Tahukah anda, dunia kini sedang berhadapan ‘polikrisis’ yang memberi impak secara langsung dan tidak langsung kepada orang ramai terutama bangsa usahawan selepas pasca pandemik ketika ini.
Mentor usahawan, Datuk Wira Dr. Azizan Osman berkata, polikrisis (polycrisis) yang bermaksud krisis yang berlaku dalam satu masa menyebabkan impak yang lebih besar kepada semua pihak.
Katanya, ramai usahawan sedang berhadapan cabaran dari segi jualan ekoran perubahan berlaku dari segi strategi, bisnes model dan banyak lagi disebabkan tak ubah ‘game‘ bisnes dengan cepat.
“Ini bukan perkara baru, sebaliknya sudah dan sedang berlaku yang berpanjangan seperti dibincangkan dalam World Economic Forum di Davos, Switzerland pada Januari lalu.
“Kami terpanggil untuk menggerakkan inisiatif menyokong bangsa usahawan dengan persediaan dan bimbingan yang menjuruskan solusi saat ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Ads
Tambah Pengerusi RichWorks itu, pihaknya menerima banyak maklumat tentang cabaran dihadapi pelbagai industri perusahaan kecil dan sederhana (PKS) hingga ada yang tutup bisnes selain jualan bisnes yang merudum.
“Saya tetap percaya dalam setiap cabaran ini sebenarnya mempunyai peluang yang sangat besar bagi mereka yang tahu dan bersedia.
Ads
“Perkara lebih penting di dalam bisnes adalah kita tahu siapa ‘musuh’ atau ancaman yang memberi kesan kepada usahawan agar dapat adaptasi, ubah dan bertindak mengikut nasihat yang betul agar saksikan perkembangan luar biasa seperti dialami ramai anak didik saya,” katanya.
Sehubungan itu, Dr. Azizan mempelawa usahawan yang berdepan cabaran di atas untuk bertemunya secara langsung di IDCC Ideal Convention Centre Shah Alam pada 2 & 3 September akan datang.
“Sesi ini ditaja sepenuhnya di mana saya sendiri akan jawab persoalan mereka secara terus agar dapat terus buat tindakan nanti. Terdapat 15 cabaran sebenarnya sedang berlaku dan saya akan kongsikan solusi kepada usahawan ketika ini. Permohonan menyertai sesi ini adalah dengan layari laman web www.binabisnesberjaya.com.
“10XBBB ini hanya bagi usahawan, sebab mereka sendiri lebih tahu apa kesusahan yang dihadapi menjalankan bisnes ketika ini untuk saya berikan solusi buat mereka, insya-Allah,” tambahnya mengakhiri perbualan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Assalamu’alaikum, pertamanya saya sebagai seorang ibu dan nenek berkongsi juga kesedihan yang menyelubungi ibu bapa mangsa terhadap tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah.
Saya nak kongsikan apa yang telah dikatakan kepada saya 17 tahun lalu, apabila anak saya meninggal dunia, iaitu ‘tahniah dan takziah’.
Takziah kerana kesedihan kita di dunia dan tahniah kerana Allah hanya pilih orang-orang yang boleh menghadapinya saja.
Orang yang anaknya meninggal dunia tapi dia reda, Allah beri ganjaran yang sangat besar. Anak-anak yang meninggal waktu kecil dan belum baligh ini, insyaAllah menunggu kita di Padang Mahsyar.
Saya juga yakin bahawasanya ibu bapa yang menghantar anak-anak ke sekolah tahfiz ini, tentu sekali adalah orang yang mempunyai wawasan, mata hati yang terang dan pandangan akhirat yang jauh.
Benar, bukan senang untuk berpisah dengan anak yang kecil. Kita suka mereka dalam dakapan kita, tapi kita rela melepaskan, mengorbankan emosi dan jiwa kita agar mereka menjadi Al-Hafiz yang mengabadikan kalamullah dalam jiwa mereka.
Percayalah setiap jiwa yang suci itu, akhirnya akan dapat natijah yang baik juga.
Tetapi apabila diuji dengan perkara sebegini, saya nak pesan satu formula agar tenang…
Ia bukan apa yang berlaku PADA KITA tetapi apa yang berlaku DALAM JIWA kita.
Peristiwa yang berlaku itu takdir Allah. Respons atau tindakan kita terhadap apa yang berlaku adalah takdir diri kita. Itulah yang menentukan hasil kehidupan kita di dunia dan akhirat.
Dan bagaimana kita respons atau bertindak bergantung kepada akidah dan sistem nilai kita. Ya, apa yang berlaku di mata fizikal memang semuanya nampak negatif. Mata nafsu kita pun akan mula menyalahkan dan berputus asa.
Tapi mata akal yang berfikir akan menghasilkan zikir, lalu mencelikkan mata hati kita agar melihat HIKMAH peristiwa ini. Lantas menjadikan kita lebih dekat pada Allah dan lebih bertakwa kepada-Nya.
Sebab KPI dan tujuan hidup kita, aset terbesar di dunia ini adalah takwa kita. Yakinlah setiap ketakwaan menghasilkan ketenangan dan setiap kedegilan menghasilkan kepedihan.
Jadi kalau diamalkan formula tadi, peristiwa yang negatif tetapi respons yang sangat positif bersamaan dengan hasil yang tentunya positif. Hasil yang kita mahukan ialah kehidupan bahagia di dunia dan akhirat.
Jadi bagi ibu bapa dan keluarga, saya nak ucapkan semula apa yang telah diucap kepada saya pada 6 Ogos 2000 oleh sepupu saya, iaitu ‘tahniah dan takziah’.
Henti Kelalaian
Sekarang saya ingin bercakap sebagai seorang ahli masyarakat. Sebagai doktor, apabila kita mengendalikan satu gejala, kita tentunya akan pergi kepada puncanya.
Apa yang kini berlaku pada kanak-kanak yang didapati positif dadah dan kebanyakannya masih di bawah umur, pastilah kita rasa bimbang. Kita rasa risau.
Fikirkan macam mana perkara ini boleh berlaku? Apakah suasana yang kita ada di negara kita sekarang?
Daripada segi role-modellingnya…
Daripada medianya…
Daripada surat khabarnya…
Daripada sekolahnya…
Daripada masyarakatnya…
Daripada media sosialnya…
Apakah kita menyebarkan kasih sayang, penghargaan, menghormati orang atau sebaliknya? Atau kesombongan, keganasan, menunjuk-nunjuk, materialistik dan hedonisme?
Selepas melihat peristiwa pada anak-anak ini berlaku, apakah kita ingin berhibur lagi?
Alangkah baiknya kalau kita tidak perlu ada musibah seperti ini sebelum kita ingat mati… ingat akhirat… ingat takwa… Tolong, hentikanlah kelalaian kita selama ini.
Penerbit rancangan patut buat polisi dan pemimpin di semua peringkat, boleh mengambil iktibar. Kalau boleh saya menyeru pada diri saya dan kita semua, hentikan sifat menyalahkan.
Sepatutnya kita semua harus mengambil tanggungjawab. Setiap perkara negatif yang berlaku, sedikit sebanyak kita mesti bertanggungjawab.
Kita mesti melakukan perkara yang berbeza untuk mendapat situasi yang berbeza.
Kita tidak boleh mengubah kehidupan kita kalau tidak menjadi orang yang berbeza. Kalau kita orang yang sama hari ini, tentu esoknya hasil kehidupan kita juga sama.
Sebab itu apabila berlaku musibah, kalau mengikut ulama bermakna 3 perkara, iaitu
(a) Allah nak balas dosa kita.
(b) Allah nak ampunkan dosa kita.
(c) Allah nak naikkan darjat kita.
Kalau dengar perkongsian Datuk Dr. Sharifuddin Musa (bapa mangsa yang terselamat), lihatlah betapa tenangnya beliau. Dapat kita perhatikan ibu bapa kanak-kanak tahfiz ni, yang pentingnya jiwa tu macam mana.
Apabila berlaku musibah dan seandainya kita marah, menurut ulama itu tandanya Allah membalas dosa kita. Tapi kalau kita sabar, Allah mengampunkan dosa kita. Dan kalau kita tenang, bererti Allah mengangkat darjat kita.
Sama seperti situasi pelajar yang cemerlang. Kita pasti beri ujian yang lebih susah lagi untuk memberi markah yang lebih kepadanya, bukan?
Macam itulah kehidupan kita. PENUH UJIAN.
Semua yang berlaku adalah ujian dan markahnya nanti kita akan dapat di Mahsyar nanti.
Oleh itu, sama-sama kita usaha agar tidak gunakan peristiwa ini untuk menyebarkan fitnah atau viralkan rasa benci, sebaliknya berilah kemaafan.
Kita berdoa agar ibu bapa mangsa dan yang menjadi pemangsa ini supaya bertaubat serta kita semua juga bertaubat.
Peka Dengan Persekitaran
Berkenaan kes anak-anak yang positif dadah dan tidak bersekolah… Di sini saya ingin menyeru pada semua pendidik, bolehkah kita cuba jangan fokus pada pelajar cemerlang saja?
UPSR telah berlalu, semua orang sibuk nak dapat 5A. Bagi pelajar 5A bagus diuar-uarkan, tapi yang gagal dapat 5A, apa kita nak buat?
Perhatikan situasi kanak-kanak tahfiz ini, yang dipilih Allah untuk mati dalam keadaan seperti ini, insyaAllah mereka dijanjikan syurga. Tetapi bagaimana yang menjadi pemangsanya?
Cuba perhatikan hidup kanak-kanak 11 tahun tahfiz dan 11 tahun pemangsa. Mereka lahir dari ibu dalam situasi yang sama, keduanya putih bersih, di hospital mungkin diletakkan sebelah-menyebelah dan mungkin disambut doktor yang sama. Tetapi sepanjang tempoh membesar, persekitaran dan didikan sekeliling, menjadikan mereka berbeza.
Satu sebagai mangsa, satu lagi pemangsa.
Dan bayangkan ibu bapa yang mengandungkan anak-anak ini. Apakah situasi mereka masa mengandung? Apakah mereka menjaga solat mereka? Jaga aurat mereka? Jaga pergaulan mereka?
Apa status ibu mengandung menentukan bagaimana anaknya.
Dan bagaimana persekitaran yang dilalui oleh kanak-kanak ini… kalau negatif, negatiflah jadinya.
Justeru sangat penting bagi kita menentukan fardu ain kanak-kanak kita dijaga. Sebagai ibu bapa atau penjaga, menjadi kewajipan kita untuk memastikan anak-anak dididik dengan akidah yang mantap, ibadah yang sempurna dan akhlak yang lembut.
Bagaimana akidah ini dibina? Saya beri contoh di sekolah. Apakah kita menyebut bagaimana Allah menjadikan daun itu berwarna hijau? Dalam sains kita hanya kata daun hijau ada klorofil.
Sebenarnya kita kena sebut tentang ketuhanan. Asal kejadian daun dari kuasa Maha Pencipta. Kerana itu apabila orang merasa adanya Tuhan, mereka merasa dilihat Allah. Secara automatik akan ada GPS dalaman, akan rasa takut untuk buat salah.
Akidah yang mantap ini akan melahirkan ibadah yang sempurna. Kita tahu Allah SWT tak pernah memungkiri janji-Nya, Allah kata, solat mencegah kemungkaran.
Tapi kalau masih berlaku kemungkaran maknanya apa?
Lihatlah ke dalam solat indeks negara kita, solat indeks sekolah kita, solat indeks pekerja-pekerja kita. Kalau satu organisasi nak mantap, solat mesti cukup dan tepat waktunya.
Akhlak lembut terhasil apabila ibadahnya lengkap. Ibadahnya lembut. Bayangkan kalau masyarakat kita akhlaknya lembut tentu tak ada isu viral yang negatif atau bahasa-bahasa kesat dilemparkan.
Buat golongan artis atau public figure yang mempunyai ramai pengikut di media sosial, bangkitlah semua. Ayuh gunakan pengaruh anda untuk menyeru kepada kebaikan.
Peganglah kata-kata ini, your life is not about you. Bukan untuk tunjuk betapa hebat, betapa cantik, betapa terkenalnya kita… Tapi betapa besarnya manfaat sebab Allah paling sayang orang yang paling bermanfaat.
Dan ingatlah mati. Lihat, kanak-kanak kecil pun mati. Maknanya kita juga boleh mati bila-bila. Seperti maksud hadis:
‘Orang paling bijak adalah orang paling ingat mati.’
Pegangan Hidup
Saya nak sebarkan konsep 5A yang baru, (bukan 5A akademik) iaitu Agama, Akidah, Akhlak, Amanah dan Adil. Amalkanlah.
Dan mulakan hari dengan S.E.N.Y.U.M:
S – Solat
E – Empati
N – Nutrisi yakni jadilah manusia nutrisi, bukan toksik atau racun pada manusia lain
Y – Yakin pada Allah
U – Ubudiyah iaitu segalanya dibuat kerana Allah dengan syariat yang betul
M – Makrifatullah yakni kenal Allah dan baca Al-Quran
Sama-sama kita renungkan perkongsian ini. Semoga ia menjadi refleksi pada diri kita termasuk diri saya, dapat memberi inspirasi dan transformasi diri, insyaAllah.
Sehingga itu, teruslah mendoakan kesabaran dan ketenangan pada keluarga mangsa serta doakan anak-anak ini diberi hidayah. Wassalam. Norzalina Mohd Alias
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Rekaan emas bernuansakan identiti Malaysia telah menarik perhatian penganjur sebuah pameran fesyen di Kota London untuk membawa jenama Trishya & Co ke pentas global. Mempertaruhkan koleksi loket pesona (charm beads) seperti bahulu, wau bulan, kuih lapis, gong dan durian yang disuai padan dengan gelang tangan gelung, set ikonik ini dinamakan sebagai Links of Malaysia (LOM) bakal dipamerkan dalam sebuah pameran fesyen terbesar di London akhir tahun ini.
Pengasas Bersama Trishya & Co, Datin Dr Raskidah Ali, 56, berkata, pihaknya amat teruja dan sudah bersedia berkongsi keunikan rekaan barangan kemas jenama ini di peringkat antabarangsa.
“Kami di Trishya & Co amat berbesar hati menerima undangan ini yang diperkenalkan oleh sahabat saya juga merupakan peminat LOM. Kami berharap penyertaan ke pameran fesyen terbesar di London itu nanti dapat mengangkat jenama lokal setaraf produk antarabangsa.
“Melalui Trishya & Co, kami bukan sahaja menghasilkan rekaan barangan kemas untuk wanita dan aksesori lelaki yang berkualiti tinggi, malah mensasarkan janaan ekonomi negara dengan menampilkan rekaan bercirikan Malaysia yang boleh dijadikan kenang-kenangan buat pelancong yang berkunjung ke negara ini,” katanya.
Sementara itu Pengasas Trishya & Co, Nayli Batrishya Norbik Bashah, 18, mengakui beliau terinspirasi dengan sebuah jenama terkenal yang popular dengan koleksi loket pesona atau charms, yang mana setiap cawangannya di seluruh dunia menampilkan rekaan sinonim dengan imej sesebuah negara.
“Setiap kali melancong, saya lebih tertarik membeli aksesori wanita seperti gelang, loket, cincin, rantai dan anting-anting, kebiasaannya akan singgah membeli charms di butik barangan kemas terkenal sebagai ole-ole untuk diri sendiri. Cuma kebanyakan koleksi charms di butik berkenaan diperbuat daripada perak dan emas putih.
“Jadi saya terfikir, kenapa tidak Trishya & Co mengkomersilkan identiti Malaysia melalui rekaan emas 916 yang semua tahu emas adalah satu pelaburan yang baik. Disinilah bermulanya idea menghasilkan koleksi Links of Malaysia atau LOM.
“Untuk menarik minat golongan muda seusia saya pastinya reka bentuk yang unik, muda dan trendy menjadi asas. Pada masa yang sama, saya mahu educate remaja melakukan pelaburan emas, daripada membeli sesuatu yang tidak memberi keuntungan,” katanya.
Ujarnya lagi, pelan simpanan emas secara bijak ditawarkan serendah RM200 dalam tempoh enam hingga 12 bulan, kemudian pembeli boleh menuntut koleksi emas yang ditempah di Trishya & Co.
Beliau yang ditemui di majlis pelancaran Trishya & Co Opulent, di ruangan ekslusif di TDOX Clinic at EQ, aras lima Hotel Equatorial Kuala Lumpur, turut memperkenalkan koleksi terbaru, Lady Bug yang juga merupakan koleksi pertama kanak-kanak keluaran jenama itu.
Menambah kehangatan majlis, aktres jelita Puteri Sarah Liyana dan puteri tunggalnya, Sumayyah, ditampilkan sebagai muse dan ini merupakan gandingan pertama kali pasangan anak-beranak itu di pentas peragaan. Mereka tampil mempersona dengan koleksi Lady Bug dan LOM bernilai RM150,000.
Sedondon dalam persalinan merah jambu fuschia sentuhan pereka fesyen terkenal, Ezuwan Ismail, Puteri Sarah mengakui dia sememangnya penggemar barangan kemas dan mula mengumpulnya sejak mula melangkah ke alam pekerjaan.
“Saya memang suka emas dan ia salah satu pelaburan yang buat sejak remaja lagi. Namun begitu saya lebih tertarik pada rekaan yang moden yang boleh disuai padan dan rekaan Trishya & Co ini terutamanya LOM sangat menepati citarasa saya.
“Saya juga buat pelaburan emas untuk Sumayyah kerana harga emas sentiasa meningkat, mungkin apabila Sumayyah sudah besar nanti harga emas waktu itu sangat mahal.
“Jenama Trishya & Co ini boleh pergi jauh dan saya berharap ia menjadi viral sebagaimana koleksi barangan kemas yang saya pernah pakai sebelum ini sehingga diberi jolokan emas PSL,” katanya.
Bagi yang berminat memiliki barangan kemas Trishya & Co, boleh mendapatkannya dari ejen yang sah di Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Singapura dan Batam Indonesia atau berkunjung ke dua cawangannya yang beralamat di S0-4 Tebing Taman Dato Onn, Johor Bahru dan UG-13 Galleria Lexa, No 45 Jalan 343/26, Taman Sri Rampai Kuala Lumpur.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kalau tak mampu nak jaga anak orang, jangan jadi pengasuh! Itu kata-kata yang meluncur keluar dari mulut ramai kaum ibu bila isu penderaan kanak-kanak di taska makin serius sekarang. Sudahlah berani berselindung di sebalik profesion mulia pendidik, terang-terangan tunjuk contoh tak baik depan anak kecil lagi.
Video berdurasi dua minit yang viral di Internet sejak tiga hari lalu nyata masih meninggalkan kesan kepada sebahagian besar ibu bapa. Apatah lagi bagi si ibu yang mengandungkan anak kecil mangsa dera tersebut yang pastinya trauma menghadapi situasi sukar hari ini.
Berkongsi apa yang dirasainya sejak insiden berkenaan tular, Nur Hasriha Mohamad meluahkan apa yang terbuku di hati. Dia yang selama ini enggan ambil pusing dengan aduan anak sulungnya kerana menganggap guru-guru di taska berperibadi baik.. sama sekali tak menyangka sanggup memperlakukan anak kecil berusia tiga tahun ini seperti boneka.
“Assalamualaikum.. berkenaan dengan kes dera anak saya tu, terus terang saya katakan saya langsung tak boleh terima apa yang dia dah buat pada anak saya.. saya tak sangka orang yang saya percaya boleh jaga anak saya sebenarnya berhati binatang (maaf bahasa kasar). Kami bukan dari keluarga yang senang. Yuran bulanan yang mahal iaitu sebanyak RM380 mengharapkan penjagaan yang setimpal dengan harga. Bukan dengan cara macam ni.. terus terang saya cakap, sepanjang hantar anak ke situ, cikgu-cikgu semua nampak baik sangat depan saya.
Sampai anak tak nak sekolah saya fikir positif je. Rupanya ini lah sebabnya anak saya tak nak ke sekolah dan dia ada juga cerita teacher pukul Dina. Tapi cerita tu sebelum kejadian. Saya tak percaya cakap anak.. dia siap tunjukkan teacher pukul macam mana. Saya suami isteri masih berfikiran positif. Biarkan je apa yang Dina cakap.
Setiap kali bukak FB penuh cerita pasal Dina dan video tu sentiasa menghantui fikiran saya. Hati masih belum boleh terima apa yang terjadi sekarang ni.
Hari ni 14.8.2018 genap anak ummi DINA HANANIA BINTI SHAHRULZAMAN 3 tahun… Perancangan awal nak sambut birthday dia kat sekolah dengan kawan-kawan. Bila dah jadi macam ni, memang tak buatlah. Ni tahun pertama dia sekolah dan tahun pertama dia dah merasai benda macam ni. Tadi sebelum dia tidur saya ada cakap dengan dia, ‘Dina nak sekolah baru tak?’ Seronok dia bila dengar ummi dia nak carikan sekolah baru. Mungkin dia rasa syurga bila dah tak sekolah situ.
Tapi saya harap sangat-sangat, sekolah baru nanti tolonglah jaga anak saya betul-betul. Janganlah benda ni berulang lagi. Kasihan lah budak-budak yang tak berdosa dianiaya sebegini rupa.”
Sumber: Facebook Nur Hasriha Mohamad
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali 100 tahun terus menginspirasi rakyat dengan kecintaan terhadap ilmu, patriotisme, doa dan semangat belajar sepanjang hayat.