
Kunjungan Majalah Nona ke Alor Setar membawa kami bertemu seorang usahawan muda, cantik dan berjaya, Nurul Nabihan Azmi atau Bihan yang merupakan pengasas produk kosmetik terkenal Bihan Girly Makeup (BGM).
Berusia 34 tahun, Bihan sebenarnya merupakan wanita kelahiran Kelantan namun membesar dan menetap sejak kecil di Kedah. Mula menubuhkan Bihan Girly Makeup (BGM) pada tahun 2015, bisnes kosmetik ini mula menembusi pasaran sejak lapan tahun lepas.
Selain mahir bersolek dan bercakap soal kecantikan, ibu anak tiga ini menjadikan minat menghias rumah sebagai terapi fikiran. Dengan bantuan suami yang pernah berkecimpung dalam bidang firma seni bina, mahligai Bihan bertambah seri dengan konsep moden mewah.
Suka dengan rona emas sebagai penaik seri, Bihan mengambil masa sekitar 3-4 bulan untuk menyiapkan rumah idamannya. Paling suka tengok kawasan dapur Bihan yang kemas dan menggunakan kabinet rona hitam. Membangkit aura mewah!
Jom tonton video eksklusif Nona bersama Bihan ni, terinspirasi betul dengan semangat dan kejayaan beliau dalam bisnes…
Cucu Genap Satu Tahun, DATIN SULIZA SALAM Titip Doa Istimewa Untuk Cucu Tersayang!

Sejak kebelakangan ini, nama Datin Suliza Salam sering menjadi perbualan warga maya apabila ia mempunyai hubung kait dengan kelakuan satu-satunya anak lelakinya, Ismail Izzani.

Bagi ibu kepada tiga cahaya mata ini, dia amat positif berhadapan dengan kecaman netizen dan beranggapan apa yang berlaku ada baik dan buruknya. Tidak mudah melenting menyalahkan mana-mana pihak, penyanyi era 80-an ini menghargai dengan teguran dan tunjuk ajar yang dikongsikan pengikut selain mendoakan agar Allah SWT menjaga aib masing-masing.

Minggu lalu, Datin Suliza berkesempatan meraikan ulang tahun kelahiran pertama cucu tersayang, Nur Ayra Allysa Ahmad Imran. Ayra merupakan anak kepada Izzati Zainal dan suaminya, Dr Imran.

Menjengah laman Instagram miliknya, Datin Suliza Salam memanjatkan kesyukuran cucu kesayangannya kini mencecah usia satu tahun dan menjadi cucu yang manja untuk dirinya.
Alhamdulillh…ayra 1st Birthday…kejap jer dah 1 tahun..moga cucu manja tokma ..membesar..SIHAT..dan ceria..jadi anak yg mudah di asuh dan di didik…jadi anak beriman..berbudi pekerti..berjaya dlm kehidupan dunia dan akhirat..aamiin ya robb..❤️❤️🌺💖

Majlis sambutan hari lahir cucu tersayang diraikan dalam suasana tertutup dan dihadiri oleh keluarga terdekat. Lebih istimewa, persiapan sempena majlis tersebut dilakukan sendiri oleh keluarga terutamanya ibu Ayra, Izzati Zainal yang bersengkang mata menyiapkan dekorasi majlis untuk puteri sulungnya itu.

Malah kek hari jadi juga merupakan hasil air tangan anak kedua Datin Suliza, Fala Zainal @toothfally. Sememangnya keluarga seni ini mempunyai kemahiran seni kraftangan yang sememangnya tidak boleh disangkalkan lagi.

Mana tidaknya, sewaktu kedua-dua anak perempuan Datin Suliza mendirikan rumahtangga, dia menggubah sendiri hantaran dan pelamin akad nikah puteri-puterinya! Kata Datin Suliza, ia sebagai kenangan istimewa untuk anak-anak tersayang!
Nyata kasih dan sayang seorang ibu sememangnya tiada tandingannya. Doa seorang ibu sentiasa mengiringi anak-anak dalam apa jua yang mereka lakukan. Begitu juga dengan wanita ini yang sentiasa memberi sokongan dan dorongan untuk anak-anak tersayang. Sebagai ibu, berkat kasih sayang, sokongan dari keluarga yang tidak pernah putus lebih penting untuk dirinya serta anak-anak dalam mendepani cabaran baik negatif mahupun positif.
Buka 91 Outlet & 6 Kilang Aiskrim Dalam 2 Tahun, Pengasas Mokti’s Ice Cream Asalnya Suri Rumah Sepenuh Masa

Hidup adalah tentang menerima dan mencintai diri seadanya, dengan segala kekurangan dan ketidaksempurnaan kita. Itulah kekuatan pengasas aiskrim gula apong artisan, Mokti’s Ice Cream yakni Siti Fatimah Binti Adnan dalam mengembangkan bisnes yang diminati.
Di sebalik kemahiran dalam seni pembuatan aiskrim, Siti Fatimah yang juga Pengarah Urusan PMA Rich (M) Sdn Bhd bertuah kerana dibantu pasukan pengurusan yang hebat.
Antaranya suami tersayang, Pengiran Muhammad ‘Adil Bin Awang Iskanderndzulkarnein yang bertindak sebagai mastermind dalam meluaskan empayar Mokti’s Ice Cream sehingga mencapai 91 outlet dalam tempoh dua tahun.
Turut menguruskan enam buah kilang aiskrim di Perlis, rahsia kejayaan beliau hari ini sebenarnya terletak pada sifat tidak mudah menyerah. Nampak sahaja lembut, tapi tangkas dan lincah.
Paling penting wanita Utara berumur 31 tahun itu bijak menimbang pilihan dan tidak terburu memberi keputusan. She is such a vibe, aura Siti Fatimah sesungguhnya luar biasa.
Sebaik selesai penggambaran, kami duduk santai sambil menikmati aiskrim Apong Baby Bob. Memang sedap, bayangkan sebekas soft-served ice cream yang dilimpahi sirap gula apong asli, taburan cornflakes rangup dan boba kecil menyempurnakan hari yang panas terik. Patutlah Mokti’s Ice Cream tular, kesedapannya jadi fenomena!
Rezeki PKP, cerita Siti Fatimah bahawasanya Mokti’s Ice Cream mula meniti bibir ketika dunia dilanda pandemik tahun 2020.
“Betul, sebelum ni saya hanyalah seorang suri rumah dan ibu kepada tiga cahaya mata.
Dah tertulis jodoh saya kahwin muda umur 22 tahun, iaitu selepas mendapat Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Perladangan Dan Agroteknologi dari UiTM Kota Samarahan, Sarawak.
Lepas dapat anak sulung, kami sekeluarga menetap di Bintulu kerana mengikut suami bertugas di sana. Masa tu dia masih terlibat dalam industri minyak dan gas.
Di situ jugalah saya mula kenal aiskrim gula apong yang betul-betul sedap, sampai teringin dan terbawa-bawa kesedapannya. Gula apong tu maksudnya gula cecair yang diambil daripada pokok apong (nipah) dalam bahasa Sarawak.
Tak lama kemudian, kami pindah ke Perlis selepas lahir anak ketiga. Kebetulan suami pula dihantar bertugas ke Algeria dan hanya dapat pulang tiga bulan sekali. Ketika itulah saya asyik teringat aiskrim gula apong.” Siti Fatimah
Biarpun mempunyai pasangan terbaik, adik-beradik yang selalu membantu dan staf-staf yang dipercayai, namun baginya tiada istilah bergantung pada manusia, kecuali Allah SWT.
Sambungnya lagi, minat dalam bidang pembuatan aiskrim bermula pada Disember 2019, selepas meminjam sejumlah wang daripada ibu tersayang.
“Dengan modal RM5,000, saya masuk kursus, beli mesin manual dan sebuah stall. Awalnya ilmu yang ditimba tu tersangatlah basic. Saya tetap kena balik buat R&D, buat aiskrim dan bagi pada mak serta jiran-jiran rasa.
Ingat lagi kata mereka, aiskrim masa tu manis sangatlah, tak sedaplah. Sampai banyak kali saya buang dan hampir-hampir putus asa. Tapi bila fikir semula, rugilah kalau berusaha sekadar melepas batuk di tangga.”
BISNES PANDEMIK
Menjelang Februari 2020, Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengisytiharkan COVID-19 sebagai darurat kesihatan dunia. Ramai warga Malaysia dibawa pulang termasuklah suami Siti Fatimah yang bertugas di Algeria. Serentak itu, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) juga berkuatkuasa di seluruh negara.
“Dipendekkan cerita, suatu hari saya dapat formula aiskrim gula apong yang tepat. Rasanya sedap dan berlemak. Kebetulan negeri Perlis masa tu terkecuali daripada PKP, jadi rakyat bebas membuat aktiviti luar termasuk membawa keluarga beriadah di taman rekreasi.
Maka dengan bantuan adik-beradik, kami pun start meniaga aiskrim secara kecil-kecilan dari bonet kereta.
Tanpa rasa segan, saya pun bunyikan loceng untuk tarik perhatian pengunjung yang lalu-lalang. Makin hari makin ramai yang datang beli aiskrim scoop gula apong kami. Dari sekadar menjual di taman, kami dapat undangan waktu kenduri dan dari situ ramai yang minta kami buka kedai sendiri.
Jadi saya buka sebuah kedai kecil, cukup ada sebuah meja dan mesin saja, tapi dari situ pembeli yang datang tak berhenti-henti.” Siti Fatimah
Berkat kerjasama suami sebagai rakan kongsi, perniagaan aiskrim Siti Fatimah mula berkembang pesat. Asal-usul nama Mokti’s Ice Cream juga diambil daripada nama panggilan beliau – Mok Timah – dalam kalangan ahli keluarga mentua di Sarawak.
Rezeki pandemik, perniagaan suami isteri ini pantas tular di media sosial dan mengangkat kesedapan aiskrim gula apong asli di tanah air.
Meskipun tanpa kelulusan profesional dalam bidang perniagaan, namun minat berniaga yang kental serta bantuan suami, ibu dan adik-beradik Siti Fatimah menjadi tunggak kejayaannya.
Berkat sikap positif dan keinginan belajar dari pengalaman, usaha gigih pasukan Mokti’s Ice Cream serta beliau sendiri sebagai Pengarah Urusan terbukti membanggakan.
Hasil kepimpinan yang jitu, strategi dan kekuatan jenama Mokti’s Ice Cream itu sendiri, kini mereka berjaya membangunkan enam buah kilang aiskrim di sekitar Perlis.
Malah tirai 2022 berlabuh cemerlang dengan rekod 91 outlet Mokti’s Ice Cream di seluruh Malaysia termasuk pembukaan outlet terbaharu, Mokti’s Signature di Kuching.
Apakah resipi kejayaan Mokti’ s Ice Cream dalam tempoh dua tahun? Tonton temu bual eksklusif bersama Siti Fatimah ini…
Ditanya tentang impian bisnes Siti Fatimah, tanpa disangka beliau rupa-rupanya mahu terus menjadi pioneer dan membuka sebuah kilang kon milik Muslim pertama di negara ini. Cita-cita yang tidak mustahil jika disertai doa dan usaha!
“Alhamdulillah, sebenarnya setiap kali pembukaan outlet baru, pasti akan ada pelbagai permintaan dan pendapat yang berbeza. Kami hargai setiap pandangan dan berusaha menyelesaikan permasalahan dengan sebaik-baiknya.
Ini termasuklah isu-isu berbangkit di kilang atau staf, dan seumpamanya. Saya kira ia rutin biasa yang dialami setiap usahawan.
Hal yang paling menyeronokkan bagi saya adalah apabila staf-staf semua gembira bekerja di Mokti’s. Keluarga kecil kami ada lebih kurang 104 orang, segelintirnya adik-beradik dan majoriti staf penduduk Perlis. Saya bahagia dapat membantu memberi peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.
Saya ada plan nak menembusi pasaran Mekah. Mungkin suatu hari nanti kalau kami berjaya bawa Mokti’s Ice Cream sampai ke sana, barulah secara peribadinya saya anggap kami sudah berjaya.”
Menjadikan kecekalan arwah bapa dan semangat suaminya sebagai pembakar semangat, baca artikel perjuangan bisnes penerima Nona Best Halal Ice Cream, Siti Fatimah Adnan ini dalam naskhah edisi khas Nona Superwoman 2022 di pasaran Januari 2023.
Penulis: Norzalina Mohd Alias
Penata gaya: Kiffy Razak
Konsep: Azniza Aziz
Foto: Azfarina Sulaiman
Solekan: Mimie Romyza
Teruja Ramadan Pertama Bersama Anak, Elfira Pernah Tersasul Bahasakan Diri ‘Kakak’

Kehadiran membawa pelbagai pengertian kepada setiap umat Islam. Namun, kehadiran Ramadan tahun ini sedikit berbeza daripada tahun-tahun yang sebelumnya kerana masyarakat dunia telah diserang pandemik COVID-19. Semoga semua umat Islam terus tabah dengan ujian ini dan mampu melakukan ibadah puasa dengan lebih baik lagi.
Selebriti Elfira Loy juga turut merasai perbezaan berpuasa tahun ini sementelah ini merupakan tahun pertama berpuasa dengan anak sulungnya yang comel itu. Tetapi, Elfira tetap positif dan berusaha melakukan Rukun Islam yang ketiga ini.
“Pasti ada hikmah di sebalik apa yang terjadi. Semoga kita terus kuat diuji. Sebetulnya saya memang teruja pada awalnya dengan kehadiran Ramadan. Maklumlan Ramadan lalu, saya berpuasa dalam keterbatasan itu dan ini kerana hamil.
Tapi kita didatangi ujian virus ini. Tak mengapa, kita tak perlu bersedih sangat. Kita raikannya dengan cara bersederhana. Apa yang lebih utama dapat berbuka puasa, bersahur, bertarawih dan banyak lagi amalan lain bersama keluarga,” kata ibu kepada Muhammad Rayyan Khalaf yang kini berusia enam bulan.
“Saya sebenarnya rasa gembira kerana PKP ini telah membuka ruang untuk saya sekeluarga lebih dekat dan akrab dengan anak. Tak terasa pun PKP sudah melepasi tempoh lebih sebulan.
Sebelum ini masing-masing sibuk dengan kerja jadi, masa berkualiti bersama keluarga itu tak banyak. Malah saya sendiri suka untuk melihat proses tumbesaran anak di depan mata. Ia nikmat dan patut dinikmati,” ujar isteri kepada Muhammad Faris Khairol Anuar ini.
Wajah Elfira menjadi ceria serta-merta apabila bercerita tentang perkembangan anak kesayangannya itu. “Nikmat jadi ibu begitu sukar digambarkan dengan kata-kata. Tanggungjawab itu bukan mudah tapi, saya terus cuba menyesuaikan diri.
Kehadiran anak mengubah kitaran hidup saya. Dulu masa Rayyan baru lahir, saya macam tak percaya sudah jadi mak. Pernah masa dodoikan dia saya tersasul bahasakan diri sebagai kakak. Apabila diingat balik momen itu, memang nak tergelak,” tutur Elfira berkongsi kegembiraan sebagai seorang ibu yang teruja melihat anaknya sudah boleh merangkak ketika ini.
Nampaknya kehadiran Ramadan tahun ini telah membuka pintu rezeki lebih luas buat Elfira. Artis bertudung yang memiliki seramai 4.8 juta pengikut di laman Instagram ini telah disunting oleh jenama tudung popular, Buttonscarves dari Negara Seberang untuk menjalankan kerjasama. Mungkin rezeki anak agaknya, kan Elfira.
Dikhabarkan, hasil daripada jualan koleksi tudung The Maharani Series ini akan digunakan untuk membantu mangsa COVID-19 di Indonesia dan Malaysia.