
47 tahun bukan perjalanan yang singkat untuk terus berdiri dalam industri hiburan yang sentiasa berubah. Namun bagi Dato’ Francissca Peter, perjalanan sebagai anak seni tidak pernah bermula dengan impian untuk mengejar kemasyhuran. Pada usia belasan tahun, ketika berdepan kesusahan hidup, beliau memilih nyanyian sebagai jalan untuk membantu meringankan beban keluarga.
Daripada seorang gadis yang sering diminta menyanyi oleh guru di sekolah, Dato’ Francissca melangkah ke pentas hiburan sebelum namanya berkembang sebagai antara penyanyi tersohor tanah air. Hari ini, selepas hampir lima dekad, lagu-lagunya terus didengari merentas generasi dan beliau masih memilih untuk berdiri di pentas selagi suara dan kudrat mengizinkan.
Mengimbau kembali langkah awal dalam dunia muzik, wanita kelahiran Selangor ini mula memupuk minat terhadap nyanyian sejak di bangku sekolah. Bakatnya mula mendapat perhatian apabila beliau sering diberi peluang oleh guru-guru untuk membuat persembahan, termasuk ketika sambutan Hari Guru. Daripada pengalaman itulah kecintaannya terhadap muzik semakin bercambah.
“Sejak di sekolah saya memang minat menyanyi. Antara sebab utama saya mahu jadi penyanyi adalah untuk membantu keluarga. Ketika itu kami hidup dalam kesusahan, jadi saya beritahu ibu yang saya mahu menjadi penyanyi untuk cari pendapatan dan meringankan beban keluarga. Tambahan pula adik-beradik saya masa itu masih bersekolah.
Begitulah bermulanya karier saya sebagai penyanyi. Masa itu baru 17 tahun dan apa yang saya fikirkan hanyalah mahu bantu keluarga. Tanpa sedar, tahun ini sudah 47 tahun saya berada dalam bidang nyanyian,” bicara Dato’ Francissca yang merupakan anak kedua daripada empat beradik.

Kesungguhan pelantun lagu ‘Sekadar Di Pinggiran’ ini untuk bekerja pada usia muda didorong oleh keadaan ibunya, Alice Peter, yang membesarkan empat orang anak sebagai ibu tunggal. Hasrat Dato’ Francissca untuk membantu keluarga akhirnya mendapat sokongan ibu tersayang yang sanggup menemaninya menghadiri uji bakat pertama.
PENERIMAAN
Pun begitu, penglibatan penyanyi popular era 1980-an ini dalam arena hiburan kurang disenangi bapanya. “Ketika itu ayah memang kurang senang dengan keputusan saya untuk menjadi penyanyi. Sebagai seorang ayah, beliau bimbang sebab saya seorang perempuan dan pekerjaan ini memerlukan saya menyanyi pada waktu malam. Sebab itulah pada awalnya beliau tidak begitu bersetuju dengan pilihan saya,” terang Dato’ Francissca sambil memberitahu bapanya pernah berkhidmat sebagai wartawan serta aktif dalam bidang seni dan penulisan.
Kebimbangan yang sama turut dirasai ibunya yang khuatir terhadap keselamatan anak tersayang serta risiko terpengaruh dengan gejala tidak sihat. Namun kesulitan hidup keluarga membuatkan ibunya memberi ruang untuk beliau mengembangkan potensi diri.
Bermula dengan persembahan di kelab malam, Dato’ Francissca perlahan-lahan menimba pengalaman sebelum melangkah sebagai artis rakaman. Niat awal untuk membantu keluarga akhirnya membawa beliau melalui sebuah perjalanan seni yang tidak pernah dibayangkan, sekali gus membina nama yang terus dikenali sehingga hari ini.

“Tujuan sebenar saya menceburi bidang nyanyian hanyalah untuk membantu keluarga. Itu sahaja yang saya fikirkan ketika itu. Tidak pernah terlintas saya akan menjadi penyanyi yang dikenali di Malaysia. Malah berpeluang membuat persembahan di luar negara. Saya bertuah dan berterima kasih sangat kepada mereka yang percaya pada saya sebagai penyanyi,” ucapnya sambil menghargai jasa adik bongsunya, Bibiana, yang bertindak sebagai pengurus karier seni Dato’ Francissca selama lebih dua dekad.
POPULARITI
Meniti perjalanan seni hampir 50 tahun, nama dan bakat Dato’ Francissca Peter kekal terpahat dalam industri muzik tanah air. Teknologi rakaman berubah, cita rasa pendengar berkembang dan generasi baharu silih berganti, namun karya seniwati ini masih mendapat perhatian, termasuk dalam kalangan pendengar generasi muda.
Sepanjang hampir lima dekad menghiburkan peminat, beliau mempunyai lebih daripada 20 buah lagu popular dan pernah menerima pengiktirafan Vokal Wanita Terbaik selama lima tahun berturut-turut pada era 1980-an.
Selain itu, Dato’ Francissca juga pernah menjadi duta World Vision Malaysia pada tahun 2004 dan dikenali sebagai ‘The Fundraising Queen’ kerana penglibatannya yang aktif dalam kegiatan amal serta kebajikan masyarakat.
Biarpun bergelar senior dalam industri, beliau tidak meletakkan jurang antara dirinya dengan generasi baharu. Sebaliknya, beliau selesa bekerjasama dengan bakat muda dan melihat kolaborasi tersebut sebagai ruang untuk terus belajar serta berkongsi pengalaman.

“Saya banyak bekerja dengan orang muda dan sebenarnya saya juga belajar daripada mereka. Walaupun sudah lama berada dalam industri, saya tak pernah berhenti belajar. Kalau pengalaman yang saya ada boleh dikongsi dan menjadikan saya contoh yang baik kepada mereka, itu sudah cukup menggembirakan.”
Sepanjang perjalanan itu, pelbagai pencapaian dan penghargaan pernah diraih. Namun apabila ditanya tentang kenangan terindah, Dato’ Francissca tidak hanya mengukur perjalanan seninya melalui trofi atau pengiktirafan. Sapaan peminat, permintaan untuk bergambar dan wajah mereka yang masih teruja setiap kali bertemu menjadi antara kenangan yang sentiasa dekat di hatinya selepas puluhan tahun berada dalam industri.
RENDAH DIRI
Populariti dan segala pencapaian yang diraih tidak pernah membuatkan Dato’ Francissca Peter lupa untuk terus merendah diri. Nilai itu banyak dibentuk melalui didikan ibu yang sentiasa mengingatkan bahawa kejayaan tidak seharusnya mengubah cara seseorang membawa diri atau melayan insan di sekelilingnya.
“Sifat rendah diri itu banyak saya belajar daripada ibu. Dia seorang yang sangat sederhana dan selalu pesan, ‘Be humble.’ Tidak kira kita kaya atau tidak, kita tetap kena merendah diri supaya hati sentiasa baik. Ibu juga selalu mengingatkan saya supaya fikir tentang orang yang kurang sihat atau mereka yang hidup dalam kesusahan. Kita kena sentiasa ingat mereka.”
Pesanan itu terus dipegang Dato’ Francissca meskipun namanya sudah lama terpahat dalam industri muzik tanah air. Selepas bertahun-tahun melalui pelbagai fasa sebagai anak seni, beliau tidak mahu dirinya hanya dikenang menerusi deretan lagu popular atau pengiktirafan yang pernah diterima sepanjang karier.
Sebaliknya, ada satu perkara yang jauh lebih dekat di hati. “I hope that they remember me as seorang penyayang,” pesan Dato’ Francissca yang menerima pengurniaan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-63 Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada tahun 2022.
Artikel https://www.nona.my/33-penerima-nona-gala-awards-2026/

sekarang!

