Masih ingat lagi, detik bersejarah bagi negara apabila skuad bola jaring Malaysia berjaya merangkul pingat emas di saingan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017). Ketika itu pasukan negara berjaya menewaskan musuh tradisi, Singapura sekaligus menamatkan kemarau pingat emas selama 16 tahun sewaktu Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA pada 2011.
Nurfariha Abdul Razak, pemain di posisi tengah merupakan salah seorang penyumbang utama kejayaan itu.
Namanya menjadi sebutan setelah berjaya mengharumkan nama negara. Dikenali dengan panggilan Fariha Razak, gadis berusia 26 tahun ini merupakan penyampai berita sukan di Astro Arena.
Fariha bukan saja hebat di gelanggang sukan malah bijak akademik. Pada tahun 2019, graduan Sarjana Muda Pengurusan Teknologi, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor ini turut menerima Anugerah Cemerlang Pingat Emas Tun Fatimah Hj Hashim pada Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia ke-63. Lebih indah, saat itu Fariha menerima anugerah tersebut dari Tuanku Permaisuri Johor, DYMM Raja Zarith Sofiah binti Almarhum Sultan Idris Shah.
Ads
Menurut Fariha, ketika itu segala usaha dan pengorbanannya terbalas walau terpaksa menangguhkan pengajian selama setahun bagi mengikuti latihan menghadapi temasya Sukan SEA ke-29 pada tahun 2017. Namun segalanya berbaloi apabila pasukan mereka berjaya merangkul pingat emas dalam acara tersebut.
BAKAT ‘RARE’ Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Sultan Ibrahim, Johor serta Kolej Matrikulasi Pulau Pinang ini boleh dikatakan seorang yang serba boleh. Selain hebat di gelanggang, Fariha juga berbakat besar sebagai hos dan penyanyi.
Ads
Selain itu, Fariha juga pandai bermain gitar. Wow, hebatnya! Mengikat kontrak dengan sebuah syarikat label, Werkit Record, Fariha sudah pun mempunyai single berjudul Sama-Sama.
RAHSIA SIHAT & CANTIK Bergelar atlet semestinya Fariha sangat menitikberatkan soal penjagaan kesihatan dan kecergasan diri. Sebab itulah Fariha menyediakan satu ruang khas sebagai gimnasium mini di rumahnya. Bukan saja bergelar pemain bola jaring, Fariha juga sebenarnya ahli sukan silat olahraga dan pencinta sukan lasak.
Ads
Biarpun menjalani kehidupan yang aktif setiap hari tetapi Fariha juga gemar menjaga kecantikan dan menjaga penampilan. Tonton video ini bagi mengetahui rahsia sihat dan cantik Fariha sebagai seorang atlet:-
Di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Pokok pangkalnya kena kuat disiplin dan komited terhadap apa yang dilakukan. Mungkin ini yang tersemat di sanubari penyanyi yang bersuara lantang mengalunkan lagu Hello ini.
Awal tahun lalu, Adele membuat kejutan dengan penampilan terbaharunya yang lebih segar. Kini setelah setahun berlalu penampilannya semakin menawan dan membuat ramai wanita menjadikan Adele sebagai idola.
Adele bakal menyambut hari ulang tahun kelahirannya yang ke-33 pada 5 Mei akan datang. Ternyata, usia bukan penghalang untuk penyanyi yang pernah menggondol anugerah Grammy ini untuk menjalani gaya hidup sihat. Segala apa yang diamalkan oleh wanita ini telah memberi manfaat kepada dirinya sendiri.
Ini kerana suatu ketika dahulu, Adele adalah di antara selebriti Barat yang tidak hirau tentang komen terhadap penampilan dirinya. Berlandaskan misi mahu mengubah diri untuk kehidupan yang lebih sihat membuat Adele telah mengikuti sebuah program diet yang dikenali sebagai Sirtfood. Ada juga yang melaporkan bahawa Adele mula mengikuti program diet ini selepas bercerai dengan suaminya, Simon Konecki.
Tidak mustahil Diet Sirtfood ini mendapat carian ketujuh tertinggi google pada tahun 2019.
Apakah Diet Sirtfood
Diet Sirtfood ini telah diperkenalkan oleh dua orang Pakar Nutrisi, Aidan Goggins dan Glen Matten. Diet ini mengamalkan pemakanan berasaskan protein sayur-sayuran dan buah-buahan atau lebih dikenali dengan makanan yang kaya dengan ‘aktivator sirtuin seperti epal, beri biru dan minyak zaitun (extra virgin).
Rejim pemakanan diet jenis ini memerlukan pengamalnya makan hanya 1,000 kalori dalam sehari dan 2 jenis jus hijau. Diet Sirtfood ini dikatakan bukan sahaja boleh membantu sistem metabolisme tubuh tetapi berupaya menahan nafsu makan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sebut sahaja nama Sharifah Khasif pasti ramai yang terkenang kelunakan suaranya mengalunkan ayat-ayat suci Al-Quran.
Mula mewarnai pertandingan tilawah Al-Quran sejak berusia tujuh tahun dan dinobatkan sebagai Johan Tilawah Peringkat Kebangsaan 2008/2009, Sharifah Khasif atau nama sebenarnya Sharifah Khasif Fadzilah Syed Mohd Badiuzzaman sebenarnya pernah menjadi peserta Bintang RTM 1997! Tak sangka bukan?
Berulang kali Nona bertanyakan kebenaran cerita tersebut saat pertama kali mendengar pengakuan Sharifah Khasif. Dan setiap kali itu juga dia mengangguk-angguk kepala sambil tertawa. “Masa tu saya baru 17 tahun dan suka sangat nyanyi. Kalau tak silap masa uji bakat Bintang RTM 1997 di Ipoh.
Disebabkan masa tu saya baru memenangi tilawah yang pertama saya sertai di Perak dan menang, jadi ramai juga yang kenal saya. Lucunya masa itu, saya terpaksa masuk ikut pintu belakang.
Saya siap bawa lagu Dato’ Siti Nurhaliza, Badarsila sebab saya memang minat dengan lagu-lagu beliau. Akhirnya selepas melalui beberapa peringkat, saya dapat Top 10. Macam tak percaya pun ada, sebab daripada beratus-ratus yang datang ujibakat, saya antara yang terpilih.
Kemudian, penerbit program itu panggil untuk pergi ke peringkat seterusnya di RTM Angkasapuri, KL. Mereka sendiri pun ragu-ragu untuk ambil saya sebab tahu latar belakang saya sebelum ini. Tapi akhirnya, niat untuk bertanding bintang RTM terpaksa saya lupakan kerana beberapa sebab.”
Tambahnya lagi, arwah bapa iaitu Syed Mohd Badiuzzaman tidak melarang sebaliknya menyokong impian anak perempuan tunggalnya itu. “Walid support saya sebab dia pun peminat setia Tan Sri P. Ramlee. Malah masa saya kecil dulu, walid selalu ajar orang-orang muda main gitar, piano dan alat muzik lain.
Boleh dikatakan kami berasal dari keluarga berdarah seni dan walid memang seorang yang suka belajar banyak bahasa selain Arab.”
Biarpun tidak ‘diperkenankan’ untuk bertanding dalam nyanyian, Sharifah Khasif sekali lagi memenangi pertandingan tilawah Al-Quran peringkat Perak pada usia 18 tahun. Hasil kemenangan tersebut, dia membawa pulang hadiah menunaikan haji selain mendapat hadiah wang tunai berjumlah RM50,000.
Itu adalah kali pertama dia memegang wang sebegitu banyak pada usia yang masih muda. Seluruh wang kemenangan diberikan kepada bapa hingga mampu membeli sebuah kereta secara tunai.
“Orang yang jaga dan buat baik kepada mak bapa ini Allah bagi rezeki luar biasa. Walid memang sangat tegas dan garang dalam bab agama terutamanya Al-Quran. Tapi dia bukanlah guru agama cuma dia pernah menuntut belajar dengan 14 orang guru masa muda. Dia bekas kakitangan TNB dan begitu minat terhadap Al-Quran. Ibu saya pula suri rumah.
Bila menang tilawah peringkat kebangsaan, ramai yang datang ke rumah kami tapi mereka tak ingat nama saya. Orang akan cakap mana rumah yang anak dia menang pertandingan Al-Quran itu dan orang kampung nanti akan bawa tunjukkan rumah kami.
Saya ingat lagi waktu hendak balik daripada pertandingan. Ramai yang sudah tunggu kat airport untuk sambut saya. Paling tak sangka, kerajaan Perak bagi cuti sebab kemenangan itu. Saya diarak satu kampung sebab menang pertandingan,” ceritanya yang pernah memasang cita-cita bekerja di Bursa Malaysia dan menjadi Gabenor Bank Negara.
Ketika diminta mengulas tentang hijab, Sharifah Khasif menyifatkan ia satu kewajipan bagi Muslimah dan akan terus mendoakan golongan Muslimah hari ini terus diberikan hidayah untuk berbuat kebaikan.
“Benda kecil tapi sedikit dan kita istiqamah, Nabi suka. Jangan sampai tak buat langsung. Kalau hendak berhijab ini saya akui benda baik memang susah hendak ikut. Kebaikan itu bersifat memaksa. Kita kena telan semua ini sebab kalau tak paksa sampai ke sudah kita tak akan buat.
Saya tahu ada di kalangan wanita yang sudah bertudung tapi akhirnya tanggal. Itu maknanya Allah belum bagi hidayah kepada mereka. Hidayah milik Allah dan Dia boleh bagi kepada sesiapa saja yang diingini.
Begitu juga soal hafaz Al-Quran. Bukan semua orang boleh mudah menghafal, ada yang terpaksa ambil masa lama dan sebaliknya. Itu semua Allah hendak bagi kepada insan terpilih dan beri kepada mereka yang mencari.
Pilihlah jalan mana yang disuka. Saya sendiri diuji dengan kelebihan suara dan ada pilihan sama ada untuk menyanyi atau mengaji. Akhirnya, saya pilih untuk mengaji berbanding menyanyi.
Hendak masuk syurga ini tak senang dan ketahuilah syurga itu mahal. Kena bersusah-susah dulu di dunia, ikut semua suruhan Dia seperti bertudung, mengaji dan bersolat. Semoga Allah akan tetapkan hati kita semua, insyaAllah.”
Bercakap tentang Al-Quran ini, Nona juga berbesar hati ingin mengajak anda semua untuk bersama-sama menyertai kempen World #QuranHour dan Merdeka #QuranHour yang bakal diadakan pada tarikh 31 Ogos 2017 ini. Tujuannya hanya satu. Kita berhimpun demi membaca, memahami dan mengamalkan kitab suci ini dengan seluruh Muslimin dan Muslimat di seluruh dunia. Jom semua!
Bagi menyemarakkan kempen #QuranHour, mari dengarkan alunan bacaan suci Al-Quran daripada Sharifah Khasif ini buat anda semua. Suziana Abu Daud
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Di sebalik jenama terkenal Leeyanarahman, siapa yang tidak kenal dengan usahawan muda berusia 31 tahun, Nur Liyana Abdul Rahman atau lebih mesra dengan panggilan Yaana Lee ini. Tidak berseorangan menggemudi empayar perniagaan, Yaana Lee turut dibantu oleh suaminya, Muhammad Hafiz Abdul Hamid yang merupakan tulang belakang utama di sebalik jenama Leeyanarahman.
Bukan mudah menjadi seorang public figure apatah lagi dikenali dalam dunia perniagaan. Ada saja dugaan yang menerpa. Pantang silap sedikit pasti menjadi ‘buah mulut’ khususnya di kalangan warga maya (netizen). Antaranya isu fashion show dan rentas negeri. Pun begitu, bagi Yaan Lee dia punya alasan tersendiri pada setiap perkara yang dilakukan. Apa yang penting dia dan suami menyelesaikan setiap isu yang berbangkit secara profesional.
“Bercakap tentang dugaan memang tidak pernah habis. Saya sendiri tidak nafikan setiap tahun kami pasti akan berdepan dengan dugaan lebih-lebih lagi setiap kali menjelang musim perayaan. Seperti mana isu yang tular baru-baru ini tentang fashion show Leeyanarahman sehingga dikecam teruk oleh warganet. Majlis tersebut dikatakan gagal mengikut SOP seperti mana ditetapkan.
“Sejujurnya perkara ini berlaku di luar jangkaan. Sebagai manusia biasa adakalanya kita akan terlepas pandang dan di luar kawalan kami. Namun saya sendiri tidak ambil mudah dan bertanggungjawab atas apa yang berlaku. Bohonglah kalau tidak rasa tertekan. Saya ambil masa dalam beberapa hari untuk bertenang dan berfikir. Kemudian saya da suami sepakat untuk membuat permohonan maaf secara terbuka kerana itulah yang terbaik demi menjernihkan keadaan. Alhamdulillah isu tersebut beransur reda.
Saya ambil pengajaran dan sedar bahawa dalam berniaga kita perlu bersikap profesional. Di samping itu, kita juga perlu ada sikap realistik iaitu jujur dengan setiap keputusan yang bakal dibuat. Sentiasa berpijak di bumi yang nyata dan memandang kepada keadaan semasa.
BISNES
Mula menerajui dunia perniagaan pada usia 23 tahun bukan satu perkara yang mudah. Apatah lagi ketika itu masing-masing mempunyai komitmen sebagai pelajar di salah sebuah universiti tempatan. Pun begitu, kerana minat dalam dunia perniagaan kedua-duanya dapat menyeimbangkan komitmen sebagai pelajar dan usahawan dengan baik. Impian bergelar graduan ijazah sarjana muda dalam bidang kewangan serta usahawan sukses berjalan seiring.
“Kami memulakan perniagaan sekitar tahun 2012 secara online. Ketika itu kami sedang menuntut di universiti yang sama dan belum bergelar suami isteri. Permulaannya agak mencabar juga kerana perlu seimbangkan antara belajar dan berniaga. Namun kami anggap cabaran itu sebagai pembakar semangat untuk lebih berjaya.
Segalanya bermula apabila saya mereka busana hari raya yang saya reka dan jahit sendiri, kemudian memuat naik gambar busana tersebut di laman sosial. Tidak sangka pula ramai yang bertanya dari mana saya membelinya. Dari situlah terdetik untuk mengeluarkan modal bagi menghasilkan busana untuk dijual. Modal yang kami keluarkan berjumlah RM1500 dan kami berjaya menghasilkan 14 helai busana.
Alhamdulillah semuanya laris dijual dalam masa sejam sahaja. Dari keuntungan tersebut kami menggandakan jumlah busana yang dihasilkan sedikit demi sedikit bermula dari 14 kepada 28. Kemudian menjadi 36 helai sehinggalah kami mampu menjual dalam skala yang besar. Selepas itu kami menghentikan rekaan tersebut dan bermula lebih serius dalam menghasilkan rekaan busana yang lain,” kongsi ibu kepada Tyara Luthfia yang kini berusia dua tahun.
Menurutnya, dia dan suami menggunakan duit pinjaman PTPTN sebagai modal permulaan. Berkat kesungguhan mereka akhirnya jenama Leeyanarahman semakin terkenal.
Pada tahun 2014 pasangan ini mendirikan rumahtangga sekaligus memudahkan lagi urusan mereka dalam perniagaan. Langkah menjadi lebih jauh terutama atas urusan kerja. Dua bulan berkahwin mereka membuka sebuah butik fizikal di Bangi Sental. Bermula hanya berada di tingkat satu, setahun kemudiannya mereka berjaya memiliki bangunan sendiri setinggi lima tingkat atas nama Leeyanarahman.
KESAN PANDEMIK COVID-19
Langit tidak selalunya cerah. Begitulah juga dunia perniagaan, tidak selamanya indah belaka. Ada onak dan duri yang harus ditempuh. Pandemik COVID-19 telah menjadi cabaran utama ketika ini khususnya terhadap ekonomi dunia. Segalanya berubah secara total sehinggalah tercetusnya norma baharu.
Jenama Leeyanarahman turut merasai impaknya sehingga Yaana Lee terpaksa menutup butik fizikalnya dan hanya memberi tumpuan terhadap perniagaan online. Pun begitu, di sebalik apa yang berlaku pasti ada hikmahnya.
“Tidak dinafikan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama dahulu ia benar-benar memberi tamparan hebat terhadap jenama Leeyanarahman. Impaknya sangat besar sehinggalah kami terpaksa menutup butik fizikal. Kini kami hanya memfokuskan kepada perniagaan online sahaja. Insha-Allah, andai pandemik ini berakhir kelak kami mungkin akan membuka semula butik tersebut.
Kesan lain ialah impian kami untuk membuka butik di Jakarta pada tahun lalu terpaksa ditangguhkan gara-gara COVID-19. Permintaan sangat tinggi di Indonesia, itulah salah satu punca kami berhasrat untuk membuka butik di sana. Namun belum ada rezeki lagi buat masa ini. Semoga pandemik ini segera berakhir dan dapatlah kami meneruskan impian yang masih belum tercapai ini.
Apa pun kami tetap bersyukur kerana sejak memperkukuhkan perniagaan online, kami dapat membantu ramai orang terutama yang hilang pekerjaan. Antaranya dengan menawarkan untuk menjadi reseller dan personal shopper Leeyanarahman. Kami turut membuka peluang kepada mereka untuk menyertai program Usahawanita Leeyanarahman. Untuk program ini mereka hanya perlu membayar yuran pendaftaran sebanyak RM50 dan dapat menjana pendapatan sampingan serta diberikan komisyen.
NASIHAT BUAT USAHAWAN
Prinsip saya, semua orang boleh berniaga pakaian tetapi pentingnya ada minat. Kalau ada kemahiran menjahit itu satu bonus. Selain itu, kalau berniaga pakaian perlu ada identiti sendiri contohnya menghasilkan rekaan yang unik dan tersendiri. Saya sendiri ada kemahiran menjahit maka saya akan buat semuanya sendiri bermula dari melukis, menghasilkan embroidery dan sebagainya. Idea baru, ada identiti sendiri. Orang boleh ceduk rekaan kami tetapi mereka tidak boleh tahu idea-idea baru yang bakal menyusul.
Semua koleksi Leeyanarahman adalah ready-made dan custom made. Walaupun ketika ini keadaan ekonomi sangat mencabar namun alhamdulillah sambutan yang kami terima sangat bagus lebih-lebih lagi menjelang musim perayaan.
Bagi mereka yang berhasrat untuk memulakan perniagaan, perkara paling utama ialah minat atau fokus. Ini kerana ianya akan memudahkan perjalanan perniagaan kita di kemudian hari. Jangan sekadar mengikut trend atau terpengaruh dengan yang indah-indah sahaja kerana bimbang perniagaan anda itu tidak kekal lama. Bila ada minat, walau sebesar mana pun cabaran yang datang kita pasti kuat menghadapinya kerana kita ada matlamat yang jelas.
Sebab itulah minat saya terhadap fesyen tidak pernah pudar walau apa pun cabaran datang termasuk kecaman-kecaman dari luar. Sejujurnya, apabila kita berada di atas tidak semua senang melihat kita berjaya. Namun, itulah sebenarnya yang menjadikan saya dan suami lebih kuat dan bersemangat,” akhiri Yaana Lee yang sentiasa turun padang bersama team Leeyanarahman dalam setiap urusan perniagaan. Jelas membuktikan bahawa dia seorang ketua yang sentiasa ambil tahu akan kebajikan staf.
Selain fesyen, Yaana Lee turut mengusahakan 2 lagi jenama miliknya yang masih baharu iaitu Ynalee Beaute dan Tepung Pengaseh.
Kredit Foto: Instagram @yaana.lee
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Idy Chan kembali mencuri perhatian pada usia 66 tahun apabila penampilannya yang anggun dan awet muda tular di media sosial. Ketahui kisah pelakon ikonik Bibi Lung yang memilih kehidupan sederhana selepas bersara.