Ads

Digelar ‘Tom Holland & Zendaya’ Malaysia, Aura Dan Pesona SYAFIQ KYLE & MIMI LANA Terus Dipuja Ramai

Aura Syafiq Kyle dan Mimi Lana bukan sekadar menyerlah di layar perak, malah pesona mereka turut mencuri perhatian dalam dunia fesyen. Setiap kali melangkah ke karpet merah mahupun menghadiri acara fesyen, ada keserasian tersendiri yang sukar diungkapkan. Moden, sofistikated dan cukup bersahaja, tidak hairanlah pasangan suami isteri berusia 34 dan 30 tahun ini sering menjadi pilihan jenama fesyen terkemuka. 

Dalam dunia fesyen yang sentiasa berubah, pasangan ini tidak terlalu mengejar trend. Syafiq Kyle dan Mimi Lana lebih selesa menjadikan fesyen sebagai cerminan diri, memilih helaian yang dekat dengan personaliti, selesa digayakan dan tetap relevan dengan cita rasa generasi masa kini. 

Menyentuh soal definisi gaya peribadi, bagi Syafiq atau nama sebenarnya Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak, beliau selesa tidak mengenakan perincian keterlaluan untuk tampil maskulin. Cita rasanya lebih terarah kepada sentuhan classic gentleman iaitu potongan kemas, seluar berpotongan rapi serta gabungan helaian asas yang tidak lapuk dek zaman. 

Bagi Mimi Lana atau Mimi Rozaiana Zainal Abidin pula, beliau memandang busana lebih daripada sekadar helaian kain di tubuh. “Fesyen bukan sekadar memilih dan membeli pakaian, tetapi ia tentang mengekspresikan siapa diri kita sebenarnya,” ujar aktres jelita berketinggian 178 cm ini. 

Kedua-duanya berpegang teguh pada prinsip less is more. “Keanggunan seorang wanita terpancar apabila busana yang digayakan menyatu harmoni dengan personaliti, bersesuaian dengan suasana acara, dan yang paling utama, memberikan keyakinan penuh kepada si pemakai,” 

Digelar 'Tom Holland & Zendaya' Malaysia, Aura Dan Pesona SYAFIQ KYLE & MIMI LANA Terus Dipuja Ramai

Mimi mengakui situasi luar jangkaan sering berlaku walaupun persiapan rapi telah diatur berminggu-minggu lebih awal. Daripada fabrik yang rosak akibat terlebih seterika hinggalah perincian yang terlucut pada saat-saat akhir, kunci ketenangan baginya adalah sentiasa mempunyai contingency plan. 

“Saya lazimnya menyediakan dua hingga tiga back up options setiap kali menghadiri acara berskala besar.” Bercakap mengenai penampilan yang paling sukar dilupakan, Mimi mengimbas kembali keberaniannya memotong rambut dengan gaya mullet yang edgy. Langkah berani itu mengubah persepsi ramai terhadap imejnya yang sebelum ini sering sinonim dengan keanggunan feminin. 

Ads

KRITIKAN 

Kemesraan dan keserasian pasangan ini terserlah apabila berkongsi kisah di sebalik almari pakaian mereka. Syafiq mendedahkan bahawa sekitar 70 peratus ruang bilik pakaian didominasi koleksi Mimi, manakala ruang untuk dirinya hanya berbaki 30 peratus. Syafiq yang terkenal dengan kecintaannya terhadap koleksi kasut, daripada rekaan gentleman, loafers hinggalah kasut sniker santai, sering menjadi ‘mangsa’ usikan isteri di rumah. 

Digelar 'Tom Holland & Zendaya' Malaysia, Aura Dan Pesona SYAFIQ KYLE & MIMI LANA Terus Dipuja Ramai

Seiring populariti gaya unisex dan potongan oversized, Mimi yang cukup mengagumi gaya Hailey Bieber mengakui kerap ‘merembat’ helaian pakaian suaminya. Daripada kemeja-T bersaiz besar, cermin mata hitam, topi hinggalah stoking, semuanya digayakan Mimi dengan sentuhan tersendiri yang cukup bersahaja namun kekal chic. 

Sebagai figura awam yang menjadi rujukan ramai peminat, khususnya generasi muda, Syafiq dan Mimi sedar setiap gerak-geri serta penampilan mereka sentiasa diperhatikan. “Kami memilih untuk bersikap terbuka dan tenang. Kritikan menjadi ruang muhasabah diri demi memperbaiki penampilan, namun kami bersyukur ada yang menegur tandanya mereka mengambil berat,” ujar Syafiq yang sering kali memerhatikan gaya kontemporari Tom Holland, Jacob Elordi dan Awal Ashaari. 

Ads

Sebagai pelakon yang mementingkan penghayatan mendalam, mereka turut mengakui penggambaran filem atau drama berdurasi panjang kadangkala meninggalkan ‘kesan sampingan’ terhadap gaya dan fesyen harian. 

“Tempoh berbulan-bulan di set boleh membuatkan kami terlalu selesa dan terbawa-bawa pakaian watak di dalam filem mahupun drama seperti menyarung selipar dan seluar longgar, sebelum perlahan-lahan kembali kepada identiti diri,” akui Syafiq. 

FASA BAHAGIA 

Pejam celik, sudah lebih setahun usia perkahwinan pasangan kesayangan ramai ini. Selamat diijabkabulkan pada 14 Februari 2025, Mimi yang dahulunya cukup sinonim dengan watak wanita kental dan berdikari kini menikmati fasa bahagia sebagai seorang isteri. 

“Saya bersyukur kerana ada tempat untuk berkongsi segalanya, ada seseorang yang saya boleh hormati dan pandang tinggi, serta melindungi walau dalam apa jua keadaan,” ujar Syafiq jujur. Menurut Naib Juara Hero Remaja 2012 ini pula, perubahan sikap Mimi selepas berkahwin jelas kelihatan, terutamanya dalam perkara-perkara kecil seharian. “Masa zaman bujang dulu, botol sos pun dia boleh buka sendiri. Tapi lepas kahwin nak buka penutup botol sos pun dah tak boleh. 

Ads

Digelar 'Tom Holland & Zendaya' Malaysia, Aura Dan Pesona SYAFIQ KYLE & MIMI LANA Terus Dipuja Ramai

“Kami bercinta selama sembilan tahun dan masuk tahun ke-10 barulah kami berkahwin. Tentu sekali ada banyak perkara yang kita tidak tahu sebelum ini, baru kita jumpa selepas berumahtangga,” kongsi Syafiq. 

Bercakap tentang kunci keharmonian rumah tangga, mereka berdua meletakkan keterbukaan dan komunikasi dua hala sebagai teras utama. “Bagi kami, perkara paling penting ialah komunikasi dan konfrontasi yang sihat. Kalau ada perkara yang kita rasa tidak selesa atau janggal, kita kena terus utarakan dan berbincang secara matang,” tambah Mimi pula. 

Menyentuh keperibadian Mimi selepas sah bergelar isteri, Syafiq kagum terhadap dedikasi serta etika kerja suri hatinya itu. Malah, dia menyifatkan Mimi sebagai seorang wanita yang bersemangat kental dan memiliki tenaga luar biasa. 

“Bila dah kahwin, baru saya sedar Mimi sebenarnya seorang yang sangat workaholic. Dia sentiasa mahu menyibukkan diri dengan pelbagai urusan kerja dan tenaganya jauh lebih bertenaga daripada saya. Memandangkan kami berdua aktif dalam industri, kadang-kadang dalam seminggu kami hanya sempat berjumpa beberapa hari sahaja di rumah untuk berehat dan tidur, sebelum masing-masing bergegas keluar menyambung komitmen penggambaran keesokan paginya,” ujarnya sambil tersenyum. 

Dengan kedua-duanya aktif dalam industri seni dan jadual kerja yang padat, Syafiq dan Mimi kini belajar mencari keseimbangan antara tuntutan kerjaya dan masa bersama. Selepas sembilan tahun bercinta sebelum mendirikan rumah tangga, kehidupan sebagai suami isteri turut membuka ruang buat mereka mengenali sisi baharu pasangan masing-masing. 

 

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download sekarang!

KLIK DI SEENI
∞
∞
Ads

Inspirasi Lain

Keserasian & Imaginasi Duo ARUNSAYFULL, Rekaan Arun Martin & Sayfull Eizarm...

Dunia fesyen tanah air sentiasa berevolusi, namun tidak ramai yang mampu bertahan dan kekal relevan mengharungi gelombang industri yang kompetitif. Mempertaruhkan bakat, keberanian serta...