Wabak Covid-10 pastinya perkara yang amat serius kerana virus ini sememangnya bahaya dan menjejaskan kesihatan manusia. Sebab itulah Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan bagi membasmi virus ini daripada terus merebak.
Perintah Kawalan Pergerakan yang turut merangkumi penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terbabit dengan perkhidmatan penting negara, sudah tentu menyebabkan syarikat dan agensi mencadangkan pekerja bertugas di rumah.
Secara umumnya, bekerja dari rumah mempunyai pelbagai kelebihan seperti masa fleksibel, persekitaran ruang tempat kerja tenang, keseimbangan antara rumah dengan pejabat lebih baik, pelaksanaan lebih efektif dan tidak perlu terbabit dalam kesesakan lalu-lintas.
Namun, beberapa cabaran dan rintangan termasuk ketiadaan sumber fizikal dan kewangan seperti terdapat di ruang kerja lebih besar, tiada struktur organisasi, kurangnya sumber inspirasi dan lebih rasa terasing.
Cabaran paling besar adalah bagaimana untuk lebih produktif di luar daripada struktur organisasi pejabat. Pastinya, beberapa faktor boleh mengganggu produktiviti. Di bawah adalah tip yang boleh diamalkan bagi mengekalkan produktiviti semasa bekerja walaupun daripada rumah!
1. Tempat Yang Senyap
elakkan tempat yang mengundang bunyi bising berlebihan daripada ahli rumah. Kajian menunjukkan gabungan muzik lembut dengan bunyi alam seperti air terjun, hujan, sungai atau ombak mengaktifkan bahagian menenangkan otak, sekali gus membantu dalam menumpukan perhatian serta menurunkan kadar jantung dan tekanan darah.
2. Hadkan Ruang Kerja
Pertama, mengehadkan ruang kerja pada kawasan tertentu di rumah supaya pekerjaan tidak mengganggu kehidupan ahli rumah lain, sekali gus boleh menumpukan perhatian.Ini bermakna perlu ada ruang ditetapkan sebagai stesen kerja, bukannya menyemak e-mel, mel suara atau menghantar mesej di hadapan televisyen atau menyelerakkan kerja di atas meja dapur.
Boleh juga mewujudkan ruang zon bebas tekanan untuk membantu menumpukan perhatian. Jika tiada bilik berasingan, cari kawasan mempunyai pergerakan ahli rumah yang minimum atau sudut bilik.
3. Tetapkan Sempadan Fizikal
Tetapkan sempadan fizikal ketat di sekeliling ruang kerja ditetapkan. Sekiranya boleh, hanya ke ruang berkenaan apabila perlu bekerja. Tetapkan jadual biasa dan jaga ruang kerja pada waktu senggang. Cuba kekalkan waktu sama untuk log masuk di pejabat supaya tidak ditelan beban kerja.
4. Wujudkan Sempadan Psikologi
Pergi ke tempat sama secara teratur supaya minda tidak menerawang. Wujudkan sempadan psikologi ketat supaya tidak selalu diingatkan godaan sekeliling atau tugas peribadi yang belum selesai – seperti melakukan dobi, menggosok atau memasak – yang menjejaskan produktiviti.
5. Manfaatkan Komunikasi Video
manfaatkan komunikasi video lebih daripada biasa khususnya untuk terus berhubung dengan ahli pasukan atau rakan pejabat. Kita boleh membuat panggilan video dan telesidang. Jika sepi, wajar menubuhkan kumpulan sokongan rakan dan rakan sekerja yang juga bekerja di rumah.Buat rancangan untuk bertemu secara tetap dan kongsi cara kreatif yang disesuaikan dengan situasi baharu.
Namun, apa yang penting elakkan ‘demam rumah.’ Dengan bekerja dan menghabiskan masa tidak seimbang di rumah, mungkin anda perlu keluar sekitar rumah dengan berkebun atau berjalan di sekeliling rumah.
Penyelidikan menunjukkan menghabiskan masa dalam keadaan santai dapat menurunkan tekanan, membantu untuk berehat dan membersihkan fikiran.