dan jean sahaja, itu tidak menghormati majlis namanya.
Kekangan dalam saya menjaga anak dengan keluarga adalah salah satu faktor tambahan pula saya tidak mempunyai pembantu untuk menguruskan anak-anak. Saya sendiri seorang yang simple. Cukuplah jeans dan baby T untuk pakai harian. Saya percaya pada less is more.
Cuma apabila saya bertugas dalam lakonan atau perlu menghadiri sebarang majlis berprestij, saya harus menggayakan macam-macam gaya fesyen. Bagi saya bereksperimen dengan fesyen ini terpulang pada individu, ianya sangat subjektif. Saya tidak kisah apa saja yang dikatakan masyarakat atau netizen kerana saya akan buat apa yang selesa,” jelas Fasha Sandha menjadikan Fazura dan Scha AlYahya sebagai ikon fesyen di dalam serta Angelina Jolie dan Charlize Theron sebagai ikon fesyen di luar negara.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
NONA SUPERWOMAN AWARD 2022 telah melabuhkan tirainya minggu lalu. Biarpun sudah seminggu berlalu, namun ia masih hangat diperkatakan di media sosial apatah lagi dengan kehadiran bukan sahaja selebriti tempatan, malah ia turut dihadiri oleh usahawan wanita berjaya serta kerabat diraja yang dekat di hati rakyat jelata.
Majlis gilang gemilang itu telah diadakan pada 11 Januari 2023 bertempat di President Ballroom, M Resort Hotel Kuala Lumpur.
Keberangkatan Yang Teramat Mulia Che Puan Mahkota Kelantan Che Puan Sofie Louise Johansson Petra mencemar duli sebagai tetamu kehormat majlis merupakan satu penghormatan buat Majalah NONA sempena edisi NONA Superwoman Award 2022 kali ini. Che Puan Mahkota merupakan penerima NONA Royal Award pada edisi NONA Superwoman Award 2020 yang lalu.
Berikut NONA senaraikan corat-coret sepanjang majlis berprestij itu.
1. Kereta Pink Fazura
Dinobatkan sebagai penerima Anugerah NONA Hijab Business Award, Fazura memuat naik sekeping foto kereta Proton Perdana rona merah jambu yang digunakannya ketika menghadiri majlis tersebut. Rata-rata peminat memuji sifat humble Fazura yang menaiki kereta buatan Malaysia itu ke majlis tersebut. Menurut info, kereta tersebut merupakan pemberian Proton kepada Fazura ketika aktress berkenaan menjadi duta jenama berkenaan.
2.Juliana Evans Hamil Anak Kedua?
Pelakon jelita, Che Puan Juliana Evans dikatakan sedang hamil anak kedua selepas perhatian peminat tertumpu pada keadaan perutnya yang kelihatan seperti bentuk ‘baby bump’. Perkara tersebut disedari peminat selepas Juliana berkongsi hantaran dalam Instagram apabila tampil menggayakan baju gaun berwarna kuning menghadiri NONA Superwoman Award 2022 baru-baru ini. Che Puan Juliana Evans menerima anugerah NONA Beauty Award. Namun tiada pengesahan dari empunya diri mengenai spekulasi tersebut.
3. Busana KUBIS Rozita Che Wan.
Penampilan Rozita Che Wan di atas karpet merah Nona Superwoman Award 2022 turut mengundang perhatian. Busana KUBIS dress rekaan @behati.my itu mengambil inspirasi ‘Chinese Flower Ball Dress’ yang secara tradisinya melambangkan kemakmuran. Memang memukau dan lain dari yang lain. Mentang-mentanglah perayaan Tahun Baru Cina bakal menjelma tak lama lagi!
4. Marion Caunter, Ziana Zain & Dato Sri Siti Nurhaliza ‘Kirim Pesanan’ Dari Jauh.
Meskipun nama-nama besar seperti Dato Sri Siti Nurhaliza, Marion Caunter dan Ziana Zain tidak dapat menghadiri majlis berprestij berkenaan kerana berada di luar negara dan mempunyai komitmen lain, tetapi selebriti kesayangan ramai ini sempat menitipkan pesanan istimewa untuk Majalah NONA. Major love!
5. Ustazah Asma’ Harun Paling Di Cari-Cari Sepanjang Majlis
Penampilan Ustazah Asma’ Harun di malam NONA Superwoman Award 2022 sememangnya menjadi tumpuan di kalangan media dan wanita-wanita usahawan. Penerima NONA Motivator Award ini melayan mesra setiap permintaan media yang meminta dirinya mengulas isu-isu semasa berkaitan agama serta bergambar dengan penerima anugerah NONA Superwoman 2022 yang lain.
6. Anak Lelaki Toh Puan Ragad Kurdi Taib Jadi Perhatian
Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Patinggi Hajah Raghad Kurdi Taib menerima anugerah NONA VIP Award yang disampaikan oleh Yang Teramat Mulia Che Puan Mahkota Kelantan Che Puan Sofie Louise Johansson Petra. Isteri kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud ini diiringi oleh anaknya, Nizar Madi ke atas pentas untuk menerima anugerah tersebut.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Jatuh bangun dalam perniagaan sudah menjadi lumrah. Ramai usahawan berjaya mengakui pengalaman pahit yang diharungi ketika membina empayar perniagaan sangat berharga. Berjaya melalui onak dan duri dalam bisnes jadi pemangkin semangat untuk terus berjuang hingga ke puncak jaya.
Semangat juang yang ada dalam diri wanita yang berusia 34 tahun ini akhirnya memberi sinar bahagia buatnya. Melalui pengalaman 11 tahun dalam dunia perniagaan benar-benar mematangkan usahawan makanan, Farhah Izzati Haris ini.
Tempuh pengalaman pahit apabila kerap ditipu dan dianiaya oleh musuh dalam selimut dalam dunia perniagaan bukan alasan untuknya berundur serta menyerah sebelum kalah.
“Kalau ikutkan pengalaman, memang sejak daripada sekolah rendah lagi saya dah suka berniaga. Apa sahaja barang boleh dijual, saya akan jual. Sampai kawan-kawan sekolah ‘cop’ muka saya sebagai kedai runcit bergerak.
Masa di universiti pun saya jual pakaian seperti hijab dan baju. Saya juga ada membuat kerjasama kecil dengan rakan perniagaan di Jakarta, Indonesia menjual aiskrim yogurt bergerak,” kongsi usahawan muda ini.
CABARAN
“Pengalaman menjual sejak kecil ini sedikit sebanyak membina keyakinan kita untuk terus berdepan dengan segala cabaran dunia perniagaan. Ketika masih lagi bergelar siswi, saya nekad buka sebuah kafe menggunakan hasil wang simpanan sejak berniaga kecil-kecilan dulu.
Pada awalnya, mak dan ayah kat kampung memang tak setuju dengan keputusan saya. Sebolehnya mak dan ayah mahu saya mengikuti jejak langkah mereka bekerja di pejabat.
Tapi akhirnya mereka menyokong setelah melihat sendiri keupayaan saya untuk berjaya dalam bisnes,” ujar wanita yang memegang Ijazah Sarjana Muda Pemasaran Perniagaan dari University of Wales Cardiff ini.
Sememangnya mengusahakan perniagaan berasaskan F&B bukan semudah yang disangka. “Memang betul, orang melihat saya sebagai usahawan yang berjaya walaupun masih lagi bergelar pelajar. Kafe sentiasa penuh, orang datang berpusu-pusu dan ramai memuji menu masakan saya.
Namun, ramai yang tak tahu saya kerap ditipu dalam perniagaan. Ditipu yang bukan sedikit malah puluhan ribu. Lebih terhiris apabila kena tipu dengan orang yang paling rapat. Memang betul kata orang, biasanya musuh kita adalah orang yang paling kenal siapa diri kita ataupun ‘musuh dalam selimut’.
Sehinggakan pada ketika itu saya membuat keputusan mengajak kedua ibu bapa saya untuk bertenang dan memujuk hati dengan menunaikan umrah di tanah suci.
Akaun simpanan saya sampai negatif dan terpaksa menjual kafe. Jual kafe pun kena tipu juga sehingga saya tak tahu nak buat apa pada masa itu. Tapi saya sangat bersyukur kerana tak ambil masa yang lama untuk pulihkan semangat.
Kalau nak menangis, menangislah puas-puas tapi jangan ambil masa yang lama. Paling lama, seminggu cukup dan kita perlu bangkit untuk meneruskan usaha. Setiap yang berlaku pasti tersimpan hikmah yang kita tak nampak,” ucap wanita yang mesra disapa Izzaza juga gemar melancong ini.
DANA KERAJAAN
“PKP 1.0 lalu juga sebuah hikmah buat saya apabila berjaya mohon peruntukan Geran Khas Prihatin (GKP). Dengan duit RM3000 itu saya bangkit semula. Dalam pada itu, saya juga bersyukur kerana mewarisi resipi sajian Istana Negeri Perak.
Ini kerana arwak opah saya dulu seorang tukang masak di Istana Iskandariah Kuala Kangsar. Mujur saya masih simpan buku resipi sajian Istana arwah opah yang dibukukan oleh ibu saya.
Sedikit sebanyak dapat saya kongsi menu kegemaran Almarhum Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Idris II Al-Mutawakkil Allahahi Afifullah Shah Ibni Almarhum Sultan Iskandar Shah Kadasullah,” tutur Pengasas Bersama Kek Terbang ini.
Tambahnya lagi, “Saya bangkit dari kegagalan berbekalkan duit GKP dan resipi arwah opah jual kek mentega. Mungkin juga dah nama rezeki, waktu PKP orang tak keluar rumah, kek mentega saya laris terjual.
Sampai ada satu ketika saya bakar hampir lebih 60 buah kek sehari. Semua saya buat seorang diri tapi alhamdulillah saya berjaya. Saya tak ada masa nak meratapi nasib akibat kena tipu dan siapa yang akan tolong kita kalau bukan diri kita sendiri.
Selain itu, saya menerima tempahan katering signature dish daripada beberapa syarikat korporat dan majlis kenduri ketika saya masih buka kafe dulu, antaranya Nasi Kambing dan Laksa Kuala Kangsar. Sehingga kini saya masih menerima tempahan daripada pelanggan yang dah biasa menikmati dua hidangan ini.
Nasihat saya, dalam situasi sekarang kita tak boleh nak memilih sangat. Apa sahaja yang kita usaha pasti akan ada hasil dan percaya bahawa setiap orang ada rezeki masing-masing.
Apa yang penting kita perlu berdisiplin, sentiasa tambah ilmu dan kekalkan momentum untuk terus berjaya. Yang lain-lain kita serahkan kepada Allah SWT,” tutur Izzaza yang memiliki Ijazah Sarjana Psikologi Perniagaan dari Heriott Watt University, Scotland ini mengakhiri perbualan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Hari ini saya sepertinya tidak percaya dengan apa yang telah berlaku. Tidak juga terlintas di fikiran, 2018 menjadi hamparan tsunami apabila tampuk Kerajaan beralih kuasa. Hebat sungguh penampilan kembali matan kesayangan ramai rakyat Malaysia, Tun Dr. Mahathir. Buat kali kedua beliau kembali menjadi Perdana Menteri Malaysia di usia, 93 tahun. Lantas itu, saya Kiffy Razak mengambil kesempatan untuk mengembalikan memori terindah saya bersama Majalah NONA yang berkesempatan berbual panjang bersama Tun Dr. Siti Hasmah, Tun Dr. Mahathir pada tahun 2016. Perkongsian buat ini ikhlas mereka yang mungkin tidak berkesempatan memiliki Majalan Nona Jun 2016, di pasaran ketika itu.
Sepertinya seorang ayahanda dan bonda, berdiri di hadapan saya dengan budi bicara yang mesra dan tenang. Seindah itu juga senyuman terukir di wajah isteri tercinta Tun Dr. Siti Hasmah menyambut suami tercinta. Pasangan sejoli kekal bersama dalam suka dan duka mengharungi setiap liku kehidupan sepanjang perjalanan di pentas bumi bertuah. Lantas mengheret ingatan saya kepada nukilan puisi yang pernah menjadi tamparan kepada kehebatan semangat politik setiap warga Malaysia. ‘Perjuangan belum selesai’ – 4 Mei 1996, karya seni mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir, saya menyelami dan menjiwai setiap baris ayat itu dan bila saya merenung ke dalam dasar insan empunya puisi tersebut, rasanya noktah itu belum berakhir. Saya memetik ayat-ayat cita puisi itu, ‘Masa depan belum menjanjikan syurga, bagi mereka yang lemah dan mudah kecewa. Perjuangan kita belum selesai kerana hanya yang cekal dan tabah dapat membina mercu tanda bangsa yang berjaya…’
Terlalu banyak saya rasakan masih tersimpul dalam mindanya. Saya percaya sehingga di ketika ini dan di saat kami berbual bicara bersama majalah Nona, (biarpun tempoh masa yang diberikan tidak terlalu lama) di dalam kotak mindanya mempunyai pelbagai perkara yang terus difikirkan. Begitulah hebatnya jiwa seorang pemimpin yang telah banyak berbudi dan berjasa kepada rakyat dan negara, tidak perlu saya merungkaikan kehebatannya kerana segala-galanya telah terbukti di hadapan mata.
Tipu kiranya saya menyatakan tidak berasa gementar pada awal pertemuan kerana auranya dirasakan cukup besar. Namun, Tun Dr. Mahathir membuka ruang dirinya untuk sesiapa sahaja yang berada di sekeliling, berasa cukup selesa. Tutur kata kala berbicara sopan dan lemah lembut, jelas mencerminkan keperibadian dirinya yang intelek, merendah diri dan disenangi.
Sempat bergurau senda, “Kiffy tidak perlu takut, saya tidak garang!” Ya benar beliau bukanlah seorang yang garang tetapi di sebalik personaliti itu saya dapat menilai beliau seorang bapa dan pemimpin yang sangat tegas dan amat fokus kepada setiap apa yang dilaksanakan. Alhamdulillah, komitmen yang diberikan oleh pihak Tun sekeluarga sewaktu sesi fotografi bersama majalah NONA ini, amat kami hargai. Suasana berlangsung dengan tenang dan bersahaja, disulam bersama ketawa kala bahasa loghat orang utara, Kedah dituturkan. Sekapal saya dan Tun Mahathir, berasal dari Alor Setar dan membesar di kawasan kampung yang sama. Lantas itu kami terus rancak berbual…
Ramadan bakal kembali. Membawa kebahagiaan, persaudaraan dan makna pengorbanan. Ia merupakan bulan cinta dari Maha Pencipta. Bagi Tun sendiri pengertian Ramadan dan kenangan suasana menyambutnya dahulu dan sekarang, “Bagi saya, kita perlu menunaikan ibadah puasa dengan kerelaan hati yang ikhlas. Niat itu penting dan jadikan ia sebagai satu ibadat. Semaikan kekuatan iman yang kukuh dan jangan berpuasa kerana takut.
Ramadan dahulu dan sekarang memang jauh bezanya, dulu masa kecil seronok sangat bila tibanya bulan mulia ini. Paling istimewa apabila bulan ini dihidangkan dengan pelbagai juadah makanan yang luar biasa dari hari kebiasaannya. Saya seronok pergi beli ais di pasar dan paling penting mesti berbuka dengan air sirap dan kurma. Warnanya yang merah membuatkan saya sering kali teruja untuk berbuka. Suasana sewaktu saya di Alor Setar, Kedah dahulu lebih tenang, tidak ramai orang dan masjid Zahir pun tidak sesesak seperti sekarang. Jika ingin diimbas kembali, terlalu banyak keindahan yang saya amat hargai. Alhamdulillah saya amat bersyukur kepada Allah S.W.T dengan kesihatan yang baik untuk saya teruskan kehidupan sebagai seorang hamba-Nya dan melaksanakan ibadah puasa sehingga kini,” jelas Tun Mahathir tenang.
“Seperkara lagi kalau tibanya Raya, paling gembira bila dapat baju baru. Zaman dahulu, kalau dapat sehelai baju raya itu sudah mencukupi dan teramat gembira kerana baju itulah yang akan dipakai sepanjang tahun. Saya rasa semua individu mempunyai kenangan terindah setiap kali Ramadan dan Aidilfitri.
Menjangkau usia 91 tahun ketika itu, Tun Mahathir masih lagi aktif melakukan pelbagai aktiviti dan melaksanakan tanggungjawab yang masih belum selesai. “Saya tidak boleh duduk diam, perlu membuat sesuatu dan bergerak aktif. Jika tidak membaca, saya akan menghabiskan masa bersama-sama rakan berbual tentang masalah semasa. Paling penting, setiap apa yang saya lakukan dan laksanakan jauh sekali, tidak akan memburukkan nama negara.”
Tun Siti Hasmah sempat memberitahu, “Sampai sekarang, Tun suka keluar hari minggu di waktu pagi atau petang, memandu sendiri menuju ke kawasan projek yang beliau laksanakan atau telah dilaksanakan. Ingat lagi saya sewaktu Menara Berkembar KLCC sedang di bina, setiap minggu Tun akan ke sana melawat tapak projek. Kadang-kadang saya ikut serta bersama Tun, dia memandu saya duduk di bahagian sebelah penumpang rasanya kaki ini seperti sekejap-kejap ingin menekan brek kereta, risau juga!” ketawa kecil Tun Siti Hasmah sambil bercerita.
Semasa membesarkan anak-anak, pernah Tun dan isteri merancang agar mereka mengikut jejak langkah dalam bidang perubatan? Dan benar, Tun dikatakan sebagai seorang bapa yang garang? “Saya mungkin seorang yang tegas dan menegur anak-anak sama seperti seorang bapa lain membesarkan anak mereka. Nak kata sampai anak-anak membenci saya, tidaklah. Kita sekeluarga rapat dan cara dahulu lebih kepada rasa hormat yang menebal, cuma sekarang cara membesar anak-anak lebih santai seperti kawan. Ya jujurnya, saya suka kalau anak-anak yang mengikut jejak kami dalam bidang perubatan tetapi mereka tidak menunjukkan minat ke aras itu, saya tidak boleh memaksa. Itu adalah pilihan mereka. Tetapi sekarang ada juga cucu yang telah menunjukkan minat dalam bidang kedoktoran.”
Sepanjang perjalanan Tun dalam menerajui Malaysia, pastinya ada kenangan yang menyentuh hati yang tidak mungkin dilupakan sehingga saat ini, “Tanggal 1969 sewaktu saya kalah di pilihan raya. Saya merasa amat sedih, sehingga menitiskan air mata. Dan saat paling menggembirakan sewaktu hari Tun Hussein Onn melantik saya menjadi Timbalan Perdana Menteri.” Jelas Tun Mahathir. Biarpun ada segelintir yang melabelkan beliau dengan pelbagai andaian sebagai seorang yang kejam, keras dan sebagainya tetapi baginya itu hanya pandangan mereka yang tidak benar-benar mengenali beliau.
Setelah hampir 13 tahun meninggalkan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia, jasa beliau pastinya tidak akan dilupakan oleh setiap generasi yang membesar bersama pembangunannya. “Alhamdulillah saya amat hargai mereka yang masih mengambil berat terhadap apa yang saya lakukan. Saya berasa cukup senang dan lega kalau tiada terpahat rasa benci dalam setiap hati manusia. Cuma andai suatu hari nanti saya telah tiada, cubalah untuk lupakan saya kerana saya sedar, saya tidak mampu membuat semua orang suka kepada kita, ada juga yang membenci,” kata-kata Tun terhenti di situ dan penulis terpaku seketika menahan sebak di dada. Dalam hati kecil ini, tidak mungkin kami akan melupakan pengorbanan mu begitu sahaja. Tun Mahathir adalah ikon, bapa wawasan dan di antara pemimpin terbaik menyumbangkan pembangunan kepada negara Malaysia.
Sebelum tempoh masa saya bersama Tun Mahathir dinoktahi, sedikit kata buat semua pembaca NONA, khususnya kaum wanita… “Saya bangga melihat wanita Malaysia hari ini yang bertindak dalam apa jua bidang sekalipun tidak keterlaluan sifatnya. Terus kekal menjaga keperibadian sebagai seorang wanita timur.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Idy Chan kembali mencuri perhatian pada usia 66 tahun apabila penampilannya yang anggun dan awet muda tular di media sosial. Ketahui kisah pelakon ikonik Bibi Lung yang memilih kehidupan sederhana selepas bersara.