Seperti yang kita tahu hubungan Sharifah Shahirah atau Shiera dan ibu mertuanya, Datin Maria Arshad umpama isi dengan kuku. Beruntungnya Shiera kerana disayangi dan sangat serasi dengan mertuanya itu yang dipanggil Mama.
Berusia 45 tahun, Shiera merupakan ibu kepada lima orang anak iaitu Allisya (21), Airell (15), Airra (12), Auddra (10) dan Adeena (2). Isteri kepada pelakon, Ijoy Azhari ini bukan saja mengkagumi cara didikan ibu mertuanya terhadap anak-anak malah dia juga bersyukur kerana dikurniakan ibu mertua yang masih sihat, bertenaga, cantik dan langsing.
Ads
“Mama seorang yang sangat disiplin dengan amalan petuanya dan dilakukan bersungguh-sungguh tanpa putus asa. Saya pula sebaliknya, tak dapat nak ikut sangat petua-petua yang diamalkan sebab terlalu sibuk. Kalau buat pun hangat-hangat tahi ayam saja. Setiap orang ada cara masing-masing.
Kalau berbual tu memang kami tak pernah cakap topik kecantikan. Selalunya lebih kepada hal-hal anak cucu, ‘membawang’ pun ada lah sekali sekala.. Walaupun Mama tak pernah kongsi apa petua yang diamalkan tapi saya dapat lihat melalui perbuatannya.
Rawatan-rawatan moden macam suntik sana sini Mama memang tak pernah buat dan tak pernah berminat pun. Baginya biar cantik semula jadi, jangan halang proses penuaan yang sememangnya pasti terjadi. Yang penting kena pandai jaga untuk maintain. Saya bersyukur kerana dikurniakan ibu mertua yang masih sihat, bertenaga dan cantik sampai sekarang walaupun usianya dah mencecah 61 tahun.
Terus terang, saya memang tak jaga badan sangat. Dulu kalau tak jaga pun berat masih lagi maintain, mungkin terlalu aktif dan sibuk dengan kerja. Sekarang saya perlu makan to keep the energy agar menjadi lebih hiper dan cerdas berfikir.
Saya amalkan produk-produk kesihatan dari farmasi. Tapi tak ambil banyak pun sebab saya jenis yang bukan minum air banyak. Jadi kalau ambil apa-apa suplemen saya tak akan makan banyak takut effect buah pinggang.
Saya ambil satu tablet suplemen saja sehari dan minum oxygenwater. Saya juga amalkan makan sayur setiap hari. Kalau makan nasi selalunya saya tak akan tambah lagi. Saya cuba tak makan berlebihan.”
UTAMAKAN KELUARGA
Ads
“Ibu mertua saya seorang yang more to family. Selalunya Mama akan lebihkan anak-anak dan cucu. Kalau buat apa-apa pun semuanya untuk keluarga. Secara tak langsung saya dan suami turut menerapkan cara tersebut dalam mendidik anak-anak.
Kami memang menggalakkan anak-anak untuk berjumpa dengan nenek mereka sekerap yang mungkin. Kena selalu rapatkan hubungan mereka antaranya melalui video call mahupun group WhatsApp.
Mama memang sangat rapat dengan cucu-cucunya dan mereka selalu bersama. Ibu saya sendiri pun sering berpesan, jangan lupakan ibu mertua. Jadi saya memang utamakan ibu mertua, melayannya sama seperti ibu sendiri.”
Ads
AMBIL HATI IBU MERTUA
“Antara air tangan Mama kegemaran kami sekeluarga ialah ayam masak merah. Memang sedap! Rasa rugi jugalah sebab banyak ilmu memasak yang saya tak belajar dengannya. Orang kata salah satu cara untuk tackle hati ibu mertua ialah melalui masakan. Tapi cara saya lain iaitu dengan mengambil berat dan menghubunginya selalu.
Saya masih ingat dulu ketika pertama kali berjumpa, Mama sangat sporting walaupun tahu status saya ketika itu. Mama menerima saya seadanya, alhamdulillah. Semoga hubungan kami sekeluarga kekal akrab selamanya.”
Shiera kini aktif sebagai pengacara majlis serta penyampai radio.
Kredit Foto: Instagram Shiera Al-Khaired & elhelmikhir
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Pesona dan aura primadona, Ogy Ahmad Daud masih memukau. Meskipun mempunyai nama besar dalam industri seni tanah air namun figura ini cukup merendah diri.
Saat ramai yang memuji kecantikan dan bakat lakonan yang dimiliki, Ogy hanya tersenyum manis dan mengungkap kata syukur. Jauh sekali, melihat dia mendabik dada dengan segala kejayaan dan kurniaan yang diraih selama ini.
Bersandarkan peribadi yang menyenangkan tersebut, tidak hairanlah pada usia mencecah 61 tahun Ogy atau nama sebenarnya Fauziah Dato’ Ahmad Daud masih menjadi perhatian dan kesayangan peminat.
Lebih bertuah, anak kepada seniman Dato’ Ahmad Daud dan seniwati Datin Saadiah ini turut dikurniakan cahaya mata perempuan yang makin menginjak usia remaja.
9 November lepas, permata hati Ogy yang diberi nama Nur Aminah Aishah genap berumur 16 tahun. Biarpun bergelar anak selebriti, namun Aminah enggan meraih populariti dan selesa hidup jauh daripada dunia glamor ibu tersayang.
Daripada perkongsian Ogy mengenai Aminah di media sosial sebelum ini, gadis berkenaan disifatkan seorang yang pemalu dan sangat disayangi bintang Filem Azura tersebut.
Mengulas peribadi anak tersayang, Ogy mendedahkan Aminah seorang anak yang baik dan rajin belajar. “Alhamdulillah, dia jump kelas dua tahun. Syukur alhamdulillah. Saya sangat strict seperti arwah ayah dari segi pelajaran.
Education is very important sebab ilmu itu sangat penting. Saya bersyukur dia tak terlibat dalam bidang seni. Dia tak meminati langsung dan tiada social media.
Dia bukan seorang introvert tapi terus-terang dia ialah anak yang tidak suka mengikuti saya ke lokasi penggambaran. Dia tak suka sangat. Dia lebih suka buku, belajar.
Saya pernah test, tak payahlah pergi sekolah. Tapi dia suka belajar. Saya syukur sangat-sangat. Impian saya nak dia melanjutkan pembelajaran ke luar negara.”
Sementara itu bercerita mengenai perwatakan dirinya yang sentiasa tampil ceria dan bertenaga, Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia 1985 dan 1986 ini sambil ketawa menyusun bicara.
“Saya tak pernah mewujudkan dinding bahawa bila naik usia lima atau enam angka you dah masuk golongan tua-tua. Saya tidak pernah ada stigma sebegitu dalam kehidupan. Selagi Allah bagi nafas dan nyawa, just go with the flow.
Saya ialah orang yang penuh positivity vibes dalam diri saya. Ada masalah, saya hadap masalah itu saya tidak akan sembunyi. Saya memang orang yang suka bekerja. Saya kalau tak bekerja satu hari macam tepu otak.”
Tambahnya lagi, “Saya seorang yang suka berfikir but not overthinking. Berfikir dari sudut explore ilmu. Benda-benda itu buat saya jadi energetik dan saya tak suka flash back kisah silam.”
Antara lakonan Ogy yang masih menjadi bualan sampai hari ini termasuklah filem Azura, Ali Setan dan Suara Kekasih.
Jelitawan ini juga pernah mendirikan rumah tangga pada tahun 1990 bersama seniman, Eman Manan selama 13 tahun namun berpisah pada tahun 2003.
Selain masih aktif mewarnai dunia seni lakonan, Ogy juga ligat mengusahakan bisnes Ogy’s Food Biz yang menjual Sambal Goreng Saadiah dan Sambal Kurau Masin Berlado.
Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood, ikon pendakwah wanita yang amat dikagumi. Agak lama Ustazah Nor Bahyah menyepikan diri daripada dunia media sosial. Walaupun begitu Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah masih terus ‘menyengat’ dalam dunia dakwah sama ada melalui dunia maya dan juga pentas ceramah. Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah aktif di Facebook beliau yang mempunyai pengikut lebih daripada 2 juta.
Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah yang sering membahasakan dirinya dengan panggilan Ustazah mengakui bahawa beliau memang kurang melibatkan diri dalam program-program di layar kaca dan juga radio. Beliau kini lebih selesa bersama cucu-cucu berumur antara 1 hingga 9 tahun.
“Masa saya banyak dengan cucu-cucu lebih-lebih lagi cucu saya yang kembar. Jadi biarlah saya beri peluang kepada generasi muda pula untuk berdakwah melalui medium media sosial agar mereka dapat bersama-sama menyumbangkan ilmu anugerah Allah dan mendidik ummah.
“Seperti biasa saya menerima undangan ceramah di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak serta Singapura. Selain itu saya juga akan mengadakan seminar atau kem motivasi pada musim cuti sekolah November dan Disember ini. Jika tiada jemputan atau undangan untuk menyampaikan ceramah, saya akan meluangkan masa bersama keluarga memandangkan sekarang ini saya mempunyai lima orang cucu yang tinggal bersama,”ujar Datuk Ustazah Nor Bahyah membuka bicara kata.
Tidak dapat dinafikan kelibat Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah dan imamnya, Ustaz Wan Akashah Wan Abdul Hamid dalam rancangan Semanis Kurma amat dirindui. Rancangan yang berlangsung selama lapan tahun berturut-turut sejak 2008 itu benar-benar meninggalkan impak yang berkesan dan berpanjangan kepada penonton.
“Terima kasih kepada pihak TV9 kerana memberi kepercayaan kepada saya dan Ustaz untuk mengacarakan rancangan Semanis Kurma. Rancangan semanis kurma di TV9 habis kontraknya pada 2016. Memang menjadi cita-cita saya dan Ustaz untuk menghidupkan kembali rancangan Semanis Kurma kerana rancangan ini menjadi sumber inspirasi dan juga menjadi pedoman dalam membina keluarga bahagia. Alhamdulillah ke mana-mana saya pergi, orang akan memanggil saya dan Ustaz dengan panggilan Semanis Kurma. Semoga ada penaja untuk rancangan ini diteruskan,”jelas Datuk Ustazah Nor Bahyah.
Jadual beliau agak padat dengan undangan ceramah-ceramah agama. Kebiasaannya dalam seminggu tiga hingga empat kali. Ada ceramah pada waktu siang hari dan ada juga pada malam hari.
“Kebanyakan ceramah di luar kawasan terutamanya di Terengganu. Setiap bulan saya akan ke sana bagi menyampaikan ceramah atas undangan dari Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Terengganu sejak tahun 2000. Saya juga kerap pergi ke Singapura, Sabah dan Sarawak serta Brunei. Ada juga undangan daripada pelajar dari luar negara seperti Jepun, Korea, Australia, Amerika Syarikat dan United Kingdom. Saya juga banyak turun padang ke kawasan pendalaman seperti kampung-kampung dan Felda-Felda,”tutur Datuk Ustazah Nor Bahyah.
CABARAN BERDAKWAH
Dicungkil tentang cabaran sepanjang berkecimpung dalam dunia kerjaya sebagai seorang penceramah, jelas Datuk Ustazah Nor Bahyah, cabaran datang dalam dua bentuk iaitu luaran dan dalaman.
“Antara cabaran biasa ialah tempat ceramah yang agak jauh sehingga terpaksa memandu antara dua hingga empat jam. Begitu juga cabaran yang agak berat bagi saya iaitu apabila terpaksa meninggalkan anak-anak serta cucu-cucu tiga hingga empat hari dalam sebulan.
“Namun begitu cabaran paling utama ialah Iblis dan syaitan serta manusia yang bersifat mazmumah. Ia merupakan penghalang utama seorang pendakwah selain cabaran daripada fahaman sekularisme yang telah tersebar. Fahaman ini yang dibawa oleh barat sedang melanda umat Islam dan menjadi wabak yang menghakis komitmen kepada nilai-nilai agama,”tutur Datuk Ustazah Nor Bahyah.
Fitrah seorang wanita bergelar isteri dan ibu, amat penting mengagihkan masa antara kerjaya dan juga keluarga. Bagi diri Ustazah Nor Bahyah jika sekiranya tiada aktiviti di luar, waktu pagi sehingga tengahari beliau akan memperuntukkan masa menguruskan rumah seperti menyediakan sarapan untuk keluarga, mengemas rumah dan memasak.
“Di sebelah petang saya akan memberi tumpuan dalam kerjaya seperti menjawab persoalan daripada facebook dan e-mel, persediaan untuk ceramah dan juga menulis untuk majalah dan buku. Pada sebelah malam akan bersama keluarga tercinta.
“Hobi saya sejak dari kecil sampai sekarang ialah membaca. Masa kecil-kecil dahulu saya sanggup berada berjam-jam di perpustakaan awam semata-mata untuk membaca. Alhamdulillah setakat ini tidak ada hari yang berlalu tanpa saya membaca. Saya tidak dapat tidur tanpa membaca terlebih dahulu. Pada masa lapang saya akan menggubah bunga, bercuti, memasak dan membawa keluarga membeli belah,”jelas Ustazah Nor Bahyah yang gemar memasak tomyam, nasi daging, daging masak kicap, kari ikan merah dan sambal belacan kegemaran keluarganya.
RAHSIA KELUARGA BAHAGIA
Keakraban dan kemesraan beliau bersama keluarga agak dicemburui. Sebenarnya banyak aktiviti yang dilakukan oleh Datuk Ustazah Nor Bahyah bersama keluarga bagi merapatkan hubungan kekeluargaan.
“Sekiranya saya tidak berceramah di luar kawasan, kami akan solat berjemaah setiap hari terutama sekali waktu maghrib. Selain itu aktiviti membaca Al-Quran terutama membaca surah Yaasin pada hari Khamis malam Jumaat turut diamalkan. Ia dilanjutkan dengan mengadakan usrah keluarga yang mana saya dan Ustaz akan memberikan nasihat dan panduan kepada anak-anak, menantu-menantu dan cucu-cucu.
“Kami juga akan luangkan masa untuk bercuti bersama. Dalam setahun antara dua hingga empat kali. Di samping itu juga sentiasa makan bersama lebih-lebih lagi pada hujung minggu. Resipi keluarga bahagia bagi saya ialah suami isteri dan anak anak mestilah menjadi seorang yang beriman dan bertakwa dan mempunyai sifat kasih sayang sesama ahli keluarga.
“Sifat kasih sayang itu terbentuk melalui lima perkara iaitu sentiasa mengeluarkan perkataan yang baik-baik dan positif, sentiasa memberi hadiah terutama pada tarikh hari kelahiran, melalui sentuhan seperti bersalam salaman, ciuman dan pelukan, sentiasa mengadakan aktiviti bersama seperti solat berjemaah, makan berjemaah dan bercuti berjemaah dan sedia berkhidmat seperti tolong-menolong antara suami isteri, ibu bapa dan anak anak,”kongsi Datuk Ustazah Nor Bahyah yang amat menekankan solat lima waktu dalam mendidik anak-anak dan cucu-cucunya.
Melihatkan kesibukan jadual harian beliau nescaya pasti terdetik dibenak fikiran, bagaimana pendakwah wanita yang wajahnya sentiasa dibungai dengan senyuman ini mengekalkan stamina. Tidak lokek berkongsi rahsia, antara elemen penting ialah mendapatkan tidur yang mencukupi enam hingga lapan jam sehari.
“Saya juga menjaga makan dan minum supaya berat badan tidak bertambah. Di samping itu juga saya sentiasa melakukan aktiviti yang dapat mengeluarkan peluh seperti menyapu sampah, berjalan-jalan dan bersenam,”jelas Datuk Ustazah Nor Bahyah.
Sebelum menutup kalam, sempat ditanya pendapat beliau tentang peranan wanita sebagai nadi pembangunan dalam sesebuah institusi kekeluargaan. Jelas Datuk Ustazah Nor Bahyah, wanita perlu sentiasa menjadikan dirinya teladan yang boleh dicontohi anak-anak dalam segala hal yang dilakukan di dalam urusan rumah tangga.
“Wanita juga berperanan sebagai penolong dan teman hidup pasangannya di kala suka dan duka. Melayani suami merupakan kewajipan sebagai seorang isteri. Isteri juga adalah teman untuk berbincang sebelum sesuatu keputusan diambil oleh suami sebagai ketua rumahtangga. Sebagai isteri mungkin pendapat kadang-kala berbeza tetapi apabila keputusan sudah dibuat oleh suami, isteri harus menyokong keputusan tersebut. Ini kerana di dalam sebuah kapal hanya ada seorang nakhoda dan begitu juga di dalam sebuah rumahtangga hanya ada satu ketua keluarga.
“Pujangga Arab ada mengatakan wanita itu adalah tiang negara. Seandainya wanita itu baik, majulah negara, seandainya wanita itu rosak akhlak maka mundurlah negara. Demikian juga kata penyair Arab, Ahmad Syauqi, ibu itu adalah umpama sebuah sekolah. Jika anda memberikan peluang kepadanya nescaya ia akan memberikan kepada anda satu bangsa yang berakar umbi baik. Jadilah wanita yang hebat dan bijaksana. Cantikkan diri dengan akhlak, bijak menambat hati suami serta mendidik anak-anak dengan iman dan takwa kepada Allah,”ujar Datuk Ustazah Nor Bahyah mengakhiri bicara.
TIP KEKALKAN KEMESRAAN DENGAN SUAMI AGAR RUMAH TANGGA BAHAGIA
1. Curahkan kasih sayang dengan sepenuh hati.
2. Patuhlah kepada suami dengan apa adanya
3. Mendengar kata-kata suami dengan baik disertai ketaatan.
4. Sentiasalah isteri mempertahankan pandangan mata suami dengan memakai pakaian yang baik-baik
5. Sentiasa menjaga ‘hidung’ suami dengan memakai bau-bauan yang wangi.
6. Sentiasa memperhatikan waktu tidur suami
7. Sentiasa menjaga makan minum suami.
8. Jagalah harta benda suami dengan sebaik-baiknya
9. Isteri perlulah menjaga keluarga dan anak anak dengan baik.
10. Jangan sesekali menyebarkan rahsia suami.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Menggalas status sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) sejak 18 tahun yang lalu banyak mengajar erti sebuah kehidupan buat penyampai berita ini. Orang hanya mampu melihat luaran saja tetapi kehidupan sebenar yang dilalui oleh Ras Adiba Radzi hanya tuan badan yang tahu.
Walaupun banyak tohmahan yang dilemparkan kepadanya, tetapi wanita ini tetap teguh dan tidak pernah mengaku kalah. Hati siapa yang tidak terguris jika diperkatakan tanpa usul periksa namun Ras Adiba berjaya menghapuskan semuanya dan tampil memaafkan setiap bicara berkaitan dirinya. Menerusi coretannya di laman media sosialnya “Hari memaafkan”.
“Pada 2002 tika saya menjadi OKU, ramai yang mengatakan saya tidak sakit dan yang saya berpura-pura. Mereka berkata begitu kerana mungkin tidak faham keadaan saya dan apa yang sebenarnya melanda diri saya.
Saya ditohmah dan difitnah. Payah sungguh keadaan saya dan keluarga ketika itu, hanya Tuhan sahaja yang tahu. Saya hanya mendiamkan diri. Malas mahu menerangkan keadaan sebenar kerana ketika itu saya sedang sukar kerana terkejut, bergelut dengan apa yang berlaku pada badan saya. Saya menjadi tidak keruan. Justeru hari ini setelah sekian lama saya ingin memberi pencerahan mengenai keadaan fizikal saya.
Saya ingin memaafkan mereka yang berkata dan berfikiran buruk terhadap saya.
Saya seorang OKU yang lumpuh separuh badan atau seorang Paraplegic. Dengan fizioterapi, saya mampu membawa kereta dan berenang menggunakan tangan (kaki saya akan jatuh ke dalam air ketika berenang). Pergerakan saya terbatas dan saya berharap kepada kerusi roda untuk bergerak.
Jadi di saat ini, saya ingin maafkan kalian yang tidak tahu keadaan sebenar dan kalian yang berkata buruk terhadap saya dan menfitnah saya selama ini. Semoga selepas ini semua faham dan jelas. Saya maafkan dan sayang kalian semua,” coret Ras Adiba penuh ikhlas.
Dalam perkembangan lain, Ras Adiba turut bergiat aktif berbagi rezeki kepada mereka yang memerlukan di bawah persatuan Badan Bukan Kerajaan, OKU Sentral yang diasaskan olehnya. Walaupun berkerusi roda tetapi Ras Adiba tetap mahu membantu orang lain dan wajar dijadikan inspirasi. Semoga Ras Adiba terus kuat semangat dan terus berbakti kepada bangsa, agama dan negara.
Nama Edry Abdul Halim sememangnya dikenali dalam industri muzik tanah air yang pernah menggegarkan pentas hiburan menerusi kumpulan KRU yang dianggotai tiga adik-beradik berbakat. Sejak kumpulan tersebut dibubarkan pada 2018, adik Datuk Norman dan Datuk Yusry ...