Wow.. dalam diam, Eira Syazira tengah rancak merencana masa depan sebagai penyanyi di Indonesia. Mungkin masih ramai yang tak tahu selain berbakat dalam dunia lakonan, isteri Azad Jasmin ini juga sebenarnya ada potensi dalam bidang nyanyian.
Kalau tidak, takkan Eira Syazira diberi kepercayaan menjayakan konsert ambang tahun baru di Jakarta baru-baru ini. Siap berduet dengan kumpulan muzik terkenal Indonesia, Wali Band lagi. Memang bertuah Eira!
Pada persembahan tahun baru tersebut, ibu kepada tiga orang cahaya mata ini sempat mendendangkan lagu popular Wali Band, Yank. Meskipun ia merupakan kemunculan awal Eira di depan ribuan peminat seni Indonesia namun selebriti ini kelihatan cukup tenang melontarkan suara emasnya.
Pastinya, ia menjadi detik manis dan permulaan indah bagi Eira Syazira sempena kedatangan tahun 2019.
Khabarnya, hasrat Eira untuk bergelar penyanyi di Indonesia sudah bertahun-tahun tertunda disebabkan beberapa faktor. Namun pada pertengahan tahun lalu, dia nekad mengejar impian dan berhijrah ke Jakarta selepas kembali menerima lamaran Syarikat Positif Arts Entertainment.
Ads
Ternyata, ia bukanlah calang-calang syarikat muzik kerana Positif Arts Entertainment juga berpengalaman luas menguruskan artis popular Indonesia termasuk Wali Band, Kerispatih dan Matta Band. Sebelum ini, Eira pernah menerbitkan single ‘Say’ hasil ciptaan lirik dari komposer Indonesia, Endrru.
Di samping aktif menjalani rutin baru sebagai penyanyi dan meneruskan minat lakonan di Indonesia, Eira Syazira juga tidak menang tangan mengusahakan produk kesihatannya, Seri Lady bukan hanya di Malaysia bahkan turut menembusi pasaran Singapura.
Moga segala perancangan Eira pada tahun 2019 menjadi realiti dan menjadi inspirasi kepada semua wanita baik di Malaysia mahupun Indonesia. Selamat Maju Jaya!
Kredit: Instagram Eira Syazira
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Batik adalah sesuatu yang indah, setiap karya dibuat dengan teliti yang membuatnya layak dianggap sebagai karya seni.
Tradisi yang berusia seratus tahun ini telah dihargai melalui dedikasi, kemahiran dan kepakaran oleh pencipta seni Batik yang sering tidak kelihatan dan tidak didengari.
Sempena sambutan Hari Kemerdekaan tanahair ke 65 tahun ini, Naelofar meraikan warisan seni Batik Malaysia melalui kerjasama artis Batik Malaysia, Rosliza Muhammad dari Lizza Creations Kelantan, untuk mencipta Koleksi Seindah Batik.
Melalui kerjasama ini, Naelofar ingin mengajak para wanita untuk Go Far dan menyemarakkan semangat Anak Malaysia dengan membawa warisan tempatan Malaysia ke tahap yang lebih tinggi dalam dunia Malaysia.
Koleksi ini menampilkan dua bunga tempatan Malaysia: Kenanga dan Cempaka. Ia merupakan sambutan unik tentang keindahan dan seni Batik yang disatukan dengan seni rekaan fesyen Naelofar, dengan setiap helaian dicipta semula secara digital daripada proses asal penciptaan Batik.
Koleksi Batik Seindah diperbuat daripada karya seni reka bentuk yang rumit untuk mempamerkan semangat Malaysia dengan penuh kebanggaan semasa kita menyambut kemerdekaan yang ke-65 tahun bersama-sama.
Menariknya, Naelofar juga akan turut membuat hadiah percuma Kotak Seindah Batik melalui akaun Instagram @naelofar, @neelofa, @noorkartini dan @athishakhan kepada Naelofar Babes yang bertuah. Kotak Seindah Batik yang terhad untukmenyingkap kisah penciptaan dan koleksi yang hanya boleh didapati melalui acara di Instagram.
Naelofar Babes boleh bersiap sedia dengan Batik Seindah Naelofar untuk menyambut hari kemerdekaan Malaysia. Koleksi penuh boleh didapati melalui laman web rasmi Naelofar, kedai runcit, dan stokis sah mulai 23 Jun 2022.
Koleksi Seindah Batik merangkumi tudung berupa shawl, square, serta kaftan batik dan blaus dengan corak batik. Selain itu, ia turut mempunyai koleksi wristlet yang boleh dijadikan aksesori untuk meletakkan telefon bimbit anda!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Allahu, meremang bulu roma dengar pendedahan Shima sewaktu pemergiannya ke Tanah Suci awal tahun lepas. Walaupun sudah hampir setahun berlalu, namun insiden mendirikan solat di depan Kaabah dalam keadaan hujan lebat cukup terkesan di hati pelantun lagu Teringin ini. Terpana dengan kejadian berkenaan, Shima sempat berkongsi detik-detik yang dilaluinya saat itu dengan harapan ia mampu meningkatkan lagi ketakwaan kita sebagai hamba Allah SWT.
Ditemui ketika sesi fotografi bersama Nona baru-baru ini, pemilik nama Ku Nazatul Shima Ku Kamaruzzaman membuka bicara. “Saya ingat lagi waktu itu di Mekah dan hari Jumaat. Saya dan Raja Nurfatimah Mawar dapat solat betul-betul di depan Kaabah. Punyalah lebat hujan, tapi dalam basah pun kami tetap solat. Lepas solat, saya bangun tengok semua kering je. Terus terdetik rasa, eh.. macam tak ada apa-apa berlaku. Kuasa Allah.”
Seronok dengar pengalaman Shima ketika mengerjakan umrah di Mekah tajaan Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada 26 Januari lalu. Salah satu peristiwa manis dan tidak dapat dilupakan penyanyi berusia 50 tahun ini adalah ketika ingin menunaikan solat di Raudah.
“Masa masuk Raudah saya berdoa, ‘Ya Allah Ya Tuhanku, izinkan aku solat di sini’. Daripada suasana ramai orang bertolak-tolak di dalam tu, seolah-olah ada satu bulatan kecil untuk saya. Macam orang semua ke tepi dan ada laluan kecil di situ yang saya dapat solat. Itu ajaibnya.”
Kongsinya lagi, “Di Madinah waktu tu sejuk tapi di Mekah dah panas. Peliknya, saya tak terasa panas pun dan tak ada berpeluh-peluh sampai sekarang walaupun dah bertudung.
Saya memang teringin berhijab dah lama.. memang dah simpan dalam hati. Pernah terdetik kalaulah dapat menjejakkan kaki di Tanah Suci, aku akan terus berhijab. Tak lama lepas tu dapat tawaran mengerjakan umrah dari Jabatan Perdana Menteri dengan rakan artis.
Setibanya sampai di sana rasa tenang sangat. Saya pun cakap dengan mutawif.. balik nak bertudung terus. Alhamdulillah, sampai sekarang saya selesa berhijab.
“Masa first time nampak Kaabah tu, perasaan dia sukar nak ungkap. Dari KL saya dah mula rasa takut sebab kita rasa dosa tu dah banyak sangat. Dalam hati cakap janganlah sampai tak nampak Kaabah.
Masa buat umrah pertama, mutawif tunjuk tu Kaabah. Saya nampak je terus menitik air mata. Terus terflashback apa yang kita buat muda-muda dulu. Perkataan pertama, SubhanAllah. Tersergam indah di tengah-tengah tu. Terasa tenang sangat. Masa dapat peluang masuk Raudah, macam-macam saya berdoa. Hijir Ismail pun saya dapat masuk. Rezeki.”
Disebabkan kurang tawaran menyanyi dan keadaan Shima yang menderita sakit slip disc, isteri Abdullah Rusli ini akhirnya membuka warong makan Teringin di perkarangan rumahnya untuk menampung hidup.
Walaupun keuntungan yang diterima tidak semewah mana, namun sekurang-kurangnya ia mencukupi untuk perbelanjaan mereka suami isteri di samping keperluan ubat-ubatannya setiap bulan.
“Saya dah rasa dunia glamor ini.. cukuplah. Dah rasa semua. Kita ni macam roda ada masa di atas, ada masa di bawah dan jatuh terduduk. Kena kuat, bangun dan berusaha. Alhamdulillah, suami banyak beri sokongan juga dari keluarga dan ibu. Tidak kira sesiapa pun dan bukan artis misalnya suri rumah tangga.. kena kuat dan bangun. Inshaallah rezeki tak akan salah alamat.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Dalam suasana Malaysia sedang berhadapan masalah wabak dan Perintah Kawalan Pergerakan, tanggal 8 April bersamaan 14 Syaaban merupakan malam yang istimewa buat umat Islam dipanggil Nisfu Syaaban.Inilah masa terbaik untuk meluangkan masa bersama keluarga tersayang untuk menghayati malam yang penuh keindahan bagi umat yang kusyuk dan menghayati keindahannya.
Nisfu Syaaban membawa maksud separuh daripada bulan Syaaban iaitu pada malam ke 15. Ia merupakan malam penuh keberkatan dan rahmat selepas malam Lailatul Qadar. Malam Nisfu Syaaban merupakan malam dimana buku catatan amalan Muslimin dan Muslimat selama satu tahun diangkat ke langit dan digantikan dengan buku catatan yang baharu.
Bulan Sya’ban adalah merupakan di antara bulan yang agung dalam syarak. Rasulullah SAW memperbanyakkan ibadah pada bulan ini dan disunatkan bagi kita untuk mempertingkatkan amalan dan ibadah kita sebagaimana yang disebut di dalam hadith yang sahih. Di samping itu, terdapat beberapa hadith yang menceritakan akan kelebihan malam nisfu Sya’ban
MALAM DOA DIMAKBULKAN
Menurut petikan dari laman Mufti Wilayah Persekutuan, antara kelebihan pada malam Nisfu Syaaban ialah:
“Sesungguhnya Allah SWT melihat pada malam Nisfu Syaaban kemudian mengampunkan semua makhlukNya kecuali orang yang syirik dan juga orang yang bermusuhan:.
(Daripada Abu Musa al-Asya’ari RA bahawa Nabi SAW bersabda)
“Sesungguhnya Allah SWT turun ke langit dunia pada malam Nisfu Syaaban kemudian mengampunkan sebanyak bilangan bulu kambing pengawal”
(Daripada Aisyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda)
“Allah SWT melihat pada malam Nisfu Syaaban kemudian mengampukan hambaNya kecuali dua golongan iaitu orang yang bermusuhan dan orang yang membunuh diri”
(Daripada Abdullah bin Amr RA, bahawa Nabi SAW bersabda)
AMALAN TERBAIK MALAM NIFSU SYAABAN:
Walaupun Islam tidak meletakkan sesuatu amalan khusus yang mungkin boleh dinisbahkan kepada Rasulullah SAW, namun sebagai sunnah tidak salah sekiranya umat Islam merebut peluang tersebut untuk mengimarahkan malam tersebut dengan melakukan amal ibadat sebaik mungkin.Antara perkara yang boleh dilakukan ialah:
1.Solat Sunat Nifsu Syaaban: Ia termasuk dalam golongan sunat mutlak yang dilakukan pada waktu malam 15 Syaaban. Ia boleh dilakukan usai mengerjakan solat Mahgrib, Isyak atau solat sunat Qiamullail.
Lafaz Niat:
Maksudnya:
“Sahaja aku solat sunat malam Nisfu Syaaban dua rakaat kerana Allah Taala”
Ia diikuti:
1.Rakaat pertama membaca surah Al-Fatihah dan Surah Al-Kafirun.
2.Rakaat kedua, membaca Al-Fatihah dan Surah Al Ikhlas.
3. Selepas memberi salam, diikuti bacaan Yaasin sebanyak 3 kali.
Selepas selesai mengerjakan solat sunat, diikuti bacaan Yaasin sebanyak tiga kali, Sekiranya tidak sempat melakukannya selepas solat Maghrib, boleh dilakukan selepas Isyak dengan niat :
1.Semoga Allah memanjangkan umur serta dapat melakukan amal ibadat.
2. Menambahkan rezeki
3.Ditetapkan iman
Amalan yang digalakkan pada malam Nisfu Syaaban:
Islam tidak meletakkan sesuatu amalan khusus yang mungkin boleh dinisbahkan kepada Nabi SAW sebagai sunnah untuk diamalkan pada malam nisfu Sya’ban tetapi dalam masa yang sama, kita hendaklah mengambil peluang dengan kelebihan yang ada pada malam tersebut dengan beramal sebanyak-banyaknya samada dengan membaca Al-Quran, solat sunat, berzikir dan lain-lain lagi.
Walaubagaimanapun, kesemua amalan ini tidak boleh dinisbahkan kepada Nabi SAW sebagai sunnah yang mesti dibuat dalam bentuk tuntutan kerana kesemua amalan ini adalah bersifat umum. Oleh itu, sekali lagi kami nyatakan bahawa tiada amalan khusus yang sabit daripada Nabi SAW berkaitan malam Nisfu Sya’ban.
Di kesempatan berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan ini, marilah kita sama-sama menghidupkan malam Nisfu Syaaban dengan melakukan ibadat seperti solat tasbih, membaca Al-Quran, berzikir, berselawat ke atas junjungan Rasulullah SAW dan memasangkan niat menjadi muslimin dan muslimat yang bertaqwa kepada Alllah.
1.Mendoakan semohda dipanjang umur, sihat tubuh badan agar dapat melaksanakan amal ibadat dengan lebih baik.
2.Menyelamatkan Malaysia dan seluruh dunia dari bahaya seperti musibah, bala wabak penyakit seperti yang sedang kita alami kini iaitu COVID-19.
3.Meminta Allah mengurniakan rezeki yang halal dan menjadikan hamba yang mati dalam keadaan Husnul Khatimah iaitu sebaik-baik pengakhirannya.
4.Mengerjakan solat Maghrib dan Isyak secara berjemaah bersama keluarga di rumah walaupun masjid dan surau tidak dapat diimarahkan pada malam Nisfu Syaaban kali ini.
Kelebihan malam Nisfu Sya’ban adalah sabit berdasarkan hadith iaitu Allah SWT akan turun ke langit dunia pada malam Nisfu Sya’ban dan mengampunkan hamba-hamba-Nya. Dalam masa yang sama, tidak ada amalan yang khusus pada malam Nisfu Sya’ban melainkan amalan-amalan yang bersifat umum. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kekuatan dalam melaksanakan ibadah serta memelihara kita daripada melakukan perkara-perkara yang tidak mempunyai asal di dalam agama.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
muftiwp.gov.my
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!