Tugas sebagai Perdana Menteri bukan suatu tugas yang mudah. Perlantikannya pula melalui pilihan raya dan menjadi kuasa majoriti dalam parlimen sesebuah negara.
Wanita kelahiran Finland ini turut mencatat sejarah dunia apabila menjadi Perdana Menteri Termuda di dunia. Berusia 35 tahun, Sanna Marin berjaya mendapat kepercayaan rakyat Finland yang mempunyai populasi penduduk seramai 5.5 million.
Tanggal 10 Disember 2019 telah mencipta sejarah dalam hidup wanita yang diberi Sanna Marin ini apabila telah diberi tanggungjawab oleh rakyat Finland untuk memegang tampuk kerajaan. Wanita ini telah dilantik sebagai Perdana Menteri yang baharu menggantikan Antti Rinne yang telah meletakkan jawatan.
Perdana Menteri Finland, 35 (dua dari kanan), bersama Menteri Pendidikan, Li Andersson, 32 tahun, Menteri Kewangan, Katri Kulmuni, 32 tahun dan Minister of Interior, Maria Ohisalo, 34 tahun (kedudukan kiri ke kanan). Foto: Instagram @sannamarinFoto: Instagram @sannamarin
Perlantikan Sanna Marin ini secara tidak langsung telah merampas kedudukan Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern, 39 tahun, yang sebelum ini memegang status sebagai Perdana Menteri Termuda Dunia.
Wanita yang mempunyai pendidikan Sarjana Sains Pentadbiran dari University of Tampere ini mula menceburkan diri dalam politik Finland pada tahun 2006 menerusi Parti Demokratik Sosial dan seterusnya dilantik sebagai Menteri Pengangkutan & Komunikasi pada Jun lalu.
Mungkin sudah tertulis rezekinya, 6 hari sebelum menyambut hari jadi ke-34, wanita ini telah dilantik menjadi Perdana Menteri. Mungkin perlantikan ini merupakan hadiah terindah buat isteri kepada Markus Räikkönen ini.
Sebagai mewakili ahli politik generasi muda, Sanna Marin juga tidak terkecuali mempunyai akaun di media sosial. Mempunyai jumlah pengikut seramai 477 ribu orang, Sanna Marin sering berkongsi aktiviti sosialnya di laman Instagram.
Ibu kepada Emma Amalia Marin ini telah berkongsi perjalanan proses kehamilannya termasuk berkongsi foto sewaktu menyusukan anak.
Mungkin ahli politik generasi muda ini mahu menunjukkan bahawa sebagai seorang wanita yang bergelar isteri dan ibu tidak perlu ‘kalah’ dengan tanggungjawab di rumah. Setiap wanita mempunyai peluang untuk menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri.
Selain itu Perdana Menteri Finland ini juga turut berkongsi dengan umum percutain romantiknya bersama suami di Itali serta makan makanan kegemarannya seperti ais krim dan gula kapas.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Sempena bulan meraikan wanita-wanita hebat, Nona tertarik berkongsi aspirasi pemilik Angsa Emas Jewellery iaitu Normadora Mohd Nor. Berusia 35 tahun, wanita asal Kelantan itu juga merupakan ibu kepada tiga cahaya mata.
Tema Hari Wanita 2021 iaitu ‘Wanita Bangkit Mendepani Cabaran’ seperti menggambarkan karakter keusahawanan Normadora atau Edora ini. Bukan saja cantik dan bergaya tapi orangnya juga sangat merendah diri, lembut serta peramah hingga membuatkan sesiapa pun selesa mendampingi.
Membesar dalam keluarga berlatarkan bisnes, pemilik Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dari Universiti Utara Malaysia ini juga merupakan anak bongsu dalam tiga adik-beradik. Dari hanya satu cawangan Angsa Emas Jewellery di Bangi, kini Edora berjaya membuka dua cawangan lagi di Wangsa Maju dan Shah Alam.
Persalinan serba putih menyerlahkan kecantikan Edora
Minat terhadap fesyen barangan kemas mendorong beliau membuka Angsa Emas Jewellery
Matlamat membeli emas kebiasaannya tergantung niat mahu melabur untuk simpanan atau melabur dan dijadikan barang perhiasan. Bagi majoriti wanita, lumrah jiwa kita yang menyukai keindahan pastinya lebih terarah membeli emas di kedai barangan kemas.
Ajnas perhiasan barangan kemas Angsa Emas direka berinspirasikan motif bangle atau charms terkemuka, misalnya gelang Alhambra dan Tiffany T yang diminati ramai. Hasil ketukangan tangan yang teliti, pilihan rekaan yang sentiasa membuat pelanggan rambang mata serta servis terbaik menambah keistimewaan jenama tersebut.
Amboi, bukan main cantik lagi koleksi barangan kemas Angsa Emas Jewellery ni. Patutlah setiap kali keluar saja rekaan baru, pelanggan setia dah berderet-deret menunggu. Sanggup queue panjang kalau tak mahu kehabisan.
Rahsia kedai emas viral ni tentulah terletak pada kebijaksanaan pemiliknya. Jom ikuti temu bual eksklusif Nona dengan Edora!
Nona: Bagaimana Edora merancakkan sales sewaktu pandemik?
Edora: Sebenarnya tak dinafikan ketika awal pandemik dulu, semua sektor perniagaan terjejas. Mungkin sebab had yang ditetapkan menghalang peniaga beroperasi. Tapi dalam tempoh PKP tu, orang ramai juga semakin sedar pentingnya membeli dan menyimpan emas ketika ekonomi lumpuh.
Simpanan emas adalah aset paling mudah dicairkan pada bila-bila masa saja kita memerlukan duit.
Ini secara tidak langsung meningkatkan jualan emas. Jadi kami di Angsa Emas Jewellery menggunakan masa ini untuk buat post-mortem dan merangka perancangan untuk bergerak lebih lancar.
Edora amat menitik beratkan soal kualiti barangannya
Lady boss sendiri kerap turun padang memantau semua cawangan
Nona: Sebagai pemilik kedai emas, apa pendapat Edora tentang pelaburan emas dan apa nasihat anda kepada pembaca yang mahu membeli emas?
Edora: Emas adalah logam bernilai. Secara tak langsung emas juga adalah mata wang. Bagi saya, konsep menyimpan emas sama dengan konsep menyimpan duit. Mana yang mendatangkan keuntungan terbanyak itulah yang sepatutnya kita perlu simpan.
Nona: Bagaimana datangnya idea untuk membangunkan bisnes ini?
Edora: Kami adalah pencinta fesyen justeru kami suka menampilkan kelainan dalam perniagaan. Barangan kemas di sini juga ibarat karya fesyen yang tinggi nilainya dan berbaloi dimiliki, selari dengan pelaburan emas yang menjadi matlamat pelanggan.
Edora sendiri rajin melayan pelanggan di kedainya
Koleksi bangle Angsa Emas Jewellery yang kerap sold out
Nona: Dari mana datangnya asal-usul nama Angsa Emas dan apakah cabaran awal sebagai penjual emas?
Edora: Angsa Emas berasal daripada dua entiti yang disatukan menjadi satu cinta. Iaitu huruf E dan A. Asal nama saya dari huruf E dan A. Jadi saya mencari apa yang bermula dengan huruf ini dan akhirnya saya teringat dengan cerita dongeng angsa bertelur emas (The Golden Goose).
Cabaran pada awal-awal berniaga dulu semestinya dari segi memperkenalkan dan meyakinkan pelanggan tentang produk emas di Angsa Emas Jewellery. Bukan mudah mahu mengukuhkan jenama di pasaran termasuklah membuat branding dan kami bukan sekadar menjual barang. Ia memerlukan fokus bekerja yang sangat teliti.
Nona: Cara Edora ‘mengikat’ hati pelanggan setia?
Edora: Ikat hati dengan design seperti mana tagline kami iaitu ‘seal the love’.
Imej tudung bawal sinonim dengan gaya EdoraSopan dan manis berjubah, penampilan usahawan Muslimah ini nyata disenangi ramai
Nona: Siapa wanita inspirasi Edora? Dan bagaimana cara ibu anda mendidik supaya menjadi seorang yang berjaya sekarang?
Edora: Ibu dan ibu mertua saya. Ibu saya meninggal dunia semasa saya masih belajar lagi. Dan saya ingat semua ilmu kehidupan beliau ajar cara mengenal jati diri. Ibu mertua pula banyak mengajar saya untuk menjadi ibu yang baik dan sentiasa ada untuk anak-anak dan suami.
MINAT DEKORASI
Bagi yang pernah bertandang ke Angsa Emas Jewellery, pasti senang dengan dekorasi kedai yang serba elegan. Edora sebenarnya mempunyai cita rasa yang baik dari segi penataan dekorasi dan susun atur ruang, contohnya kediaman beliau sendiri yang dihias seperti mendapat sentuhan pereka hiasan dalaman.
Mengakhiri temu bual ini, sempat diajukan bagaimana amalannya untuk menjaga keselamatan diri, keluarga dan harta benda. Maklumlah sebagai ‘tauke emas’ dan seorang wanita, Edora tentu perlu sentiasa berjaga-jaga kerana dirinya menjadi perhatian.
“Tiada amalan spesifik yang diamalkan cuma kita kena sentiasa jaga hubungan kita dengan Allah SWT dan hubungan kita sesama manusia. Bagaimana cara kita menjaga hubungan tersebut terserah kepada masing-masing kerana lain orang lain caranya. Tapi bagi saya, yang penting niat itu sama,” akhiri beliau.
Selamat Hari Wanita 2021 buat semua, bersamalah kita sokong-menyokong dan membantu satu sama lain untuk terus maju ke depan. Ayuh wanita, kita bangkit mendepani cabaran!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Nama Nad Zainal bukan sahaja tersohor di persada seni tanah air malah nama wanita yang berusia 31 tahun ini semakin utuh dalam dunia perniagaan yang diceburinya.
Wanita yang mula popular menerusi drama televisyen berjudul Impian (Sunsilk Impian) pada tahun 2008 ini semakin rancak melebarkan empayar perniagaan yang telah diasaskannya sejak lima tahun yang lalu.
Foto: Instagram @nad.zainal
Lima tahun berkecimpung dalam dunia perniagaan sedikit sebanyak telah membuka mata wanita ini dalam dunia perniagaan dan sudah mula mempelbagaikan cabang bisnesnya. “Saya masih lagi sibuk dengan promosi produk Audela, minuman kesihatan yang sudah nak masuk 5 tahun dalam pasaran.
Foto: Instagram @nad.zainal
Selain itu, kini saya mempunyai perniagaan berasaskan makanan iaitu MasDaebak Bakso Oden Viral. Syukur kerana bisnes baharu ini mendapat sambutan yang menggalakkan dan alhamdulillah, sudah ada agen di seluruh Malaysia,” terang Nad Zainal yang turut membantu wanita lain untuk menjana pendapatan sebagai agen di bawah label perniagaannya.
Foto: Instagram @nad.zainal
Setiap usahawan pasti mempunyai idola atau ikon niaga yang menginspirasikan dirinya. Sebagai usahawan Nad Zainal juga mempunyai seorang idola yang mampu membuat dirinya untuk terus maju ke depan. “Saya sangat mengagumi cara Bonda Rozita mengemudi perniagaannya.
Foto: Instagram @nad.zainal
Bagi saya beliau seorang wanita yang berwawasan tinggi dan disenangi ramai,” ucap Nad Zainal yang kini mula sibuk dengan pentas seni dan akan masuk set penggambaran untuk Slot Samarinda dan drama bersiri terbitan Astro.
Foto: Instagram @nad.zainal
Nad Zainal optimis apabila berbicara tentang rancangan masa depannya. Wanita ini mahu lebih berjaya dalam dunia lakonan dan mengembangkan bisnes kecantikannya. “Saya mahu jadi usahawan dan pelakon yang lebih matang,” ujar Nad Zainal.
Foto: Instagram @nad.zainal
Tambahnya, perniagaan berasaskan kecantikan yang diusahakannya ini bukan membabitkan dirinya seorang diri. Terdapat agen dan stokist yang berdiri kukuh di belakangnya sentiasa menyokong di antara satu sama lain.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Selalu tengok saja Datin Seri Maria Farida Atienza di laman media sosialnya tapi bila dapat peluang bertentang mata dengannya memang tak berkelip mata memandang. Di usia 50 tahun Datin Seri Maria umpama mempunyai magnet yang menarik setiap mata memandang. Walaupun tampil ringkas tetapi pesona yang dimilikinya tetap jelita umpama anak dara.
Bila cuba mengorek rahsia kecantikan milik wanita kacukan Filipian-Melayu ini, terus terhambur tawa kecilnya sambil berkata “Mungkin saya ni jenis yang blessed. Keturunan mak saya, nenek saya dah memang macam ni, keturunan kami memang baby face.
Saya juga beruntung kerana tak ada masalah kulit. Walaupun begitu saya tetap jaga pemakanan dan cuba dapat cukup tidur dan cukup minum air. Saya juga ada ambil vitamin mengikut keperluan tubuh.
Dan kalau nak cantik dan kekal awet muda tak boleh hisap rokok sebab nanti kulit kita akan kusam. Benda-benda macam tu saja yang saya amalkan. Satu lagi tip tak nak nampak kedut di wajah, cuba jangan gelak. Kalau gelak nanti keluar semua kedut, maintain buat muka vogue saja,” ucap isteri kepada Datuk Seri Abdul Rahman Shakur ini sambil tersenyum.
Tertarik dengan salah satu tip kecantikan Datin Seri Maria iaitu dapat cukup tidur. Sebagai seorang wanita yang bergelar isteri, ibu, usahawan dan juga pelakon bagaimana agaknya wanita putih gebu ini mendapatkan tidur yang berkualiti.
2006 vs 2019
“Kalau nak ikutkan memang susah nak dapatkan tidur yang cukup ni. Tapi walau macam mana sekalipun kita kena cuba juga. Macam saya kalau berada di lokasi penggambaran, bila time bukan scene saya, saya akan cepat-cepat pergi tidur 1 atau 2 jam ke sebelum sampai scene saya.
Kalau tak ada shooting saya akan cuba tidur sebelum pukul 12 malam. Sebab bila dah start shooting balik akan mula sukar untuk dapat cukup tidur. Nak tak nak kena kita kena cari masa juga,” terang Datin Seri Maria.
Melihat susuk tubuh Datin Seri Maria yang langsing terus terpacul di mulut mesti usahawan berjaya ini tak makan nasi. “Siapa kata saya tak makan nasi. Hari-hari saya makan nasi dengan lauk favorite saya. Cuma bila saya on set shooting, saya akan kurangkan nasi. Sebab bila shooting kita akan nampak besar. So bila tak shooting, time tu saya akan ‘gasak’ nasi semua.
Saya juga tak ada sekatan bila boleh makan nasi, anytime boleh makan nasi. Tapi sekarang kan trend intermittent fasting so, saya cuba pelan diet ini. Saya cuba berhenti makan sebelum pukul 8.00 dan akan makan semula pada pukul 12.00 tengah hari. Saya tengah cuba dan tak tahu okay ke tak lagi,” kongsi Datin Seri Maria.
Bila diajukan tentang pandangan yang mengatakan orang banyak duit boleh lah kekal cantik. Datin Seri Maria menafikan pandangan sebegini. “Pandangan begitu salah sama sekali. Kata orang kalau nak cantik seribu daya kalau tak nak seribu dalih. Bagi saya pandangan sebegitu hanya alasan saja.
Kalau tak ada duit you still can maintain your lifestyle. Macam saya tak guna apa-apa untuk inject ke menggunakan duit untuk botoks, filler dan sebagainya. Saya tak buat semua tu. Semua itu menggunakan duit kan? So I doing it natural way. Siapa kata ada duit baru boleh cantik. That is nonsense to me,” komen Datin Seri Maria.
Datin Seri Maria juga menafikan apabila dikatakan ‘menyorok’ anaknya di laman media sosialnya. “Saya tak pernah sorok gambar anak-anak. Anak sulung saya dah 22 tahun sekarang belajar di Australia, yang ke-2 berusia 14 tahun dan yang kecil sekali dah 10 tahun.
Saya ada share gambar mereka tapi tak selalu sebab anak-anak saya susah nak senyum. Bila saya keluarkan kamera masing-masing akan buat muka sampai saya jadi fed-up nak ambil gambar dengan mereka. Ada time yang mereka bermuka ‘normal’ baru saya masukkan dalam instagram,” kongsi Datin Seri Maria sambil tertawa.
Beruntung anak-anak Datin Seri Maria memiliki ibu yang cantik. Tentu Datin Seri Maria turut menekankan rutin kekal sihat dan cantik dengan anak-anaknya. “Memang hari-hari saya akan membebel kat rumah. Saya minta mereka makan sayur dan minum air kosong kalau tak mereka suka minum air berkarbonat, makan coklat dan junk food.
Sekarang saya strict sikit tak benarkan mereka ambil junk food, asam dan makanan segera. Saya cuba bagi mereka healthy meal seperti home cooked food dan sayur. Saya paksa mereka makan dan minum air kosong. Kids nowadays memang macam tu,” ucap Datin Seri Maria mengakhiri perbualan kami.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!