
Bonda Rozita Ibrahim sekali lagi meraih perhatian ramai apabila tampil bahagia bersama suami tercinta, Aidiamin Ahmad dalam satu perkongsian yang menyentuh hati.
Kisah cinta mereka yang tenang, matang dan penuh kesetiaan nyata membuat ramai tersentuh, apatah lagi apabila usahawan JRM Holistik dan resort Rumah Hutan Bonda itu berkongsi makna sebenar cinta di hujung usia yang semakin mahal nilainya.
Meniti kisah percutian pasangan suami isteri tersebut yang kini sedang berada di London, keakraban mereka jelas bukan dibuat-buat. Ramah dan sering usik-mengusik, seronok betul dengar celoteh Bonda Rozita dengan suami tercinta. Macam kawan-kawan!
Beli periuk Le Creuset sampai duduk bersila, si suami pula rajin melayan hobi isteri yang teruja jumpa periuk murah.



“Memang kami dua orang ni kepala masuk air sikit. Sama-sama suka bunga, suka deco rumah, suka benda cantik-cantik.”
Turut dikongsikan, foto terbaru Bonda Rozita bersama suami tercinta, Aidiamin Ahmad, 50 tahun. Wajah mereka tenang, matang dan penuh bahagia. Lebih mencuri perhatian, penampilan Bonda Rozita langsung tidak menggambarkan usianya yang sudah mencecah 61 tahun.
Kulit berseri, senyuman manis dan aura lembutnya membuatkan ramai menyangka beliau masih dalam lingkungan usia 40-an. Namun di sebalik kecantikan yang dikagumi ramai, tersimpan kisah tentang cinta yang dibina dengan penuh kesedaran, persahabatan dan ketenangan jiwa.

Bonda Rozita Ibrahim Kongsi Makna Cinta Usia Matang
Menerusi satu perkongsian yang menyentuh hati di media sosial, Bonda Rozita berkongsi tentang makna cinta pada usia matang. Kata-katanya sederhana tetapi penuh makna mendalam, membuat ramai tersentuh membaca setiap bait luahan tersebut.
“Bila dah berusia ni… kami kawan sembang dan bercerita .. cinta kita sebenarnya dah tak sama macam orang muda.”
Bagi Bonda Rozita, cinta usia emas bukan lagi tentang romantik berlebihan atau kemanisan seperti dalam drama televisyen. Sebaliknya, kebahagiaan sebenar hadir melalui perkara-perkara kecil yang dilakukan bersama.
“Tapi ayah selamba je dia kalau masih boleh makan bersama, jalan bersama, travel bersama, buat kerja sama-sama, dan gelak benda kecil bersama… Ha… itu bahagia yang mahal.”
Barangkali itulah definisi cinta yang paling ramai impikan apabila usia semakin meningkat. Tidak perlu terlalu banyak kata manis, cukup sekadar seseorang yang setia menemani hari-hari tua dengan tenang dan ikhlas.

Hubungan Dibina Atas Persahabatan Yang Kukuh
Apa yang lebih indah, hubungan mereka jelas dibina atas persahabatan yang kukuh. Mereka bukan sahaja pasangan hidup, tetapi menjadi tempat bergantung, teman berbual dan sahabat paling rapat antara satu sama lain.
“Bila dah tua ni, pasangan bukan sekadar suami isteri… dia dah jadi sahabat, tempat mengadu, partner gaduh, tukang bebel dan tukang gelak… sekali pakej.”
Perkongsian tersebut turut membuka mata ramai bahawa cinta selepas usia 50 dan 60-an sebenarnya sangat berbeza. Ia bukan lagi tentang siapa paling romantik, tetapi siapa yang masih memilih untuk kekal bersama ketika tubuh semakin lelah dan dunia semakin perlahan.
“Bila umur makin meningkat, cinta bukan lagi tentang ayat romantik semata-mata… Tapi rasa tenang bila dia ada di sebelah.”
Malah, Bonda Rozita mengakui bukan mudah untuk mengekalkan rasa cinta apabila usia semakin meningkat. Namun apabila seseorang itu masih menjadi individu paling seronok untuk dibawa berjalan, berbual dan ketawa bersama, itulah cinta sebenar yang sangat bernilai.

“Ramai orang hidup bersama… tapi tak semua masih benar-benar bersama dalam hati.”
Kejayaan Bonda Rozita Ibrahim Jadi Inspirasi Ramai Wanita
Di sebalik kisah cinta yang menginspirasikan ini, Bonda Rozita juga dikenali sebagai antara figura usahawan wanita berjaya yang sangat dihormati ramai. Pengasas jenama Sendayu Tinggi itu membina empayar perniagaan hasil kerja keras bertahun-tahun, selain terkenal dengan disiplin, ketabahan dan jiwa keibuannya yang kuat.
Lebih membanggakan, kejayaan tersebut turut diwarisi anak-anaknya iaitu Datin Yatie Kamarzaman dan Dato’ Sri Aliff Syukri. Hubungan kekeluargaan mereka sering menjadi perhatian kerana penuh kasih sayang, hormat dan saling menyokong antara satu sama lain.
Bagi ramai wanita, kisah hidup Bonda Rozita Ibrahim membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk terus bahagia, dicintai dan menikmati kehidupan yang tenang. Malah semakin meningkat usia, semakin mahal nilai sebuah hubungan yang dipenuhi kesetiaan dan rasa syukur.
Cinta Di Hujung Senja Yang Menyentuh Hati
Perkongsian beliau juga seolah-olah menjadi peringatan lembut buat pasangan muda bahawa cinta sebenar bukan hanya tentang fasa awal yang penuh bunga-bunga, tetapi tentang siapa yang masih memilih untuk duduk semeja menikmati kopi bersama selepas puluhan tahun berlalu.
“Kadang tengok orang muda bercinta, kita senyum je Dalam hati cakap, Dik… nanti bila sampai usia macam kami, dan masih mampu ketawa sama-sama… barulah tahu nikmat cinta yang warga emas.”

Dan mungkin benar kata Bonda Rozita, cinta paling mahal bukan lagi tentang hadiah mewah atau ayat romantik setiap hari. Tetapi tentang seorang insan yang masih setia menemani hingga ke hujung senja kehidupan.
Kisah Bonda Rozita Ibrahim dan Aidiamin Ahmad ini turut membuat ramai tersentuh kerana ia menggambarkan realiti sebenar sebuah hubungan matang. Dalam dunia yang semakin sibuk dan penuh cabaran, masih wujud pasangan yang memilih untuk terus menghargai kebersamaan walaupun usia semakin meningkat.
Hakikatnya, ramai yang mendambakan hubungan seperti ini. Hubungan yang tidak terlalu bergantung kepada kemewahan atau perhatian berlebihan, tetapi cukup dengan kehadiran seseorang yang memahami dan sentiasa ada di sisi dalam apa juga keadaan.
Cinta seperti inilah yang sering dianggap paling mahal nilainya. Ia lahir daripada kesabaran, pengalaman hidup dan rasa syukur kerana masih diberi peluang menikmati hari-hari bersama insan tersayang.
Artikel berkaitan: Ibu Daiyan Trisha, Dr Samsiah Mohd Nor Novelis Hebat & Bekas Guru
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!





