Siapa yang tidak kenal dengan Pakar Pemasaran No. 1 Asia dan Mentor Usahawan, figura Datuk Wira Dr. Azizan Osman individu hebat ini berjaya melahirkan ratusan ribu usahawan yang berjaya mulakan dan bina bisnes dalam pelbagai industri.
Selain kejayaannya mengemudi empayar Richworks International Sdn Bhd, syarikat latihan dan bimbingan Usahawan Jutawan terbesar dan paling berjaya di Malaysia dalam bidang pembangunan keusahawanan, penjenamaan, pemasaran dan kepimpinan, figura hebat ini seringkali dijadikan sumber inspirasi bukan semata kejayaan dalam perniagaan tetapi pada keterampilan.
Ads
Melihat pada susuk tubuh Datuk Wira Dr. Azizan semasa persidangan program Pesona Leadership yang berlangsung pada baru-baru ini, penulis cukup mengagumi penampilan beliau yang dilihat kian langsing dan lebih berkeyakinan. Sempat penulis menemubual beliau tentang ‘journey’ nya dalam menurunkan berat badan. Apa yang menyebabkan Dr. Azizan berazam menurunkan berat badan, soal penulis membuka bicara.
“Seperti yang ramai tahu, saya pernah hampir mati disebaban COVID. Dan selepas sembuh dari COVID itu, kesihatan saya mulai teruk. Gula dalam darah naik, saya tak boleh bernafas untuk beberapa bulan. Sebelum ini, saya pernah beberapa kali cuba untuk menurunkan berat badan tapi macam yoyo, kejap turun kejap naik. Tapi kali ini, kesedaran ini Allah bagi ibarat peluang kedua di mana saya berada di ‘point’ yang muktamad, di mana saya mesti kena jaga kesihatan. Jadi saya pun nekad untuk memperbaiki pengambilan kalori dan lain-lain. Dan kalau saya tak cuba sekarang, bila lagi”
Ads
Apa pula tip yang diamalkan oleh Dr. Azizan dalam misi mendapatkan tubuh idaman? “Begini ya. Apa saja ‘method’ semua orang boleh kongsi seperti diet suku-suku separuh, kurangkan pengambilan kalori, berjalan 10,000 langkah dan lain-lain. Semuanya ok. Tapi sebenarnya anda boleh cuba apa saja cara, matlamatnya hanya satu; fokus, komited, disiplin dan buat sampai habis. Saya pun tak habis lagi ni, saya saya ada 20/30 kilo lagi”.
Jadi apa saranan yang boleh dikongsikan buat mereka yang mempunyai masalah berat badan seperti Dr dulu? “Pertama kesedaran. Kerana jika tiada kesedaran, memang tak jadi apa. Kemudian perasaan nekad itu perlu ada. Saya fikir jika saya tidak menjaga sekarang, pasti tak mudah nanti. Apatah lagi usia kita yang semakin “muda”. Yang paling saya takutkan adalah masalah kencing manis bawa kepada dialisis. Saya pun dah berusia, jadi apa-apa pun kesedaran itu penting, bila kita sedar kita akan cari jalan”, ulas Dr Azizan mengakhiri temubual.
Usaha tangga kejayaan! Biarpun menghidap kanser kolon atau usus tahap empat sejak dua minggu lepas, ia bukan halangan buat Dr Anis Mardiana Abdullah hadir bagi mengambil skrol Ijazah Doktor Falsafah (PhD) pada Konvokesyen ke-95 Universiti Teknologi Mara (UiTM), hari ini.
Anis Mardiana, 45, yang dikhabarkan tidak boleh berdiri dalam tempoh lama akibat daripada penyakit yang dihadapinya itu, tetap mengagahkan diri berdiri ketika menerima skrol PhD dalam bidang pengangkutan dan logistik daripada Pro-Canselor UiTM, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.
Penerima Anugerah Hadiah Buku Inovasi Malaysia Technology Development Corporation (MTDC) itu berkata, dia enggan menggunakan kerusi roda kerana tidak mahu menyusahkan orang lain malah masih merasakan mampu berdiri walaupun dalam tempoh sekejap. “Saya tidak sangka dapat anugerah ini (dalam keadaan kesihatan tidak menentu). Alhamdulillah segalanya berjalan lancar (konvoksyen).
“Semasa sambung belajar, tiada simptom teruk, ada sikit-sikit termasuk tangan menggeletar bila menulis… saya ingat stres belajar tetapi sekarang ini baru saya tahu keadaan kesihatan saya agak teruk.
“Selepas tamat belajar, saya buat pemeriksaan..doktor sahkan kanser tiroid. Saya ingat setakat itu saja tetapi keadaan kesihatan masih tidak baik, jadi dua minggu lalu selepas buat pemeriksaan, saya didiagnosis kanser kolon tahap empat,” katanya ketika ditemui selepas istiadat konvokesyen itu, hari ini.
Katanya, dia akan meneruskan rawatan dan menjalani pembedahan berkaitan penyakitnya itu di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, minggu depan. Mengulas mengenai pengajiannya pula katanya, pengalaman sebagai pegawai di Kementerian Kewangan amat membantunya, begitu juga sokongan keluarga terutama suami dan anak tunggalnya.
“Kepada adik-adik yang sedang meneruskan pengajian PhD, jangan putus asa. Mungkin ramai beranggapan apabila membuat PhD ini umpama ‘lonely journey’.
“Sebenarnya adalah mudah apabila kita mencari kawan dan baik dengan penyelia kita dalam menyelesaikan tugasan,” katanya.
Sumber: Harian Metro dan Berita Al Hijrah
***
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tahun lalu merupakan detik paling getir buat wanita berusia 40an ini apabila diuji dengan kanser payudara. Sesuatu yang tak pernah terlintas di fikiran kerana tiada sejarah dalam keluarganya yang menghidap kanser yang menjadi ‘musuh’ paling digeruni setiap wanita.
Finalis Anugerah Wanita Cemerlang Nona yang juga pengasas Elite Group of Consultants dan Elite Wealth Advisors, Dr Siti Zainab Mohd Zaini atau terkenal dengan panggilan Bochi ini tidak patah semangat sebaliknya positif dengan apa yang berlaku selain pasrah dan percaya dengan hikmah Allah SWT. Berkat kesabaran dan semangat yang tinggi kini Dr Siti Zainab mampu tersenyum apabila disahkan sembuh sepenuhnya daripada kanser payudara.
“Saya dilahirkan dalam keluarga yang kuat bekerja. Abah seorang petugas kerajaan di siang hari dan berniaga satay pada waktu malam. Begitu juga ibu siang bekerja di kilang, malam membantu Abah menjual satay di samping bekerja sampingan sebagai ejen jualan langsung demi menyara kami 4 beradik. Jelaslah darah workhalic sudah mengalir dalam diri saya sejak kecil.
Ceritanya bermula apabila tahun lalu, saya melakukan rutin pemeriksaan kesihatan termasuk mammogram dan pap smear di KPJ Ampang Puteri. Keputusan secara keseluruhannya perfect tapi keputusan mammogram dan ultrasound pula sebaliknya. Terdapat satu ketulan kecil di payudara kanan. Saya dirujuk kepada pakar dan disyor melakukan pembedahan kecil iaitu biopsy bagi mengenal pasti ketulan itu dengan lebih terperinci.
Hari pertama saya didiagnos kanser, doktor mencari punca dengan interview saya lebih mendalam kerana tiada dalam sejarah keluarga saya yang mengidapnya. Point seterusnya doktor kaitkan dengan cara hidup saya. Menurutnya seorang yang workaholic, kurang rehat, pemakanan tak seimbang dan kurang bersenam antara sebab. Begitu juga dengan kerohanian semuanya perlu seimbang.
Walaupun mulanya agak terkejut namun saya pasrah dengan ketentuanNya. Saya mesti berjuang dan positif untuk beri semangat kepada keluarga. Saat merasa sakit, saya ingatkan diri ia hanya sementara dan membayangkan masa depan yang sihat dan bahagia. Maka bermulalah perjalanan saya sebagai pesakit kanser payudara yang perlu menjalani rawatan susulan dan pembedahan sehinggalah disahkan sembuh baru-baru ini.
SEMBUH
Syukur, pada Julai 2020 doktor memaklumkan saya sudah sembuh setelah melalui 6 cycle kemoterapi, 15 kali radioterapi dan setahun rawatan susulan. Satu pengalaman ‘perit’ yang tiada seorang pun mahu melaluinya. Namun, ia mengajar saya agar menghargai kehidupan sebaiknya. Sepanjang bergelar seorang pejuang kanser inilah 7 prinsip yang saya amalkan.
Pertama, pentingnya pemeriksaan kesihatan menyeluruh dibuat setiap tahun. Kebanyakan penyakit dalaman tidak menunjukkan tanda-tanda sehinggalah dah sampai ke peringkat serius. Bagi wanita bila dah berumur 40 tahun perlu menjalani pemeriksaan mammogram bagi mengesan kanser payudara di peringkat paling awal iaitu sebelum ketumbuhan dapat dirasai.
Kedua, peka dalam pemakanan. Tukar kepada yang lebih sihat agar lebih bertenaga dan dapat menstabilkan berat badan ke paras ideal. Saya juga bertemu dengan pakar diet. Selain belajar tentang pemakanan sihat saya juga belajar mengira kalori.
Saya juga jadikan senaman sebagai rutin seperti Zumba atau latihan regangan, minimum 20 minit sehari. Saya rasa lebih kuat, badan lebih ‘ringan’ dan mudah tidur lena di waktu malam. Bersenam menjadikan jantung kita lebih sihat, awet muda, mengurangkan risiko penyakit dalaman, menguatkan tulang dan stamina.
Seterusnya, tidur yang cukup. Dulu saya terlalu workaholic, kerja sampai 16 jam sehari pun ada. Kini saya tidur dalam 4 ke 5 jam sehari saja. Atas nasihat doktor saya mula berehat dan tidur pukul 11 malam. Keesokannya bangun pada pukul 5 pagi.
Urusan perniagaan saya hadkan kurang dari 8 jam sehari agar banyak masa dengan keluarga termasuk aktiviti bersama rakan-rakan, persatuan dan kebajikan. Saya amalkan work ife balance, bukannya berapa banyak masa yang kita kena fokus untuk sesuatu urusan. Yang penting kualiti kerja dan usaha kita.
Secara tak langsung saya belajar bagaimana menguruskan stres termasuk kurangkan banyak berfikir sebab saya ini pemikir orangnya. Jadi, dugaan kanser mengajar saya untuk nikmati kehidupan dengan lebih ceria, gelak tawa, menganggap sesuatu masalah kecil saja serta sayangi keluarga, rakan dan orang di sekeliling.
SUAMI SENTIASA DI SISI
Dari hari pemeriksaan sehingggalah keluar keputusan pemeriksaan dan biopsy suami sentiasa di sisi. Suami banyak memberi nasihat, dorongan dan kata-kata semangat agar saya terus berjuang dan kembali sihat.
Antara kata-kata semangat suami kepada saya ialah “Kita cari ubat, kita ikut cakap doktor”. Suami turut membawa saya bertemu dengan sahabat baik saya, Dr. Nor Aniza yang juga seorang pejuang kanser bagi bertanyakan pendapat dan nasihat. Selain suami, dua anak saya iaitu Iskandar dan Natasha juga sumber kekuatan saya.
Selain itu, semangat dan perkongsian yang diberikan oleh para pejuang kanser yang lain turut menjadikan saya semakin kuat. Saya terus memberikan inspirasi, semangat dan ilmu kepada orang lain melalui persatuan-persatuan kanser serta taklimat kesedaran tentang barah payudara di sosial media dan jemputan di majlis-majlis ilmu.
KERJAYA
Syarikat saya baru melancarkan Pelan IFP dan Elite Perihatin sempena meraikan 20 tahun berada dalam industri pengurusan kewangan. Pelancaran itu sejajar dengan permasalahan semasa iaitu perancangan kewangan yang efektif di kala COVID 19 dan bantuan serta idea menambah baik kewangan kepada mereka yang terjejas teruk. Selari dengan projek Penjana, saya juga menyambut baik saranan kerajaan untuk mengambil dan melatih seramai mungkin mereka yang telah hilang pekerjaan.
SOKONG KEMPEN PINK RIBBON
Tak ramai yang peka tentang kanser serta tabiat dan pola pemakanan yang betul. Kempen ini perlu beri tumpuan kepada pesakit kanser kerana ramai lagi di luar sana masih tak tahu untuk menguruskan dengan betul, baik pesakit mahupun penjaga itu sendiri. Semoga perjuangan saya ini memberi inspirasi kepada para pesakit kanser untuk berusaha ke arah kesembuhan. Usah berputus asa.”
Kredit Foto: Instagram @drsitibochi.skillmentor
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Korea Selatan merupakan negara pertama yang melaporkan bilangan kes COVID-19 di luar China serta antara yang terjejas teruk.
Kina Omar, anak kelahiran Malaysia yang mengusahakan industri pelancongan Jeju Muslim Travel di negara tersebut bersama suami turut merasai kesannya. Sebagai seorang yang telah lama menghuni bumi Korea Selatan, Kina berkongsi sedikit sebanyak tentang keadaan terkini di Korea Selatan.
“Walaupun Korea Selatan kesnya agak tinggi tetapi di Pulau Jeju hanya terdapat empat kes positif COVID-19. Namun kini keempat-empatnya sudah kembali pulih.
Kini keadaan sangat terkawal. Semua masyarakat di Korea Selatan mengikut arahan dengan menjaga keselamatan diri serta keluarga. Mereka sentiasa memakai topeng muka serta hand sanitizer walaupun sedang bekerja di dalam pejabat.
Antara langkah-langkah pembendungan yang dilakukan oleh kerajaan agar wabak COVID-19 tidak merebak dengan lebih serius ialah semua restoran serta kedai tidak membenarkan warganegara China memasuki premis mereka.
Selain itu, untuk mengekang wabak COVID-19 daripada terus menular kerajaan Korea Selatan turut menyekat kemasukan warganegara China. Korea menarik free-entry visa untuk seluruh warganegara kecuali Malaysia.
Ini bermaksud semua warganegara memerlukan visa untuk memasuki Korea kecuali warganegara Malaysia.
Keadaan di Jeju lengang, tiada pelancong dan ramai yang stay indoor walaupun negara tersebut tidak melakukan lockdown. Seperti mana kita tahu masyarakatnya sangat berdisiplin.
BISNES PELANCONGAN TERJEJAS
Industri pelancongan antara yang paling terkesan dengan wabak COVID-19 ini. Bisnes pelancongan kami, Jeju Muslim Travel turut terima tempiasnya. Syarikat kami menerima jumlah pembatalan dan penangguhan trip yang terlalu tinggi. Sejak minggu kedua bulan Mac semua trip dibatalkan. Kami kehilangan lebih 1.000 orang pelanggan dalam masa 2 bulan.
Syarikat kami mengalami banyak kerugian sehingga menyebabkan Jeju Muslim Travel terjejas dan hilang sumber pendapatan. Kami juga terpaksa memberhentikan beberapa orang pekerja.
Bisnes kami adalah dalam sektor pelancongan (tour, kereta sewa dan guesthouse). Semuanya tiada income. Dijangkakan keadaan ini akan berterusan di Korea Selatan sekurang-kurangnya setahun baru kembali pulih. Buat masa ini kami berada dalam fasa survival.
PERSEDIAAN
Alhamdulillah saya dan suami tetap bersyukur kerana kami ada membuat simpanan dan tidak berbelanja dengan boros ketika perniagaan masih dalam keadaan stabil. Justeru, kami menggunakan wang simpanan sedia ada untuk survive.
Di saat semua agensi pelancongan memilih untuk menghentikan kerja-kerja pemasaran dan penjenamaan mereka, kami pula giat melakukan kerja-kerja tersebut kerana pada masa inilah iklan-iklan kami di Facebook serta Instagram tiada persaingan.
NASIHAT
COVID-19 memberi impak kepada kita semua, satu dunia terkesan. Jika anda tidak dijangkiti virus COVID-19, anda mungkin akan terkesan dengan hilang pekerjaan, hilang sumber pendapatan, gaji dipotong dan ekonomi negara yang jatuh merudum.
Jika tidak terkesan hari ini, mungkin akan terkesan minggu depan atau bulan depan atau tahun depan (sekiranya COVID-19 masih belum pulih). Oleh itu, marilah kita sama-sama mematuhi arahan PKP untuk kebaikan bersama termasuk frontliners yang sedang berjuang di hospital.
Tinggal di rumah, jaga kebersihan, kekalkan jarak sekurang-kurangnya 1 meter dari orang lain, jangan berjabat tangan dan pakai topeng muka. Hand sanitizer sentiasa ada apabila keluar rumah. Together we can fight this virus!
Kesimpulannya, saya menganggap COVID-19 ini sebagai satu ‘blessing in disguise’. Sejak tahun lepas lagi, saya berdoa kepada Allah SWT semoga ada masa untuk luang lebih banyak masa bersama keluarga. Dapat berehat kerana saya sudah penat bekerja selama lima tahun.
Tiba-tiba tahun ini Allah SWT ‘datangkan’ COVID-19. Walaupun Jeju Muslim Travel terkesan teruk dengan wabak ini, tetapi saya anggap Allah SWT telah memakbulkan doa untuk dapat meluangkan lebih banyak masa bersama anak dan keluarga.
Sejak PKP dilaksanakan, setiap hari saya dapat memasak untuk keluarga. Selain dapat menyediakan menu yang berbeza setiap hari, saya juga dapat menumpukan perhatian yang lebih kepada anak sambil melayannya bermain serta melakukan banyak aktiviti bersamanya.
Paling seronok kini saya dan suami dah kurang bercakap hal-hal kerja. Terima kasih Allah, inilah kebahagiaan yang kami tak dapat waktu bisnes tengah naik sebelum ini. Apa yang berlaku ada hikmahnya. Cari titik positif di setiap musibah yang berlaku. Pasti kita akan merasa bahagia dan sentiasa bersyukur,” akhiri Kina yang kini berada di Malaysia bersama keluarga tersayang.
Kredit Foto: Instagram Kina Omar
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!