Pada saat tubuh suami terlantar sepi di katil hospital tanpa sebarang reaksi dan aktiviti fizikal, hati wanita bernama Siti Rohayu Ibrahim ini kuat mengharungi tempoh getir itu. Tanpa jemu, dia menjaga amanah Allah dengan sebaiknya dan yakin lelaki yang dicintainya akan kembali sihat seperti sediakala. Alhamdulillah, berkat doa Ayu dan keyakinannya terhadap kekuasaan Allah SWT, Muhamad Ridhwan Mohd Zaki yang koma akibat nahas jalan raya tahun lalu akhirnya sedar dari ‘lena’. Namun, ingatannya tidak lagi seperti dulu.
Ayu yang dikurniakan dua cahaya mata, Nur Adrieyna Daniella dan Muhamad Riezqullah Dhiyaulhaq tetap tabah menghadapi ujian hidup sehingga kini. Setiap hari tanpa rasa lelah, wanita berusia 27 tahun ini setia memberi kata-kata semangat kepada suami selain cuba merangsang kembali memori Ridhwan yang telah hilang. Catatan menyayat hati dan penuh suka duka yang dikongsikan Ayu di media sosial sejak suaminya ditimpa nahas mendapat perhatian ramai pihak. Bukan niat untuk tagih simpati tapi apa yang dilakukan insan berjiwa besar ini sekadar untuk berkongsi.
https://www.facebook.com/gbvhguy77/videos/1828099350596652/
Dengan segala kudrat yang ada, Ayu berusaha mendalami bidang perniagaan demi meraih pendapatan buat keluarga. Malah, ketika awal kejadian dulu Ayu terpaksa menjual kereta kepunyaan suami dan menyewa ambulan jika mahu ke hospital. Kini sedikit demi sedikit sinar bahagia melingkari hidup mereka apabila naskhah 100 Hari Catatan Menggapai Syurga Terindah yang berkisar kisah Ayu dan suami bakal dijual pada 1 Mac depan.
“Alhamdulillah kebahagiaan pasti muncul setelah ditimpa pelbagai ujian, Allah dah buktikan segala-gala asalkan niat kita betul & kita ikhlaskan hati. Syukur pada Allah pintu rezeki terbuka luas, rezeki datang pelbagai cara, sayang tidak jangka kehidupan kita dari ditimpa ujian sampai ke hari ni dapat bertahan. Tanpa sayang menangis dan merayu meminta simpati orang, hati sayang begitu cekal dan kuat sebab sayang yakin Allah sentiasa ada bersama.
Pagi tadi (26 Januari) kita dapat tetamu dari KL, pengarah filem, penerbit dan penulis novel. Semoga urusan kita nanti dipermudahkan oleh Allah. Hari ni keluarga sayang berkumpul datang makan-makan dekat rumah. Dalam kesibukkan itu, terlepas pandang abi (Ridhwan) cabut tiub susu. Mungkin abi gatal tetapi bila tak ada tiub tu, abi makin handsome. Abi lebih selesa tak ada tiub tu. InshaAllah tak lama lagi kita akan buang terus tiub tu. Buat masa sekarang.. abi perlu pakai dulu. 30/1 kita akan jumpa doktor pakar, abi perlu kuat semangat. Ramai yang mendoakan kita.”
Ayu bukan wanita yang hanya menanti huluran bantuan untuk suami dan anak-anak. Sebaliknya, dia lebih selesa mengusahakan apa saja yang ada di depannya untuk memastikan kebajikan mereka sekeluarga terjaga. Jelas Ayu, walau apa jua rintangan mendatang dia akan cuba sedaya upaya dan mencari ikhtiar agar suaminya dapat bangun dan berjalan semula. Tapi jika takdir Tuhan sebaliknya, dia tetap reda.
“Abi jangan risau, sayang mampu menjaga abi dan anak-anak. Sayang mampu mencari rezeki. Sayang tak takut untuk terus melangkah sebab kalau kita tak cuba, kita tak akan tahu kebolehan kita, kita tak akan dapat ubah kehidupan kita. Abi dah capai tahap ni pun dah membuatkan sayang bahagia. Walaupun abi belum pulih ingatan sepenuhnya sayang akan cuba jadi guru yang terbaik. Sayang ada cara sendiri untuk abi sembuh.”
Moga pasangan suami isteri ini dapat kembali menjalani alam rumah tangga seperti dulu dan dipermudahkan rezeki serta diberkati dunia akhirat.