Terpegun tengok mahligai indah usahawan cantik ini. Bukan hanya tersusun kemas bahkan dekorasi di segenap ruang dihias penuh teliti dan sarat dengan elemen mewah. Memang tidak ubah seperti hotel bertaraf lima bintang! Pastinya, kediaman Noor Hayati Kamarzaman atau lebih mesra disapa Yatie ini menjadi idaman setiap keluarga.
Aktif berkongsi aktiviti harian dan produk niaga di media sosial, Yatie tidak hanya dikagumi kerana keupayaannya mengurus empayar niaga tetapi juga kerana cita rasa wanita ini dalam menghias kediaman. Daripada perkongsian Yatie di Instagram, rata-rata followers rasa teruja setiap kali anak kepada usahawan ternama Bonda Rozita ini memuat naik foto mahupun video kediaman miliknya.
Daripada rekaan ruang tamu, dapur, bilik tidur, bilik wardrobe sehinggalah bilik air, semuanya cukup mengagumkan. Malah, Yatie juga selesa menata hias kediaman dengan rona putih bersih yang berkonsepkan klasik kontemporari.
Paling mencuri tumpuan ialah ruang dapur kediaman Yatie yang tidak hanya luas dan mewah tetapi juga bersih serta praktikal. Lebih menarik, ia juga terbuka dan menghadap terus ke halaman rumah nan menghijau. Sejuk dan tenang dapat memasak untuk keluarga di ruang dapur serba eksklusif macam dapur Yatie.
Ads
Apatah lagi Pengasas The Hijab Co dan The Skin Co serta Pengarah Kreatif Sendayu Tinggi ini memang suka memasak. Bahkan Yatie sering berkongsi resipi masakan dengan hampir sejuta followers.
Selain dapur, rekaan bilik tidur Yatie yang kemas dan minimalis juga menarik tumpuan. Begitu juga bilik air yang cukup mewah dan eksklusif. Keindahan corak marmar, perabot dan hiasan di bilik air Yatie berada dalam kelas tersendiri. Ditambah pula dengan dekorasi pokok hijau dan bunga-bungaan yang menyerlahkan lagi mood tenang.
Bilik wardrobe juga tidak kurang hebatnya. Selain menempatkan pelbagai koleksi beg tangan berjenama mewah dan aksesori, di bilik ini juga dilengkapi dengan ruang mekap yang pasti menjadi dambaan setiap wanita. Dari pemilihan perabot, closet dan kerusi semuanya rona senada putih. Sekaligus menampakkan ruang kelihatan lebih luas.
Bagi yang sering mengikuti perkembangan Yatie pasti sedar usahawan berusia 37 tahun ini seorang pencinta kucing. Memelihara lebih daripada seekor, Yatie turut menyediakan satu ruang khas buat kucing peliharaannya di luar rumah yang dinamakan sebagai playhouse.
Rupa-rupanya ada kisah di sebalik pembinaan playhouse tersebut. Kongsi Yatie, “Masa Kak Yatie kecil-kecil, teringinnya lah ada rumah pondok-pondok. Buat lah kat belakang rumah arwah Nek Mok. Tiang buluh, atap daun pisang. Ada tikar bagai. Main seharian kat situlah dengan adik-adik. Sampai nenek bising suruh balik makan, pastu sanggup bawa ke pondok-pondok nak ambil mood.
Sebab tu lah Kak Yatie yang nak sangat ada playhouse kat luar rumah ni. Tapi zaman dah berubah. Anak Kak Yatie suka dalam rumah lagi. Sekarang ni bebulus (kucing) la stay sini kalau malam. Diorang pun tak mau duduk sini siang-siang.”
Yatie merupakan isteri kepada Mohamad Zaidi Aziz dan ibu kepada dua cahaya mata perempuan iaitu Noor Uzma Raisah dan Noor Aleya Baheerah.
Kredit foto: Instagram Yatie Kamarzaman
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Tular di media sosial mengenai perkahwinan mewah seorang wanita dari Sabah, Zarwennie binti Dato’ Laja Besar bin Lulok (lebih dikenali sebagai Lady Wennie) dengan pasangannya Khairuddin. Khairuddin merupakan anak kepada Speaker Dewan Undangan Sabah (DUN) Sabah, Datuk Kadzim M Yahya.
Majlis gilang-gemilang itu diadakan di Sabah International Convention Centre, Kota Kinabalu, Sabah pada 3 Disember lalu. Dewan Sabah International Convention Centre dihias dekorasi mewah yang mana perbelanjaan dekorasi dirahsiakan oleh pihak keluarga pengantin kerana ia merupakan perkara peribadi yang tidak perlu dikongsikan secara umum. Tetapi melihat dekorasi dan perjalanan sepanjang majlis resepsi, sudah tentu ia mencecah ratusan ribu ringgit.
Faiz Sabari & Rozana Mumtaz dari Reka Teemor selaku perancang perkahwinan tersohor di Malaysia.
Menjengah laman Instagram perancang majlis tersohor, RekaTeemor milik Faiz Sabari dan Rozana Mumtaz, majlis pertunangan pasangan ini telah diadakan empat hari sebelum majlis resepsi mewah diadakan.
Zarwennie binti Dato’ Laja Besar bin Lulok (Lady Wennie)
Majlis pertunangan bertemakan rona merah jambu menjadi pilihan pasangan ini yang dihias penuh sentuhan menawan dari pasukan Reka Teemor.
Untuk majlis resepsi pula, Reka Teemor mendapat sentuhan dan gabungan idea dari pihak pengantin perempuan yang inginkan sebuah majlis resepsi yang istimewa. Tidak salah jika dikatakan, jenama tempatan ini mampu menzahirkan rekaan yang bertarad dunia yang akan menjadi kenangan indah sehingga ke akhir hayat.
RekaTeemor mengambil masa selama dua minggu untuk merealisasikan dekorasi pelamin indah pasangan ini. Hasilnya, sememangnya spectacular!
Suasana malam yang diimpikan dan menjadi kenangan indah. Terima Kasih @ladywennie kerana memberi kebebasan yang hakiki kepada Team Reka Teemor! hakiki tu hahaha 😝
14 hari bertungkus lumus bersama-sama bergabung tenaga mengejar masa, memerah minda & tenaga dan bersengkang mata. Kita tidak dapat menghasilkan impian Lady Boss Sabah ini tanpa sokongan dan semangat untuk menghasilkan sesuatu yang istimewa dari rakan seperjuangan dalam industri.
Akhirnya kami anak anak watan ini dapat menzahirkan rekaan yang bertaraf dunia yang akan menjadi kenangan indah bersama.
Sesungguhnya kami hanya merancang namun Allahlah memberi kemudahan, jatidiri, iltizam dan ilham untuk menjayakan resepsi seumpama ini, Allahummabarik, Ya Fatah Ya Razak Ya Rahman Ya Rahim, Alhamdulilah.
Sampai bertemu lagi Sabah, Boleh bah kalau kau!
“RekaTeemor”
Malah penyanyi popular dari Indonesia, Afgan diundang untuk menghiburkan para tetamu di majlis resepsi berkenaan. Selain Afgan, turut menghiburkan tetamu ialah Dayang Nurfaizah dan Velvet Aduk.
Melihat buah tangan yang disediakan untuk para tetamu pula, antara cenderahati kenang-kenangan termasuklah termos, flower tea serta manisan dengan initial Z&K.
Tidak hairanlah mengapa hasil sentuhan pasangan suami isteri ini sering menjadi pilihan golongan bangsawan dan selebriti kerana sentuhan mereka mempunyai keajaiban tersendiri bagi merealisasikan impian mempelai untuk hari bahagia mereka. Tahniah Lady Wennie & Khairuddin.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Takdir hidup salah seorang peserta Top 9 Fabulous MUA Nona X FCC iaitu Albin Hassan ini sememangnya sarat dengan onak duri. Sejak kecil dia sudah menyaksikan jerih perit kehidupan dan kesusahan kedua-dua ibu bapanya membesarkan mereka 17 beradik! Tinggal di sebuah rumah kecil di pedalaman Sabah… Albin bersama mak ayah dan adik-adik yang masih kecil ketika itu terpaksa menjalani hidup serba kekurangan. Pun begitu, anak kelahiran Negeri Di Bawah Bayu ini bersyukur kerana kasih sayang mak dan ayah kepada mereka tidak pernah kurang.
Disifatkan seorang yang rajin, dedikasi, positif dan berjiwa cekal, Albin atau nama sebenarnya Albion Hassan mengakui sudah lama memendam impian untuk bergelar makeup artist berjaya. Cukup berhati-hati berkongsi kisah hidup kerana tidak mahu pengakuannya disalah erti… jejaka berusia 33 tahun ini berkali-kali menjelaskan, perkongsian yang dibuat ini bukan untuk meraih simpati. Jauh sekali menyalahkan takdir ilahi.
“Sebelum ini saya memang dah ada kerja. Cuma minat saya terhadap mekap dah lama dan teringin hendak kerja dalam dunia makeup artist ini betul-betul. Jadi, saya ambil risiko berhenti kerja untuk fokus mekap secara full time. Bukan untuk raih simpati tapi apa yang ingin saya sampaikan ini adalah realiti sebenar yang tak semua orang dikurniakan kehidupan senang. Kalau kita rasa hidup kita susah, ada lagi yang lebih susah.
Pernah ada orang tanya, “Kenapa umur 33 tahun baru hendak jadi makeup artist? Tak rasa dah terlambat ke?” Jujur saya katakan, perjalanan hidup saya tak seperti orang lain. Saya dilahirkan dari keluarga yang sangat susah dan ada 17 adik-beradik. Saya ingat lagi masa sekolah rendah, mak hanya mampu bagi duit belanja saya 20 sen je. Saya pula kena berjalan kaki ke sekolah sejauh tiga kilometer. Masa tu memang rasa jauh sangat. Iyalah, budak-budak. Lagi-lagi bila hujan, habis kasut basah. Setiap hari, pukul 5 pagi lagi mak dah kejut bangun sebab sekolah jauh.”
Meskipun sedaya-upaya menyembunyikan kesedihan, namun jelas kelihatan air matanya bergenang. “Bukan tak bersyukur. Dah tertulis takdir hidup saya begitu. Saya hanya sempat bersekolah sampai darjah 3 sahaja. Mak terpaksa berhentikan kami empat beradik daripada sekolah sebab adik saya menghidap kanser mata. Masa tu kami di Sandakan dan mak kena bawa adik ke Kota Kinabalu untuk buat pembedahan. Memang mak ayah dah tak ada duit untuk bayar yuran sekolah, ditambah pula dengan perbelanjaan pembedahan adik.
Lepas dapat tahu adik ada kanser dan berhenti sekolah, saya cuba cari kerja. First kerja yang saya buat ialah cuci kereta di rumah seorang Datin. Masa tu umur saya 10 tahun dan saya dapat upah RM10. Duit yang saya dapat, saya bagi dekat mak. Waktu itulah saya nampak macam mana susahnya keluarga saya. Ayah pun kerja tak tentu. Disebabkan saya dah besar berbanding adik-adik yang lain, saya sanggup kerja untuk bantu keluarga. Lagipun, saya ada seorang adik yang autisme.
Albin di samping adik autismenya, Rangga @ Rizal yang kini berusia 18 tahunKeluarga besar Albin
Tak lama lepas tu, adik saya meninggal. Simpati dengan nasib keluarga kami, mak cik saya sendiri minta saya tinggal dengan dia dan jadi ‘budak suruhan’ atau pembantu rumah. Saya ditugaskan basuh pinggan dan kain, sapu sampah, kemas rumah… sama macam pembantu rumah lain buat. Setiap hari saya diberi gaji RM5. Tujuh tahun jugalah saya duduk di rumah mak cik selain pergi cari duit lebih di tempat lain.
Sebab teringin hendak belajar balik, saya kumpul duit untuk belajar di sebuah sekolah swasta di Sandakan. Tapi sayang, saya dapat belajar sekejap sahaja sebab tak cukup masa dan duit. Sudahnya, saya nekad pergi cari kerja di Kota Kinabalu atas pelawaan seorang kawan. Alhamdulillah, mak izinkan saya kerja di sana asalkan saya pandai jaga diri. Sebelum dapat kerja di sana pun macam-macam benda tak elok jadi,” ujar anak ketiga daripada 17 adik-beradik ini.
Dek kerana keadaan yang terdesak di Kota Kinabalu, Albin pernah merayu kepada majikan di sebuah restoran agar diberikan apa jua pekerjaan kerana tiada wang untuk pulang ke Sandakan. Mujur, majikan tersebut menerima Albin dan diberi gaji ribuan ringgit sebagai pelayan. “Bila sebut bab keluarga, saya cepat rasa sedih dan mudah menangis sebab saya tahu betapa susahnya hidup kami.
Umur 17 tahun saya dah kerja jadi waiter dan lama juga saya kerja di situ. Setahun lepas dapat kerja ni, saya ambil kelas Bahasa Inggeris sebab saya hendak buktikan kepada orang yang pernah caci saya yang saya juga boleh berjaya. Saya baru berhenti kerja tersebut tahun lepas dan mula serius ambil tempahan mekap dari customer.
Sebenarnya, niat masuk bidang mekap ini sebab hendak beri rezeki yang halal untuk mak dan keluarga di kampung. Tapi bukan mudah, ada saja ujian yang Allah bagi. Masa masih kerja jadi waiter, saya ada seorang klien tetap dan selalu panggil untuk mekapkan dia. Ada kalanya saya tak sempat buat sebab sibuk kerja dan saya beritahu dia, saya akan berhenti kerja waiter sebab hendak buat mekap. Tapi bila dia tahu saya berhenti kerja, terus dia tak panggil saya lagi dah.
Alhamdulillah, selama 10 tahun duduk di KL ni saya jumpa orang yang baik sangat iaitu housemate saya, Rizal. Dia yang banyak tolong saya dari waktu saya susah dan tak minta walau satu sen duit sewa sebab dia tahu keadaan saya dan pernah datang rumah saya di kampung.”
Ditanya apa yang dilakukannya sekarang, sambil tersenyum Albin memberitahu, “Sampai saat ini, saya tak ada kerja tetap lagi. Apa yang saya buat untuk sara hidup masa ini ialah dengan buat live tutorial mekap dan dalam masa sama saya cuba untuk branding nama saya sebagai makeup artist. Nak kata tak ada job mekap langsung, tak juga. Dalam sebulan, adalah dua ke tiga job orang panggil.”
Melihat potensi yang ada pada Albin, tidak mustahil satu hari nanti dia mampu kejar impian yang diidamkan selama ini. Bagi penulis, Albin bukan hanya makeup artist tapi dia juga pejuang yang ‘kalis’ cabaran kerana kecekalannya untuk menikmati kehidupan lebih selesa dan terjamin. Lagipun Albin seorang makeup artist yang versatil.
Antara selebriti yang pernah menggunakan khidmat Albin termasuk Norman Hakim, Altimet, Sissy Iman dan Ayu Damit. Selain menata rias wajah selebriti, Albin juga menerima tempahan solekan untuk pertunangan, perkahwinan, fashion show,photoshoot dan sebagainya. Jadi, bagi yang bakal bertunang atau bergelar raja sehari tidak lama lagi… bolehlah cari Albin!
Saksikan Albin dan lapan lagi peserta yang bertanding dalam Fabulous MUA Nona x FCC bagi merebut gelaran juara program realiti digital pencarian makeup artist pertama di Malaysia ini. Fabulous MUA Nona x FCC bakal bersiaran menerusi platform digital Majalah Nona. Antaranya di Youtube, Facebook dan laman web rasmi Majalah Nona bermula 1 November ini, jam 8 malam. Pertandingan ini dihoskan oleh Fiza Frizzy manakala Pengarah Urusan FCC, Ili Zawani Ismail dan Editor Pengurusan Majalah Nona, Kiffy Razak selaku juri tetap.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
“Saya bangga melahirkan ramai student PhD dan Masters…” itu antara jasa saintis negara, Profesor Datuk Wira Dr Raha Abd Rahim yang dijulang tinggi.
Bukan mudah menyelit temu janji di celah-celah lembaran takwim saintis negara ini. Jadual Profesor Datuk Wira Dr Raha Abd Rahim begitu padat, seiring dengan tanggungjawab berat yang dipikulnya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di National Institutes of Biotechnology Malaysia (NIBM) dan Profesor Amal di Universiti Putra Malaysia.
Air mukanya lembut dan keibuan. Sejuk mata memandang kecantikan wanita genius yang merupakan ibu kepada dua cahaya mata perempuan itu. Mengenali Prof Dr Raha, anak Johor ini membawa resmi padi – makin berisi makin tunduk ke bumi. Beliau menyerlahkan pesona wanita Melayu yang bijak dan sukses, namun tetap utuh menjaga adab kesopanan serta merendah diri.
Berpaksikan kelayakan Prof Dr Raha dalam bidang bioteknologi dan sains biomolekular, wanita yang merupakan seorang pendidik ini diberi mandat menerajui agensi NIBM yang merangkumi tiga institusi bioteknologi negara.
Di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), agensi beliau berperanan memimpin ratusan saintis negara dalam menjalankan aktiviti penyelidikan & pembangunan (R&D), merancang pengkomersilan hasil R&D dan meningkatkan ekosistem R&D dalam menjadikan Malaysia sebagai hab bioteknologi global.
Sejak dilantik ke jawatan ini pada tahun 2022, Prof Dr Raha banyak membuat pembaharuan dalam memperkasa penyelidikan dan inovasi yang dapat memberi manfaat kepada negara. “Dengan kepakaran dalam bidang bioteknologi, saya berharap dapat membantu masyarakat dan industri-industri di Malaysia.
Antara projek R&D yang dijalankan adalah menghasilkan vaksin keluaran tempatan dengan kerjasama KKM. Ia sememangnya menepati bidang khusus saya iaitu mikrobiologi dan genetik molekul.”
Memiliki kelulusan Doktor Falsafah (PhD.) dalam Genetik Molekular dari Universiti Strathclyde, Glasgow, Prof Dr Raha telah melahirkan ramai anak didik yang mengikut jejak langkahnya dalam bidang sains. Terdahulu sebelum itu, beliau menggenggam Ijazah Sarjana Muda Mikrobiologi dan seterusnya Sarjana Sains dari Oklahama State University, USA.
Mengimbau kenangan persekolahan, bekas alma mater Kolej Tunku Kurshiah itu rupa-rupanya mula meminati bidang sains biologi selepas tamat Tingkatan 5. “Dulu di bangku sekolah, kalau ditanya antara subjek fizik, kimia atau biologi, jujur saya paling faham biologi. Di situlah titik permulaan pengajian saya dalam bidang ini sehingga bergelar seorang saintis.
Sebenarnya saya tak percaya dengan stigma bahawa pelajar sains ini nerd atau ulat buku. Bayangkan di sekolah dulu, saya seorang yang aktif. Saya masuk tarian, ahli band, main hoki dan bersilat, tapi pelajaran tetap jadi keutamaan. Pihak sekolah sendiri amat menekankan keseimbangan akademik dan kokurikulum, bukan hanya belajar semata atau jadi anti-sosial.”
Tambahnya, didikan ibu bapa turut memainkan peranan penting dalam membentuk karakter diri beliau hari ini. “Arwah abah saya merupakan seorang Settlement Officer (Penyelesai Pegawai Tanah) manakala ibu pula seorang kerani di pejabat kesihatan. Keluarga kami sederhana saja, taklah terlalu senang atau terlalu susah. Tapi mereka berdua sangat menitik beratkan pelajaran anak-anak.
Saya masih ingat waktu kecil-kecil dulu, arwah abah pernah belikan set ensiklopedia yang ada 24 buku tu. Saya juga peminat buku-buku bacaan klasik seperti Heidi, The Tale of Two Cities dan sebagainya. Memang kami rajin beli buku, sebab dia nak terapkan minat membaca dan cintakan ilmu pengetahuan. Bahkan arwah abah memang garang, beliau sentiasa ingatkan saya supaya belajar rajin-rajin demi masa depan dan keluarga.
Saya pula anak sulung dalam tiga beradik, alhamdulillah adik perempuan kini berjawatan Pengurus Besar di syarikat minyak dan gas multinasional manakala adik lelaki pula seorang Jurutera Perisian di Kuala Lumpur,” cerita Prof Dr Raha sambil tersenyum mengingatkan kenangan arwah yang susah menyebut perkataan ‘Microbiology’ dan ‘Molecular Genetics’ sehingga ke akhir hayatnya.
Sporting dan penuh kata-kata motivasi, ikuti temu bual eksklusif Nona bersama Prof Dr Raha sewaktu sesi fotografi Nona Superwoman Award 2024 baru-baru ini…
Wanita genius asal Johor ini merupakan Ketua Pegawai Eksekutif di National Institutes of Biotechnology Malaysia (NIBM) dan Profesor Amal di Universiti Putra Malaysia. Memiliki kelulusan Doktor Falsafah (PhD.) dalam Genetik Molekular dari Universiti Strathclyde, Glasgow, beliau telah melahirkan ramai anak didik yang mengikut jejak langkahnya dalam bidang sains.
Berpaksikan kelayakan Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim dalam bidang bioteknologi dan sains biomolekular, wanita yang memimpin ratusan saintis dalam menjadikan Malaysia sebagai hab bioteknologi global ini diberi pengiktirafan Nona Professional Award dalam Nona Superwoman Award 2024.
Orang yang mengejar dunia, pasti dunia dan akhirat akan meninggalkannya manakala jika orang itu mengejar akhirat, pastinya dunia dan akhirat akan mengikutinya. Itulah prinsip hidup yang dipegang oleh Prof Dr Raha, selain berusaha sebaik mungkin dalam menggalas amanah serta tanggungjawab yang diberikan kepadanya.
“Just do your best in life. Kalau kita sudah buat yang terbaik, saya percaya kita tak payah terkejar-kejar jawatan dan pangkat, ia akan datang dengan sendirinya, insyaAllah. Kalau tak datang sekali pun kepada kita, mungkin akan datang kepada anak-anak atau saudara mara kita,” kongsi Prof Dr Raha yang sangat menggemari puisi Rumi.
Merasakan rahsia kejayaan yang sebenar adalah bantuan dan sokongan suami, ibu bapa serta ahli keluarga tercinta, Prof Dr Raha turut merakamkan penghargaan beliau terhadap sahabat-sahabat dan juga kerajaan yang telah membiayai pengajiannya sehingga sukses.
PENDIDIK
Berusia 61 tahun, penyelidikan Prof Dr Raha banyak tertumpu kepada bidang mikrobiologi umpamanya pembangunan bakteria asid laktik. Beliau juga terlibat dalam pelbagai penyelidikan lain termasuk mengenal pasti penanda genetik dan pengesahan produk halal melalui kaedah molekul.
Sebagai pendidik pula, beliau telah membimbing dan menyelia lebih daripada 50 pelajar pasca siswazah, menerbitkan lebih daripada 130 kertas kerja dalam jurnal terpilih dan memfailkan beberapa hak harta intelek.
Mantan Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) itu juga berperanan sebagai perunding kepada beberapa agensi kerajaan dan industri berkaitan bioteknologi. Prof Dr Raha pernah memegang pelbagai jawatan pentadbiran di Universiti Putra Malaysia, memegang gelaran Presiden Persatuan Bakteria Asid Laktik Malaysia, Presiden Persatuan Mikrobiologi Malaysia dan berkerjasama dengan pelbagai persatuan profesional lain antaranya Persatuan Biologi Molekul dan Bioteknologi Malaysia serta Persatuan Genetik Malaysia.
Di peringkat antarabangsa, beliau adalah ahli Persatuan Mikrobiologi Amerika dan pernah memegang jawatan Setiausaha Agung di Persekutuan Persatuan Bakteria Asid Laktik Asia.
“Pada peringkat ini, saya kira sudah ada sumbangan sedikit sebanyak kepada negara. Tapi yang paling bermakna adalah apabila saya berjaya menghasilkan pelajar-pelajar yang cemerlang, bukan saja dalam pelajaran bahkan tingkah laku yang baik. Saya bangga melahirkan ramai student PhD dan Masters, serta kemudian mereka pula menjadi pensyarah atau terlibat dengan penyelidikan,” katanya.
Menjadikan tokoh sains wanita terkemuka, mendiang Marie Curie, sebagai inspirasi, Prof Dr Raha memasang impian untuk menabur jasa kepada dunia. “Beliau adalah wanita pertama yang meraih Nobel Prize sebanyak dua kali (1903 & 1911) di atas penyelidikan yang dibuat terhadap X-Ray bagi tujuan perubatan terutamanya pencegahan kanser. Teori yang diperkenalkan oleh Marie Curie diguna pakai untuk pembuatan mesin X-Ray yang kita gunakan sehingga ke hari ini dan merupakan antara salah satu penemuan terhebat dalam teknologi sains.
Seorang lagi idola saya adalah mendiang Barbara McClintock. Beliau merupakan saintis wanita Amerika yang turut meraih Nobel Prize (1983) serta amat dikenali kerana penemuan ‘the jumping genes’. Dua wanita ini banyak menukar cara saya berfikir termasuk kemampuan kita untuk mengatasi halangan… and of course, breaking the glass ceiling!”
Mengakhiri temu bual, Prof Dr Raha yang diiktiraf Nona Professional Award 2024 sempat menitip pesan agar wanita harus berterusan membuat self-improvement. Tidak kira berapa pun usia kita, teruslah belajar dan memberi manfaat kepada orang lain. “Saya ada dua anak perempuan, Adeela dan Adreena yang kedua-duanya baru selesai pengajian Sarjana. Kepada mereka saya selalu berpesan bahawa kejayaan ini adalah berkat doa ibu bapa dan keluarga. Be humble and always remember your roots, ini juga pesanan saya kepada pelajar-pelajar saya,” akhiri beliau.
Pelakon dan pengacara, Dynas Mokhtar baru-baru berkongsi detik manis penuh bermakna apabila anak sulungnya berjaya meraih anugerah kecemerlangan di sekolah.Ibu mana yang tidak gembira...