Ads

Keserasian & Imaginasi Duo ARUNSAYFULL, Rekaan Arun Martin & Sayfull Eizarm Kini Gah Dalam Industri Fesyen Tanahair

Dunia fesyen tanah air sentiasa berevolusi, namun tidak ramai yang mampu bertahan dan kekal relevan mengharungi gelombang industri yang kompetitif. Mempertaruhkan bakat, keberanian serta keserasian luar biasa, jenama ARUNSAYFULL yang diterajui dua individu, Arun Martin dan Sayfull Eizarm, kini berdiri megah menghampiri usia sedekad. 

Bermula daripada persaingan di pentas fesyen, kini siapa sangka sentuhan kreatif ARUNSAYFULL menjadi antara jenama yang mendapat kepercayaan kerabat diraja dan golongan elit. Di sebalik gemerlap dunia fesyen, tersimpan sebuah perjalanan tentang impian, pengorbanan dan keberanian membina legasi bersama. 

Kelahiran ARUNSAYFULL bermula daripada sebuah pertemuan yang tidak pernah dirancang. Pada tahun 2017, Arun yang ketika itu baru berusia 19 tahun bertemu Sayfull dalam sebuah pertandingan fesyen. Bukan sebagai rakan, sebaliknya mereka hadir sebagai pesaing yang masing-masing mahu membuktikan kemampuan dan kreativiti di pentas rekaan. 

Siapa sangka, persaingan itu akhirnya membuka jalan kepada sebuah persahabatan. Selepas pertandingan berakhir, Arun dan Sayfull kembali berhubung menerusi media sosial. Daripada sekadar bertukar pandangan tentang dunia fesyen, mereka mula mengenali latar belakang, pengalaman serta kecenderungan seni reka masing-masing. Keserasian yang terjalin tanpa dirancang itulah yang akhirnya menjadi titik awal kepada kelahiran ARUNSAYFULL. 

“Kami masing-masing pernah bekerja dalam industri fesyen di bawah naungan beberapa pereka Malaysia tersohor antaranya Datuk Radzuan Radziwill dan Bill Keith, selain pernah bergelar pensyarah fesyen,” ujar Arun membuka bicara. 

Menariknya, kedua-dua mereka memiliki kecenderungan rekaan yang bertentangan. Arun lebih condong kepada konsep avant-garde yang berani dan dramatik, manakala Sayfull pula meminati sentuhan gaun dress yang anggun dan klasik. Tidak menjadikan perbezaan sebagai penghalang, mereka sepakat untuk mencuba bekerjasama dalam tempoh percubaan selama tiga bulan. 

Keserasian & Imaginasi Duo ARUNSAYFULL, Rekaan Arun Martin & Sayfull Eizarm Kini Gah Dalam Industri Fesyen Tanahair
Arunsayfull

“Kami tetapkan tempoh tiga bulan dahulu. Jika tidak serasi, kami sepakat untuk tidak meneruskannya,” imbas Sayfull sambil tersenyum. Bermodalkan wang perkongsian hanya RM50 seorang, tempoh tiga bulan itu akhirnya berlanjutan menjadi setahun dan kini terus mekar hampir sedekad lamanya sebagai antara jenama couture yang semakin mendapat perhatian di Malaysia. 

Mengemudi sebuah jenama fesyen secara duo bukanlah tugas mudah, apatah lagi apabila perlu menggabungkan dua ego kreatif di bawah satu bumbung. Namun, perbezaan pendapat bukanlah medan perbalahan, sebaliknya menjadi ‘resipi rahsia’ kelahiran mahakarya unik. 

Apabila timbul perselisihan idea rekaan, tiada seorang pun yang perlu mengalah. Sebaliknya, mereka memilih untuk menyatukan visi kedua-duanya. Sebagai contoh, ilham bahagian skirt mungkin diserahkan kepada sentuhan kemas Sayfull, manakala bahagian atas atau top disuntik sentuhan dramatik Arun. Hasil gabungan dua minda inilah yang melahirkan identiti eksklusif ARUNSAYFULL, persis sinergi jenama duo bertaraf antarabangsa seperti Dolce & Gabbana. 

Ads

Bagi Arun, kunci utama keharmonian mereka terletak pada komunikasi telus dan meletakkan kualiti sebagai keutamaan. “Kita tidak boleh terlalu berpegang pada ego. Segala-galanya perlu dibincangkan bersama demi mendapatkan hasil terbaik. Pada akhirnya, pelanggan datang bukan sekadar mencari rekaan cantik, tetapi kualiti busana untuk disarung.” 

MEMAHAMI WANITA 

Bagi ARUNSAYFULL, profesion pereka fesyen melangkaui batas melukis lakaran dan memotong fabrik. Fesyen adalah tentang pemahaman mendalam terhadap sosiologi masyarakat serta psikologi pelanggan. 

Kecintaan Arun terhadap fesyen berakar umbi sejak zaman kanak-kanak, hasil pemerhatian terhadap ibunya yang gemar membelek majalah fesyen dan menempah pakaian daripada tukang jahit. Pengalaman itu membentuk kepekaan Arun terhadap apa yang diinginkan oleh seorang wanita. 

Keserasian & Imaginasi Duo ARUNSAYFULL, Rekaan Arun Martin & Sayfull Eizarm Kini Gah Dalam Industri Fesyen Tanahair
Arun Martin

Bagi mereka, studio pereka sering kali menjadi ‘ruang terapi’ apabila para pelanggan meluahkan pelbagai kisah peribadi, rasa tidak yakin terhadap bentuk badan hinggalah kepada permintaan luar biasa, seperti pelanggan berbadan gempal yang mengidamkan potongan ketat tetapi mahu kelihatan lebih ramping. 

Menghadapi situasi sebegini, mereka berdua bertindak sebagai penasihat profesional. Mereka bijak mengolah potongan, struktur serta ilusi visual agar pelanggan berani melangkah keluar dari zon selesa tanpa mengorbankan keselesaan mahupun integriti dan DNA jenama. 

Ads

Antara pencapaian yang membuka mata khalayak terhadap keupayaan ARUNSAYFULL adalah apabila mereka diberi penghormatan untuk mereka busana buat D.Y.M.M. Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin. 

Peluang keemasan ini bermula apabila rekaan mereka mencuri perhatian Baginda Permaisuri dalam sebuah pertunjukan fesyen. Pihak istana kemudiannya menghubungi pembantu peribadi mereka untuk menetapkan sesi temu janji. 

Cabaran sebenar bermula apabila Baginda Permaisuri memerlukan busana khas untuk digayakan pada majlis sebelah malam, sedangkan sesi fitting hanya berlangsung pada sebelah pagi hari yang sama. Dengan ketangkasan dan kepakaran tinggi, pasukan ARUNSAYFULL berjaya menyiapkan busana berkenaan dalam tempoh beberapa jam sahaja. 

Keperibadian Baginda Permaisuri yang sangat merendah diri serta memiliki cita rasa seni yang tinggi memberikan pengalaman yang amat bermakna buat mereka. Lebih manis lagi, kepercayaan Baginda Permaisuri turut membuka lembaran baharu buat ARUNSAYFULL untuk mengolah fabrik tradisional seperti songket. Ia membuktikan bahawa jenama ini bukan sahaja unggul dalam siluet moden kontemporari, malah mahir memartabatkan warisan busana tradisional yang sarat nilai dan kehalusan seni. 

Keserasian & Imaginasi Duo ARUNSAYFULL, Rekaan Arun Martin & Sayfull Eizarm Kini Gah Dalam Industri Fesyen Tanahair
Sayfull Eirzam

Dunia fesyen sering kali dibayangi gemerlap lensa, hamparan karpet merah dan limpahan pujian. Namun di sebalik segala kemewahan yang terlihat, tersimpan sebuah realiti yang menuntut pengorbanan, disiplin dan ketahanan luar biasa. 

Sayfull berkongsi bahawa kehidupan seorang pereka fesyen menuntut komitmen masa tanpa had. Waktu tidur yang terhad, pengorbanan kehidupan sosial serta berjaga hingga larut malam demi memeriksa perincian produksi di bengkel jahitan menjadi sebahagian daripada rutin harian. 

Ads

Menyokong kenyataan tersebut, Arun menyifatkan usaha membina sebuah jenama fesyen ibarat membesarkan anak sendiri. Ia memerlukan pelaburan kewangan yang kukuh, strategi pemasaran pintar, pengurusan sumber manusia yang rapi serta ketahanan emosi yang tinggi. 

“Ramai hanya melihat sekeping foto kempen atau video pendek di media sosial yang tampak mewah. Tetapi mereka tidak melihat malam-malam kami yang penuh air mata, keletihan fizikal dan pergolakan emosi demi memastikan setiap jahitan dan perincian berada pada tahap sempurna,” luah Arun jujur. 

Menjelang tahun 2025, ARUNSAYFULL membuat keputusan mengejutkan dengan mengumumkan bahawa Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2025 merupakan penampilan terakhir mereka di pentas berprestij itu setelah empat tahun berturut-turut mengambil bahagian.

Keputusan itu dibuat berasaskan prinsip integriti dan aspirasi untuk terus berevolusi. Bagi mereka, pereka fesyen perlu sentiasa mencari atmosfera baharu dan melangkah ke platform yang lebih luas agar tidak terperangkap dalam zon selesa yang sama. 

Mengenai impian masa hadapan, mereka tidak menolak keinginan untuk mendandani bintang antarabangsa seperti Angelina Jolie dan Zendaya. Bagaimanapun, mereka kekal tenang dan menyerahkan perjalanan serta rezeki kepada qada dan qadar Ilahi. 

Menatap perancangan 10 tahun akan datang, ARUNSAYFULL berhasrat memperkukuhkan jenama ini sebagai sebuah legasi yang berdaya tahan, selain menubuhkan sebuah akademi fesyen bagi membuka ruang kepada pelapis generasi muda untuk meneruskan nama ARUNSAYFULL. Pada ketika itu, mereka berdua membayangkan untuk beralih peranan sebagai mentor dan pembimbing. 

Bagi Arun dan Sayfull, kejayaan sebenar bukanlah dinilai berdasarkan kekayaan peribadi semata-mata, tetapi sejauh mana jenama mereka mampu memberi manfaat ekonomi, membuka peluang pekerjaan dan terus menyuntik inspirasi kepada persada seni reka tanah air. 

 

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download sekarang!

KLIK DI SEENI
∞
∞
Ads

Inspirasi Lain

Sentuhan Magis Iman Tang, Arkitek Seni Lanskap Industri Acara Hiburan Tanah...

Di sebalik gemerlap lampu sorot, dentuman muzik dan gema sorakan ribuan peminat yang memenuhi segenap ruang stadium, berdiri seorang arkitek seni yang tenang menyusun...