
Seronok melihat penyanyi bersuara emas kesayangan ramai, Datuk Seri Siti Nurhaliza kayuh basikal semula setelah lama ‘bercuti’ selepas melahirkan anak keduanya.
Umum mengetahui penyanyi yang popular dengan lagu Anta Permana dan Cindai ini telah melahirkan bayi lelaki seberat 3.84 kilogram itu dilahirkan menerusi kaedah pembedahan tepat jam pukul 6.21 pagi, 19 April 2021 bersamaan 7 Ramadan 1442H.


Setelah lama berehat selepas melahirkan Muhammad Afwa, wanita kelahiran Pahang ini telah berkongsi di media sosialnya kayuh basikal semula bersama CTDK Cycling Team.
“Alhamdullillah, dapat berkayuh kembali.. Bukan senang nak kembalikan tenaga macam dulu ye.. pelan pelan kita kayuh ye..,” tulis ibu kepada Siti Aafiyah ini. Semoga kita boleh mengikut jejak langkah isteri kepada Dato’ Sri Khalid Mohamad Jiwa mengamalkan gaya hidup sihat.


Sering kita dengar demi menikmati hidup yang lebih sihat perlu menjalani kehidupan yang seimbang. Kehidupan yang seimbang ini merangkumi fizikal dan juga spiritual. Kesihatan fizikal termasuk menjaga pemakanan dan melakukan senaman secara konsisten.
Tubuh akan lebih sihat dan meningkatkan keyakinan diri andai melakukan riadah untuk kecergasan diri. Tubuh yang sihat dan minda yang cergas merupakan tunjang kebahagiaan hidup yang sejahtera.


Sukan basikal merupakan sukan yang mempunyai kelebihan sendiri. Jika dilakukan secara konsisten berat badan boleh turun dengan cepat dan perut lebih mudah kempis.
Malah mengayuh basikal adalah salah satu cara yang berkesan untuk membakar kalori dan membantu meningkatkan tahap kesihatan serta kekuatan fizikal tanpa perlu menyekat diet harian.
Fokus utama berbasikal adalah untuk meningkatkan tahap kesihatan dan kecergasan tubuh. Mengayuh basikal sepatutnya menonjolkan keseronokan dan bukan sebuah beban. Jika tidak mampu untuk berkayuh boleh berhenti seketika berehat sambil minum air.


Tidak perlu memaksa diri untuk melengkap kayuhan tanpa peduli kemampuan diri. Sebarang kecederaan perlu dirujuk kepada doktor agar tidak melarat atau berlaku sesuatu yang tidak diingini.
Seperti semua jenis senaman sebelum berkayuh perlu melakukan aktiviti pemanasan badan sekitar 15 minit. Pemanasan badan ini penting untuk elak sebarang kecederaan dan merangsang otot untuk bersedia untuk mengayuh. Begitu juga selepas mengayuh perlu melakukan aktiviti penyejukan badan seperti melakukan kayuhan ringan sekitar 15 minit bagi membantu merehatkan otot dan badan.
“Perjalanan Ke Masjid Al-Aqsa Sangat Mendebarkan, Meremang Bulu Roma” DATUK SERI SITI NURHALIZA

Sesiapa pun yang berpeluang mengunjungi Masjid Al-Aqsa di Palestin buat pertama kalinya pasti akan merasa takjub dan sujud syukur, sukar diungkapkan kenikmatannya. Dapat melihat keindahan Dome of the Rock (Kubah Shakhrah) yang berkubah emas. Burung-burung yang berterbangan turut sama bertasbih memuji kebesaran Allah SWT.

Pada 17 Mei yang lalu, adik kepada Datuk Seri Siti Nurhaliza iaitu Siti Sairah Tarudin telah berkongsi satu video di Instagram yang memaparkan detik terindah kakaknya itu yang pertama kali menjejakkan kaki ke Masjid Al-Aqsa. Menurut Siti Sairah, video yang berdurasi 0.58 saat itu dirakam pada tahun 2017. (Lihat video di akhir artikel)

Nona berpeluang menemu bual Datuk Seri Siti Nurhaliza secara ekslusif bagaimana pengalamannya ketika pertama kali menjejakkan kaki ke bumi anbiya itu. Sangat tersentuh dengan apa yang dikongsi oleh artis jelita ini. Rupa-rupanya Masjid Al-Aqsa ada kisah tersendiri buat Datuk Seri Siti Nurhaliza. Sambil menulis, penulis membayangkan keindahan Masjid Al-Aqsa yang menjadi ‘harta paling berharga’ buat seluruh umat Islam. Beruntungnya Datuk Seri Siti Nurhaliza dapat jejakkan kaki ke sana, rezeki!
“Alhamdulillah saya rasa sangat bersyukur kerana pernah menjejakkan kaki sekali ke Masjid Al-Aqsa bersama suami dan juga rombongan ahli keluarga yang lain. Memang impian nak ke tanah haram (kiblat pertama umat Islam). Perjalanannya memang mendebarkan tetapi bila sampai di Masjid Al-Aqsa kita akan rasa sangat tenang.
Melihat kepada environment di sana sangat menarik dan ia membuatkan kita teruja. Perasaan berdebar-debar tu bukan apa, sebab kawasan tersebut dijaga oleh pihak Israel. So setiap border, setiap pintu masuk ke Masjid Al-Aqsa dikawal ketat oleh polis dan pihak Israel.
Pun begitu, mereka tidak mengganggu pelancong luar, sebab itu kita rasa selamat. Selama ni kita sering mendengar dan rasa ‘takut-takut’ tetapi alhamdulillah segalanya berjalan lancar tanpa sebarang gangguan mahupun perkara-perkara yang mencurigakan.
Pengalaman pertama kali ini cukup bermakna, saya sukakan persekitarannya yang sangat tenang dan indah. Sukar diungkapkan bila berada di Masjid Al-Aqsa. Perasaannya tu sama seperti saya pergi ke Mekah kerana dapat melihat 3 agama yang sangat kuat iaitu Islam, Kristian dan Yahudi.
KEISTIMEWAAN
Bagi sesiapa yang membaca kisah dan sejarahnya, Palestin ini adalah tanah anbiya di mana Nabi-Nabi dilahirkan termasuklah kisah-kisah sejarah berlaku di sana. Di situlah juga tanahnya sangat subur dan berkah. Ketika di sana saya dibawa ke tempat yang sangat bersejarah dalam Islam. Ustaz yang bawa kami tu bercerita tentang di mana Nabi Isa a.s diangkat, akan ada Imam Mahadi, dan banyak lagi. Jadi, depan mata saya dapat lihat peninggalan sejarah-sejarah Islam termasuk para Nabi syuhada membuatkan kita lebih bersemangat untuk lebih menyayangi Masjid Al-Aqsa.
Di dalam Masjid Al-Aqsa terdapat banyak mimbar. Salah satunya ialah tempat Nabi Zakaria a.s berdoa agar dikurniakan zuriat. Dekat situlah juga saya berdoa untuk ambil keberkatan, berdoa sebelum saya ambil proses IVF sebelum dapatkan Aafiya. Saya betul-betul berada di tempat Nabi Zakaria a.s berdoa. Seronok sampai meremang bulu roma.

Bila tengok dalam Masjid Al-Aqsa tu, kebanyakan orang-orang Palestin sama ada yang lelaki mahupun perempuan mereka duduk sambil membaca dan menghafaz Al-Quran. Ada bapa-bapa yang menjaga anak-anak mereka yang menghafaz Al-Quran membuatkan saya rasa sangat kagum. Sebab itulah Masjid Al-Aqsa ni sangat hebat.
Suasananya berbeza dengan masjid-masjid lain yang pernah saya jejaki contohnya Masjid Nabawi tempat kita mengerjakan umrah dan haji. Cuma sejarah awal Masjid Al-Aqsa ada keistimewaannya tersendiri. Dari segi dekorasinya pula, tidak banyak pembaharuan kerana masih mengekalkan sejarah seni bina lamanya. Cuma apa yang saya lihat, dalam Dome of the Rock tu kubahnya sangat cantik dari segi architecture serta tulisan khatnya. Ini termasuklah tempat ‘ajaib’ di mana batu tergantung itu sangat mengkagumkan.

KAGUM DENGAN WANITA & ANAK-ANAK PALESTIN
Kita dilahirkan di tempat yang berbeza dengan semangat yang berbeza, Allah Maha Besar dan Maha Mengetahui. Dia memilih mereka yang tertentu untuk berada di tempat yang tertentu. Kita seharusnya bersyukur kerana kita ditempatkan di negara yang tidak berperang dan tidak perlu berjuang dari segi mempertahankan tempat kita seperti mana di Palestin. Wanita-wanita Palestin ditakdirkan Allah SWT berada di tempat yang memerlukan mereka untuk berjihad, berjuang mempertahankan Masjid Al-Aqsa.
Selain wanita, saya juga kagum dengan anak-anak kecil Palestin. Semangat mereka tercetus apabila melihat perjuangan dan pengorbanan ibu bapa mereka. Manakala kita di Malaysia harus mendidik anak-anak agar lebih bersyukur dan menghargai keamanan. Didik mereka agar lebih banyak bersedekah serta membantu mereka yang dalam kesusahan.
Memang berbeza situasi kita dengan mereka. Maka, untuk mendidik anak-anak paling penting ialah ajar mereka tentang adab dan tahu menghargai sesuatu. Dari situ mereka akan tahu bagaimana untuk saling mengasihi sesama insan. Kalau mereka tahu orang-orang di negara luar sedang dalam kesusahan, kita didik anak-anak menjadi seorang yang bermurah hati untuk membantu.

Saya percaya, rakyat Palestin sebenarnya lebih kuat daripada apa yang kita sangka. Mereka redha dengan apa yang berlaku, kita sendiri pun tak sanggup. Kekuatan mereka sangat luar biasa! Saya kagum terutama wanita dan kanak-kanak di sana, mereka insan berani.
Kepada seluruh rakyat Malaysia, apa yang mampu kita berikan, contohnya dari segi wang ringgit untuk membantu mereka mendapatkan bantuan ubat-ubatan dan keperluan asas. Doa adalah senjata terbaik umat Islam. Marilah kita sama-sama berdoa semoga Allah SWT menurunkan keajaiban seterusnya peperangan ini dapat dihentikan. Yang penting Masjid Al-Aqsa terus dilindungi.
Semua ini sudah pun tertulis dalam Al-Quran. Sekarang ini masa untuk kita bersatu serta banyakkan berdoa agar rakyat Palestin dilindungi dan Allah SWT turunkan malapetaka ke atas Israel.
SALUR SUMBANGAN
Menerusi syarikat saya, memang ada perancangan untuk membuat kutipan bagi membantu rakyat Palestin. Bantuan secara peribadi pun ada termasuk bersama suami. Kami juga ada contact di Gaza iaitu sahabat kami sendiri untuk membantu saudara mara kita yang memerlukan di sana. Alhamdulillah kami cuba lakukan yang terbaik untuk membantu.”
Kredit: Instagram @ctdk @sitinursairahtarudin
Adat Pengantin Baru, Mira Filzah Bahagia ‘Berkurung’ Di Rumah

Meniti lembaran bulan pertama 2021, terasa masa berlalu pergi begitu saja. Hidup yang kita jalani masih dikongkong SOP dan dibebani PKP hingga menjarakkan prioriti-prioriti serta sejumlah resolusi. Namun ada hikmah dan kasih sayang yang Tuhan bentangkan, Februari ini pasti kembali terisi kebahagiaan seperti yang dikecapi oleh selebriti, Mira Filzah.
Rentetan pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang kembali disambung hingga 18 Februari nanti, pelbagai sektor terjejas termasuklah industri seni. Bagi penggiat drama, penggambaran juga tertangguh akibat PKP.
“Sebenarnya Mira ada satu penggambaran drama yang patut bermula pada Januari. Tapi kini jadual terpaksa dirombak semula, sambil kami tertunggu-tunggu keputusan dari PKP yang baru. Harapnya dapatlah keizinan untuk mulakan shooting semula,” kata Mira tentang drama barunya yang dijangka muncul selepas Hari Raya.
Adat pengantin baru, tempoh ‘berkurung’ di rumah inilah momen-momen terbaik untuk lebih mengenali karakter satu sama lain. Nona sempat mencungkil aktiviti Mira Filzah dan suami, Wan Emir Astar sepanjang PKP… Apa agaknya kemahiran baru Mira sejak berumah tangga?


Jawab Mira, “I think I improve a lot in terms of my baking skill. Sebenarnya kemahiran memasak dan membuat kek ni berbeza, contohnya kalau masak lauk-pauk, bagi Mira itu lebih senang sebab hujung-hujung nanti kita masih boleh adjust rasanya, tambah garam atau gula ikut keperluan.
Tapi kalau baking, kalau dah siap kita rasa tak sedap, ia dah tak boleh diubah. Baking ni lebih pada ketepatan dari segi jumlah bahan dan sukatan yang digunakan, berapa gram atau berapa sudu begitu. Ada beberapa kali Mira baking semasa PKP ni, dan rasanya Mira makin faham, oh… kalau kek ni keras, lain kali kena buat macam ni atau macam tu.
Sekarang Mira suka mengemas. Dulu sebelum kahwin, jarang dapat mengemas sebab jadual kerja yang terlalu padat. Berbeza sekarang, Mira belajar untuk lebih organize. Iyalah, kita pun bukan duduk seorang di rumah. Ada dua orang. Banyak benda kena jaga, kena susun. Jadi Mira banyak improve dari segi mengatur barang-barang kami,” cerita Mira Filzah yang bakal menginjak usia 28 tahun.

Umum sedia maklum bahawa Mira Filzah seorang yang amat berhati-hati di media sosial. Baginya, posting berkaitan suami dan rumah tangga bukanlah sesuatu yang boleh ‘suka-suka’ ditayangkan.
Pun begitu, keputusan pasangan yang baru lima bulan berumah tangga itu untuk berkongsi aktiviti suami isteri di YouTube rasmi #EmirAmirah mendapat sambutan hebat, malah turut mendapat pengiktirafan YouTube Silver Play Button.
Memang best tengok aktiviti suami isteri ini, paling kelakar bila Emir dan Mira buat Jinx Challenge…
Tapi lagi best bila Mira kena jawab ‘random questions’ daripada Majalah Nona, spontan sungguh jawapan yang diberikan!
“Sebenarnya waktu PKP ni, Mira suka memasak mungkin sebab seharian di rumah. Sebelum ni kalau terikat dengan penggambaran, selalunya Mira takkan masak sebab penat. Jadi sekaranglah masanya untuk memasak selalu supaya skil tu tak dilupakan.
Memasak ni kan macam latihan. Practice makes perfect. Kalau kita rajin, insyaAllah pasti Mira akan lebih mahir pada masa depan,” akui Mira atau nama sebenarnya Nur Amirah Filzah Badioezaman.
Tambah alumni Jurusan Perniagaan Antarabangsa dari UiTM itu, kini dia jarang keluar rumah kerana risaukan keadaan semasa. Peningkatan kes COVID-19 yang mencecah angka 5,000 terasa sangat membimbangkan.
“Mira hanya keluar bila perlu. Jadi di rumah selain mengemas dan memasak, Mira banyak masuk kelas online. Kalau boleh Mira akan join online classes sebanyak mungkin supaya masa terisi dengan benda berfaedah.
Ini selari dengan azam Mira iaitu nak lebih banyak belajar. Mira rasa nak improve dalam pelbagai aspek pada tahun 2021. Baru-baru ni Mira masuk kelas perniagaan online dan kelas agama online. Mira nak gain more knowledge, learn new things dan manfaatkan pelbagai ilmu agar menjadi orang yang lebih baik daripada sekarang.”

Sambil mengusik, sempat penulis tanyakan soalan cepumas… Bila Mira nak dapat baby? Jawab Mira Filzah sambil tertawa kecil, “Soal zuriat atau timang baby ni Mira serahkan segalanya pada Allah SWT. Mira dan Emir tidaklah merancang, sebaliknya kami senang untuk just go with the flow,” ujar Mira yang percaya soal rezeki di tangan-Nya.
TERSENTUH HATI
Barangkali banyak pihak sudah merasa resah dengan pandemik COVID-19 ditambah pula satu persatu kisah menyayat hati terpampang di dada media. Mira Filzah juga banyak bermuhasabah dengan ujian yang menimpa negara.
“Terlalu banyak kisah viral yang saya baca di media sosial. Banyak kisah yang menyentuh hati khasnya yang berkaitan keluarga kekurangan duit, tak cukup makan dan hidup susah sewaktu PKP.

Beberapa hari lepas Mira tengok video yang tersebar di Twitter melalui aplikasi TikTok, tentang seorang ibu yang terpaksa mencari makanan di tong sampah dan di sisinya ada dua orang anak kecil. Kesian sangat dan benda-benda macam ni sangat menyentuh hati Mira sebagai manusia.
Mira percaya tak semua orang bernasib baik, lebih-lebih lagi semasa dunia dilanda wabak COVID-19. Ramai yang hidup sengsara. Tambah lagi ada sebahagian negeri yang dilanda banjir dan ramai yang meninggal dunia pada waktu yang sama.
Sedih sangat, rasa dalam hati macam nak bantu semua orang tapi apakan daya, Mira cuma boleh membantu apa yang termampu. Selebihnya hanya doa, semoga Allah mengangkat doa kita dan meringankan beban mereka,” kata Mira perlahan.

Sebelum mengakhiri perbualan, Mira yang turut merupakan penerima Nona Influencer Award sempena Nona Superwoman Award 2020 lalu sempat mengungkapkan penghargaan terhadap jasa petugas barisan hadapan negara.
“Mira nak ucapkan terima kasih yang tak terhingga untuk semua frontliners. Sebagai anggota masyarakat, kita mungkin tak tahu nak balas apa untuk menghargai jasa dan usaha mereka selama ni, bekerja siang malam untuk menjaga negara kita.
Terima kasih banyak-banyak, semoga Allah merahmati hidup para frontliners, angkat darjat mereka, panjangkan umur, beri kesihatan dan kekuatan hingga ke akhir hayat mereka!” akhiri Mira Filzah sambil menguntum senyuman.
Solekan: Bee Ramza
Busana: Kree & The Melium Group
Hijab: Galeri Ariani
Wajah Secantik Nama! Aura Jutawan Kosmetik ERIYCA BAIDURI & Lahirkan Ramai Usahawan Wanita

Orangnya memang cantik dan mempunyai pesona tersendiri. Tidak hairanlah, sepanjang bergelar usahawan kosmetik dia bukan hanya berjaya menarik perhatian khalayak. Malah sering menjadi rujukan dan sumber inspirasi golongan wanita kerana kejayaannya dalam dunia perniagaan.
Sejak semalam, nama Eriyca Baiduri Abdul Rashid atau lebih mesra dengan panggilan Madammu menjadi topik hangat di media sosial. Rata-rata warga maya mula ‘menyelidik’ siapa sebenarnya jelitawan ini selepas bergelar penaja utama bagi sebuah majlis anugerah hiburan berprestij.
Yang pasti, ia satu keputusan tepat yang dilakukan Madammu kerana menerusi platform berkenaan namanya semakin dikenali ramai. Sekaligus menyaksikan empayar perniagaan miliknya, Noir Health and Beauty semakin ‘diintai’ peminat dunia kecantikan.
Legasi Noir Health and Beauty diasaskan Madammu bersama suami tercinta, Muhammad Azri Che Noh. Merupakan penerima Nona Top Beauty Entrepreneur, Madammu mendedahkan dia mendapat inspirasi nama Noir ketika berkunjung ke New Castle, London pada tahun 2014 sewaktu melihat sekuntum bunga warna hitam yang dinamakan Noir.
Dalam temu bual bersama Nona kira-kira dua tahun lalu dia berkata, “Sesuai dengan motto Noir iaitu mengeluarkan produk premium dengan harga mampu milik serta membuka peluang untuk wanita jadi usahawan, Noir bakal menjadikan kempen ‘melahirkan usahawan wanita’ sebagai usaha untuk memperkasakan wanita dalam dunia perniagaan.
Saya ingin melihat lebih ramai wanita menceburkan diri dalam dunia perniagaan dan meningkatkan ekonomi mereka.”
Ternyata ia bukan satu omong kosong kerana pada Mac 2021, Madammu merealisasikan impian tersebut dengan mengadakan Konvensyen 10 Ribu Wanita Berniaga. Tidak cukup itu, usahawan ini turut terlibat dalam program Wanita Bangkit Berniaga dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta dirasmikan Menterinya, Datuk Seri Rina Harun.
Tahun 2021 juga menjadi antara tahun terbaik bagi Noir kerana berjaya membuka outlet Noir di Cyber Perdana Penampang Sabah pada November lepas.
Keterujaan Madammu mengangkat martabat kaum wanita memang wajar diberi pujian. Menerusi media sosial miliknya, dia memberitahu kesungguhan untuk membantu wanita selama ini didorong oleh kenangan silam bersama ibu tersayang.
“Ada yang tanya, kenapa Madammu bersungguh sungguh nak bantu Wanita? Kerana I dibesarkan oleh seorang wanita yang diceraikan ketika beliau berusia 21 tahun bersama 3 anak perempuan yang masih kecil dan Madammu tahu bagaimana strugglenya hidup beliau.“
Graduan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa ini juga tanpa berselindung berkongsi sisi peribadi kepada Nona. “Saya bukan datang dari keluarga senang. Saya dibesarkan oleh seorang ibu tunggal sejak usia dua tahun yang susah-payah nak besarkan anak seramai tiga orang. Ditambah pula ibu saya merupakan pejuang kanser tahap 4.”
Jelas anak kelahiran Terengganu tersebut, dia tidak menyangka perniagaan yang bermula dari rumah ini akhirnya mampu memiliki wisma sendiri.
“Alhamdulillah sekarang kami dah berpindah ke Wisma Noir. Asalnya dulu Noir bermula dari rumah dengan modal sebuah telefon bimbit. Setelah dua tahun kini Noir mampu miliki wisma sendiri,” ulas ibu yang membesarkan tiga orang anak tiri ini.
Kredit foto: Instagram @eriyca.baiduri