Sejak kahwin dan bergelar ibu, makin cantik berseri-seri Mira Filzah! Bukan saja kehidupan peribadi bertambah bahagia dengan kehadiran suami penyayang dan anak comel, bahkan Mira bertuah kerana kerjayanya kian bersinar dan berkembang maju.
Tahun ini sahaja Mira melakar satu lagi pencapaian apabila berjaya mempunyai jenama tudung sendiri dan menjadi wajah Swarovski. Malah, dia juga berpeluang menjalin kolaborasi bersama jenama muslimah terkenal Indonesia, Buttonscarves!
Isteri Wan Emir Astar ini juga kembali aktif mewarnai dunia lakonan selepas kelahiran anak sulungnya. Walau sudah berumah tangga dan mempunyai anak, populariti Mira masih utuh dan diterima ramai.
Buktinya, dia diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab sebagai duta bagi pelbagai produk. Antaranya Secret Recipe dan Coway.
Tidak ketinggalan, wanita cantik kelahiran Perak ini merupakan pengasas Luna. Murah rezeki Mira Filzah!
Ads
Bersandarkan kejayaan Mira dalam kerjaya dan kecemerlangannya dalam bidang akademik di universiti, dia menerima jemputan daripada institusi pendidikan awam ternama negara, Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 20 Mei lepas.
Kongsi Mira, “Assalamualaikum UiTM. Saya kembali sebagai Alumni jemputan untuk Istiadat Konvokesyen UiTM ke 96.”
Mira Filzah atau nama sebenarnya Nur Amirah Filzah Badioezaman ialah graduan Ijazah Sarjana Muda dengan kepujian Perniagaan Antarabangsa UiTM yang tamat graduasi pada tahun 2016.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sekitar empat tahun lalu penulis pernah menemu bual Dr Nurul Huda Mohd Zainol atau Dr Huda ini tentang pengalamannya sebagai rakyat Malaysia yang tinggal di bumi Islam yang sedang bergolak. Ketika itu satu dunia mengetahui kisah pergolakan di Mesir di mana krisis politiknya hangat diperdebatkan.
Memandangkan ketika itu Dr Huda sedang menuntut di Universiti Al-Azhar Mesir sebagai pelajar perubatan, penulis hanya dapat menghubunginya menerusi email. Kali ini penulis kembali menjejaki Dr Huda yang kini sedang berjuang sebagai salah seorang petugas barisan hadapan.
Dr Huda antara yang dipilih Allah SWT sebagai pejuang barisan hadapan bagi memerangi wabak COVID-19. Bergelar seorang doktor besar cabarannya namun besar jugalah pahala dan hikmahnya!
Sejak fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bermacam pengalaman pahit getir dilalui oleh ibu kepada seorang anak yang berasal dari Pulau Pinang ini. Bukan hanya merawat pesakit selama 12 jam sehari bahkan Dr Huda juga perlu merawat hatinya yang sedang ‘sakit’ merindui insan tersayang yang jauh di kampung. Namun kerana tugas Dr Huda tabahkan hati.
PERMULAAN SEBAGAI FRONTLINER
“Takbir! With Allah SWT Grace and Mercy, acceptance to my duty and pathway that be chosen since 2009. After a tear and sought of comfortless, I know this is what destined for me.
Saya merupakan MO (Pegawai Perubatan) kontrak yang mendapat surat penempatan di Selangor untuk pasukan COVID-19 di salah sebuah hospital. Surat diterima pada 18 Mac 2020 dan perlu melapor diri pada 23 Mac 2020. Terpaksa berpisah dengan keluarga dan anak kecil adalah cabaran utama saya. Ini termasuklah terpaksa berpindah dari Pulau Pinang ke Selangor dalam masa singkat.
Empat hari berbaki amat bermakna buat saya. Itulah saja masa yang saya ada untuk siapkan barang-barang termasuk menghabiskan masa bersama keluarga. Sempatlah saya menikmati masakan ibu sepuasnya, melihat wajah adik beradik, suami dan bermain dengan anak kecil saya.
Biarpun sedih tetapi ketika melapor diri saya melihat beratus doktor dari semua negeri turun untuk melawan pandemik COVID-19 bersama KKM. Ternyata saya tak keseorangan.
Kali pertama bertugas di wad pesakit COVID-19 saya bertanya kepada jururawat. Selalunya pesakit buat apa? Sebab lama juga mereka dikuarantin sampai berbelas-belas hari di sini. Jururawat menjawab, mereka berzikir. Ternyata benar, ketika melangkah ke wad pada pukul 9.30 malam saya lihat pesakit sedang solat sebelum tidur.
Pukul 5.30 pagi saya dengar mereka mengaji dan bersiap sedia untuk solat Subuh. Terdengar sayup-sayup suara mereka mengaji di balik tirai katil. Ada kala mereka melaungkan azan di dalam wad dan solat berjemaah. Hati terpalu. Dalam keadaan begitu mereka cukup tenang dan bersedia ‘menyiapkan diri’. Kita yang tak sakit masih alpa.
Menguruskan pesakit dari kluster tabligh alhamdulillah senang. Sampai kini saya masih tersentuh dengan akhlak mereka. Lihat wajah mereka pun sejuk. Berbeza dengan pesakit dari kluster ‘kelas-kelas’ hari pertama dah minta western food. Apa pun kluster anda marilah kita bekerjasama dengan terhadnya fasiliti hospital awam ini.
Terdetik di hati, Allah SWT memanggil ku ke sini bukan saja dapat belajar tentang hikmah COVID-19 tetapi untuk melihat sifat manusia dan kebesaranNya. Moga kita menjadi golongan yang tidak dimurkai Allah SWT.
Antara detik yang meruntun jiwa saya sepanjang bertugas adalah melihat anak kecil yang disahkan positif COVID-19 dan terpaksa berpisah dengan keluarga. Sudah tentu ia mengusik naluri keibuan saya. Satu lagi detik ialah perpisahan abadi antara pesakit COVID-19 dengan ahli keluarganya. Pesakit yang meninggal dunia tak boleh ditatapi dan disembahyangkan oleh ahli keluarga. Jiwa saya tersentuh!
Walaupun ada pesakit sekadar ucapkan terima kasih, saya akan mudah menangis walaupun terlindung di balik face shield dan PPE. Pernah seorang pakcik berkata “Saya doakan doktor sihat sejahtera, diampuni dosa” Terus berderai air mata lalu saya membalas “Saya doakan pakcik dan semua pesakit saya negative COVID-19.” Itu saja harapan saya.
TINGGAL DI ASRAMA
Saya ada terbaca sharing post mengenai rakyat Malaysia yang dikuarantin membahas tentang fasiliti yang kerajaan sediakan daif, makanan tak sedap dan sebagainya. Di kala pandemik, KKM amat sibuk memerangi COVID-19, sibuk menguruskan pesakit tenat. Berlapang dadalah menerima fasiliti itu. Beri peluang kepada KKM menguruskan hal yang lebih mustahak.
Sebagai petugas kesihatan saya sendiri hanya diberikan asrama sebagai tempat tinggal sementara. Makan dua kali sepanjang lima hari pertama saja. Tiada aircond, water heater, tiada wifi percuma, tiada kelengkapan kebersihan diri dan tiada tilam bantal.
Tidur malam pun berpeluh sampai lencun baju. Sudahlah di hospital baju basah pakai PPE, di asrama pun begitu juga. Makanan perlu dicari sendiri. Kafe buka pukul 7 pagi sampai 5.30 petang saja. Lambat cari makan maka tiadalah makan malam. Memasak tak dibenarkan di dalam asrama. Maka makanlah roti yang ada walaupun dah tamat tempoh!
Apa pun saya bersyukur, asalkan ada tempat letak kepala dan boleh lelapkan mata setelah penat bekerja. Terima kasih kepada pihak hospital atas fasiliti yang diberi. Bukan mudah menguruskan ratusan petugas kesihatan melapor diri dalam masa singkat. You guys done a great job!
NASIHAT BUAT RAKYAT MALAYSIA
Patuhi arahan KKM agar kita berjaya putuskan rangkaian wabak COVID-19 segera. Terima kasih bagi yang patuh arahan. Seluruh warga KKM sedang berusaha melakukan yang terbaik. InsyaAllah usaha kita pada hari ini untuk 2-4 minggu akan datang. Jika ada kaitan dengan kontak rapat sila bersikap jujur demi keselamatan semua. Semoga PKP ini membuahkan hasil agar kita dapat menyambut Ramadan dan Aidilfitri kelak.
Buat rakan seperjuangan this is our war, together we fight! Wear your PPE properly, jaga diri, rehat dan menangislah sepuasnya jika perlu. Teruslah berdoa agar rantaian COVID-19 segera diputuskan seterusnya kita dapat berjumpa dengan insan tersayang.
Buat keluarga yang juga ‘berjuang’ melepaskan insan tersayang seperti kami, apa yang berlaku ada sebab walau ia menjarakkan kita. InsyaAllah, perancangan DIA adalah yang terbaik.”
Kredit Foto: Facebook & Instagram Dr Huda Ninol
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Dunia hari ini sudah bersiap untuk menerima para wanita menerajui pelbagai bidang kerjaya yang mencabar. Fara Juina Bt. Mohd Shuib memelopori kebangkitan wanita dalam bidang pembangunan hartanah di negeri Kedah, mengambil kesempatan ruang yang ada dalam usaha memperkasakan keupayaan dan kebijaksanaan dirinya. Kini beliau mencapai satu tahap yang membanggakan, biarpun dalam usia masih muda, 34 tahun. Tiada yang membatasi dirinya untuk belajar dari bawah sehingga maju berada di tahap sekarang sebagai Pengarah Urusan, Mega Excellent Properties Sdn Bhd.
Melayari sebuah kehidupan sederhana sebagai seorang isteri dan memenuhi tuntutan sebagai ibu yang baik kepada empat orang anak, Fara bijak mengimbangi keduanya dan ia tidak mustahil buat semua wanita hari ini. Motivasi dirinya yang kuat perlu diangkat menjadi inspirasi buat semua dalam usaha memberikan yang terbaik dan memenuhi keinginan diri sendiri agar hidup lebih bermakna. Beliau ingin tumbuh subur berbudi dan berbakti kepada setiap pekerjaan yang di buat agar semuanya bercambah menjadi sihat dan sukses.
“Kuncinya adalah fokus, belajar dan berusaha. Jangan takut menghadapi kegagalan dan sentiasa maju ke hadapan. Tidak ramai sebenarnya wanita yang menceburi dalam bidang ini dan alhamdulillah saya masih terus rancak beraksi dalam bidang pembangunan hal tanah ini. Saya amat berterima kasih kepada Dato’ Wira Haji Thobrani kerana membuka laluan dan memberi kepercayaan kepada saya dalam bidang pembangunan hartanah di Kedah. Dalam usia 29 tahun, saya belajar dari kosong dan mengutip segala pengalaman dari satu projek pembangunan yang kecil sehinggalah pada projek mega sekarang sebagai konsultan untuk projek mega Koperasi Tunas Muda Sg. Ara Berhad.
Inilah antara kemuncak kepada kerjaya saya dalam menerajui projek mega bersama Koperasi Tunas Muda dalam usaha membangunkan projek komersial Tunas Boulevard yang dijangka akan melibatkan nilai jualan RM 328 juta yang terletak di dalam kawasan Kulim Hi Tech Park, Kedah dan Projek Perumahan Tunas Homes pula dijangka mencecah nilai jualan RM 522.9 juta terletak di Sungai Petani, Kedah. Sebahagian besar unit-unit kediaman di sini akan dijual dengan harga yang lebih murah di pasaran tetapi kualitinya terbaik.
Dari sekeping tanah, saya bertanggungjawab untuk membangunkan kawasan tersebut mengikut kehendak pelanggan, kesesuaian lokasi dan memastikan ia menjadi pusat komersial yang berkembang maju dan moden. InsyaAllah saya akan pastikan projek ini dilaksanakan dengan sukses, tidak akan sia-sia tanggungjawab dan harapan yang tinggi untuk menjadi kejayaan terbesar untuk Koperasi Tunas. Ia bukan sekadar membangunkan kawasan perumahan tetapi meliputi pembangunan kawasan new township dengan landskap ID dari Australia, lengkap dengan segala kemudahan yang membawa kepada suasana kehidupan yang tenang, selesa dan cantik.
Sesuai sekali buat mereka yang baru ingin memiliki rumah pertama, buat mereka yang baru mendirikan rumah tangga dan sempurna buat mereka yang ingin settle down. Saya telah mengkaji segala aspek kemampuan, harga dan pakej yang ditawarkan agar mampu dimiliki oleh semua lapisan masyarakat. Objektif kami, bukanlah untung semata-mata tetapi memastikan masyarakat mampu membeli rumah,” ujar Fara berbicara tantang projek mega yang dikendalikannya kini.
Selain daripada kualiti pembangunan perumahan itu sendiri, strategi pemasaran adalah penting dalam usaha memastikan projek yang di buat mendapat sambutan daripada masyarakat. Untuk apa jika kita laksanakan projek tetapi tidak ada pembeli. Di sinilah juga peranan Fara penting dalam menyusun strategi pemasaran berkesan, “Ya benar, untuk itu Koperasi Tunas Muda Sg Ara Bhd telah memilih Rozita Che Wan dan puterinya Aishah sebagai Duta 2018 untuk projek Koperasi Tunas Muda Sg Ara Bhd pertama di Negeri Jelapang Padi, Kedah Darul Aman. Che Ta adalah merupakan anak jati Kedah yang telah berjaya menempa nama di pasaran tempatan sebagai pengacara, penerbit dan pelakon. Popularitinya yang tidak perlu dipertikaikan lagi, kita gambarkan keharmonian rumah tangga Che Ta dan anak untuk menjalani sebuah kehidupan yang selesa dan sederhana agar dapat menjadi inspirasi kepada yang lain untuk turut sama mengecap kehidupan yang sempurna, khususnya buat rakyat Kedah,” katanya.
Sebagai seorang ketua yang menerajui projek besar, pastinya perkara ini tidak dilakukan dengan seorang diri. Siapa yang menjadi tulang belakang utama kejayaan hari ini dan sikap keperibadian anda yang menjadi teladan buat semua kakitangan lain. Keluarga dan rakan-rakan banyak memberi kekuatan dan semangat untuk saya berusaha tanpa putus asa. Saya pernah jatuh tersungkur dan mereka adalah pembakar semangat saya untuk bangkit kembali.
Saya ingin mereka melihat, setiap apa yang saya lakukan adalah atas usaha diri sendiri, kepercayaan dan kredibiliti saya. Untuk mencapai apa yang saya miliki hari ini, laluannya bukan mudah tetapi setelah melalui pelbagai rintangan serta pengalaman yang cukup menjadi saya matang dan sarat dengan ilmu pengetahuan yang dikutip untuk mempertingkatkan keupayaan diri saya sendiri. ”
Sesibuk mana sekalipun, tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu tetap tidak diketepikan. Itulah ketabahan dan kegigihan yang menjadi anda seorang wanita #superwomen, “Sebagai seorang wanita, rumah tangga tetap menjadi perhatian utama. Saya tidak pernah abaikan tanggungjawab dalam memastikan pengurusan anak-anak sempurna. Perjalanan saya bermula se awal pagi, menghantar mereka ke sekolah dan barulah saya ke pejabat.
Di malam hari adalah masa saya untuk bersama mereka, jarang sekali untuk ada sebarang urusan kerja di waktu malam, kecuali tugasan luar kawasan ‘outstation’. Jika ada sebarang kecemasan untuk berbincang tentang kerja sekalipun, datang ke rumah. Sememangnya peruntukan waktu malam saya hanya pada keluarga, itulah kualiti masa saya bersama mereka.
Perancangan masa hadapan Fara, “Saya berharap di masa hadapan, Koperasi Tunas Muda akan menyerlah kehebatannya sebaris dengan syarikat pembangunan terkenal di Malaysia yang lain. Untuk syarikat sendiri, saya akan teruskan uasaha dengan pelbagai projek-projek kecil atau besar sehinggalah syarikat Mega Exellent Sdn Bhd ini berjaya di publicly listed di Malaysia. InsyaAllah… Doakan yang baik-baik.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Serahkan apa sahaja watak kepada wanita cantik ini, sudah pasti mampu dibawakan dengan jayanya. Daripada Puntianak, ikan duyung, wanita kampung, penggoda atau pisau cukur bagai sudah sebati watak dalam dirinya. Bakat yang mengalir dalam diri Maya Karin ini bukan calang-calang. Sehingga Maya telah dinobatkan sebagai aktres Terbaik, Festival Filem Asia Pasifik Ke-49 di Fukuoka, Jepun.
Maya atau nama sebenarnya Maya Karin Roelcke yang bakal menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-40 pada Oktober nanti, rupa-rupanya sekarang sedang menderita penyakit kebimbangan dan panik yang semakin serius. Menerusi laman Instagramnya, Maya berkongsi tentang penyakit yang dialaminya;
“I suffer from terrible anxiety and sometimes crazy panic attacks. So I just cuba diving the last 2 days as one of my therapies. Selam aka free diving macam filem Duyung tu I okay je tapi nak underwater for more than 5 minutes is a challenge so far. But I want this!!! My instructor @putradiver helped me so much the last 2 days to conquer my fears,”.
Rupa-rupanya menyelam boleh dijadikan sebagai terapi untuk mengatasi penyakit ini. Mujur ada yang mencadangkan aktiviti menyelam ini kepada Maya. Seronok tengok Maya sedang bermain dengan anjing laut tersebut. Nampak manja sangat keletah anjing laut bermain dengan Maya di dasar laut.
Maya yang mempunyai 775 ribu pengikut di laman Instagram juga turut berkongsi perasaannya yang risau dengan penyakit tersebut;
“Macam ni la perasaan saya 30 saat sebelum nak buat persembahan kat #maharajalawakmega2018 dengan #shiro ….. Tapi terpaksa terjun…I’m trying to conquer my general anxiety problem yang dah semakin lately, over simple things. Omg I felt like I’m gonna die…. tak boleh bernafas… Severe anxiety is a weird thing. Tiba-tiba saja my hands can shake walaupun jalan-jalan kat mall je. Thank you @putradiver for all the help and guidance,”.
Tak sangka penyakit yang selama ini dipandang ringan rupa-rupanya boleh membuat penghidapnya tidak boleh bernafas. Semoga Bintang utama filem Munafik 2 ini boleh mengatasi penyakit ini dan sihat sepenuhnya seperti sedia kala.
Bercerita tentang perkembangan seninya, Maya telah melancarkan single terbarunya, “Gateway” ciptaan Audi Mok pada November tahun lalu yang berkisarkan tentang dunia yang penuh dengan tipu daya dan muslihat serta menampilkan Kaka Azraff sebagai penyanyi rap.
Maya juga kini semakin aktif aktivis kemanusiaan mungkin didorong oleh pengaruh bapanya. Maya sering dilihat terlibat dalam pelbagai kempen untuk perlindungan alam sekitar dan haiwan dan sering bekerja dengan Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) dan Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF). Maya juga mempunyai program pemuliharaan alam sekitarnya sendiri, MayaLovesNature, yang melibatkan pelajar daripada 14 sekolah rendah yang berbeza demi memberi kesedaran penggunaan yang berlebihan dan pembaziran beg plastik.
Foto: Instagram @maya_karin
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Zizi Kirana Sambut Ramadan di Syria apabila penyanyi itu menyertai misi bantuan kemanusiaan menyampaikan makanan, kit ibadah dan bantuan kepada keluarga serta kanak-kanak yang berpuasa di kawasan perang.