Ads

Sentuhan Magis Iman Tang, Arkitek Seni Lanskap Industri Acara Hiburan Tanah Air & Serantau

Di sebalik gemerlap lampu sorot, dentuman muzik dan gema sorakan ribuan peminat yang memenuhi segenap ruang stadium, berdiri seorang arkitek seni yang tenang menyusun langkah dalam merevolusikan landskap konsert langsung di Malaysia. Sentuhan magis Nur Iman Tang selama lebih tiga dekad memahat kukuh namanya dalam industri hiburan tanah air dan serantau. 

Melihat kejayaan demi kejayaan konsert berskala mega hari ini, perjalanan Iman Tang sebenarnya berakar daripada kecintaan mendalam terhadap dunia muzik sejak era 90-an lagi. Bermula daripada pentas komuniti muzik underground tempatan, beliau telah menyaksikan evolusi seni muzik dari pelbagai sudut. 

Daripada mengendalikan urusan produksi teknikal dan mendalami selok-belok penerbitan lagu, sehinggalah menguruskan kerjaya barisan artis tersohor, pengalaman lebih 30 tahun yang dimiliki mematangkan karakter dan kariernya. 

 

Sentuhan Magis Iman Tang, Arkitek Seni Lanskap Industri Acara Hiburan Tanah Air & Serantau

 

Ketika remaja lain sekadar berhibur mendengar lagu Melayu dan rock antarabangsa di corong radio atau pita kaset, jiwa seninya sudah terdorong untuk meneroka lebih jauh. “Saya bermula sejak zaman sekolah menengah dengan mendengar muzik tempatan dan antarabangsa. Saya merantau ke Kuala Lumpur kerana mahu menonton gig-gig kecil. Dari situ saya mula belajar dan memahami bagaimana sesebuah persembahan itu dirancang,” kongsi Iman bersahaja. 

Pengalaman demi pengalaman dikutip, sekali gus membina asas kepimpinan dan ketajaman intuisi yang menjadikannya antara penganjur cukup disegani. Prinsip itulah yang melahirkan ICON Entertainment, sebuah entiti pengurusan acara dan konsert yang menjadi penanda aras mutu produksi hiburan bertaraf antarabangsa di Malaysia. 

RESIPI 

Bagi Iman, jurang antara seorang penganjur biasa dengan seorang visionary dalam dunia showbiz terletak pada konsep dan nilai penceritaan. Menurutnya, sesiapa sahaja boleh menyewa stadium, menempah sistem bunyi dan menjual tiket, namun tidak semua mampu menghidupkan roh dan jiwa dalam sesebuah persembahan. 

Ads

“Menganjurkan konsert bukan sekadar artis menyanyi 30 atau 40 buah lagu di atas pentas. Melodi lagu hit tidak boleh diubah, tetapi apa yang membezakannya ialah visual, pencahayaan, LED dan yang paling utama, kawalan emosi penonton.” 

Iman mempunyai resipi tersendiri dalam merangka perjalanan sesebuah konsert. Beliau mengibaratkan konsert sebagai satu perjalanan rasa yang dikemudi secara terperinci, bermula dengan pembukaan bertenaga yang membuatkan ribuan penonton teruja dan menjerit kegembiraan. 

Kemudiannya beralih kepada segmen nyanyian bersama (sing-along), sebelum membawa penonton ke fasa paling intim dan syahdu sehingga mengalirkan air mata, lalu ditutup dengan ledakan keterujaan yang membekaskan senyuman berpanjangan. 

“Saya mahu setiap lagu itu menikam tepat ke dalam sanubari penonton. Apabila 10,000 penonton pulang dengan memori yang terukir di hati, di situlah kepuasan sebenar seorang penerbit konsert,” ujar jejaka tinggi lampai berdarah Tionghua ini. 

DIPLOMASI SENI 

Industri penganjuran konsert berskala besar cukup berisiko dan menuntut ketahanan mental luar biasa. Menggambarkan hakikat sebenar di sebalik tirai pentas, Iman menyamakan pelaburan konsert sebagai satu percaturan yang menuntut keberanian dan kreativiti. 

Ads

Mengimbau pengalamannya pada tahun 1995 ketika menganjurkan konsert sulung, beliau meraih kejayaan memberangsangkan dengan keuntungan puluhan ribu ringgit. Namun, konsert keduanya pula berdepan kegagalan. “Dalam industri ini, ada masa kita menang, seri dan ada masa kita tewas. Yang membezakan kita adalah apa yang kita lakukan selepas kecundang. Kita perlu buat post-mortem, kaji balik adakah kerana harga tiket, tarikh, lokasi atau pemasarannya yang tidak kena?” 

Sentuhan Magis Iman Tang, Arkitek Seni Lanskap Industri Acara Hiburan Tanah Air & Serantau

Memegang erat semangat di sebalik bait lagu legenda kumpulan Queen, The Show Must Go On, Iman sentiasa berpegang bahawa kegagalan bukanlah noktah pengakhiran, sebaliknya pengajaran berharga untuk bangkit. 

Antara pencapaian menyerlah dalam profil kerjaya Iman Tang ialah peranannya sebagai jambatan yang menghubungkan industri muzik Malaysia dan Indonesia. Kepercayaan yang diberikan oleh bintang-bintang tersohor negara seberang seperti Melly Goeslaw, Ahmad Dhani dan Dewa 19 bukanlah sesuatu yang datang bergolek. 

Formulanya terletak pada ketulusan berkomunikasi dan rasa hormat yang mendalam terhadap budaya mereka. “Apabila kita melangkah melepasi sempadan imigresen, kita harus menghormati budaya mereka. Saya belajar bercakap dalam bahasa mereka, memahami cara mereka berfikir dan tidak meletakkan sebarang jurang. Melalui pendekatan ini, batas sempadan seni terhapus, sekali gus membuka ruang pertukaran muzik dan budaya serumpun yang lebih subur dan saling menguntungkan.” 

PERJUANGAN 

Ads

Bukan sahaja aktif membawa nama-nama besar luar negara, Iman Tang juga antara individu yang lantang memperjuangkan kebajikan serta masa depan artis tempatan. Salah satu sumbangan terbesarnya adalah melalui usaha bersama mengusulkan pengecualian duti hiburan bagi konsert artis tempatan kepada pihak kerajaan, yang akhirnya membuahkan hasil menerusi inisiatif Belanjawan Negara. 

Namun, bagi Iman, pengecualian duti tersebut bukanlah peluang untuk meraih keuntungan peribadi semata-mata, sebaliknya perlu dilaburkan semula demi meningkatkan kualiti produksi tempatan. 

“Bila kerajaan memberi kelonggaran cukai hiburan kepada artis tempatan, jangan masukkan duit itu ke dalam poket sendiri. Laburkan semula ke dalam produksi pentas, sediakan skrin LED gergasi, sistem tata cahaya canggih dan visual bertaraf dunia. 

Kita tidak mahu artis tempatan dilayan seperti ‘anak tiri’ berbanding artis luar. Biar penonton melangkah masuk dan berkata, ‘Wow, taraf konsert artis kita sama hebat dengan konsert antarabangsa!’” ujarnya. 

Ini terbukti apabila beliau berjaya menganjurkan konsert berskala mega membabitkan nama-nama tempatan, antaranya sambutan ulang tahun ke-20 kumpulan Hujan yang menghimpunkan 17,000 penonton serta mencatat rekod dalam Malaysia Book of Records, selain perancangan siri konsert sold-out buat kumpulan ikonik KRU di Malaysia dan Singapura. 

“Kadang-kadang kita terpaksa korbankan masa bersama keluarga, terlepas sambutan hari lahir atau tidak sempat beraya demi satu kejayaan. Tetapi saya sentiasa mengingatkan diri, pencapaian hanyalah icing on the cake. Asas dan kek yang sebenar adalah keluarga kita. Ke mana pun kita pergi, keluarga adalah tempat untuk kita pulang.” 

Beliau turut menitipkan pesanan agar sentiasa bersyukur dan tidak mudah merungut tentang kepenatan bekerja. “Jangan sekali-kali kita merungut penat. Kerja kita dalam industri kreatif ini masih dikira bertuah jika dibandingkan dengan mereka yang membanting tulang 12 jam sehari, menyapu sampah seawal jam 4 pagi. Kita menumpang rezeki yang Allah berikan, jadi laksanakannya dengan penuh rasa rendah diri.” 

Berkongsi perancangan masa hadapan, beliau masih menyimpan pelbagai impian besar yang ingin direalisasikan. Antara cita-cita yang sentiasa berada dalam senarai impiannya adalah mementaskan konsert berskala mega buat ikon hip-hop tanah air, Malique dan semestinya, Celine Dion. 

“Bermimpi itu percuma. Selagi bernyawa, saya akan terus mencabar diri untuk membawa sesuatu yang segar dan membanggakan untuk industri kita. Legasi terbaik bukanlah sanjungan, tetapi doa dan ingatan tulus daripada mereka yang pernah bekerjasama dan merasai keindahan seni yang kita hidangkan,” akhiri Iman. 

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download sekarang!

KLIK DI SEENI
∞
∞
Ads

Inspirasi Lain

Emma Firyana Saroji

Emma Firyana Saroji, Perjuangan Hebat Mengejar Gelaran Ratu Boling Padang Dunia

Di sebalik kejayaan Emma Firyana Saroji sebagai ratu boling padang dunia, tersimpan kisah perjuangan hampir 20 tahun, kehilangan ayah tercinta dan janji yang menjadi kekuatan untuk terus melakar kejayaan.