
Lebih lima dekad menabur bakti dalam dunia muzik, perjalanan seni Dato’ Ramli Mohd Salleh atau mesra dikenali sebagai Ramli MS terbina atas disiplin, kecintaan terhadap ilmu serta keberanian menentukan arah hidup sejak usia belasan tahun.
Sebagai anak kedua merangkap anak lelaki sulung dalam keluarga, Dato’ Ramli memikul tanggungjawab besar terhadap keluarga dan adik-beradiknya sejak usia muda. Ketegasan dan disiplin yang tertanam dalam dirinya menjadi kekuatan penting dalam membentuk peribadi serta perjalanan kariernya sehingga berjaya menempa kedudukan dalam industri muzik tanah air.
Mengimbau perit jerih sebelum namanya gah di persada seni, figura ini tanpa berselindung menyingkap lembaran hidup sukar yang tidak diketahui umum. Dato’ Ramli membesar di Singapura dan mengakui tidak berpeluang menikmati pendidikan formal yang sempurna. Namun, kekurangan itu tidak pernah membataskan keinginannya untuk menimba ilmu dan mencorak masa depan dengan caranya sendiri.
“Saya sekolah sampai Darjah Enam saja. Ketika umur 14 tahun, saya pegang gitar yang diberi oleh uncle saya. Masa itu saya cakap, This is my career. Daripada situ saya bekerja keras,” telusnya.
Keterbatasan pendidikan formal tidak pernah mematahkan cita-cita Dato’ Ramli untuk mengejar impian dalam dunia seni dan muzik. Tanpa ruang pembelajaran sempurna, beliau memilih mencipta jalannya sendiri melalui pembacaan, latihan dan pemerhatian terhadap individu yang lebih berpengalaman sebagai medan menimba ilmu.
Beliau turut menghabiskan masa sehingga lapan jam sehari di Singapore National Library semata-mata untuk membaca buku berkaitan muzik kerana di situlah antara sumber ilmu percuma yang mampu dicapainya.

“Ada perkara orang ambil masa bertahun-tahun untuk belajar, saya cuba pendekkan masanya kerana saya tidak ada pilihan. Saya sudah decide, this is my career. You have to work hard. That’s it.”
Dalam perjalanan menuntut ilmu, Dato’ Ramli menganggap dirinya bertuah kerana sering dipertemukan dengan insan yang memiliki pendidikan dan bakat luar biasa dalam bidang seni. Daripada setiap pertemuan itu, beliau memilih untuk belajar, memerhati dan menyerap sebanyak mungkin ilmu yang mampu mengasah kemahiran seninya.
“Tuhan bagi saya laluan yang sangat senang. Tinggal nak rebut atau tak saja. Di Singapura, best man win. When you get half a chance, you better grab it. Apa pun, saya percaya semuanya datang dari Allah. Kalau kita rasa kita bagus, ada orang lagi bagus dalam bidang ini,” titipnya sambil berpesan agar generasi pelapis seni kekal merendah diri.
Pegangan itu terus mengiringi perjalanan seninya sehingga kini. Kata Dato’ Ramli, dunia seni tidak pernah mempunyai siling. Sehebat mana pun pencapaian seseorang, sentiasa ada ruang untuk belajar, memperhalusi kemahiran dan menjadi lebih baik.
“Seni tak ada siling. Kita kena terus belajar dan melihat kejayaan orang lain supaya kita tidak lalai serta ingat kita bagus. Walhal orang lain sudah ke depan. Kalau anda nak ‘selamat’ dalam industri, kejujuran itu penting. Bukan je jujur kepada kerjaya, tetapi juga kehidupan.” Menurutnya, makna kejujuran dalam muzik jauh lebih luas kerana prinsip itu menjadi asas dalam setiap proses penciptaan sesebuah karya.
“Kalau cipta lagu kemudian ambil melodi orang lain dan masuk dalam lagu sendiri, itu tak jujur. Kejujuranlah yang membina kepercayaan orang kepada kita. Kalau kali pertama orang dah tak percaya, they won’t come for second time. Jadi, kena ada jujur dalam semua aspek.”
CABARAN
Peralihan teknologi daripada analog kepada digital pada era 1990-an menjadi antara cabaran besar dalam perjalanan seni Dato’ Ramli. Pun begitu, beliau tidak menolak perubahan tersebut. Sebaliknya, keinginan untuk mendapatkan karakter bunyi yang setanding dengan keaslian analog mendorong beliau mendalami teknologi digital dengan lebih serius.

“Era digital bermula tahun 90-an, saya tak boleh terima sebab saya datang dari dunia analog. Misalnya orang main biola betul-betul depan saya. Bila sampling digital itu masuk, saya susah nak terima. Saya luang masa belajar karakter biola dalam dunia digital untuk cipta macam mana bunyi analog sehingga dapat bunyi yang saya mahukan.”
Prinsip yang sama digunakannya apabila berhadapan dengan teknologi kecerdasan buatan atau AI. Baginya, teknologi bukan pengganti kreativiti manusia, sebaliknya boleh menjadi alat kepada pengkarya yang benar-benar memahami muzik untuk merealisasikan idea dengan lebih tepat.
“Saya suka AI. Pada saya AI itu ‘satu hamba’. Orang biasa mungkin tulis lirik dan dapat hasilnya dari AI. Tapi orang macam saya, saya order ikut prompt apa yang saya nak. Bar nombor satu saya nak piano dengan cello saja. Saya boleh sketch daripada minit zero sampai empat minit, apa yang saya mahu.
Kalau dekat studio dulu saya minta musician, mungkin dia boleh bagi maksimum 70 peratus sebab human. Yang ini mesin, dia boleh beri lebih. Asalkan prompt saya tahu apa yang saya mahu,” telusnya yang pernah merangkul anugerah Lifetime Achievement Prestigious Leader in Music Industry daripada MPIA dan beberapa kali memenangi anugerah Susunan Muzik Di Dalam Lagu Terbaik di Anugerah Industri Muzik (AIM).
PENCAPAIAN
Atas sumbangan besarnya dalam industri seni dan hiburan, Dato’ Ramli menerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Dato’ pada tahun 2011. Biarpun sudah menempa nama dan meraih pelbagai kejayaan, maestro muzik ini mengakui masih banyak yang mahu diterokainya dalam dunia muzik.
Meskipun sudah mengendalikan pelbagai orkestra, konsert dan produksi berskala besar, Dato’ Ramli tidak pernah menganggap pencapaiannya sudah memadai. “Saya tak pernah puas kerja saya. Tak pernah puas dari segi pencapaian. Like I said, saya hanya sekecil kuman. Ada banyak benda lagi yang boleh dicapai.”

Sementara itu, berbicara mengenai persaraan dan legasi yang mahu ditinggalkan, jawapan Dato’ Ramli cukup tegas. “Saya tak bersara. Kerja seni ini, anda tak boleh bersara. Kerja kami ibarat macam tukang jahit. Orang datang dan saya ‘ukur’ diri mereka. Setiap orang ukuran lain-lain. Bila klien datang, kemahuan mereka terhadap muzik tak sama. Jadi macam mana saya nak jelak?,” tuturnya.
Beliau turut melahirkan rasa kagum terhadap komposer agung Beethoven yang masih mampu berkarya biarpun kehilangan pendengaran.
“Beethoven pekak. Tapi dia masih boleh arrange and compose muzik sebab dia melihat bunyi. Orang seperti kami melihat bunyi, bukan sekadar mendengar,” terang Dato’ Ramli yang dilantik sebagai Profesor Adjung Fakulti Muzik di Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada 19 Oktober 2026.
Pengiktirafan itu diberikan kepada Dato’ Ramli atas sumbangan besarnya dalam menyerlahkan kreativiti, integriti dan inovasi serta usaha mengangkat industri muzik negara ke peringkat antarabangsa. Sebagai Profesor Adjung di Fakulti Muzik UiTM, beliau memainkan peranan dalam membimbing pelajar dan warga akademik menerusi perkongsian pengalaman serta realiti sebenar dunia seni dan hiburan.
“Pelantikan sebagai Profesor Adjung ini bukan semata-mata kerana gelaran. Tetapi ia lebih kepada tanggungjawab. Saya tak bangga diri dengan gelaran Profesor. Sebaliknya lebih memikirkan tanggungjawab untuk membantu pelajar bidang muzik ini mendapat tempat dalam industri kelak,” akhirinya.
Artikel https://www.nona.my/33-penerima-nona-gala-awards-2026/

sekarang!

