Dari Surirumah Kini TANIA ZARA Bergelar Usahawan & Miliki Studio Bakeri Sendiri

Tidak dinafikan dengan keadaan pandemik COVID-19 sekarang semua orang terkesan dari segi ekonomi. Sektor-sektor perniagaan turut terjejas sehingga ada yang terpaksa ‘gulung tikar’ kerana tidak mampu lagi bertahan.

Usahawan bakeri dan pastri terkenal Coffee Jeans & Co. yang merupakan ibu kepada 3 anak iaitu Tania Zara mengakui turut terkesan dengan situasi ketika ini. Pun begitu, Tania dilihat lebih bersedia kerana dia bijak memanfaatkan platform media sosial sejak mula berniaga. Tania bermula dengan online business maka tidak hairanlah dia bijak menggunakan peluang di media sosial untuk mempromosikan jenamanya.

Tania atau nama sebenarnya, Norzalina Mohd Sudin seorang yang merendah diri. Anak jati Kuala Lumpur yang berusia lewat 30an ini cukup mahir dalam membuat kek dan pastri. Menyedari perniagaan makanan mempunyai permintaan yang tinggi ketika ini, Tania Zara turut mempelbagaikan pastrinya dengan harga berpatutan.

Selain di Kota Damansara, Tania turut membuka outlet kedua Coffee Jeans & Co. di Publika Kuala Lumpur. Menurut Tania, sambutan yang diterima daripada pelanggan untuk kedua-dua outlet

sangat baik.

“Segalanya bermula dengan hobi saja sebab saya memang penggemar kek. Perancangan asal hendak membuka kafe tetapi memandangkan permintaan untuk membuka kelas lebih tinggi maka saya dan suami memutuskan untuk membuka studio bakeri dahulu.

Sebagai usahawan kita tak boleh nak melayan sangat keadaan seperti sekarang. Nanti akan mudah merasa tertekan dan down. Semua perniagaan terkesan dengan pandemik COVID-19 tetapi kita kena cepat bertindak untuk mencari cara untuk survive.

Cara saya ialah fokus seratus peratus kepada online. Kalau diikutkan saya memang bermula dengan online business jadi saya sudah tahu bagaimana ‘permainan’ online ini. Ketika saya buka outlet di Publika Kuala Lumpur pun saya masih berniaga secara online. Dan dari Publika Kuala Lumpur saya dapat walk in customer dan new customers.

Jadi, bila berlakunya pandemik kita harus kembali kepada online juga. Apa yang saya dan team lakukan macam-macam alternatif di media sosial antaranya menghasilkan video untuk promosi. Pengaruh kuasa media sosial sekarang ini sangat kuat. Jadi segeralah manfaatkan peluang ini untuk mempromosikan produk, brand awareness dan sebagainya.

Di luar sana ramai usahawan yang menjual produk yang sama seperti saya tetapi kena ada cara tersendiri bagaimana orang-orang di luar sana boleh nampak jenama saya. Maka sebab itulah kena buat brand awareness.

Salah satu caranya juga perlu konsisten dengan posting di media sosial seperti Instagram, Facebook, Facebook Ads dan sebagainya. Ia sangat membantu.

Saya bersyukur kerana walaupun dalam keadaan pandemik yang dah masuk setahun ini kami masih boleh beroperasi, tiada masalah atau isu dengan pekerja, tiada masalah hendak membayar gaji pekerja dan sebagainya. Yang penting jangan mudah putus asa dan teruskan mencari penyelesaian jika ada sebarang masalah. Fokuskan kepada online marketing.

Jika tidak tahu atau kurang pengetahuan tentang online marketing ambil inisiatif untuk belajar. Inilah masanya untuk anda belajar ap iatu online marketing, what is FB Ads dan sebagainya,” jelas Tania yang menginspirasikan usahawan terkenal, Datin Vivy Yusof. Satu ketika dulu, Tania juga pernah aktif sebagai model iklan komersil serta pelakon.

Datin Vivy Yusof. Kredit Foto: Instagram @vivyyusof

PENGORBANAN SUAMI
Berjauhan dari suami yang bertugas sebagai Senior Drilling Fluid Engineering di Baker Hughes Saudi Arabia menjadikan Tania seorang yang berdikari.

“Pengorbanan terbesar suami terutama dalam membantu perniagaan Coffee Jeans & Co. semestinya sokongannya yag tanpa jemu. Memandangkan sebelum ini saya suri rumah sepenuh masa, saya dah rasa selesa buat bisnes dari rumah sambil layan anak-anak.

Tambahan lagi, suami bekerja di Arab Saudi yang kadang-kadang balik ke Malaysia sebulan sekali. Bulan ini jumpa, bulan depan tak jumpa. Kalau diikutkan dalam setahun kami akan berjumpa 6 bulan saja. Jadi saya sudah terbiasa dengan kehidupan begitu.

Namun begitu, suami sangat menyokong antaranya mencari tempat yang sesuai untuk uruskan bisnes. Sebelum ini saya mengajar kelas bakeri di rumah tetapi kemudiannya suami mencadangkan agar saya mencari satu tempat yang sesuai dan selesa. Alhamdulillah Coffee Jeans & Co. semakin berkembang dan mempunyai penggemarnya yang tersendiri,” kongsi Tania yang bakal membuka outlet terbaru dalam masa terdekat. Apa pun menurut Tania ianya bergantung kepada keadaan semasa.

Diharapkan Tania terus maju dengan bisnes bakerinya dan pandemik COVID-19 segera berlalu. Semoga kita dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa.

Kredit Foto: Instagram Tania Zara

IKLAN
Share