
Emma Firyana Saroji membuktikan perjuangan hebat selama hampir 20 tahun akhirnya membuahkan kejayaan apabila berjaya meraih gelaran Ratu Boling Padang Dunia. Tenang dan bersahaja, atlet berusia 40 tahun itu kini menduduki ranking pemain boling padang wanita No. 1 dunia selepas lebih dua dekad menggalas nama Malaysia di pentas antarabangsa. Kecemerlangan dan dedikasinya dalam arena sukan turut mendapat pengiktirafan menerusi Nona Sports Icon Award sempena Nona Gala Awards 2026. Di luar gelanggang, beliau turut membina kerjaya bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga menyandang pangkat Sarjan Mejar, membuktikan disiplin dan ketahanan diri menjadi tunjang perjalanan hidupnya.
Di sebalik pencapaian membanggakan itu, perjalanan Ratu Boling Padang Dunia ini tidak dibina dengan kemenangan semata-mata. Ada impian yang mengambil masa hampir 20 tahun untuk digapai, pengorbanan masa bersama keluarga serta kehilangan ayah ketika sedang mengejar salah satu kejuaraan terbesar dalam hidupnya. Setiap pengalaman itulah yang membentuk kematangan Emma, seorang atlet yang percaya kejayaan bukan tentang siapa paling cepat sampai ke puncak, tetapi siapa yang sanggup bertahan sehingga penghujung.

Dilahirkan dalam keluarga sederhana dan merupakan anak keempat daripada lima beradik, Emma mula mengenali boling padang ketika berusia 13 tahun. Kakaknya terlebih dahulu aktif dalam sukan tersebut dan daripada rasa ingin tahu, Emma mula mencuba. Namun daripada sekadar suka-suka, minat semakin bercambah sehingga bakatnya membawa Emma mewakili sekolah, daerah, SUKMA Selangor dan seterusnya menyertai program pelapis negara.
Emma Firyana Saroji, Bakat Boling Padang Sejak Usia 13 Tahun
Apabila berada dalam kelompok atlet elit, Emma Firyana Saroji mula melihat boling padang sebagai sebuah perjalanan hidup. Dia menetapkan sasaran jangka pendek dan panjang, termasuk satu impian yang ketika itu terasa begitu jauh, mahu menjadi pemain No. 1 dunia. Tidak pernah disangka, hampir 20 tahun diperlukan sebelum impian tersebut menjadi kenyataan.
Sukan turut membuka pintu kerjaya apabila pada tahun 2005, Emma menerima tawaran daripada Polis Diraja Malaysia untuk bekerja sambil bersukan. Peluang itu diterima kerana dia sedar kehidupan sebagai atlet mempunyai tempohnya. Pada 2006, Emma diserap sebagai anggota tetap berpangkat konstabel dan terus membina kerjaya sehingga kini menyandang pangkat Sarjan Mejar.
Disiplin sebagai anggota polis dan ketahanan sebagai atlet berjalan seiring, namun asas kekuatan tersebut sebenarnya sudah lama dibentuk di rumah. Arwah ayahnya seorang penjawat awam manakala ibu pula suri rumah. Jika ayah dikenang sebagai seorang yang cukup tegas, ibu menjadi sisi lebih lembut yang mengimbangi didikan keluarga.

Janji Kepada Arwah Ayah, Kekuatan Emma Firyana Saroji
Mengimbau kenangan sewaktu masih remaja, arwah ayah Emma sendiri sering menghantarnya menaiki motosikal ke padang latihan melalui kawasan berbukit. Selesai latihan, ada kalanya Emma perlu berjalan pulang sendiri kerana waktu latihan tidak menentu. Sampai di rumah, penat selepas berlatih bukan alasan untuk meninggalkan tanggungjawab. Kerja rumah tetap perlu diselesaikan.
Dua beranak ini pernah berselisih pendapat apabila Emma memilih memberikan tumpuan kepada boling padang berbanding menyambung pengajian. Arwah ayah akhirnya menerima keputusan Emma dengan satu syarat iaitu suatu hari nanti Emma mesti kembali belajar. Selepas lima tahun berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia, Emma menunaikan janji dengan melanjutkan pengajian ke Universiti Sains Malaysia. Hampir sembilan tahun diambil untuk menamatkannya kerana Emma perlu membahagikan masa antara kerjaya, sukan dan pelajaran.
Namun takdir Tuhan berkata sebaliknya, ayahanda tercinta tidak sempat melihat Emma menggenggam ijazah yang diidamkan. Dalam sebak yang tertahan, Emma melangkah ke pusara demi mengotakan janji yang termeterai. “Saya ingat lagi sehari sebelum majlis graduasi, saya ke sana untuk memberitahu ayah bahawa saya sudah berjaya. Saya cakap, esok nak ambil skrol. Impian dan syarat ayah dulu Emma dah tunaikan.”
Tahun 2015 menjadi titik perubahan terbesar apabila Emma layak menyertai World Champion of Champions. Namun beberapa hari sebelum kejohanan, ayahnya meninggal dunia. Dalam keadaan kehilangan insan tersayang, Emma mahu menarik diri kerana tidak yakin mampu meninggalkan keluarga dan bertanding ketika kesedihan masih begitu segar.
Ibu dan adik-beradik bagaimanapun meminta dia meneruskan perjuangan. Kakaknya mengingatkan bahawa sekiranya ayah masih hidup, beliau pasti mahu Emma pergi. Emma akhirnya berangkat, namun di gelanggang dia bukan sekadar menentang pemain terbaik dunia tetapi sedang bertarung dengan emosinya sendiri.
Setiap kali mahu membaling bola, ingatan terhadap ayah datang menerpa. Ada ketika air matanya mengalir sehingga terpaksa masuk ke tandas untuk menenangkan diri. Selepas beberapa kekalahan, Emma menghubungi kakaknya dan mengakui sudah tidak mampu meneruskan pertandingan. Namun pesan ayah supaya menyelesaikan apa yang sudah dimulakan kembali menjadi kekuatan.
“Main sampai habis. Jangan separuh jalan.”

Emma Firyana Saroji meneruskan perjuangan dan akhirnya muncul juara World Champion of Champions 2015. Kemenangan itu menjadi titik perubahan besar dalam kariernya, sekali gus memperkenalkan nama Emma Firyana dalam arena boling padang antarabangsa.
Tiga tahun kemudian, satu lagi impian menjadi kenyataan apabila Emma memenangi pingat emas Sukan Komanwel Gold Coast 2018 bersama idolanya, Siti Zalina Ahmad. Sejak kecil, Emma mengagumi kejayaan Siti Zalina dan pernah menyimpan impian untuk bermain serta memenangi pingat emas bersamanya. Bertahun-tahun kemudian, mereka akhirnya berdiri bersama sebagai juara.
Kekuatan Keluarga, Rahsia Ketabahan Ratu Boling Padang Dunia
Jika ayah mengajar Emma tentang disiplin, ibu pula mengajarnya menerima kekalahan tanpa kehilangan keyakinan. Setiap kali gagal, pesanan ibunya sentiasa sama, “Tak apa, dah cuba. Tak ada rezeki. Next time kita cuba lagi.”
Kata-kata sederhana itu menjadi pegangan sepanjang bergelar atlet. Emma belajar bahawa kekalahan tidak bermaksud seseorang itu tidak cukup bagus. Prinsip itu pernah diuji apabila namanya tidak disenaraikan ke Sukan Komanwel 2010 selepas empat tahun berusaha merebut tempat. Terlalu kecewa, Emma mahu berhenti tetapi jauh di sudut hati, dia tahu perjuangannya belum selesai. Dia kembali berlatih sehingga berjaya menempatkan diri semula dalam skuad pada 2012.

Kesabaran itu akhirnya membawanya ke kemuncak kerjaya apabila berada di kedudukan nombor satu dunia. Kini cabarannya bukan lagi mengejar kedudukan tersebut tetapi mempertahankan prestasi. Emma memilih untuk tidak terlalu dibebani gelaran, sebaliknya fokus kepada setiap pertandingan. Baginya, semakin lama seseorang bermain boling padang, semakin matang kemampuan mengawal emosi, membaca situasi dan menyelesaikan masalah di gelanggang.
Lebih separuh kehidupannya sudah diberikan kepada sukan. Daripada seorang gadis pemalu, boling padang membawa Emma bertemu pelbagai manusia, mengembara ke luar negara dan belajar berdiri dengan lebih yakin. Namun impiannya tidak berakhir dengan ranking No. 1 dunia.
Bercerita perancangan masa depan, Emma tenang bercerita impiannya. “Apabila tiba waktu untuk meninggalkan gelanggang nanti, saya nak jadi jurulatih dan tubuhkan akademi sendiri. Saya mahu melihat lebih ramai anak muda mengenali boling padang,” ujarnya yang berhasrat mewariskan pengalaman lebih dua dekad kepada generasi baharu.
Penulis & Penyelaras: Norzalina Mohd Alias
Konsep & Arahan Seni: Azniza Aziz
Foto: The Loft Studio
Solekan: Kelrina
Artikel berkaitan: Syamsul Debat, Inspirasi Dari Dunia Perundangan Ke Pentas Dakwah, Kini Penerima Nona Motivator Award

sekarang!

