Sudah lama menyepikan diri dari dunia lakonan, pelakon cantik Mia Ahmad kini selesa dengan kehidupannya sebagai seorang isteri dan ibu. Selain menguruskan bisnes barangan ibadah, Sameeha.co, Mia kini lebih banyak menumpukan perhatiannya terhadap keluarga.
Ads
Tenang dan bahagia sangat melihat perubahan Mia sekrang ini terutama dari segi penampilan dirinya.
Isteri kepada penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT), Izham Tarmizi ini sedang melalui satu fasa penghijrahan yang menjadi titik tolak kepada perubahan dirinya sekarang. Sering mengenakan pakaian longgar dan bertudung labuh menjadikan penampilan sopannya itu mendapat pujian dan sokongan ramai. Rata-rata warganet mengharapkan agar Mia terus istiqamah.
Mia atau nama sebenarnya, Samihah Ahmad Baderi seringkali dilihat berkongsi kisah penghijrahan dirinya dan suami di Instagram sehingga meraih perhatian ramai. Baginya bukan mudah untuk istiqamah tetapi dia mampu melakukannya dengan penuh kesabaran.
Menurut ibu kepada dua anak ini, perkongsiannya itu bukan niat untuk menunjuk-nunjuk kebaikan. Sebaliknya, dia ingin memberi inspirasi buat semua untuk sama-sama berubah ke arah kebaikan. Apatah lagi sempena Ramadan kali ini dia ingin mengambil keberkatan bulan yang mulia itu untuk menjadi insan yang lebih baik.
Salah satu posting menarik di Instagram iaitu perkongsian Mia tentang momen terindahnya bersama suami apabila berpeluang mempelajari Al-Quran bersama-sama. Menurut Mia, dia sendiri tidak pernah membayangkan momen terindah itu. Maka sebab itulah dia cukup teruja untuk berkongsi ‘journey’ dia dan suami sempena bulan Al-Quran serta menghargai jasa ustaz yang telah mengajar mereka berdua.
“Post ini bukan untuk menunjuk-nunjuk kebaikan ya tapi just sharing journey kami bersama sempena bulan Al-Quran ini dan juga sebagai menghargai @kopiah_afik_ni dalam kesabaran dia mengajar kami berdua. Terima kasih ustaz…”
Ads
“Tak pernah saya bayangkan kami akan ada moment berdua belajar Al-Quran bersama-sama.”
“Yang pasti ni lah memori paling terindah dalam perkahwinan kami…”
Ads
“Hopefully dapat beri inspirasi kepada keluarga di luar sana untuk sama-sama kita menuju Jannatul Firdausi. Amin.”
Sekalung tahniah buat jaguh skuasy negara, Nicol David yang kini dikurniakan gelaran Datuk. Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan mengurniakan Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran Datuk kepada jaguh dan lagenda skuasy negara, Datuk Nicol Ann David.
Beliau sememangnya layak diangkat sebagai ikon! Jika dihitung pencapaian Datuk Nicol memang tidak terkira banyaknya.
Datuk Nicol berusia 38 tahun merupakan antara 12 penerima PJN pada sesi kedua istiadat Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2021 bersempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong yang berlangsung di Istana Negara hari ini.
Turut berangkat ke istiadat itu ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Mendahului senarai penerima bagi istiadat Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2021 itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lokman Hakim Ali yang turut dikurniakan Panglima Jasa Negara.
Istiadat berlangsung dalam norma baharu susulan wabak Covid-19 dengan tetamu yang hadir perlu memakai pelitup muka, disaring suhu badan dan mengimbas kod MySejahtera di balai keselamatan Istana Negara.
Mengimbas kembali kejayaan Datuk Nicol, beliau merangkul gelaran Atlet Terunggul Sepanjang Zaman Sukan Dunia pada Februari lalu. Datuk Nicol juga berjaya mengharumkan nama negara di persada dunia seawal usia 15 tahun.
Sepanjang pembabitannya sebagai atlet skuasy, Datuk Nicol meraih gelaran Juara Dunia sebanyak 8 kali dan mengumumkan persaraan pada tahun 2019.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Dato’ Rizalman Ibrahim, satu nama yang tidak asing lagi di kalangan para penggemar fesyen. Seorang yang sangat terkenal dengan karya seni rekaan bercita rasa tinggi serta kreatif. Sering menjadi pilihan golongan kenamaan mahupun atasan yang sentiasa percaya dengan kepakarannya. Sejujurnya, bapa kepada dua orang anak lelaki ini sebenarnya seorang yang cukup merendah diri. Dato’ Rizalman selayaknya digelar ‘guru’ dalam industri fesyen tanah air kerana ilmu serta kebolehan luar biasa yang dimiliki.
Berkongsi detik permulaan kariernya, “Kerjaya sebagai pereka fesyen bermula sebaik tamat pengajian di UiTM pada tahun 1993 di salah sebuah butik sekitar Kuala Lumpur. Tugas saya menjahit butang dan cangkuk dengan gaji hanya RM350. Waktu itu kerja hanya enam bulan kerana saya rasa terlalu terkongkong dan tercabar dengan skop kerja.
Saya nekad untuk jadi pereka fesyen berjaya seterusnya berniat mahu membalas jasa ibu bapa. Sebaik berhenti kerja, saya buat freelance. Disebabkan masa itu tiada media sosial sukar untuk saya bertapak dalam industri fesyen.
Pun begitu, saya tidak pernah anggap ia satu halangan. Saya terus berusaha sehinggalah dikenali sebagai pereka fesyen baru yang sering mengetengahkan silhouette daripada kebaya dan kurung yang dimodenkan mengikut cita rasa masyarakat ketika itu.
Saya turut mengeluarkan idea-idea baru seperti baju kurung yang boleh diolah dalam pelbagai bentuk dan sebagainya. Dari situ orang mula mengenali saya sebagai seorang yang suka membuat revolusi terhadap busana-busana tradisional selain menitikberatkan soal kualiti.
Pelanggan pertama saya ialah personaliti televisyen terkenal, Wan Zaleha Radzi yang membeli sepasang kebaya kuning menggunakan fabrik sari. Personaliti lain ialah Fauziah Ahmad Daud, Zarina Zainuddin dan Zakiah Anas. Disebabkan belum ada butik, cara saya menjual ialah dengan meletakkan baju-baju yang sudah dijahit ke dalam beg dan membawanya ke stesen televisyen dengan menaiki bas.
Waktu itu saya masih belum punya kereta sendiri dan tiada pekerja. Semuanya dilakukan sendiri, menjual dari pejabat ke pejabat, pergi ke rumah klien dan sebagainya. Dan bila ada duit sikit saya iklankan hasil rekaan dalam majalah.
Kesimpulannya, agak susahlah dulu kerana perlu bergantung kepada cara pemasaran di samping kualiti produk itu sendiri. Bila sudah ada simpanan barulah saya membuka butik secara kecil-kecilan,” ungkap anak bongsu yang dilahirkan dalam keluarga seni ini. Ibunya seorang tukang jahit manakala bapa merupakan kerani dan jurufoto fesyen. Adik beradiknya pula pandai melukis dan ada yang bergelar pelakon teater serta pelakon radio.
“Saya bersyukur kerana dijadikan siapa diri saya sekarang untuk berkongsi ilmu yang dianugerahkan oleh Yang Maha Esa. Saya hanyalah sebagai medium serta watak di pentas dunia ini yang telah berjaya saya sampaikan dengan sempurna. Kelebihan yang saya miliki ini adalah satu tanggungjawab. Ilmu itu satu amanah. Saya juga memandang risiko serta kritikan sebagai satu fasa kehidupan yang mematangkan.
Sebagai pereka fesyen juga saya perlu tahu siapa pesaing-pesaing untuk menjadi yang lebih baik dan berusaha sampai ke tahap paling atas yang menjadi kunci untuk menjadi pereka fesyen tersohor. Saya juga pakar dalam fesyen dan tahu apa itu fesyen kerana banyak membaca dan mengembara ke negara luar,” ujar anak kelahiran Pulau Pinang ini yang berusia 49 tahun.
“Harapan saya bila tibanya saat menutup mata, dapatlah pergi dalam keadaan yang tenang tanpa hutang. Sihat tubuh badan serta mampu melakukan ibadah dengan sempurna seterusnya memiliki anak-anak yang soleh. Tidak kisahlah mereka mahu meneruskan legasi saya mahupun tidak. Semoga mereka diberikan jodoh yang solehah dan keturunan yang soleh.
Seterusnya nasihat saya buat generasi muda yang mahu berjaya pertamanya ialah kenal dahulu siapa Pencipta, kenal siapa diri kita dan kenal segala benda yang ada di sekeliling kita. Bila kita tahu semua itu maka kita akan tahu bagaimana formula untuk menjadikan diri kita berguna dan bagus kepada orang lain,” akhiri Dato’ Rizalman.
Anak kedua Datuk Seri Anwar Ibrahim ini berusia 13 tahun ketika menyaksikan kediaman keluarganya diserbu oleh sepasukan anggota polis. Dalam usia yang sudah menginjak remaja, Nurul Nuha sudah faham apa yang sedang berlaku.
“Pada usia 13 tahun ketika itu, saya sudah tahu apa yang sedang berlaku. Keperitan dan kesedihan hanya Tuhan sahaja yang tahu. Tetapi berkat doa dan sokongan ramai, semangat kami adik-beradik tidak pernah luntur. Alhamdulillah kami dikurniakan seorang figura bapa yang amat optimis dan exceptional. Selain itu, sikap mama yang penyayang, penuh kesabaran dan selalu bersifat positif juga menjadi nadi kekuatan kami. Kombinasi ini sememangnya luar biasa dan merekalah sumber kekuatan kami adik beradik,” jelas Nuha yang ternyata bangga mempunyai ibubapa yang penuh dedikasi dan tahap kesabaran yang tinggi.
“Mengenang kembali saat itu, pastinya meruntun hati tetapi ia adalah antara episod duka yang banyak mematangkan saya,” ujar Nurul Nuha yang menjadi insan hebat di belakang kakak sulungnya, Nurul Izzah.
BANGKIT BERJUANG
Bukan sekali, malah dua kali melihat bapanya dipenjarakan merupakan tamparan hebat yang harus dilalui oleh keluarga ini. Episod hitam kembali berlaku apabila Anwar dipenjarakan sekali lagi pada 2014. Tetapi Nurul Nuha bukan lagi ‘budak mentah’ yang hanya mampu melihat tanpa melakukan apa-apa. Kebahagiaan bersama ayah yang hanya sempat dinikmati 10 tahun direntap sekali lagi. Usia 30 tahun sudah cukup mematangkan untuk dirinya berjuang mencari keadilan buat si ayah.
Nuha dengan sokongan ahli keluarga telah menggerakkan kempen March to Freedom setahun kemudiannya sebagai menyambung usaha Ketua Umum PKR yang dipenjarakan kerana kesalahan moral.
“Kempen itu sebagai manifestasi saya mewakili lima beradik lain sebagai satu perjuangan keluarga selepas papa ditahan akibat ketidakadilan dalam sistem kehakiman negara. Kempen March To Freedom adalah kesinambungan perjuangan selepas 17 tahun seluruh ahli keluarga menjalani kehidupan penuh emosi yang sukar digambarkan melalui kata-kata,” ujar Nurul Nuha yang mempunyai rupa para seiras ibu tersayang.
Tambah Nurul Nuha lagi, kempen yang dilancarkan pada 11 Februari 2015 telah digerakkan melalui platform media sosial termasuk di peringkat antarabangsa.
“Ia turut memberikan fokus kepada hak kemanusiaan untuk pembebasan Anwar dan paling penting memberikan kesedaran tentang hak kemanusiaan dalam sistem undang-undang,” ujar ibu kepada tiga cahayamata ini lagi.
“Pengorbanan seorang ayah yang menyayangi anaknya tak ada batasan, tambahan pengorbanan seorang pejuang terhadap negara yang dicintainya merangkumi segala batasan perjuangan.
“Saya amat menyayangi papa, terima kasih kerana mengajar kami untuk tidak mementingkan diri sendiri, tabah, mengasihi satu sama lain, berjuang untuk rakyat dan negara ini supaya kita semua dapat berkongsi impian yang lebih baik,” kata graduan dari George Mason University Amerika Syarikat ini.
SYAWAL NAN DINANTI
Ditanya mengenai sambutan Ramadan dan Syawal kali ini, Nuha memanjatkan rasa kesyukuran kerana dapat meluangkan masa dengan keluarga tersayang. Sambil berseloroh, Nuha berkata dia ingin menikmati pelbagai hidangan bersama keluarga kerana sudah lama tidak menikmati momen indah seperti ini.
“Alhamdulillah, kami dapat meluangkan masa dengan keluarga dengan harapan tak makan sampai sakit perut. Dengan nikmat begini, kami doakan dan tidak lupa juga kepada sesiapa yang tidak dapat bersama keluarga supaya tabah dan mendapat ketenangan dan kesabaran InsyaAllah,” ujar Nuha sambil memandang adik-adik yang lain ketika sesi fotografi dijalankan.
Sambil bercerita mengenai kenangan musim perayaan yang lalu, tambah Nuha lagi dia menantikan detik indah dapat berkumpul bersama keluarga tersayang.
“Tahun lalu, Kak Izzah dan Iman memasak menu rendang dan tak sangka sedap dan menepati citarasa kami. Jadi tahun ini tidak pasti samada rendang istimewa ada dalam rancangan atau tidak. Persiapan Raya memang kelam kabut, tapi kepentingan itu lebih kepada meluangkan dengan keluarga”, sambung Nuha lagi.
Nurul Nuha turut melahirkan rasa kesyukuran kerana kesabaran dalam mengharungi liku-liku hidup telah berjaya mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan bersama adik-beradik tersayang. Selain itu, perjuangan reformasi juga telah membuka mata mereka dan rakyat Malaysia khususnya untuk melalui pelbagai rintangan dan kesusahan.
“Papa dan mama senantiasa mengingatkan kami, ada kuasa yang lebih kuat dari apa sekalipun adalah ALLAH SWT. Jadi, sentiasa berzikir dan berdoa selepas tawakkal dan usaha. Doa menjadi rutin harian, cekal dan berazam agar mendapat ketenangan dan kemenangan,” ujar Nuha penuh makna.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Untuk menjadi seorang yang sempurna pastinya bukan proses yang mudah. Malah, mungkin juga mustahil. Siapa yang sempurna di muka bumi ini kan?Namun, trend hari...