Pertama kali menjenguk ke bangunan pejabat dua tingkat milik IDW Design & Build Sdn Bhd di Shah Alam, timbul satu perasaan mengujakan. Berselindung di sebalik perumahan elit, pejabat moden IDr Lokman Hakim Ahmad Subki dan IDr Rabiatul Adawiyah Rasol ini memukau pandangan tetamu yang bertandang.

Rasa bangga dan kagum bersatu, pencapaian luar biasa pasangan anak muda Melayu itu benar-benar mengangkat prestij dunia rekaan hiasan dalaman ke peringkat tertinggi!

Damai petang diselang-seli rasa dingin penyaman udara menemani bicara saya bersama Pengasas dan Pengarah Urusan IDW, Lokman Hakim. Orangnya mesra dan menyenangkan, begitulah keperibadian beliau sepanjang sesi fotografi berlangsung.

IKLAN

Berusia 36 tahun, lelaki asal Kuala Lumpur itu tampak cukup profesional memimpin barisan pengurusan, sementara isteri, Rabiatul Adawiyah pula sangat mahir dalam menguruskan operasi syarikat.

Berkat Jaga Hubungan Dengan Allah, Ibu Bapa – Waktu Gawat Pun Pengasas IDW Design & Build Murah Rezeki, Sedekah No. 1!
Lokman dan Rabiatul di hadapan bangunan IDW Design & Build

 

“Semuanya bermula ketika kami berusia 21 tahun. Kami berdua menubuhkan syarikat pembinaan dan reka bentuk dalaman IDW Design & Build Sdn Bhd pada tahun 2007, setepatnya selepas menamatkan pengajian dalam Diploma Reka Bentuk Dalaman di UiTM Shah Alam.” Lokman Hakim

Lebih dari sekadar teman hidup, Lokman dan Rabiatul juga merupakan rakan kongsi yang sama-sama memerah idea dan keringat membangunkan IDW.

“Alhamdulillah dengan izin Allah, kami mampu berkembang pesat sewaktu pandemik. Bangunan kedai ini dibeli pada April 2020 dan kami mula berpindah pada tahun 2021.

Daripada berbelas-belas orang pekerja, sekarang dah meningkat jadi 60 orang. Asbab pandemik, revenue meningkat dan syarikat membesar tiga kali ganda.

Namun mengendalikan bisnes pada waktu itu memang mencabar. Mujurlah kami dah buat persiapan mental menghadapi kemelesetan sejak tahun 2018-2019, cuma saja kita tak tahu apa bentuknya. Tiba-tiba, wabak COVID-19 menular.” Rabiatul

Berkat Jaga Hubungan Dengan Allah, Ibu Bapa – Waktu Gawat Pun Pengasas IDW Design & Build Murah Rezeki, Sedekah No. 1!
Lokman menyifatkan Rabiatul sebagai pasangan hidup yang paling serasi

 

Tambah pasangan ini lagi, bayangkan setiap hari mereka adakan mesyuarat Zoom semasa PKP berkuat kuasa.

“Kami berbincang sesama team, pendek kata waktu ni semua orang ikhtiar buat sales.

Masing-masing akan hubungi klien dan berinteraksi dengan prospek pelanggan yang bertanya soalan di media sosial. Kami juga aktif di Instagram dan banyak adakan sesi Live dengan selebriti.

Masa itu juga kami terbitkan sebuah buku kompilasi – IDW Design Collections – yang mengumpul lebih 200 rekaan dalaman dan dekorasi untuk inspirasi pembaca.

Banyak karya IDW dari projek terdahulu yang boleh dimuat turun, sekaligus memudahkan mereka yang ingin menghias rumah untuk berurusan dengan kontraktor.” Lokman Hakim

 

Tonton video temu bual eksklusif Majalah Nona bersama penerima anugerah Nona Best Interior Designer ini…

 

FOKUS

Tambah Lokman, beliau banyak membuat forensik terhadap kejayaan syarikat-syarikat gergasi yang berjaya melalui saat sukar recession.

Segala fokus dan tenaga ditumpukan ke arah cara untuk memajukan lagi perniagaan serta tidak panik dengan ujian yang diturunkan-Nya.

“Dalam keadaan gawat, kes COVID-19 meningkat dan seluruh ekonomi lumpuh, rutin harian kami boleh dikatakan sangat padat. Setiap hari kami bangun jam 4 pagi, baca Yassin dan buat sesi ‘morning booster’ dengan mentor.

Kami senaraikan rancangan 5, 10 dan 15 tahun akan datang supaya tetap fokus dan tidak tergugat dengan krisis kesihatan yang meruncing waktu tu.

Saya sentiasa pegang satu pesanan. Sebagai orang Islam, jagalah hubungan kita dengan tiga perkara, iaitu dengan Allah SWT, ibu bapa dan orang sekeliling.

Berkat Jaga Hubungan Dengan Allah, Ibu Bapa – Waktu Gawat Pun Pengasas IDW Design & Build Murah Rezeki, Sedekah No. 1!
Karakter Lokman Hakim menjadi pemacu kejayaan IDW

 

Lagi ‘kuat kabel’ kita dengan mereka, lagi banyak rezeki Allah bagi dalam bentuk yang tak disangka-sangka.

Saya juga banyak belajar supaya memaafkan. Jangan menghukum walaupun teraniaya. Sebenarnya lagi cepat kita maafkan orang, lagi cepat Allah akan tolong kita.” Lokman Hakim

Sebagai anak bongsu, Lokman diasuh dari kecil supaya banyak bersabar, mengamalkan slow talk dan sentiasa berurusan secara bijak dalam pelbagai perkara.

Sifat dan tingkah laku lelaki hebat ini diakui sendiri oleh Rabiatul yang sedari sejak awal lagi menjadi pendengar setia.

Berkat Jaga Hubungan Dengan Allah, Ibu Bapa – Waktu Gawat Pun Pengasas IDW Design & Build Murah Rezeki, Sedekah No. 1!

 

Berkat Jaga Hubungan Dengan Allah, Ibu Bapa – Waktu Gawat Pun Pengasas IDW Design & Build Murah Rezeki, Sedekah No. 1!

 

“Sebenarnya ada banyak ciri-ciri kepimpinan dalam diri Lokman. Tapi sebagai isteri, saya yakin rahsia kejayaan kami terletak pada diri dia sendiri yang sangat taat pada ibu bapa.

Keberkatan dan keuntungan daripada sifat taat itu terlihat apabila banyak rancangan kami menjadi. Selain itu, dia juga seorang yang sangat persistent. Apa yang dia nak, dia akan dapatkan.

Sebagai pasangan, Lokman adalah seorang bapa dan suami yang sangat penyayang. Bagi saya, dia di pejabat adalah ketua, di luar sebagai kawan dan di rumah sebagai suami.”

Ceritanya lagi, perkhidmatan IDW tidak terhad sekadar mereka hias kediaman semata-mata, tapi meliputi projek resort, pejabat dan institusi pengajian.

Saya dan Lokman sentiasa menanam collaborative mindset. Kami sama-sama buang ego ketika bekerja. Dalam mesyuarat, kami adalah rakan sepasukan yang profesional dan jika berlaku masalah, kami adakan brainstorming untuk memikirkan jalan penyelesaian. Bukan sebaliknya. Cara berkomunikasi tu sangat penting bagi mencapai tujuan utama.”

Tak terbawa-bawa urusan kerja ke rumah? Tanya penulis... “Bukan di rumah je, ke mana-mana pun tetap terbawa-bawa!” seloroh Rabiatul dan Lokman yang sama-sama meminati dunia rekaan.

IKLAN

Berkat Jaga Hubungan Dengan Allah, Ibu Bapa – Waktu Gawat Pun Pengasas IDW Design & Build Murah Rezeki, Sedekah No. 1!

 

BERI MANFAAT

Meninjau dekorasi kamar pejabat Lokman dan Rabiatul, setiap satunya mencetus sensasi nyaman yang berbeza.

Suasana yang out of the ordinary, berbau harum dan terhias indah bagai membias personaliti kreatif mereka. Gantungan lukisan, lampu gantung dan permaidani abstrak memancing pandangan dengan penuh keasyikan.

Kala diamati, jiwa Pengarah Urusan IDW ini nyata mewah dengan seni. Sambung Lokman, “Asalnya sejak kecil lagi saya teringin nak jadi juruterbang. Tapi atas faktor kewangan dan latar belakang keluarga saya yang susah, minat itu terkubur saja.

Pernah juga saya ditawarkan jawatan sebagai tentera udara, tapi ibu pula tak izinkan.

Jadi saya beralih ke bidang interior design. Minat terhadap seni dekorasi mula menebal sejak saya mengambil Diploma, bertemu isteri, menubuhkan syarikat, berumah tangga, beranak-pinak dan kini kami berdua masih melanjutkan pengajian.

Dah 20 tahun, tapi minat terhadap seni halus ini tak pernah padam,” cerita Lokman yang sedang bertungkus-lumus menghabiskan pengajian PhD in Built Environment dan pernah bergelar pensyarah.

Banyak pencapaian hebat IDW Design & Build sepanjang 14 tahun ditubuhkan. Namun seperti peribahasa, yang bulat tidak datang bergolek, begitu jugalah banyaknya usaha serta ujian yang ditempuhi untuk mencapai kejayaan hari ini.

Berkat Jaga Hubungan Dengan Allah, Ibu Bapa – Waktu Gawat Pun Pengasas IDW Design & Build Murah Rezeki, Sedekah No. 1!

 

Pengalaman jatuh bangun syarikat mendewasakan mereka berdua, namun akhirnya dengan bantuan mentor yang tepat, perniagaan mereka kembali ‘memecut’ di atas landasan.

Bercakap tentang tokoh perniagaan yang disegani, Lokman bingkas memetik dua nama insan yang cukup dikaguminya. “Sudah tentu Tan Sri Syed Mokhtar AlBukhary dan Datuk Wira Dr Azizan Osman. Kedua-dua insan ini adalah pemimpin yang mementingkan dunia-akhirat serta banyak melakukan amal kebajikan.

Saya suka mengambil teladan dan inspirasi daripada buku-buku bibliografi mereka berdua. Sambil membaca sambil belajar cara berniaga. Teringat satu kisah tentang bagaimana Tan Sri Syed Mokhtar sangat dihormati di kampungnya.

Bayangkan kalau beliau balik kampung, kepulangan itu dianggap macam ‘lailatulqadar’ dek kerana sifat pemurah yang dimiliki! Atap yang bocor dibaiki, lantai yang roboh diganti. Begitulah sifat usahawan Melayu berjaya yang cukup saya kagumi.”

IKLAN
Berkat Jaga Hubungan Dengan Allah, Ibu Bapa – Waktu Gawat Pun Pengasas IDW Design & Build Murah Rezeki, Sedekah No. 1!
Lokman menjadikan sikap positif billionnaire, Tan Sri Syed Mokhtar sebagai inspirasi

 

Terkadang, suatu amalan kebaikan perlu disembunyikan dari pengetahuan orang. Ibarat datang, beri dan pulang. Tak perlu kamera atau pujian berjela.

Terkesima penulis mendengar sifat dermawan yang dimiliki Lokman, sungguh pada usia semuda ini, beliau tekun menyemai ladang pahala di akhirat sana!

“Sebenarnya saya amat jarang berkongsi hal ini. Urusan sedekah bukan untuk dizahirkan, apa lagi dijadikan modal marketing. Namun sebagai tanda IDW memberi semula kepada masyarakat, kami kerap juga menyalurkan bantuan kepada masjid-masjid dan surau di serata negeri.

Tapi saya paling suka membiaya pengajian anak-anak yang memerlukan, supaya ilmu itu berpanjangan sampai ke generasi akan datang.”

 

IMPIAN

Tekad untuk menjadikan IDW Design & Build sebagai satu-satunya syarikat bumiputera di Malaysia yang menjadi pilihan pelanggan, Lokman dan Rabiatul gigih membuktikan keupayaan mereka setiap kali menguruskan projek.

“Tak dinafikan wujudnya stigma negatif dari dulu lagi. Sewaktu kami mula-mula bisnes, ramai yang memperlekehkan kerja orang Melayu yang dikatakan tak setanding bangsa lain.

Inilah yang kami cuba ubah dalam industri, dapatkan semula kepercayaan bahawa hasil kerja Bumiputera juga sebenarnya sangat bagus dan berkualiti tinggi.”

Jadi klien kena sediakan bajet kayangan? Usik penulis disambut senyuman Rabiatul. “Tak juga. Sebenarnya IDW dipecahkan kepada dua – craftmanship level atau yang disebut BESPOKE, dan satu lagi DREAMHOME iaitu sentuhan pereka hiasan dalaman untuk semua jenis rumah.

Kami gunakan prinsip syarikat penapis air Coway iaitu mampu milik untuk semua orang. Semua mampu upah IDW untuk mengindahkan kediaman masing-masing. Rabiatul Adawiyah

Berkat Jaga Hubungan Dengan Allah, Ibu Bapa – Waktu Gawat Pun Pengasas IDW Design & Build Murah Rezeki, Sedekah No. 1!

 

Menjadikan hobi melancong sebagai cara mengeratkan hubungan, pasangan merpati dua sejoli yang berumah tangga sejak 2012 ini kerap menghabiskan masa setiap hujung minggu untuk berjalan ke merata tempat. Terbaharu, mereka mengambil peluang terbang ke Dubai untuk meninjau kepesatan dunia rekaan dan dekorasi di Timur Tengah.

“Ya, sebagai designer kami berdua mesti selalu mengambil tahu perkembangan seni dunia. Inspirasi dari tempat-tempat yang dilawati menjadi karya terindah di IDW.

Kesempatan ini juga dapat membuka fikiran kami sambil berehat seketika dari kesibukan kerja.” Lokman Hakim

Sebagai penerima Nona Best Interior Designer Award dan Nona Best Men’s Innovative Interior Designer Award dalam acara Nona Superhero Award, pengiktirafan yang diberikan kepada Lokman Hakim dilihat amat tepat pada masanya.

Berkat Jaga Hubungan Dengan Allah, Ibu Bapa – Waktu Gawat Pun Pengasas IDW Design & Build Murah Rezeki, Sedekah No. 1!

 

Seorang lelaki berwawasan tinggi dan berada di kemuncak kerjaya, figura bapa kepada tiga cahaya mata ini amat sesuai mewakili generasi lelaki Alpha yang bijak, cekal, berjiwa pemimpin dan pandai mengimbangi kehidupan secara holistik.

 

Penulis & Penyelaras: Norzalina Mohd Alias
Arahan Seni: Kiffy Razak
Foto: Sharinizam Othman
Solekan: Norezz Idris

 

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI