KAPTEN HAMDAN CHE ISMAIL, JURUTERBANG MAS

Tanggal 21 Februari 2021 pastinya melakar sejarah tersendiri buat negara apabila vaksin Pfizer BioNtech bagi usaha memerangi Covid-19 akhirnya tiba di tanah air. Bukan hanya memberi kelegaan kepada jutaan rakyat, ketibaan vaksin dari syarikat farmaseutikal dari Amerika Syarikat ini yang memiliki keberkesanan 95 peratus melindungi sistem imun daripada wabak tersebut secara rasminya diberikan kepada rakyat bermula hari ini, 24 Februari 2021.

IKLAN

Di sebalik detik bersejarah bagi perubatan negara ini juga, individu yang telah berjaya ‘menerbangkan’ 312,390 dos vaksin Covid-19 untuk selamat tiba ke Malaysia Ahad lalu wajar diberi pengiktirafan. Beliau berjaya melaksanakan tugas tersebut dengan cukup baik meskipun mengakui berdepan saat mendebarkan dalam penerbangan selama sejam dari Singapura ke Malaysia. Untuk pengetahuan, Singapura menjadi lokasi transit penghantaran vaksin Pfizer BioNtech yang berasal dari Puurs, Belgium.

Ditemui sebaik mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hero yang membawa pesawat penumpang Airbus 330-300 ini iaitu Kapten Hamdan Che Ismail melahirkan rasa syukur kerana usaha gigih pihak MAS Kargo dalam mengendalikan ketibaan vaksin Covid-19 berjalan seperti dirancang.

“Alhamdulillah saya amat terharu kerana dipilih bersama rakan-rakan saya untuk membawa kumpulan vaksin pertama Malaysia. Kami juga berharap agar program vaksin kebangsaan ini akan berjaya seperti yang dirancang kerajaan. Bagi pihak MAS Kargo kami dah bersedia untuk teruskan program ini.”

IKLAN

Menceritakan kembali momen berkenaan, Kapten Hamdan memaklumkan, “Flight bertolak dari Kuala Lumpur seawal jam 6 pagi mengikut perancangan yang sudah dilakukan beberapa hari. Kami sampai di Singapura pukul 7 pagi dan berada selama 2 jam di sana untuk pastikan semuanya dalam keadaan baik sebelum bergerak ke Malaysia pada pukul 9 pagi.

IKLAN

Bagi saya, sebagai juruterbang… apabila menyedari salah satu aset dalam kapal terbang adalah vaksin tentunya kami perlu membuat persiapan lebih terperinci untuk pastikan vaksin tidak mengalami sebarang kerosakan. Vaksin ini juga perlu sentiasa berada dalam low temperature. Ia pastinya pengalaman baru buat kami semua semasa ketibaan vaksin ini.”

Memetik kenyataan dari Facebook rasmi Kementerian Kesihatan, Kapten Hamdan Che Ismail nyata bukan calang-calang juruterbang. Beliau yang berasal dari Tumpat, Kelantan mempunyai pengalaman luas dalam bidang penerbangan selama 29 tahun sepanjang berkhidmat dengan syarikat penerbangan negara, MAS Airlines.

Hari ini, fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berlangsung secara rasmi. Ia sekaligus bakal menyaksikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai individu pertama menerima suntikan Pfizer BioNtech selain Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. Selain itu, fasa pertama ini juga akan melibatkan pemberian suntikan vaksin kepada para petugas kesihatan, keselamatan dan pasukan pertahanan.