Memiliki rumah dengan dekorasi yang menarik menjadi dambaan semua orang. Bukan hanya sedap dipandang mata bahkan ia juga mampu mencipta keselesaan sepanjang di dalam rumah. 8 trik ini boleh dicuba agar dekorasi kediaman terlihat semakin chic!
PINTU UTAMA BERWARNA
Mengikut kepercayaan sesetengah budaya, merah merupakan warna simbol kepada tuah. Pintu berwarna merah diandaikan sebagai satu ungkapan ‘selamat datang’. Selain warna merah, dua warna pilihan lain yang banyak digunakan pada pintu utama ialah jingga dan kuning yang melambangkan kepada kebahagiaan serta kehangatan.
DINDING BERWARNA NEUTRAL
Menggunakan warna beige ataupun kelabu sangat sesuai diaplikasikan pada lantai pertama rumah bagi memudahkan anda untuk mengemaskini aksesori-aksesori ruangan supaya ianya sentiasa kelihatan baharu.
SUSUN ATUR SOFA SALING BERHADAPAN
Ads
Salah satu trik untuk menjadikan ruang tamu lebih hangat ialah dengan menyusun atur sofa saling berhadapan. Model kumpulan yang dipilih boleh berbentuk U dengan sofa panjang di hadapan coffee table dikelilingi dengan kerusi-kerusi lain yang lebih kecil. Atau, boleh juga dengan susun atur berbentuk H dengan sofa panjang saling berhadapan dengan sofa kecil, manakala coffee table di bahagian tengah. Kedua-dua model ini memudahkan penghuninya bersantai sambil duduk di sofa.
MENUKAR LANGSIR LAMA
‘Blank windows always better than ugly windows’. Sekiranya anda ingin menukar langsir pilihlah yang diperbuat daripada material kapas, linen ataupun sutera agar jendela anda kelihatan lebih indah.
Ads
GANTUNG CERMIN DI SETIAP RUANG
Cermin yang memantulkan cahaya boleh dimanfaatkan sebagai ilusi supaya ruang rumah kelihatan lebih luas. Namun begitu, kedudukan cermin yang kurang tepat boleh menjadikan ruang kelihatan kurang menarik berbanding daripada sebelumnya. Maka, letakkan cermin tegak lurus dengan tingkap. Pastikan tidak meletakkannya tepat berhadapan dengan tingkap kerana cahaya yang masuk akan dipantul keluar semula oleh cermin.
LUKISAN DI SETIAP DINDING
Ads
Agar lukisan kesayangan anda kelihatan eye-catching di dinding kedudukannya haruslah diperhatikan. Cari titik tengah lukisan kerana titik tersebut perlu berada tepat pada garis mata anda. Gantungkan lukisan setinggi garis mata agar mudah dilihat. Untuk dinding yang besar pilihlah lukisan dengan ukuran yang besar, ataupun anda juga boleh menggabungkan beberapa lukisan kecil menjadi satu kumpulan.
KARPET BAWAH SOFA
Selalu perhatikan panduan asas dalam menempatkan karpet di bawah sofa khususnya untuk ruang tamu, kaki sofa dan kerusi dalam satu kumpulan haruslah boleh masuk dalam satu karpet besar. Karpet perlulah mampu mendefinisikan tempat duduk pada ruang tamu. Paling tidak, dua kaki depan sofa dan kerusi boleh masuk ke dalam karpet. Jika menggunakan karpet yang kecil ruang akan kelihatan berselerak serta tidak kemas.
SUAI PADAN ALMARI TERBUKA
Supaya almari terbuka anda tidak kelihatan terlalu penuh dan berselerak, penuhi almari hanya dengan 50% daripada kapasiti total agar kelihatan lebih lapang dan tersusun. Anda boleh menyusun buku dalam satu rak kecil berbentuk vertikal dan horizontal. Kemudian tambahkan dengan pastu bunga di salah satu raknya. Keadaan akan menjadi lebih kemas dan seragam.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Sekiranya anda peminat filem-filem Bollywood klasik era awal 20-an, sudah pasti anda sudah menonton filem romantik seram Kasoor yang suatu ketika dulu cukup popular ditambah pula dengan lagu-lagunya yang cukup mendayu dan mengalun rasa. Gandingan pertama dan terakhir pelakon kacak Aftab Shivdasani bersama pelakon jelita Lisa Ray arahan Vikram Bhatt itu juga mendapat reviu positif dari pengkritik filem malah sukses dari hasil kutipannya.
Namun sudah agak lama kita tidak mendengar khabar berita dari pelakon utama wanita filem Kasoor, Lisa Ray yang dilihat tidak lagi berlakon dalam mana-mana filem Bollywood selepas kali terakhir muncul dalam filem tersebut.
Sebelum memulakan karier sebagai pelakon, Lisa yang lahir di Kanada itu merupakan seorang model sebelum membuat debut dalam filem Kasoor. Walaupun tidak mampu bercakap dalam Bahasa Hindi, namun persembahan Lisa mendapat perhatian walaupun ketika filem tersebut suaranya dialih suara menggunakan suara pelakon Divya Dutta. Namun apa yang terjadi pada Lisa?
Penampilan Lisa terkini yang kekal jelita dan menawan di usia 50 tahun.
Walaupun kekal aktif dan terlibat dengan projek-projek kecil selepas filem Kasoor, khabarnya Lisa masih lagi aktif di media sosial malah penampilannya tetap anggun di usia 50 tahun.
Sukar untuk dipercayai rupa-rupanya pada tahun 2009, Lisa didiagnos dengan kanser darah myeloma. Ternyata ini merupakan satu tamparan hebat buat Lisa yang ketika itu sedang berusaha menaikkan namanya dalam industri seni Bollywood.
Namun mujurlah pada Krismas 2009, Lisa berusaha untuk kembali sihat dengan menjalani pemindahan sel stem untuk merawat kansernya. Dan pada April 2010, Lisa mengumumkan yang dirinya bebas kanser hasil dari pemindahan itu.
Dan pada Jun 2010, Lisa muncul dalam doku-drama istimewa kanser terbitan UniGlobe Entertainment bertajuk 1a Minute. Dokumentari itu diterbitkan oleh Namrata Singh Gujral dan memaparkan kisah tidak pernah didengari dari para pejuang kanser yang terselamat dari penyakit tersebut, antaranya Olivia Newton-John, Diahann Carroll, Melissa Etheridge, Mumtaz, Bárbara Mori dan Jaclyn Smith.
Dan baru-baru ini, Lisa mengumumkan menerbitkan buku yang ditulisnya sendiri, berjudul LISA RAY CLOSE TO THE BONE yang menceritakan pelbagai kisah suka duka kehidupan Lisa, antaranya pembabitan awal beliau dalam arena filem Bollywood, perhubungan dia dengan ayahnya yang berbangsa Bengali dan ibunya yang lahir dari Poland, berhadapan dengan gangguan makanan serta perjalanannya melawan kanser.
Dan kini, Lisa dilihat cukup bahagia menjalani kehidupan bersama suami, Jason Dehni dan dikurniakan 2 cahaya mata perempuan yang comel-comel, iaitu Sufi dan Soleil menerusi kaeadah ibu tumpang. Malah di usia 50 tahun, Lisa Ray tetap tampak anggun dan awet muda.
Lisa Ray adalah definisi wanita yang cukup memberikan inspirasi dan contoh seorang ibu dan isteri yang kuat! Semoga baik-baik saja buat Lisa Ray.
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Aktif, bijak dan sangat humble.. Itulah yang boleh diperkatakan tentang YM Engku Liyana Zafirah Engku Mohd Suhaimi, kerabat Diraja Pahang yang kini berusia 28 tahun. Mesra digelar sebagai Engku Liyana, antara contoh anak muda yang sangat komited dan cemerlang dalam kariernya.
Sebelum bergelar Pegawai Eksekutif di salah sebuah universiti tempatan, siapa sangka Engku Liyana pernah bekerja sebagai juruwang di sebuah farmasi kesihatan sekitar tahun 2007. Terbukti, sejak usianya belasan tahun Engku Liyana dah pun ada semangat juang yang tinggi untuk berdikari.
“Saya seorang yang komited dengan apa yang dilakukan dan sukakan cabaran. Prinsip saya sentiasa berusaha, ikhtiar, tawakal dan doa. Namun dalam masa sama saya perlu beringat juga, tak semua yang kita nak tu akan dapat.”
AKTIF BERSUKAN
“Selalunya selepas waktu kerja jadual saya penuh dengan aktiviti sukan. 1-2 kali dalam seminggu saya bersama rakan-rakan akan turun ke Kuala Lumpur untuk bermain badminton atau futsal.
Kadang-kadang lepas kerja saya akan berjoging saja di trek berhampiran tempat kerja. Kalau terlalu penat barulah saya akan berehat di rumah sambil meluangkan masa bersama anak-anak saudara. Walaupun aktif bersukan saya juga seorang yang family oriented. Saya juga tak akan membawa semua urusan kerja ke rumah kecuali kalau terlalu mustahak.”
AMAL MAKANAN SIHAT
“Saya hanya amalkan air kosong secukupnya setiap hari. Disebabkan aktif bersukan telah mendorong saya untuk minum air dengan banyak. Saya turut mengurangkan makanan berminyak dan bergoreng.
Sejak kecil keluarga saya memang tak galakkan kami ambil makanan ringan, minuman manis dan bergas. Alhamdulillah sampai sekarang kami masih pegang nasihat itu. Selain itu, saya sentiasa melalui hari-hari dengan positif demi kesihatan mental dan fizikal yang baik sekaligus dapat mengekalkan awet muda.”
MAHU MEMBAHAGIAKAN IBU BAPA
“Sebagai anak saya sentiasa berusaha untuk membahagiakan dan menyenangkan kedua ibu bapa. Mungkin tak akan terbalas jasa mereka tapi saya akan merasa puas jika dapat melihat mereka bahagia dan gembira.
Merekalah sumber inspirasi saya sejak kecil. Kedua-duanya tegas dan berdisiplin dalam mendidik. Sejak kecil saya dan adik beradik dah diajar untuk melakukan sesuatu perkara dengan bersungguh-sungguh sampai jadi.
Seterusnya saya mahu fokus kepada kerjaya. Saya bersyukur kerana keluarga sentiasa menjadi tulang belakang untuk saya lakukan yang terbaik.”
GELARAN WANITA INSPIRASI MASIH JAUH
“Perjalanan untuk mencapai gelaran sebagai wanita inspirasi masih jauh. Setiap wanita ada potensi tersendiri untuk berjaya walaupun apa pun statusnya. Tuhan menjadikan wanita untuk memberi manfaat luar biasa buat keluarga, masyarakat dan negara.
Apa yang penting yakin untuk menjadi yang terbaik dalam bidang kerjaya masing-masing. Seorang wanita inspirasi mampu berdiri di kaki sendiri dan tak bergantung sepenuhnya terhadap lelaki walaupun bergelar isteri dan ibu.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Khabar gembira yang dikongsi dari Istana Kelantan bersama rakyat jelata mengenai Istiadat Perkahwinan Diraja di antara Tengku Mahkota Kelantan, Yang Teramat Mulia Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra ibni Al-Marhum Sultan Ismail Petra dan Yang Berbahagia Che Puan Sofie Louise Johansson disambut penuh rasa syukur di kalangan rakyat jelata kira-kira setahun yang lalu.
Aura keterujaan bukan sahaja dapat dirasai oleh rakyat negeri Kelantan, bahkan ia turut dirasai oleh seluruh rakyat Malaysia. Tanggal 19 April 2019 menjadi saksi majlis perkahwinan pasangan diraja telah berlangsung secara sederhana namun tetap meriah. Istana Balai Besar, Kota Bharu, Kelantan menjadi saksi pasangan diraja ini disatukan sebagai suami isteri.
Semenjak berita perkahwinan pasangan ini, penampilan Che Puan Sofie sering mencuri tumpuan di kalangan rakyat jelata. Mana tidaknya, Che Puan Sofie sering tampil manis dalam persalinan baju tradisional iaitu baju kurung. Diserikan lagi dengan lilitan selendang di atas kepala menyempurnakan penampilan anggun penuh sopan serta pujian setiap mata yang memandang.
Majalah Nona secara eksklusif bertemu dengan Che Puan Sofie di Istana Kota Lama, Kota Bharu Kelantan untuk sesi temu bual bersama wanita kelahiran Rystad, Linköping, Östergötland, Sweden yang menjadi permaisuri di hati Tengku Mahkota Kelantan ini.
Sekalung penghargaan buat kakitangan Pejabat Sultan Kelantan yang telah bertungkus-lumus memastikan sesi fotografi ulung Che Puan Sofie dengan pihak media ini berjalan lancar. Malah Che Puan Sofie turut memberikan kerjasama terbaik sepanjang sesi fotografi berjalan bagi memastikan potret yang diambil memenuhi cita rasa.
Bukan mudah sebenarnya mengatur pertemuan eksklusif ini memandangkan beberapakekangan dan protokol yang harus dipatuhi. Namun begitu, kerjasama dari kedua belah pihak telah berjaya memudahkan sesi fotografi ini dilaksanakan mengikut jadual yang telah ditetapkan.
Walaupun pada awalnya sesi fotografi ini dijadualkan pada penghujung Mac, namun pihak majalah NONA dan pihak Istana Kelantan terpaksa akur apabila Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan di seluruh negara. Berkat kesabaran dan kerjasama tanpa mengenal erti jemu, akhirnya tarikh baharu sesi fotografi diperolehi dan krew majalah NONA diundang ke Istana Kota Lama, Kota Bharu Kelantan.
Sebelum edisi cetakan berada di pasaran, edisi digital majalah NONA sudah boleh diperolehi di Aplikasi eMall Karangkraf.Lebih mengujakan, hantaran cover Che Puan Sofie di laman Instagram miliknya turut mendapat maklumbalas dari Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum AlMutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj di mana baginda memuji kejelitaan Che Puan Sofie. Junjung kasih Tuanku.
Sikap lemah lembut dan sopan-santun Che Puan Sofie yang diuar-uarkan oleh masyarakat di Kelantan begitu terserlah semasa sesi fotografi dijalankan baru-baru ini. Sentiasa mengukir senyuman manis, menerima kehadiran kami dengan penuh mesra juga benar-benar memikat dan mudah untuk didekati.
Tidak hairanlah mengapa dalam tempoh kurang setahun, kehadiran Che Puan Sofie amat disenangi oleh rakyat Kelantan. Kini setelah hampir setahun menjadi suri di hati Tengku Mahkota Kelantan itu, Che Puan Sofie semakin serasi menjalani kehidupan sebagai isteri Tengku Mahkota Kelantan.
Malah, Che Puan Sofie tidak langsung kelihatan kekok menemani Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota menyantuni rakyat jelata mahupun ke acara rasmi kerajaan. Memahami kepentingan hubungan di antara raja dan rakyat jelata, Che Puan Sofie telah mengambil inisiatif untuk mendalami ilmu agama dan mempertingkatkan penguasaan bahasa Melayu.
“Secara jujurnya, rakyat Kelantan telah memenangi hati saya dalam pelbagai cara. Mereka bukan sahaja kaya dengan sopan santun budaya Timur, malah kaya dari pelbagai aspek kehidupan. Saya merasa amat bertuah diterima sebagai isteri kepada Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan,” ujar Che Puan Sofie.
Walaupun kini sudah bermastautin jauh dari negara kelahirannya, namun Che Puan Sofie tidak sesekali melupakan adat serta tradisi yang banyak membentuk keperibadiannya kini.
“Di Sweden, kami mempunyai satu tradisi dikenali sebagai ‘Jäntelagen’ atau the law of Jante, yang bermaksud anda tidak boleh percaya anda lebih baik atau sebaliknya dari orang lain. Kata-kata tersebut saya pegang sehingga kini sebagai azimat untuk diri saya tatkala melalui fasa terkini dalam kehidupan,” ujar Che Puan Sofie merendah diri tatkala penulis mengajukan persoalan mengenai perubahan status buat dirinya dari orang kebanyakan ke istana.
Apa yang pasti, Che Puan Sofie bukan hanya dikurniakan raut wajah cantik semata-mata. Lebih istimewa, Che Puan Sofie juga gemar memasak seperti yang sering dikongsi di laman media sosialnya @ljo_. Memasak sememangnya menjadi kegemarannya sejak zaman remaja lagi. Tambahan pula, mata pelajaran Ekonomi Rumah Tangga sudah menjadi salah satu subjek kegemaran Che Puan Sofie ketika menuntut di bangku sekolah.
“Bukan itu sahaja, saya juga membesar dalam keluarga yang gemar memasak. Ibu dan nenek juga sering berkongsi resipi turun-temurun keluarga dengan saya. Sebaik mendirikan rumah tangga dengan Tengku Mahkota, saya bertuah kerana bonda mentua, YMM Raja Perempuan Tengku Anis binti Almarhum Tengku Abdul Hamid menghantar salah seorang cef istana untuk mengajar saya memasak beberapa hidangan tradisi Kelantan.
Tahun lalu semasa di Sweden, saya dan keluarga berpeluang untuk mempelajari cara menyediakan Kuzi Ayam, antara hidangan tradisi negeri Cik Siti Wan Kembang melalui buku masakan Resepi Warisan CIK SITI WAN KEMBANG Kelantan Malaysia.
Menu tersebut menjadi kegemaran kami. Saya juga berminat untuk mempelajari pelbagai menu pencuci mulut popular Kelantan. Pada April lalu, saya telah diberi tunjuk ajar oleh cef istana untuk menyediakan kuih kegemaran saya iaitu Seri Muka.
Saya seronok dapat menyediakan juadah istimewa untuk santapan dan mendapat pujian dari Tuanku. Malah ketika Ramadan yang lalu, saya menyediakan kuih tradisi Nasi Kaya Pulut atau Pulut Sekaya untuk sajian berbuka puasa. Kini, kuih tersebut sudah menjadi salah satu menu kegemaran saya, ” ujar Che Puan Sofie yang berhasrat mempelajari menu warisan Kelantan yang lain pula.
Ditanya mengenai menu kegemaran Tengku Mahkota Kelantan, Che Puan turut berkongsi menu kegemaran Tengku Mahkota Kelantan itu. Nak tahu menu apakah yang menjadi kegemaran Tengku Mahkota dan disediakan sendiri oleh Che Puan Sofie, dapatkan Majalah NONA Oktober 2020 atau melalui Aplikasi eMall Karangkraf!
NOTA PENTING: Majalah NONA versi cetakan sudah berada di pasaran tetapi amat terhad.Untuk mengelakkan kekecewaan untuk mendapatkan edisi istimewa ini, anda boleh mendapatkannya dalam versi digital.Muat turun Aplikasi eMall sekarang!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!