Bercuti ke negara orang bukan sahaja merehatkan fikiran dan menambahkan pengalaman malah mengagumi kebesaran Sang Pencipta. Bukan semua orang mampu keluar bercuti ke luar negara, mungkin kerana faktor kewangan atau sukar mendapat cuti. Beruntung jika siapa yang berpeluang bercuti ke luar negara bersama keluarga. Tertarik dengan cara cikgu ini yang membawa anaknya secara sistem giliran bercuti ke luar negara.
“Percutian bagi guru yang mengajar kelas peperiksaan seperti saya tentunya hanya boleh dilakukan semasa cuti sekolah sahaja. Jadi, saya mengambil ruang cuti sekolah yang panjang pada hujung tahun untuk keluar berehat setelah penat bekerja, Biasanya saya akan bercuti lebih kurang dua kali setahun. Kalau bercuti biasanya saya membawa seorang anak sahaja. Begitu juga untuk ke destinasi seterusnya.
Antara tujuan saya membawa seorang anak sahaja untuk setiap destinasi adalah untuk mencipta momen privasi bersama mereka dan sudah tentu disebabkan bajet. Faktor lain saya mewujudkan sistem bergilir ini adalah untuk melatih anak sentiasa bersyukur dan reda dengan setiap rezeki masing-masing.
Sistem giliran ini juga dapat mendidik anak-anak saya menabung untuk travel. Secara tidak langsung saya dapat mendidik anak-anak saya membeli ikut prioriti. Sebagai contohnya jika mereka merengek nak telefon bimbit mahal saya akan memberi kata dua. Nak telefon bimbit mahal atau ikut saya pergi travel. Sudah pasti mereka akan memilih untuk travel bersama saya.
Cemburu? Soal cemburu tidak timbul kerana biasanya saya memberi mereka peluang untuk bercuti mengikut ke destinasi idaman masing-masing. Sebab lima orang anak lima macam minat kan!,” tutur Haitun Kamarazaman yang bertugas sebagai guru di Pahang ini.
Ads
Menurut graduan lepasan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi di Universiti Sains Malaysia Pulau Pinang dan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah di Maktab Perguruan Gaya, Kota Kinabalu, Sabah ini sistem giliran anak-anaknya yang terkini adalah Anasthassia Norrish (19 tahun), bercuti ke Indonesia, Aisyah Nabilla (17 tahun), bercuti ke Balkan, Mohd Aidil Mukhreez (13 tahun), bercuti ke India, Aleeya Nur Umaira, (11 tahun), bercuti ke Eropah dan Yusuf (7 tahun) bercuti ke Hong Kong.
“Saya didik anak-anak untuk mengemas dan mengendalikan sendiri keperluan mereka untuk bercuti. Biasanya tiga atau empat hari sebelum berangkat, kami akan mengemas pakaian dan keperluan bersama-sama. Saya galakkan anak-anak untuk bawa pakaian yang sesuai mengikut keadaan.
Ads
Pengalaman yang agak mendebarkan ketika bercuti bersama si kecil Yusuf yang berumur tujuh tahun ialah kami pernah ditahan semasa memasuki sempadan Hong Kong Shenzen menaiki kereta api. Suhu badan Yusuf agak tinggi kerana demam. Jenuh jugalah bersoal-jawab dengan pegawai kesihatan dan imigresen di sana. Kami juga terpaksa mengisi borang perisytiharan kesihatan. Setelah berpuas hati dengan keterangan, akhirnya kami dilepaskan masuk ke bandar Shenzen. Kalau tidak, terpaksalah berpatah balik ke Hong Kong dengan kereta api.
Ada yang juga bertanya kenapa saya tidak membawa suami ikut sama. Sebenarnya suami saya tidak berminat bercuti ke luar negara. Kalau bercuti dalam negara dia pasti akan ikut serta. Percutian paling indah sewaktu ke Padang, Bukit Tinggi, Krabi dan Singapura kerana kami sekeluarga bercuti bersama-sama di luar negara. Tidak ada yang lebih indah melainkan bersama suami dan anak-anak. Memang agak kecoh kerana membawa anak-anak kecil yang banyak ragam menuntut kesabaran, tetapi itulah kenangan yang akan diingati apabila kita sudah tua nanti. Kini anak-anak beransur remaja, sudah tinggal di kolej dan asrama. Rumah pun semakin sunyi,” luah cikgu Bahasa Melayu ini.
Ads
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Walaupun sudah berhijab namun Hannah Delisha atau nama sebenar Hannah Adlina Blackburne Birch ini tetap mempunyai cita rasa tinggi dalam fesyen.
Malah, setelah tiga tahun bergelar isteri kepada Muhammad Imam Shah yang juga merupakan seorang pelakon dari Singapura, penampilan Hannah Delisha terlihat semakin anggun dan mempesona.
Sudah menjadi adat resam bergelah seorang selebriti, tiap gerak-geri, penampilan dan kisah peribadi pasti menjadi bualan.
Ditambah pula dengan perkembangan media sosial yang begitu meluas kini. Gaya atau fesyen yang digayakan oleh selebriti pasti mendapat komen dengan likes tertinggi.
Hannah Delisha yang sering tampil cantik dan up-to-date mempunyai falsafah tersendiri dalam bidang fesyen ini.
“Fesyen pada pandangan saya mempunyai dua maksud yang berbeza. Pertama, datang dari dalam diri sendiri, yang kedua, terzahir dari alter ego yang akan sering bertukar mengikut peredaran fesyen terkini,” tutur Hannah Delisha.
Namun jauh dari sudut hati gadis kacukan Inggeris-Melayu ini, lebih selesa memilih kesederhanaan.
“Apabila berbicara tentang fesyen harian, saya lebih gemar gaya yang simple.
“Bagi saya, asalkan selesa untuk bergerak dan melakukan aktiviti harian, sudah cukup memadai. Jika menerima undangan ke majlis-majlis rasmi, baru saya akan dress up dan menggayakan fesyen haute couture,” bicara Hannah lembut.
Cantik Tidak Hanya Pada Luaran, Hannah Delisha Pentingkan Kecantikan Dalaman Juga
Namun, menurut Hannah memakai baju jenama terkenal tidak akan bermakna jika kecantikan luaran dan dalaman tidak dijaga dengan sempurna.
“Secara peribadi, saya utamakan rehat dan tidur yang cukup untuk kelihatan cantik.
“Tidak cukup jika kita menggayakan busana haute couture tetapi wajah nampak letih dan tidak bermaya sekali gus hilang seri tatkala menggayakan busana elegan seperti itu,” kongsi pelakon yang popular dengan drama bersiri Mencintaimu Mr. Photographer ini.
Mengulas berkenaan perkembangan terbaharu dirinya, Hannah Delisha mendedahkan dia kini rancak dengan dunia perniagaan yang diceburinya.
“Saya sibuk dengan bisnes dan kini sudah mengeluarkan rangkaian pakaian ‘Ready To Wear’ (RTW) dan Exclusive di bawah jenama Délicia.
“Dalam Malaysia ni banyak usahawan wanita yang boleh dijadikan idola atau inspirasi. Neelofa is sudah tentu salah seorang dari mereka. Saya suka cara kerja dan profesionalisme Neelofa. Insha-Allah saya boleh belajar sedikit sebanyak dari dia juga,” kata Hannah Delisha.
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini. Follow kami sekarang di SINI!
Mengakui kemunculannya hanya untuk memeriahkan industri, tahun lalu Datin Ilyka tampil dengan dua single iaitu Persembahan Cinta dan Sempurnakan Takdirku.
Namun begitu, untuk 2018, Datin Ilyka kembali mempertaruhkan single baharu berjudul Persembahan Cinta ciptaan Tengku Shafick dari Jakarta. Selain itu, jika pada tahun 2017 Datin Ilyka menghasilkan single berjudul My Love ciptaan Hazami, tahun ini, satu lagi buah tangan terbaharu berjudul Someday menemui para peminat.
Tanpa berselindung, wanita anggun dan bergaya itu memaklumkan Someday amat istimewa buat dirinya.
“Ya, single Someday amat istimewa kerana saya memilih untuk menjalani penggambaran video muzik di Sekolah Tunku Kurshiah. Lagu ini juga khas untuk anak-anak,” ujar Ilyka yang memberi penghormatan untuk para pelajar sekolah berasrama penuh itu untuk terlibat dalam pembikinan video muziknya itu.
“Tujuan saya memilih mengadakan rakaman muzik video tersebut adalah untuk memberi semangat kepada para pelajar ini supaya tidak mudah menyerah kalah dan sentiasa berfikiran positif. Juga kepada mangsa buli, tekanan perasaan, perasaan rendah diri dan macam-macam lagi.
Pesanan dalam Someday juga saya tujukan kepada ibubapa supaya sentiasa mempunyai hubungan rohani dengan anak-anak masing-masing. Walaupun tidak berjaya dalam bidang bidang akademik , tetapi sebagai ibu bapa harus sentiasa memberi sokongan moral.
Sebagai ibu bapa juga harus sentiasa ada pendekatan untuk tangani masalah anak-anak seperti terlalu sibuk dengan teknologi zaman sekarang. Pantau apa yang anak-anak buat,” ujar Datin Ilyka, ibu kepada Arisya Ahmad Azizi yang juga merupakan penuntut di Sekolah Tunku Kurshiah.
Sekarang ini apabila Arisya menetap di asrama, baru dia ada masa dan bebas untuk mengatur semula perjalanan seninya yang ‘tergendala’ sebelum ini. Sebagai ibu, Datin Ilyka sentiasa memberi sokongan dan dorongan untuk Arisya berjaya di dalam pelajaran dan juga minat anak tunggal kesayangannya itu.
“Bagi saya, keluarga perlu diutamakan dan kemudian barulah kerjaya seni, sebab itulah saya tidak risau apabila membuat kemunculan selepas lama menyepi.
Saya gembira dapat berkongsi muzik video Someday dengan semua dan semoga ia memberi manfaat bersama. Tonton muzik video Someday di laman youtube dan lagu ini telah tersedia di semua platform aplikasi digital”, katanya yang suka bersikap positif seraya mengakhiri perbualan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Alangkah beruntungnya seseorang yang memahami nilai dan fadhilat dan kelebihan bulan Ramadan yang ditambah dengan menekuni fiqh Ramadan sama ada fiqh siyam (puasa) atau yang lain-lain lagi.
Diharapkan Ramadaan pada tahun ini diisi dengan penuh acara kebaikan sama ada amalan sunat dan sudah semestinya yang wajib perlu dilakukan dengan sebaik mungkin. Memetik Bayan Linnas hasil nukilan Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri Mufti Wilayah Persekutuan bertajuk “Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadan”.
Adab Dan Amalan Di Bulan Ramadhan
Kedatangan Ramadan perlu diisi dengan segala bentuk amalan kebajikan yang disunnahkan oleh Baginda SAW. Yang lebih penting lagi, pastikan Ramadan pada kali ini iaitu tidak dinafikan pahala ibadat yang kita tunaikan. Ini kerana kita melanggari syarat dan adab yang wajib kita tunaikan. Hal ini berdasarkan kepada sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: Maka apabila pada hari kamu berpuasa maka janganlah bercakap kotor dan meraung marah. Maka apabila seseorang mencelanya atau memeranginya maka hendaklah dia berkata: Sesungguhnya aku berpuasa, Sesungguhnya aku berpuasa.
Riwayat Bukhari (1904)
Justeru manual harian Ramadhan dilaksanakan dalam mengukur piawaian pencapaian antara yang terutama adalah berpuasa kerana Allah dalam meninggikan nilai ibadat ini. Firman Allah SWT:
Maksudnya: Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya,
(Surah al-Bayyinah: 5)
Syed Qutb berkata: Ibadat kepada Allah yang Maha Esa mengkihlaskan ketaatan kepada-Nya, menjauhi syirik dan pendokongnya. Seterusnya ibadat yang tulus ikhlas kepada Allah itu adalah juru bahasa yang menterjemahkan akidah itu. Lihat Fi Zilal al-Quran, 17/484
Antara amalan dan adab yang baik untuk dilaksanakan adalah:
Puasa
Ta’khir sahur
Awalkan berbuka
Ikut sunnah dalam berbuka
Solat fardu berjamaah
Dilakukan di masjid (Dalam situasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan, ia dilakukan di rumah bersama keluarga)
Awalkan langkahan kaki ke masjid
Niat i’tikaf ketika memasuki masjid
Solat sunat tahiyyatul masjid
Solat sunat rawatib
Jawablah azan dan berdoa selepasnya.
Banyakkan bacaan al-Quran
Cita-cita untuk berkhatam
Tadabburkan ayat-ayatnya
Jangan rasa malas
Ajarkan anak dan keluarga ayat-ayat Allah.
Banyakkan berinfaq
Tabung masjid
Anak-anak yatim
Fakir miskin
Orang tua
Ibu bapa
Kaum keluarga
Mereka yang dalam kesusahan seperti gempa bumi atau dilanda banjir
Dengan berdoa dan beristghfar, sudah pasti ia mempunyai banyak kelebihan antaranya:
Menghapuskan dosa
Dikurniakan anak
Diturunkan hujan
Dimurahkan rezeki
Mohon keampunan kepada-Nya, dengan penuh keinsafan. Moga-moga dengan itu tersingkap tabir noda yang menutup pintu hati muslimin dan muslimat. Dengan itu, apa yang dihajatkan, akan dikabulkan-Nya dan mendapat redha dari-Nya. Wallahua’lam.
Antara lain, sentiasalah berdoa di bulan Ramadan lebih-lebih lagi ketika waktu yang digalakkan berdoa, antaranya:
Ketika berbuka
Ketika bersahur
Sedang berpuasa
Dalam bulan Ramadan ini sebagai menghormati bulan yang mulia, bagi melayakkan kita untuk meraih لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ . Makanya beberapa pantang larang hendaklah dijauhi, antaranya
Sifat marah hendaklah dijarakkan daripada diri kita
Sifat hasad dengki
Sifat dendam kesumat
Sifat takabbur dan sombong
Sifat memperlekeh saudara seIslam dan orang lain
Sifat wasangka yang buruk dan su’zhan hendaklah diganti dengan husnul zhan (sangkaan baik)
Bulan Ramadan mengukuhkan Institusi Kekeluargaan
Sebenarnya siang Ramadan telah membentuk program harian keluarga bermula dengan cara kita berbuka hingga kepada bersahur, begitu juga aktiviti solat tarawih dan solat fardu dengan menuju ke masjid.
Sebagai contoh kebersamaan dalam berbuka puasa lebih-lebih lagi diisi dengan sedikit tazkirah, zikir, tahlil dan pesan memesan di samping membaca kisah suri teladan sewaktu menunggu berbuka puasa di kalangan kelaurga sudah pasti menatijahkan kerukunan rumah tangga dan perasaan gembira pada hati-hati ahli keluarga.
Selepas itu pula solat berjamaah iaitu solat Maghrib boleh menambahkan lagi perasaan kasih sayang dan keutuhan hubungan selaras dengan pencapaian matlamat Hablum Minallah Dan Hablum Minnas. Begitu juga aktiviti yang lain yang dibuat secara kekeluargaan seperti membantu dalam menyediakan makanan hidangan berbuka dan membasuh pinggan mangkuk serta mengemaskan dapur selepas itu boleh menambahkan lagi seri kekeluargaan.
Mengimarahkan malam dalam bulan Ramadan dengan solat Tarawih, witir dan lain-lain sudah tentu memberi kesan maknawi yang cukup besar dalam jiwa mereka yang melakukannya di rumah bersama ahli keluarga. Ini menjadikan sebuah keluarga saling mengambil berat antara satu sama lain dan pengalaman anak-anak yang dilatih oleh ibu bapa sudah barang tentu menjadi satu nostalgia yang akan dicorakkannya pula.
Tatkala mereka menginjak dewasa dan akan menceritakan hal tersebut keapda anak-anaknya pula. Mereka seupaya mungkin akan membuat jauh lebih baik daripada apa yang telah dilakukan oleh ibu bapa mereka dahulu. Natijahnya keluarga akan menjadi aman damai dan penuh dengan kepuasan untuk meniti dan melayari bahtera kehidupan. Justeru benarlah Ramadan sebagai pengikat kasih sayang dan penyambung silaturahim disamping membaja kerukunan rumah tangga dalam menuju kegerbang kebahagiaan.
Sifat berkasih sayang menjadi teras dan tiang utama dalam membangunkan institusi kekeluargaan dan juga masyarakat Islam. Dengan penghayatan Islam yang sebenar ibadat puasa serta pengisian malam dalam bulan ramadan sudah pasti membawa banyak kebaikkan apatah lagi dilakukan secara bersama atau jamaie.
Semoga dengan amal jamaie ini serta berkat Ramadhan dan penambahan amalan yang disulami dengan keikhlasan akan menatijahkan kebahagiaan dalam kelaurga sehingga layak dinobatkan sebagai Baiti Jannti atau rumahku syurgaku.
Ramadan yang membawa seri satu macam kebaikan sudah pasti dapat dimanfaatkan oleh Mukmin sejati sama ada amalan yang wajib atau yang sunat, seperti tadarus al-Quran, Qiamullail, Solat Tarawih dan lain-lain. Begitu juga dengan mengkaji sejarah Ramadan melalui kemenangan umat Islam sejak zaman Rasulullah SAW lagi sehingga kepada mutakhir ini. Sudah pasti kita dapati kemenangan Islam banyak berlaku pada bulan Ramadan, seolah-olah mengisyaratkan kepada kita bahawa bulan Ramadan memberi kekuatan kerohanian, spiritual dan juga semangat yang kental sehingga dapat melakarkan kemuncak kejayaan.
Benarlah kata Buya Hamka: Hidup kita hanya sekali, justeru biarlah bererti. Maka ambillah peluang Ramadan untuk diisi dengan sebanyak-banyaknya amalan yang soleh. Inilah musim durian runtuh kebaikkan dan kebajikan. Marilah kita merebut peluang ini.
Oleh itu, marilah sama-sama kita menjadikan bulan Ramadan al-Muabarak sebagai Madrasah Rohaniah dan Fikriyyah, yang boleh melonjakkan kita ke persada kejayaan. Semoga Ramadhan kali ini adalah yang terbaik untuk kita. Sekali lagi diucapkan Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Masjid Habib di Pulau Pinang menampilkan seni bina Jawi Peranakan, kubah berinspirasikan intan, serta kemudahan mesra komuniti — sebuah wakaf bernilai RM30 juta yang menjadi simbol cinta dan syukur.