Bukan 10 atau 20 tahun tetapi dah lebih tiga dekad Dato’ Seri Dr Farah Khan sukses sebagai usahawan! Mengikut pengalaman dan kejayaan yang diraih, beliau sememangnya sudah layak diangkat sebagai ‘sifu’ dalam industri fesyen tanah air. Mana tidaknya, wanita cekal inilah yang menjadi pencetus pembukaan jenama fesyen mewah antarabangsa ke dalam pasaran Malaysia. Bukan calang-calang!
Kepakaran Dato’ Seri Dr Farah Khan bukan hanya mencipta busana anggun serba eksklusif bahkan beliau juga kreatif mempelbagaikan cabang bisnes di bawah syarikat miliknya, The Melium Group. The Melium Group merupakan satu entiti perniagaan yang memfokuskan kepada lanskap fesyen mewah di Malaysia. Penubuhannya diasaskan Dato’ Seri Dr Farah sejak tahun 1989 yang dengan berani membawa masuk jenama fesyen bertaraf antarabangsa ke dalam pasaran negara.
Sepanjang 31 tahun menerajui syarikat, The Melium Group sudah pun mempunyai lebih 100 jenama antarabangsa dengan kejayaan pembukaan butik fizikal antaranya Tod’s, Aigner, Emilio Pucci, MCM, Max Mara, Roger Vivier dan Hacket London.
Di samping membawa jenama-jenama mewah masuk ke pasaran negara, Dato’ Seri Dr Farah Khan turut memartabatkan identitinya sebagai pereka fesyen. Pada tahun 2007, beliau melancarkan jenama fesyen sendiri iaitu Farah Khan yang kini menyambut ulang tahun ke-13.
Tidak cukup dengan itu, Dato’ Seri Dr Farah turut meluaskan portfolio empayar perniagaannya dengan mengembangkan sayap dalam bidang makanan menerusi pembukaan kafe Dome dan restoran eksklusif, Mamasan. Mengulas pembabitan awal Presiden The Melium Group ini, Dato’ Seri Dr Farah Khan menjelaskan penglibatannya dalam industri ini banyak dipengaruhi oleh minat dan kerjaya ibu tersayang.
Ads
“Jiwa fesyen sudah sebati dalam diri sejak zaman remaja lagi dan saya mewarisi bakat tersebut daripada ibu yang pernah terlibat dalam perniagaan busana fesyen wanita suatu ketika dahulu. Sepanjang mendalami bidang ini saya dapati kerjaya fesyen telah banyak membantu kehidupan saya terutamanya dari segi mental dan fizikal. Malah melalui fesyen juga ia memberi saya kepuasan!
Apa yang boleh saya katakan ialah saya sangat gembira kerana berjaya menjadikan minat sebagai kerjaya. Bukan hanya dapat memberi sumbangan kepada industri fesyen tetapi juga merealisasikan segala manifestasi dan impian yang saya diidam-idamkan selama ini menjadi satu kenyataan. Fesyen juga memberi peluang kepada saya untuk memperkasakan kaum wanita dan generasi muda. Selain itu, ia membuka jalan untuk saya terlibat dalam kerja amal kebajikan di samping menjadi insan lebih baik dan berguna kepada masyarakat.”
31 tahun bertapak dalam industri nyata bukan satu tempoh singkat. Biarpun kredibiliti Dato’ Seri Dr Farah Khan sebagai pereka fesyen dan usahawan diperakui ramai namun beliau percaya tanpa usaha gigih para pekerja, The Melium Group tidak akan mampu bertahan seperti hari ini. Apatah lagi dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu ekoran pandemik Covid-19.
Ads
“Covid-19 telah banyak menjejaskan kehidupan ramai orang ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. Walaupun pada awal PKP dulu saya masih berada dalam keadaan terkejut tapi sebagai usahawan dan juga majikan, saya perlu merangka strategi dengan cepat supaya perniagaan kami kekal bertahan dan memastikan kebajikan para pekerja terjaga. Setiap hari saya bersama barisan ahli lembaga, pihak pemasaran dan kakitangan akan berbincang mencari pembaharuan serta pendekatan terbaharu supaya pelanggan mudah mendapatkan khidmat kami.
Mujur usaha memperhebat platform dalam talian dan pelancaran aplikasi The Melium Group memberi impak berkesan dalam meniti keadaan sukar ketika ini. Seiring peralihan teknologi era digital, aplikasi berkenaan sangat relevan kerana pelanggan bukan hanya dapat mengetahui perkembangan bisnes kami menerusinya malah boleh merebut pelbagai tawaran dan diskaun menarik tanpa perlu mengunjungi butik fizikal. Paling penting adalah keupayaan kami untuk kekal kreatif memenuhi kehendak dan cita rasa pelanggan,” ujar Dato’ Seri Dr Farah Khan yang mempunyai 500 kakitangan di bawah pengurusannya.
Ads
Tidak hanya memfokuskan kepada dunia fesyen mewah dan perniagaan, Dato’ Seri Farah Khan turut prihatin dengan golongan memerlukan. Buktinya, beliau dan kakitangan The Melium Group berjaya menganjurkan pelbagai program dan kempen kebajikan. Salah satunya menerusi Support The Economy yang melibatkan para usahawan, pemain industri, selebriti dan peminat fesyen antaranya Cef Datuk Redzuawan Ismail atau lebih dikenali Cef Wan, Kavita Sidhu dan suami, Magie Abang Saufi serta sosialit Ezurin Khyra dalam usaha menyokong ekonomi negara.
“Rentetan wabak Covid-19 semua komuniti tidak kira dalam industri fesyen, seni, perusahaan restoran mahupun pelancongan perlu saling berganding bahu untuk merancakkan semula ekonomi. Support The Economy ini ialah inisiatif The Melium Group sebagai satu medium penyatuan dalam menyokong golongan usahawan, bisnes tempatan, industri seni dan sektor pelancongan untuk kembali pulih,” jelas usahawan ini yang turut tidak ketinggalan menyantuni dan memberi sumbangan berupa makanan kepada insan kurang bernasib baik seperti Orang Kurang Upaya dan ibu tunggal yang amat terkesan akibat pandemik Covid-19.
Tatkala ditanya bagaimana dia mampu kekal memberi suntikan inspirasi kepada wanita lain, dengan penuh merendah diri Dato’ Seri Dr Farah Khan berkata ia bukanlah satu perkara mudah memandangkan dirinya juga insan biasa yang turut mengalami pasang surut kehidupan. “Kunci utama ialah kekal positif dan terus maju ke hadapan kerana minda kitalah yang membawa hala tuju seterusnya. Sentiasa ingatkan diri sendiri untuk terus pandang ke matlamat hidup hari ini dan esok. Walau ada yang menjadikan saya sebagai sumber inspirasi tetapi sebenarnya saya turut terinspirasi dengan realiti kehidupan masyarakat.
Saya juga cukup bertuah kerana dikurniakan ramai sahabat dari pelbagai lapisan masyarakat. Mereka inilah yang menggalakkan saya untuk menjadi insan lebih baik setiap hari. Selain mahu berjaya dalam perniagaan, saya juga mahu menjadi individu yang boleh berbakti kepada keluarga, rakan-rakan, pekerja dan orang ramai kerana tujuan utama kita hidup di muka bumi ini juga adalah untuk saling membantu di antara satu sama lain,” akhirinya.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Foto parti sambutan hari jadi ke-50 seorang wanita bernama Puspa Dewi, heboh bertebaran di media sosial sejak 29 September 2017 lalu. Manakala tahun lalu wanita ini telah menyambut ulang tahun yang ke 51 tetapi penampilannya tetap kelihatan muda remaja. Pasti ramai wanita yang mencemburui kejelitaan wanita ini dan ingin tahu apakah rahsia yang diamalkan.
Angka 51 itu langsung tidak mencerminkan wajah Puspa Dewi, seorang ibu separuh abad yang kelihatan seperti gadis remaja. Orangnya nampak muda betul!
Pada awal tahun ini anak lelakinya, Dennis Hadi merupakan seorang fitness & nutrition experts telah berkahwin dan apabila digandingkan bersama Puspa Dewi dan menantunya umpama sebaya.
Sering dilihat tersenyum manis, ibu kepada Dennis Hadi dan Daniel Hadi itu sebenarnya merupakan seorang pegawai bank yang disegani di Bank Danamon Indonesia. Beliau juga kerap membantu menjalankan perniagaan katering anak sulungnya iaitu HadiKitchen Healthy Catering.
Apabila menyelongkar gaya hidup Puspa Dewi, ternyata ada 3 amalan yang selalu dibuat oleh wanita beranak dua yang mesra disapa sebagai Mama Hadi ini.
(1) Aktif berzumba dan bersenamrobik. Tengoklah, lincah gerakannya!
(2) Mengamalkan pemakanan sihat dan melebihkan sayur-sayuran. Setiap kali tibanya waktu makan tengah hari, pek makanan Puspa Dewi akan dihantar sendiri oleh anaknya dari HadiKitchen Healthy Catering. Sedap dan berkhasiat!
(3) Sentiasa menjaga penampilan diri, gayanya persis anak remaja.
Selain gaya hidup aktif dan sihat, Puspa Dewi juga selalu dikelilingi ahli keluarga serta rakan-rakan yang positif. Beliau sentiasa positif dan berusaha menjauhi tekanan dengan melancong ke pelbagai tempat.
Nah, mungkin banyak ‘amalan’ wanita ini yang boleh kita amalkan dari sekarang. Maklumlah, siapa nak nampak berusia kan? Dengarnya Puspa Dewi ni juga adalah ibu saudara selebriti terkenal iaitu Sandra Dewi.
Sumber: Instagram @puspadewihc
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Semoga akan ada lebih ramai pengasas berjiwa prihatin seperti Ainin Sofiya dan Amirah Syamimi. Tindakan adik-beradik yang juga pengasas produk kosmetik tersebut turun padang membantu mangsa banjir baru-baru ini sememangnya wajar diberi pujian.
Meskipun timbul persepsi negatif apabila usaha yang dilakukan di muat naik di media sosial namun ia tidak menjadi halangan buat usahawan Maaez dan Demica berkenaan untuk berbakti kepada masyarakat.
Beberapa negeri dilanda bencana banjir akibat hujan lebat berterusan sejak awal November lalu susulan Monsun Timur Laut (MTL) melibatkan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Kedah.
Prihatin dengan nasib menimpa rakyat, Nik Ainin Sofiya Nik Mahmood dan adiknya iaitu Nik Amirah Syamimi Nik Mahmood melancarkan misi bantuan CSR Banjir Kelantan Maaez x Demica.
Sehingga kini misi tersebut sudah pun dilakukan sebanyak dua fasa.
Menerusi perkongsian di media sosial masing-masing, kelihatan dua beradik ini memborong barangan keperluan berupa makanan dan pakaian untuk kegunaan mangsa terlibat.
Menurut Amirah Syamimi, “Untuk kali ni saya dan kakak saya bergabung untuk memberi bantuan pada mangsa banjir.
Untuk first batch ni kami fokus pada toto, pakaian dalam, kain pelikat, kain sarung, barang-barang mandian, ubat-ubatan dan lain-lain. Antara yang ramai orang request juga air mineral.”
Sementara itu, Ainin Sofiya pula mendedahkan, “Ini semua adalah hasil dari sokongan pengguna produk Maaez dan Demica. Tanpa sokongan anda semua kami takkan mampu untuk turut sama menyumbang. Terima kasih kami ucapkan.
Terima kasih juga kepada yang mendoakan yang baik-baik untuk kami, semoga doanya berbalik kepada kalian semua.
Saya tahu ada yang anti betul dengan gelaran “founder”. Kami juga hanyalah manusia biasa cuma kami memilih dunia perniagaan sebagai punca pendapatan kami.
Kami cari rezeki yang halal dan mengikut undang-undang Malaysia. Takkan rugi support mana-mana bisnes usahawan melayu islam, kami bayar zakat, bayar cukai, berkongsi rezeki dengan pekerja, agent-agent dan masyarakat. Selagi mampu insha Allah kami cuba akan sentiasa membantu yang memerlukan. Doakan kami ya.”
Difahamkan kedua-dua usahawan ini menggunakan wang sendiri sepenuhnya tanpa mendapatkan derma atau bantuan daripada mana-mana pihak.
Bukan sekadar membeli barangan keperluan dan kelengkapan, malah mereka turut turun padang meredah banjir khususnya di Tumpat, Kelantan bagi mengagihkan sendiri barang berkenaan. Selain bertemu dengan masyarakat di sana.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Siti Noor Radiah Ismail… satu-satunya wakil atlet paralimpik wanita yang telah berjaya mengharumkan nama Malaysia di mata dunia, tiga tahun lalu. Kejayaan empat atlet paralimpik negara iaitu Muhammad Ziyad Zolkefli, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi, Abdul Latif Romly dan Siti Noor Radiah pada Sukan Paralimpik Rio 2016 nyata telah membuka mata rakyat tentang kebolehan atlet istimewa ini.
Mengimbas kembali pencapaian membanggakan mereka khususnya Siti Noor Radiah, meskipun sekadar meraih pingat gangsa dalam acara lompat jauh wanita kategori T20 (masalah pembelajaran), dia mengakui menerima tempias populariti yang tak pernah disangkanya selama ini.
“Kalau bercerita tentang diri saya, sejak kanak-kanak lagi sudah terbiasa dengan aktiviti lasak. Apa saja budak lelaki buat saya pun turut sama. Tapi sekarang dah kurang sedikit. Jadi lebih feminin mungkin sebab peningkatan usia dan naluri kewanitaan itu makin kuat,” selorohnya.
Daripada penampilan wanita yang lasak, Radiah tampak sangat menawan dalam persalinan gaun kembang kuning cair, Izz Ibrahim yang tersarung indah pada tubuh langsingnya. Potongan rambut lurus paras bahu Radiah menyempurnakan lagi sisi elegan gadis 25 tahun ini.
“Galakan untuk berjaya dalam sukan datang daripada diri sendiri tapi saya bersyukur kerana dapat dorongan daripada mak dan ayah. Memang dari kecil saya sudah menyimpan cita-cita untuk jadi atlet. Tak kisah dalam acara apa sekalipun asalkan ahli sukan.
Semasa di sekolah rendah saya kerap menemani ayah ke beberapa kejohanan sukan anjuran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebab ayah merupakan bekas 21 Komando Gerak Khas di Kem Sungai Udang, Melaka.
Waktu di sekolah rendah juga saya sudah aktif dalam Sukan Paralimpiad dan dilatih Cikgu Huda untuk jadi wakil Melaka. Bila ayah bersara, kami berpindah ke Johor. Tahun 2006 saya jadi wakil negeri Johor pula.
Pertama kali saya jadi wakil Malaysia adalah pada tahun 2009 di Tokyo, Jepun tapi dulu tidak sepenuh masa. Tahun 2014 baru saya ditawarkan masuk ke MSN,” telus Radiah atau lebih dikenali sebagai Yaya dalam kalangan keluarga.
Radiah yang berkongsi jurulatih, Mohd Syahrul Amri Suhaimi bersama Latif dan rakan seperjuangan lain memberitahu latihan yang dijalankan terhadap mereka adalah sama. Namun jika terdapat kecederaan, setiap atlet akan ditugaskan menjalani latihan mengikut keupayaan fizikal dan kecergasan masing-masing.
“Dalam seminggu kami akan training enam kali sehari. Satu sesi latihan sebelah pagi bermula pukul 8 sampai 11 dan satu lagi pada waktu petang dari pukul 4 sampai 6.30 setiap hari sehingga Jumaat. Hari Sabtu pula cuma ada satu sesi pagi manakala Ahad kami cuti rehat.
Memang tidak lama tapi penat sebab kena berlatih lari saja untuk memantapkan stamina. Kami bukan hari-hari berlatih lompat jauh. Dalam dua ke tiga bulan sebelum perlawanan baru akan buat.
Kami juga ada pakar nutrisi yang mengawal diet pemakanan atlet. Selalunya kami akan makan apa sahaja. Walau bagaimana pun kena kawal makan lagi-lagi bila dekat hari pertandingan. Selain buat latihan bersama jurulatih, kadang-kadang saya akan keluar joging. Cabaran untuk jadi atlet terletak pada kekuatan mental. Sekalipun tidak boleh ikut latihan yang jurulatih sarankan tapi harus cuba.
Kalau tidak boleh juga baru maklumkan kepada jurulatih. Sebenarnya sejak di Incheon saya sudah mengalami kecederaan di bahagian pinggang dan belakang. Baru-baru ini saya menjalani rawatan tulang belakang dan prosedur memasukkan gel dekat lutut. Bila rasa sakit sangat terpaksa makan ubat tahan sakit daripada doktor ISN.”
Tatkala ditanya pandangan beliau tentang perkembangan sukan tanah air, Radiah melahirkan rasa bangga kerana lebih ramai anak muda masa kini melibatkan diri dalam sirkit kejohanan.
Katanya, ia merupakan satu permulaan yang baik buat negara untuk mewujudkan persaingan sukan. Dalam masa sama berpeluang mencari pelapis baru. Semoga apa yang direncanakan atlet Paralimpik ini mampu direalisasikan seterusnya menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!