Kagum dengan semangat anak muda ini. Walau sudah mempunyai kerjaya yang menjamin masa depan namun tetap rajin berusaha mencari kemahiran dan menambah pendapatan. Tekad menjadi wanita yang serba boleh dan mahu menjadi inspirasi kepada keluarga serta masyarakat, keberanian Nur Atiqah Rozali mencabar potensi diri untuk bergelar ahli perniagaan patut diberikan pujian.
Meniti usia 31 tahun, Nur Atiqah atau mesra disapa Iqa dilahirkan pada 6 Mac 1990 di Kuala Lumpur. Anak sulung daripada tiga beradik dan satu-satunya anak perempuan dalam keluarga ini merupakan graduan Perguruan di Institut Perguruan Kampus Keningau, Sabah dan ibu kepada dua cahaya mata.
“Saya berasal dari Batu Pahat, Johor. Bersekolah rendah dan menengah di daerah Parit Sulong, Johor kemudian melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Perguruan. Saya bukan berasal dari keluarga yang senang. Ibu bapa berniaga secara kecil-kecilan untuk menyara kami sekeluarga. Dari berniaga kain untuk buat baju, sampai jual produk kesihatan pun mak ayah buat.
Sebagai anak sulung dalam keluarga, saya cuba sedikit sebanyak untuk membantu mereka. Alhamdulillah, sekarang saya bekerja sebagai pendidik yang mengajar subjek Bahasa Melayu dan Sejarah di salah sebuah sekolah di daerah Yong Peng dan telah berkhidmat selama 7 tahun. Suami pula kerja sebagai pegawai perubatan di Klinik Kesihatan Yong Peng dan kami dikurniakan dua cahaya mata iaitu Nur Ameena Humaira dan Norameen Mukmin.”
Mengimbau perjalanan awal sebagai pengusaha kolam ternakan ikan, Iqa mengakui tidak pernah terlintas untuk menjadi usahawan akuakultur. Segalanya bermula selepas kedua-dua ibu bapa berpisah dan membuatkan dia lebih tabah mendepani masa depan demi keluarga tersayang.
“Idea untuk jadi usahawan tercetus pada tahun 2019. Waktu itu ibu berpindah ke Negeri Sembilan selepas berpisah dengan ayah. Di sini bermulalah titik kesedihan buat kami adik-beradik. Namun, kami perlu terima dan reda dengan perancangan Allah SWT.
Dari situ timbul hasrat untuk saya bantu ibu dengan mengusahakan tanah pusaka miliknya yang telah lama terbiar. Terdetik untuk berbakti kepada tanah dan saya buat keputusan tersebut atas faktor geografi yang menarik dan bersesuaian.
Ads
Maka tercetuslah idea untuk memulakan bidang akuakultur ini. Tak lupa juga, galakan daripada suami dan ibu yang menjadi faktor utama saya menceburi bidang ini,” telus isteri Noralim Azhim ini.
Menjadikan Saidatina Khadijah Khuwailid sebagai sumber inspirasi dalam perniagaan, Iqa cukup bersemangat mendalami selok-belok dunia akuakultur walau tidak mempunyai pengetahuan yang luas mengenai bidang berkenaan.
“Banyak perkara yang boleh dipelajari tentang cara Khadijah berniaga yang boleh dicontohi pada zaman moden ini. Beliau sangat bijak mengembangkan harta selain sangat pandai berniaga walaupun pada ketika itu, masyarakat Arab memandang rendah pada kaum wanita yang berniaga.
Begitu juga pada zaman ini, wanita perlu berani mencuba dan bersaing dengan golongan lelaki. Pada zaman moden ini, semua wanita yang berjaya telah menjadi sumber inspirasi buat saya. Ramai wanita di luar sana yang saya kagumi dan ingin contohi keperibadian dan kehebatan mereka dalam perniagaan.”
Ads
Tambahnya lagi, “Tak dinafikan, dua bidang ini merupakan bidang yang berbeza. Saya beranggapan bahawa saya tidak boleh terlalu selesa dengan pencapaian yang ada. Menjadi guru merupakan profesion yang mulia di mana saya perlu sentiasa komited dalam mencurahkan ilmu kepada anak bangsa.
Saya amat menyayangi profesion perguruan ini dan dalam masa yang sama saya juga ingin menjadi guru yang mempunyai pelbagai kemahiran yang lain. Setiap orang berhak untuk belajar pelbagai bidang kemahiran, sama juga seperti saya yang ingin belajar dengan lebih mendalam lagi mengenai bidang akuakultur ini.
Saya juga menganggap bahawa bidang penternakan ikan merupakan ‘terapi diri’ di mana saya dapat mendekatkan diri dengan alam flora dan fauna. Selain ia juga membuahkan hasil suatu hari nanti. InshaAllah. Setiap orang mempunyai keupayaan dan kecenderungan yang tersendiri yang perlu kita cungkil untuk memperkasakan diri.”
Status guru dan peranan Iqa sebagai anak sulung dalam keluarga telah membentuk dirinya menjadi seorang wanita yang matang dan berfikiran jauh. Sedar risiko yang perlu dihadapi apabila menceburi bidang keusahawaan, Iqa tanpa berselindung mengakui berdepan dugaan sebaik mengusahakan kolam ternakan ikan.
Ads
“Dalam perniagaan sudah tentu ada cabaran tersendiri. Antara yang tidak dapat dilupakan apabila saya mengalami kerugian sewaktu proses menukar ikan ke dalam sangkar. Proses penukaran ini mengakibatkan ikan ‘stres’ dan banyak yang mati. Ini pengalaman baru buat saya.
Selain itu, situasi pandemik Covid-19 ini juga membataskan pergerakan saya untuk memantau perkembangan ternakan. Sepatutnya tiap minggu saya akan berulang alik dari Johor ke Negeri Sembilan untuk mengendalikan proses ternakan ini tapi saya tak dapat rentas negeri. Sudahnya, ibu yang terpaksa kawal selia,” dedah Iqa yang mengusahakan ternakan ikan di Linggi, Negeri Sembilan.
Bercerita mengenai impian yang diinginkan dalam tempoh 10 tahun akan datang, dengan nada semangat Iqa memberitahu, “Jujur saya katakan, saya masih belum berjaya dan masih jauh lagi perjalanan yang perlu saya tempuh. Banyak yang perlu dipelajari dan perbaiki dalam bidang ini. Tapi dalam masa 10 tahun akan datang, saya ingin memperluas lagi pasaran ikan tilapia ke seluruh Malaysia.
Buat masa sekrang, saya mensasarkan pasaran ke kawasan tempatan seperti di kedai-kedai makan, kedai runcit dan pasaraya terdekat. InshaAllah jika diizinkan saya ingin membuka dan memberi peluang pekerjaan kepada sesiapa sahaja yang berminat dalam penternakan ini. Terutamanya kaum wanita.
Dalam masa sama, membantu mereka yang memerlukan. Saya ingin terus berbakti kepada tanah milik Allah Yang Esa. Mungkin mencuba jadi petani yang berjaya pula.”
Semoga segala impian Iqa dipermudahkan kelak dan semangat ibu ini dapat dijadikan inspirasi kepada lebih ramai kaum wanita di luar sana.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Nama anak gadis ini mula menjadi sebutan di kalangan netizen apabila ibunya memuat naik salinan keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia yang mana Ayu Nazirah memperolehi keputusan cemerlang 9 A dalam peperiksaan tersebut. Bekas pelajar Sekolah Tun Fatimah ini menjadi perhatian kerana kedua ibu bapanya merupakan selebriti terkenal dan mempunyai cahaya mata yang cemerlang dalam bidang akademik.
Malah, kejayaan Ayu nazirah bukan sahaja pada peringkat Sijil Pelajaran malaysia, malah sejak di bangku sekolah rendah lagi puteri kepada komposer Mohd Faizal Maaz atau Ajai ini telah menunjukkan kecemerlangan dalam bidang akademik.
Menemani ibu tersayang untuk digandingkan dalam sesi fotografi baru-baru ini, ternyata gadia berusia 20 tahun ini mempunyai visi dan misi yang positif dalam mengejar cita-citanya. Pasti ramai yang ingin tahu apakah rahsia disebalik kejayaan pelajar dari Universiti Malaysia Sarawak atau UNIMAS ini.
“Saya enjoy dengan apa yang saya lakukan terutamanya bidang pengajian yang saya pilih. Saya juga seorang yang adventure dan suka mencuba perkara-perkara baharu dalam hidup. Saya suka mencabar diri. Motto hidup work hard, play hard menjadi pegangan saya dan ia menjadikan diri saya lebih berusaha untuk maju ke hadapan,” jelas gadis yang menjadikan Yuna dan Ellen Degeneres sebagai idolanya.
Ayu berkata sifat yang banyak diwarisi dari ibu tersayang menjadi pendorong utama untuk dirinya maju ke hadapan dalam apa jua yang dilakukannya. Pesanan mama serta kisah silam menjadi azimat untuk dirinya berjaya untuk melihat senyuman sentiasa di ukir di bibir si ibu tanda penuh kepuasan.
“Kata orang Ayu banyak mewarisi sikap integriti dan positif yang dimiliki oleh mama. Mama seorang yang sentiasa berfikiran positif dan tidak terlalu memikirkan masalah. Ayu banyak warisi sifat mama yang sayangkan haiwan dan gemar membantu golongan yang memerlukan bantuan. Mama galakkan ayu untuk menyertai kerja-kerja sukarelawan. Selain itu, Ayu banyak mewarisi sikap tidak mudah putus asa dan tidak mudah mengaku kalah. Itulah kekuatan yang ada pada mama, juga dalam diri Ayu,” ujar Ayu yang memilih melanjutkan pelajaran dalam bidang zoologi di UNIMAS Sarawak.
Jika si ibu berkata anak gadisnya sudah mula berjinak berkongsi alat solekan, pakaian dan sebagainya, sambil tersenyum manis Ayu Nazirah tidak menafikan gembira dapat berkongsi girl thing dengan mama tersayang.
“Sudah tentu sebagai gadis remaja saya sukakan sesuatu yang cantik. Bidang fesyen dan industri hiburan sudah menjadi sebahagian dari kehidupan yang saya lalui. Sudah tentu mama adalah idola Ayu dalam berfesyen selain saya suka melihat gaya yang ditampilkan oleh Ning Baizura, Rihanna, Pink, Kelly Clarkson dan Zendaya,” ujar Ayu Nazirah lagi.
Tidak sah jika tidak mengajukan persoalan mengenai aktiviti kegemaran kedua beranak ini. Ayu sama seperti anak gadis lain yang gemar merakamkan gambar kenangan dan mama tersayang sering ‘sekepala’ mengikut kegemaran anak tersayang.
“Banyak perkara yang Ayu dan mama lakukan bersama. Kami beruda suka bergambar atau ‘wefie’ Lihat sahaja post di laman Instagram mama mahupun Ayu, pasti ada gambar kami lagak model,” ujar Ayu sambil diikuti gelak tawa bari ibu tersayang.
Sebelum mengakhiri perbualan, Ayu berkata sifat ibunya yang sering menasihati serta memberi motivasi terhadap dirinya menjadi pemacu dirinya untuk berjaya di masa hadapan.
“Mama selalu berpesan usah mudah putus asa dalam mengejar impian dan berfikiran positif dalam apa jua perkara walaupun terhadap halangan untuk mencapainya. Sokongan dan dorongan keluarga menjadikan diri Ayu hari ini dan Ayu amat bersyukur diberikan keluarga yang bermotivasi tinggi,” ujar Ayu menutup perbualan dengan penuh rasa sayang terhadap mama tersayang.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Penerbit yang juga CEO Pencil Pictures Records, Datuk Normashayu Puteh seorang yang sangat merendah diri. Biarpun ada segala-galanya namun beliau tidak pernah menganggap dirinya ‘hebat’ sebaliknya jiwa prihatin yang dimiliki mencerminkan keperibadiannya yang sebenar.
Seronok mendengar perkongsian tentang kerja-kerja kebajikan ibu anak 5 berusia 46 tahun ini. Segalanya atas inisiatif sendiri sambil dibantu anak-anak. Bangga sangat dengan Datuk Ayu kerana selain bergelar isteri, ibu serta penerbit, beliau masih berkesempatan turun padang dalam urusan kebajikan. Beliau juga merupakan pengasas sebuah sekolah tahfiz.
KEKUATAN
“Perlu ada mindset yang betul bagaimana untuk bahagikan setiap rutin tugasan. Tetapi niat untuk buat kerja-kerja kebajikan tu memang sentiasa ada. Cuma dari segi masa, mungkin dalam seminggu tu 2 atau 3 kali.
Semangat tu datang dari apa yang didengar melalui apa yang disampaikan oleh Ustaz dan Ustazah. Atau rakan-rakan yang selalu buat kebajikan, mereka cakap kalau kita nak tenang hati kita selalulah bersedekah. Tak kira siapa dan bangsa apa asalkan kita niat nak bantu mereka. Secara tak langsung ia memberi kesan ke hati saya.
Memang tak semua orang terjentik hati untuk buat begitu tapi bila ianya sampai dan banyak dugaan yang Allah bagi pada kita seperti dalam rumahtangga, berniaga, kelakuan anak-anak, ahli keluarga dan sebagainya kita akan mula terfikir di mana silapnya. Hati jadi tak tenang.
Sebelum aktif dalam kebajikan, ada jugalah saya bantu rakan-rakan. Tetapi belum ada lagi yang DM (direct message) minta bantuan. Masa PKP pertama dulu ada 2-3 orang yang minta bantuan. Saya ada beri bantuan tetapi tidaklah expose. Lama-kelamaan bila mereka hantar gambar dan sebagainya kita jadi lebih bersemangat sebab nak bagi mereka senyum, dapat makan. Hati ni tenang sangat bila dapat bantu orang susah.
Semangat tu datang dari anak-anak dan ahli keluarga juga. Saya pernah merasa susah dari kecil sampai dewasa, jatuh bangun beberapa kali. Kereta berbulan-bulan tak bayar sampai kena tarik. Dengan susu anak tak cukup, lepas tu dengan nak sekolah lagi. Saya dah lalui semua tu. Inilah pencetus semangat saya untuk buat kebajikan.
Bersama anak perempuan, Wanna Ali.
Saya bergerak tanpa NGO, kumpulan atau mana-mana persatuan sukarela. Saya buat atas rasa ehsan tengok orang-orang susah, kerana pengalaman sendiri pernah merasa susah. Kita memberi bukan sebab nak tunjuk kita kaya, kita senang. Tapi sebab pernah merasa apa yang mereka rasa. Buat masa ni memang sendiri dengan anak-anak.
Saya juga merupakan penaung sekolah tahfiz di Kepong. Selalunya kami sering terima bantuan tetapi sejak PKP sekolah pun tak buka, saya bersama pihak tahfiz dan mudir mendapat dana sama ada daripada rakan-rakan atau jiran-jiran kami beli barang-barang keperluan asas dan bungkus. Kami pula yang memberi. Ketika mula-mula buka tahfiz tu banyak yang memberi. Dari tahfiz tu mana barang-barang asas tu kami bungkus dan berikan bantuan.
Dari situlah saya bermula dengan bergerak sendiri dan dibantu anak-anak. Alternatif kami sendiri. Buat Live di Instagram, Facebook bersama followers sambil ajak mereka sama-sama membantu ikut kemampuan masing-masing.
Momen paling terkesan, kisah seorang ibu tunggal anak 5. Kecil-kecil lagi anaknya. Rumah pula kosong tanpa perabot, televisyen dan sebagainya. Dengan keadaannya yang tak terurus, keperluan anak-anak seperti susu pun tiada buatkan saya rasa sangat sedih. Bila dia lihat barang di tangan saya matanya dah berair. Bagi saya dia bersyukur sebelum kita memberi. Mata dan wajahnya memberitahu bahawa dia sangat susah dan memerlukan. Momen ini beri saya semangat yang lebih kuat untuk membantu. Senyuman mereka tu dah memberi kepuasan buat saya.
KONGSI DI SOSIAL MEDIA
Sebab apa perlu ambil gambar tentang aktiviti kebajikan dan tunjuk di sosial media? Sebenarnya bukan untuk menunjuk-nunjuk. Buat kebajikan ni bukan mudah. Nak betul-betul ikhlas kena tanam dalam dada, jangan sampai nampak. Ibarat semut hitam di atas batu.
Tujuan saya kongsi di sosial media kerana ini satu amanah. Orang derma duit, hantar makanan pada kita jadi nak tunjuk kepada mereka bahawa bantuan itu sampai kepada yang sepatutnya. Selain itu, nak jentik hati orang-orang yang belum sedar bahawa banyak orang susah untuk dibantu. Sedikit pun tak mengapa asalkan terjentik hati tu. Jangan kita rasa tak cukup untuk memberi. Insha-Allah akan ada saja rezekinya nanti. Kita beri orang senang hati, kita pun senang. Rasa bersyukur sangat.”
Kredit Foto: Instagram @ayuputeh
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Genap usia 42 tahun pada 1 Julai lalu, Nana atau nama penuhnya Nurul Hana Che Mahazan meluahkan kesyukuran atas nikmat hidup yang masih dikecapinya hari ini dengan izin Allah SWT.
Memuat naik hantaran di Instagram peribadinya, Nana berkongsi detik manis sambutan ulang tahun kelahirannya bersama insan-insan tersayang termasuk suami dan anak-anak.
Menjengah ke ruangan komen, para pengikut dan rakan-rakan artis menitipkan ucapan serta doa buat Nana.
“Happiest birthday to you kakna!!! Semoga yang baik baik sahaja untuk kakna! Semoga panjang umur, murah rezeki, diberikan kesihatan yang baik, dipermudahkan segala urusan dan sentiasa dibawah lindungan Allah SWT!”
“Happy birthday kakak sayang. Moga diberi kesihatan yang baik dan dimurahkan rezeki dipermudahkan urusan dunia akhirat @nanamahazan”
“Happy birthday dik nana.. May Allah SWT bless you with highest jannatul firdaus, berlimpah ruah rezeki seperti air zam zam yang tak putus-putus.”
Didoakan semoga rezeki Nana terus mengalir, serta sukses dalam karier dan bisnes.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bayangkan daripada seorang wanita yang dilahirkan sempurna dan dikurniakan rupa paras cantik, bekas Ratu Cantik Colombia ini diuji hebat apabila terpaksa berdepan hakikat dirinya hilang sebelah kaki. Pastinya ia memberi tamparan besar buat Daniella Alvarez apatah lagi dengan statusnya sebagai ratu cantik.