Kunjungan Majalah Nona ke Alor Setar membawa kami bertemu seorang usahawan muda, cantik dan berjaya, Nurul Nabihan Azmi atau Bihan yang merupakan pengasas produk kosmetik terkenal Bihan Girly Makeup (BGM).
Berusia 34 tahun, Bihan sebenarnya merupakan wanita kelahiran Kelantan namun membesar dan menetap sejak kecil di Kedah. Mula menubuhkan Bihan Girly Makeup (BGM) pada tahun 2015, bisnes kosmetik ini mula menembusi pasaran sejak lapan tahun lepas.
Selain mahir bersolek dan bercakap soal kecantikan, ibu anak tiga ini menjadikan minat menghias rumah sebagai terapi fikiran. Dengan bantuan suami yang pernah berkecimpung dalam bidang firma seni bina, mahligai Bihan bertambah seri dengan konsep moden mewah.
Suka dengan rona emas sebagai penaik seri, Bihan mengambil masa sekitar 3-4 bulan untuk menyiapkan rumah idamannya. Paling suka tengok kawasan dapur Bihan yang kemas dan menggunakan kabinet rona hitam. Membangkit aura mewah!
Jom tonton video eksklusif Nona bersama Bihan ni, terinspirasi betul dengan semangat dan kejayaan beliau dalam bisnes…
Tak Sangka Gadis Cantik Korea Ni Suka Makan Kaki Ayam! Patutlah Cantik Lain Macam Je
Saat kali pertama bertemu dengan Ayana Jihye Moon gadis bertubuh tinggi berasal daripada Korea ini, Nona terus terpegun dengan kecantikan wajahnya yang flawless dan putih merah jambu. Sungguh sempurna ciptaan Allah. Gadis yang berzodiak Sagittarius ini lahir pada 28 Disember dan kini berusia 22 tahun.
Kisah Ayana Jihye Moon mula mendapat perhatian netizen sekitar Malaysia, Indonesia dan Brunei kerana pilihannya yang mahu menjadi mualaf dan memilih Islam sebagai agamanya dan terus memakai hijab walaupun pada ketika itu masih menetap di Korea bersama keluarga. Dengan wajah yang putih melepak dan cantik tidak hairan lah kenapa Ayana dengan mudah juga berjaya menarik perhatian netizen.
“Saya mula memeluk Islam sekitar 6 hingga 7 tahun yang lepas. Nama seperti Aishah atau Khadijah sudah menjadi pilihan ramai dan Ayana ialah nama Islam yang dipilih sendiri oleh saya kerana tertarik dengan nama itu yang membawa maksud bertuah”, jelasnya yang lebih mesra dipanggil Ayana.
Ayana juga mula tertarik dengan keindahan Islam apabila dikelilingi oleh rakan-rakan beragama Islam yang mahu membantu diri beliau untuk terus mendalami ilmu agama walaupun pada mulanya mendapat tentangan daripada kedua ibu bapanya.
“Pada mulanya saya tidak begitu serious untuk memeluk Islam kerana saya hanya mahu ada pengetahuan tentang Islam. Namun, apabila saya mula bertemu dengan rakan-rakan beragama Islam yang baik, saya mula tertarik dengan agama ini dan mahu merasai sendiri pengalaman menjadi seorang muslim.
Pada awalnya, ibu dan ayah saya tidak suka dengan keputusan saya untuk memeluk agama Islam dan keadaan ini adalah normal di sana kerana tidak semua rakyat Korea sukakan orang Islam termasuk ahli keluarga saya sendiri. Namun sehingga sekarang saya sentiasa menghubungi ahli keluarga untuk bertanya khabar dan masih melawat mereka di Korea”, kata Ayana yang merupakan anak sulung daripada dua orang adik-beradik ini.
Apa yang menariknya lagi, Ayana kini dalam proses menyiapkan buku tentang kisah hidupnya sendiri dan akan diterjemahkan menjadi sebuah drama di salah sebuah saluran televisyen di Indonesia.
“Selain sibuk sebagai seorang model, saya juga kini dalam proses menyiapkan sebuah buku hasil penulisan saya sendiri tentang perjalanan kisah kehidupan saya dan kemudian akan diterjemahkan menjadi sebuah drama yang akan diterbitkan di Indonesia. InsyaAllah penggambaran akan dimulakan sekitar September nanti di Korea dan Indonesia”, jelas Ayana lagi yang kini mula berjinak-jinak dalam dunia pengacaraan di Indonesia.
Beliau juga dapat dilihat sebagai seorang wanita yang sangat sempoi, sentiasa mengukirkan senyuman dan mudah mesra dengan orang walaupun baru berjumpa buat pertama kalinya. Nona mengambil kesempatan yang ada untuk bertanya sendiri tentang rejim kecantikan khas yang dipratikkan oleh dirinya.
“Sebenarnya saya tidak ada rutin kecantikan khas untuk diamalkan, cuma saya akan bersihkan make up sebelum masuk tidur dan pastikan muka saya bersih daripada sebarang kotoron. Selain itu saya juga akan sapu krim pelindung matahari setiap kali sebelum keluar rumah kerana ia akan membuatkan kulit wajah anda cepat tua dan akan mula timbul masalah kulit.
Saya juga bukan seorang yang memilih tentang makanan kerana saya suka minuman berkarbonat dan kaki ayam merupakan antara makanan kegemaran saya selain makanan segera seperti KFC dan McDonald”, jelas Ayana sambil juga yang juga tidak suka melakukan senaman dan tidak mengambil sebarang suplemen tambahan.
Alahai, untungnya jadi wanita naturally cantik macam ni tanpa perlu buat effort lebih untuk kelihatan menawan. Mungkin anda pun boleh cuba tip daripada Ayana ni yang gemarkan makan kaki ayam. Sehingga kini, Ayana sedah mengumpul seramai 1.5 million followers di instagramnya.
“Dalam Motokar, Dia Pegang Tangan Saya. Pegangan Tangan Dileraikan Bila Kami Melintasi Tol & Jari-Jemari Kembali Bertaut Selepas Itu” – Tun Siti Hasmah
Pagi bersejarah itu jantung penulis seakan terlucut ke kaki. Selama bertahun-tahun mengutus surat rasmi dan berkali-kali jualah tersandar di kerusi kerana tarikh yang diberi selalu tidak menjadi, akhirnya wajah pasangan ini muncul di depan kami. Salam yang dihulur bonda Tun Dr. Siti Hasmah, penulis kucup dengan rasa syukur yang amat. Allah SWT kabulkan impian, malah Dia juga menyusun rencana pertemuan Nona ini untuk keluaran Ramadan, Jun 2016… hampir empat tahun yang lalu.
Kesempatan mendekati Tun Dr. Siti Hasmah secara one to one, sampai ke hujung nyawa pun akan terakam sebagai momen paling manis dalam kerjaya penulis. Sifat keibuannya, jenaka spontannya serta ruang memori yang dikongsi secara peribadi benar-benar mencambahkan rasa kagum terhadap doktor wanita Melayu pertama di Malaysia itu. 60 tahun mendirikan rumah tangga di sisi Tun Dr. Mahathir Mohamad, bukan satu tempoh singkat. Ibarat irama biola yang digesek indah, lagu cinta mereka melayang sampai ke langit!
Sambil membetulkan duduk, pantas soalan tentang sikap suami tersayang diajukan kepada beliau. Tun Dr Siti Hasmah kelihatan berfikir sejenak, barangkali jenuh mengenangkan pelbagai karakter lelaki yang didampinginya semenjak muda. “Bagi saya, dia seorang yang biasa. Seorang manusia yang ada perasaan sama macam kita semua. Ada masa-masanya dia tak mahu diganggu dan ada masa-masa juga, dia mahukan teman untuk berbual,” ujar wanita bijak itu yang kini menginjak usia 90 tahun.
Menurut Tun Dr. Siti Hasmah lagi, sebenarnya Tun M akan berubah menjadi pendiam ketika dia ‘tenggelam’ dalam lautan pemikiran. Khususnya tatkala mencari penyelesaian berkaitan sesuatu perkara. Pada satu waktu yang lain pula, dia boleh berubah menjadi seorang yang penuh humor dan sarat kelucuan. “Saya selalu pesan pada dia, janganlah lucu-lucu sangat takut orang tak faham kita sedang melawak. Bimbang nanti, orang salah tafsir kata-katanya.”
Ramai juga yang tidak tahu bahawa Tun M sebenarnya seorang suami yang sangat cerewet tentang penampilan si isteri. “Ya, bayangkan setiap kali kami keluar bersama, dari depan pintu rumah lagi dia akan tengok penampilan saya dari hujung rambut ke hujung kaki. Rambut palsu saya ni, dialah yang suka betul-betulkan dan dia pantang kalau nampak ‘bulat’ sangat di dahi. Mesti akan dirapikan agar nampak lebih natural,” akui Tun Dr. Siti Hasmah sambil tertawa kecil.
Tun M juga merupakan seorang yang sangat teliti tentang soal pakaian. Jarang sekali Tun Dr. Siti Hasmah dapat menata rias penampilan si suami biarpun pernah mencubanya berkali-kali. “Bukan saya tak mahu tolong dia! Tapi selalu yang saya pilih, tak kena di mata. Pernah beberapa kali saya suai padankan baju untuk dipakai tapi setiap kali itu jugalah dia tak setuju. Akhirnya, dia pilih sendiri kot atau sut yang dimahukan,” akui Tun Dr. Siti Hasmah terhadap imej Tun M yang gemar bersut nehru atau bush jacket itu.
https://www.instagram.com/p/BGddj18yOc2/?hl=en&taken-by=kiffyrazak_nona
MENULIS
Mengenang kembali perbualan kami yang berlangsung di kamar pejabat Tun Dr. Siti Hasmah sendiri, ingin rasanya menahan kolam air mata dari bergenang. Seorang tokoh yang penyayang, senyumannya sentiasa basah di ingatan. Penulis tidak pernah lupa dengan usikan bahawa setiap gambarnya yang kami rakam perlu dibayar. Wajahnya tiba-tiba serius. Tapi beliau kemudiannya tertawa ceria. Ah, berharganya nostalgia itu!
Semenjak bersara pada tahun 2003, Tun Dr. Siti Hasmah hanya mengaktifkan diri dalam persatuan NGO sebagai ahli kehormat. Namun kebelakangan ini, masanya lebih fokus di rumah, menulis sebuah jurnal biografi tentang kehidupannya untuk dibukukan. Sehingga ke detik temu bual ini dilaksanakan, beliau masih lagi tekun menyiapkan draf buku biografi tersebut sebelum diterbitkan beberapa bulan lagi.
Berbekalkan sebatang pen di tangan dan halaman jurnal kosong, setiap hari wanita kelahiran Klang, Selangor itu mencatatkan perihal perjalanan hidupnya secara longhand writing. Bahasanya lebih individual dan dekat di jiwa, penuh dengan coretan tulus seorang isteri, ibu kepada 7 cahaya mata, nenda kepada 18 cucu dan alhamdulilah, moyang kepada seorang cicit. Bahkan dedikasi Tun Dr. Siti Hasmah sebagai salah seorang doktor wanita pertama di Tanah Melayu turut ditulis rapi, menandakan komitmennya terhadap masa depan perubatan di negara ini.
Tidak pernah lelah memperjuangkan kepentingan kesihatan wanita dan kanak-kanak, amalan perancangan keluarga serta banyak lagi, banyak pengalaman Tun Dr. Siti Hasmah sewaktu berkhidmat sebagai doktor perubatan lewat tahun 1955 di Kedah dikongsi bersama penulis. “Negeri Kedah pada waktu itu masih dalam suasana luar bandar, dihuni ramai penduduk miskin dan rata-ratanya buta huruf. Saya masih ingat, pihak hospital sering dipersalahkan apabila kami gagal untuk menyelamatkan nyawa seseorang gara-gara sikap masyarakat yang konservatif dan lambat mendapatkan rawatan.
Setelah diperhalusi, kami dapat tahu bahawa masyarakat kampung selalu teragak-agak untuk membawa pesakit ke hospital kerana pelbagai pantang-larang. Jika berlaku komplikasi sewaktu bersalin di rumah contohnya, si ibu perlu mendapatkan kebenaran suami serta keluarga terlebih dahulu untuk rawatan kecemasan. Kemudian wujud pula masalah pengangkutan. Bayangkan pesakit perlu ditandu sehingga ke jalan besar, sebelum teksi atau kenderaan tertentu membawanya ke hospital. Tapi bila sampai, malangnya si ibu sudah kehilangan darah yang banyak.
Sehingga sekarang saya sangat bersyukur dilahirkan sebagai seorang doktor wanita Melayu Islam yang mampu memberi sumbangan besar terhadap masyarakat. Sebagai bekas pegawai perubatan, saya amat terhutang budi kepada mantan Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak yang sangat mengambil berat tentang kesusahan masyarakat luar bandar. Pada zamannya, banyak jalan raya dibina menghubungkan kawasan luar bandar dengan bandar seterusnya meningkatkan taraf kesihatan rakyat dengan lebih baik,” luah Tun Dr. Siti Hasmah yang turut mengagumi kepimpinan Tun Fatimah Hashim itu.
Kebimbangan beliau terhadap penularan gerakan anti-vaksin di kalangan ibu bapa muda terlihat jelas melalui getar nada suaranya. Wajahnya tiba-tiba berkerut seribu, tanda protes terhadap ‘keberanian’ generasi sekarang yang mempersoalkan keselamatan dan keberkesanan vaksin, terutamanya apabila penyakit yang dicegah oleh vaksin kian menghilang. “Jujurnya saya sangat bimbang dengan situasi ini. Di Malaysia, kadar kes penyakit berjangkit seperti batuk kokol, difteria dan polio telah tiada semenjak program imunisasi kanak-kanak bawah 1 tahun diwajibkan.
Usaha pemberian imunisasi tidak sepatutnya berhenti walaupun kes terkawal. Kesempatan ini, saya ingin menasihatkan semua ibu bapa supaya JANGANLAH mengelak daripada vaksin demi kesihatan anak-anak tersayang. Jangan tunggu sehingga musibah melanda, barulah mahu bertindak. Takut waktu itu sudah terlambat,” pesannya dengan serius.
KARAKTER
Gaya klasik Tun Dr. Siti Hasmah dalam busana kurung dan perhiasan kalung mutiara tidak dapat dipisahkan. Sambil tertawa, beliau mengakui senang bersederhana dalam penampilannya. “Saya suka pakai mutiara kerana orang tak berani tanya berapa harganya. It is the most classic piece of jewelry that a woman can own. Zaman dulu-dulu pernah juga pakai perhiasan emas berlian yang Mak bagi, tapi susah pula nak padankan dengan baju. Semenjak itu cinta saya berkembang pada mutiara.”
Cerita tentang anting-anting ketip Tun Siti juga memecah derai tawa kami. Hampir berlinang air mata penulis menahan gelak. “Dulu semasa memakai anting-anting biasa, seseorang menegur saya kerana anting-anting sebelah kiri nampak nak jatuh. Mungkin zaman bidan kampung dulu-dulu menindik cara tradisional, maka jadilah lubang tindik itu semakin panjang bila berusia. Sebelum ia jadi semakin panjang, lebih baiklah saya berhenti sekarang dan pakai saja yang ketip,” selorohnya bersahaja.
Bercerita lanjut tentang keluarga pasangan ini, jujurnya ia satu lagi episod paling menarik untuk penulis gaulkan dalam penulisan. Namun satu yang pasti, kebahagiaan itu milik mereka. “Kami sekeluarga jarang berkumpul. Anak Marina di London, manakala keempat-empat anak Mirzan di Amerika Syarikat. Ini jam kalau apa-apa terjadi pada anak, ibu bapa mereka terus ke sana walaupun terpaksa mengejar penerbangan di tengah malam.
Berbeza pada zaman saya, kami jarang sekali dapat jenguk anak-anak yang belajar di luar negara. Lebih-lebih lagi suami bertugas sebagai Perdana Menteri pada waktu itu. Kami sekadar berkomunikasi melalui Aerogram. Saya teringat cerita Mastisa, menantu saya, tentang anaknya yang merayu minta si ibu tulis surat. Katanya dia pelik kenapa kawan-kawan selalu berlari ke ‘suatu tempat’ pada setiap pagi. Rupa-rupanya ke tempat mailbox. Masing-masing menunggu surat daripada keluarga padahal cucu saya ber-Skype dengan keluarganya sepanjang masa. Jadi saya cakap, saya sendiri mahu hantar surat bertulisan tangan pada cucu itu.”
Sanjungan penulis terhadap Tun Dr. Siti Hasmah tumbuh sejak zaman persekolahan lagi. Beliau mendukung karakter seorang isteri pemimpin yang sebenar, yang sentiasa menyokong jatuh bangun kerjaya suami tanpa jemu. She is beside him, she is with him, not behind him. “Saya sentiasa memberi sokongan penuh tapi saya tak mahu bersaing dengannya. Apabila kami walkabout ke mana-mana, selalunya orang akan nampak Tun M saja. Tak nampak saya. Saya pasti akan ke belakang bagi memberi peluang rakyat berjumpa dengannya.”
Tun tak cemburu? Soal kami penuh tanda tanya. “Saya tak jealous. Saya tahu orang sayang pada dia dan dia pun tahu bagaimana perasaan orang-orang yang sayangkan dia. Dia pernah bersuara, selagi orang suka dan mahu jumpa kita, kita layanlah dengan mesra. Yang perlu kita risau ialah apabila orang dah tak mahu berjumpa lagi,” akui beliau dengan suara perlahan.
Biarpun jarang mempamerkan kasih sayang di depan masyarakat, namun seluruh rakyat Malaysia tahu betapa dalamnya cinta pasangan merpati dua sejoli itu. Kesetiaan Tun M terhadap Tun Dr. Siti Hasmah adalah bukti bahawa cinta sejati sememangnya wujud, malah mampu bertahan kukuh sehingga ke penghujung hayat. Saat wanita ini menceritakan karakter Tun M yang amat private, hati penulis bagai tersentuh rasa percaya.
“Dalam motokar, dia pegang tangan saya. Pegangan tangan itu akan dileraikan apabila kami melintasi tol dan jari-jemari akan kembali bertaut selepas itu. Suami juga tak gemar kami berpakaian sedondon seperti pasangan lain. Bukan sahaja sewaktu menghadiri undangan perkahwinan, malah pada hari raya pun pakaian kami berlainan,” ulasnya.
Melihat kesungguhan sang pemilik tulang rusuknya yang tidak pernah mengenal erti penat meskipun dihalang faktor usia yang kian lanjut, Tun Dr. Siti Hasmah kelihatan termenung sejenak. “Saya juga seorang rakyat Malaysia. Istimewanya cuma Allah jumpakan saya dengan Dr. Mahathir yang akhirnya menjadi Perdana Menteri. Saya kagum melihat bakat dia berucap. Dia selalu ada idea tentang apa sahaja. Saya fikir kerana suami sangat suka membaca tentang pelbagai buku. Buku-buku adalah sebahagian daripada dunianya.
Dia membaca buku biografi, sejarah, sains, agama malah macam-macam lagi. Tidak cukup membaca, dia menulis pula. Tentang segala-galanya. Bagi saya, ilham yang Allah selalu beri kepadanya amat mengagumkan. Dia boleh bercakap tentang pelbagai perkara kerana sentiasa mengaktifkan fikiran dengan membaca pada setiap masa,” kata Tun Dr. Siti Hasmah berterus-terang.
Ketika menebarkan pandangan ke seluruh ruang bilik, perhatian penulis sempat berlabuh kepada sebuah potret beliau yang sedang bermain biola. Ya, beliau punya bakat terpendam menggesek biola. Di rumah, beliau diajar oleh seorang guru muzik profesional yang pada waktu yang sama turut mengajar cucu mereka di rumah. Timbul keinginan agar dapat mendengar alunan gesekan biola daripada Tun Dr. Siti Hasmah pula, suatu hari nanti.
“Sepanjang PKP, Awasi Anak-Anak Dari Sebarang Bentuk Gangguan & Penderaan” YB HANNAH YEOH
Ahli Parlimen Segambut, YB Hannah Yeoh seorang yang komited dengan tugasnya. Biarpun tidak lagi bergelar Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat YB Hannah Yeoh masih lagi menunjukkan keprihatinannya terhadap hak perlindungan kanak-kanak di Malaysia.
Sebagai contoh, isu penularan wabak COVID-19 turut mendapat keprihatinan YB Hannah Yeoh apabila beliau menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia agar mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan.
Dalam masa yang sama juga beliau mengharapkan agar sentiasa mengawasi anak-anak di rumah agar tidak berlaku perkara-perkara yang tidak diingini. Berikut adalah posting beliau di laman Instagram bertarikh 18 Mac 2020.
“Saya meminta supaya ibu bapa sentiasa mengawasi anak-anak kita dalam situasi Perintah Kawalan Pergerakan ini terutamanya daripada sebarang bentuk gangguan, penganiayaan, pengabaian dan penderaan yang boleh memberi kesan berpanjangan terhadap masa depan anak kita.”
CABARAN TUGAS
“Tugas paling mencabar ketika saya bergelar Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dahulu ialah apabila melibatkan kes kanak-kanak. Bagi saya isu kanak-kanak adalah berat kerana saya juga seorang ibu.
Apabila mendengar berita tentang kanak-kanak mati didera atau diabaikan di rumah, emosi dan perasaan saya sebagai seorang ibu mudah terusik.
Kita tiada agensi khas yang menjaga kanak-kanak. Yang ada hanyalah bahagian kanak-kanak di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Justeru, kita perlu memperbaiki situasi ini bagi memastikan ada kementerian mahupun agensi khas untuk menjaga hak kanak-kanak termasuk peruntukan bajet khas untuk menjaga kebajikan mereka.”
Menurut ibu kepada dua anak perempuan berusia 9 dan 7 tahun ini, suaminya seorang yang sangat supportive. Beliau juga sangat prihatin terhadap isu kanak-kanak.
YB Hannah Yeoh cukup mengkagumi Tan Sri Rafidah Aziz dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Beliau menyifatkan mereka sebagai ‘wanita besi’ yang wajar dicontohi.
YB Hannah Yeoh juga pernah bergelar Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dan bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya.
NASIHAT
“Nasihat saya buat seluruh kaum wanita, pastikan anda selesa dengan diri sendiri. Jika tidak yakin dengan diri sendiri, anda akan sering cenderung untuk meniru cara orang lain. Kita tidak tahu cabaran sebenar yang orang lain hadapi. So be happy with yourself.”
Kredit: Instagram YB Hannah Yeoh