Ads

FunnelEvo, Perkasa Usahawan Dengan Pendidikan, Teknologi & Konsultasi Terima Nona Best Business Leadership & Growth Excellence Award

FunnelEvo Penerima Nona Best Business Leadership & Growth Excellence Award
FunnelEvo Penerima Nona Best Business Leadership & Growth Excellence Award

Dua figura, dua kepakaran berbeza, namun berkongsi satu visi dalam membangunkan empayar FunnelEvo Group. Mohamad Fahdi Mohamad Ghazali dan Shariffudin Sahedan menggabungkan kekuatan sebagai peneraju dan penggerak di belakang tabir, membawa sebuah usaha kecil yang bermula daripada perkongsian ilmu bersama usahawan di Kota Bharu, Kelantan pada tahun 2016 berkembang menjadi ekosistem perniagaan dalam bidang konsultasi, pendidikan dan teknologi.

Hampir sedekad mengemudi perniagaan, gabungan visi, kepakaran dan peranan berbeza dua figura penting ini menjadi tunjang utama FunnelEvo dalam membawa aspirasi syarikat melangkaui pasaran tempatan. Fahdi banyak memberi tumpuan kepada pendidikan dan pembangunan usahawan, manakala Mr. Pudin memacu aspek strategi, pengurusan dan pembangunan organisasi.  Namun di sebalik perkembangan yang dikecapi hari ini, segala-galanya bermula daripada langkah sederhana dan keinginan untuk berkongsi ilmu.

“Tahun 2016 di Kota Bharu tak ramai atau tak ada orang yang mengajar bisnes. Saya masa itu pun sedang berniaga online dan ramai orang datang bertanya tentang macam mana cara kembangkan bisnes online. Tak sangka dari hanya sharing saja, ia menjadi sebuah perniagaan. Hari ini FunnelEvo ada dari sudut konsultasi, kita ada kolej sendiri, teknologi dan juga servis untuk syarikat. Alhamdulillah,” terang Fahdi membuka bicara.

Menariknya, figura yang mesra disapa Fahdi Ghazali dan Mr. Pudin ini tidak mempunyai latar belakang pendidikan dalam bidang perniagaan. Sebaliknya, kedua-duanya merupakan graduan kejuruteraan dari Universiti Teknologi PETRONAS (UTP). Latar belakang inilah yang secara tidak langsung membentuk cara mereka berfikir, menyusun strategi dan mengemudi perkembangan FunnelEvo mengikut kekuatan masing-masing.

Ujar Mr. Pudin, sebelum menyertai FunnelEvo beliau pernah bertugas sebagai jurutera. Namun, kehidupan yang stabil tidak menghalangnya daripada mencari sesuatu yang lebih dekat dengan jiwa. Pertemuannya dengan Fahdi kemudian membuka lembaran baharu, sekali gus menemukan dua kekuatan berbeza yang akhirnya saling melengkapi.

FunnelEvo, Perkasa Usahawan Dengan Pendidikan, Teknologi & Konsultasi Terima Nona Best Business Leadership & Growth Excellence Award

“Apabila saya menyertai FunnelEvo pada 2017, kami hanya mempunyai belasan orang dalam pasukan. Fahdi banyak memacu bahagian pendidikan dan pembangunan usahawan, manakala saya lebih memberi tumpuan kepada strategi, pengurusan dan pembangunan organisasi. Pengalaman sebagai jurutera membentuk cara saya berfikir dengan lebih tersusun dan sistematik, khususnya dalam membina sistem supaya syarikat dapat berkembang denagn lebih teratur, jelas Ketua Pegawai Eksekutif tersebut.

CABARAN

Daripada hanya berbelas orang kakitangan, perjalanan membesarkan FunnelEvo tentunya hadir bersama cabaran tersendiri. Mengembangkan sebuah syarikat bukan sekadar berkisar tentang strategi, tetapi turut bergantung pada kekuatan pasukan yang menggerakkannya. Menurut Fahdi, antara cabaran terbesar sepanjang membangunkan FunnelEvo adalah membentuk pasukan yang mampu memahami dan bergerak seiring dengan matlamat syarikat.

Ads

“Memulakan perniagaan ini mungkin lebih mudah kerana pada peringkat awal, banyak perkara bergantung kepada diri sendiri. Tetapi apabila kita bercakap tentang pertumbuhan, kita sebenarnya bercakap tentang satu pasukan. Membina pasukan yang memahami dan bergerak bersama misi serta visi yang sama merupakan satu cabaran yang besar.”

Lebih mencabar lagi apabila pasukan yang dibina terdiri daripada generasi berbeza. Ujar Fahdi, menguruskan kepelbagaian ini memerlukan pendekatan yang efisien. Seorang pengasas perlu mempunyai visi yang jelas dan memastikan setiap anggota pasukan memahami serta bergerak menuju matlamat yang sama.

“Pengasas perlu memastikan dia ada visi yang jelas dan pasukan itu juga perlu align dengan misi dan visi. Untuk memastikan semua generasi ini pergi ke matlamat sama, kita perlu mempunyai kaedah yang betul dalam menguruskan manusia. Bagi saya, bahagian paling mencabar adalah menguruskan manusia.”

Namun di sebalik strategi dan angka pertumbuhan, asas yang dipegang Fahdi dalam membangunkan FunnelEvo cukup sederhana, iaitu memberi manfaat kepada orang lain. Prinsip itu jugalah yang akhirnya menentukan arah perniagaan mereka, khususnya dalam menjadikan pendidikan sebagai salah satu teras utama FunnelEvo.

FunnelEvo, Perkasa Usahawan Dengan Pendidikan, Teknologi & Konsultasi Terima Nona Best Business Leadership & Growth Excellence Award

“Saya percaya, sebagai seorang Islam, orang yang paling bagus, paling baik adalah orang yang memberi manfaat untuk manusia yang lain. Bagi saya, pendidikan adalah salah satu cara untuk kita memberi manfaat. Melalui pendidikan, kehidupan seseorang boleh berubah. Sebab itu kami memilih pendidikan sebagai salah satu medium dalam membantuk transformasi ekonomi.”

Ads

Berpegang pada kepercayaan tersebut, fokus mereka bukan semata-mata mengajar individu menjalankan perniagaan, tetapi membantu usahawan membina pertumbuhan. Daripada matlamat itu tercetusnya penubuhan FunnelEvo College sebagai platform untuk membentuk pemikiran keusahawanan lebih awal dalam kalangan generasi muda.

“Yang paling susah bukan mengajar perniagaan. Yang paling susah sebenarnya ialah mengubah cara seseorang berfikir ketika membina perniagaan. Disebabkan itu kami menubuhkan FunnelEvo College. Fokus kami adalah untuk membangunkan generasi pemimpin perniagaan seterusnya di Malaysia,” jelas Mr. Pudin penuh semangat.

Sehingga kini, FunnelEvo College menempatkan hampir 70 orang pelajar dalam bidang perniagaan sejak ditubuhkan pada tahun 2024. Perkembangan itu menjadi sebahagian daripada langkah FunnelEvo memperluaskan peranannya, bukan sahaja dalam kalangan usahawan sedia ada tetapi juga generasi yang bakal meneruskan landskap keusahawanan negara.

PASARAN GLOBAL

Selepas hampir sedekad membina pengaruh dalam kalangan usahawan tempatan, Fahdi dan Mr. Pudin kini memasuki fasa baharu. Dengan asas yang semakin kukuh, sasaran mereka dalam tempoh lima tahun akan datang adalah membawa impak FunnelEvo ke peringkat antarabangsa. “Kami percaya FunnelEvo telah membina asas yang kuat di Malaysia. Untuk tiga hingga lima tahun akan datang, fokus kami adalah bagaimana membawa impak ini ke peringkat serantau dan antarabangsa.”

FunnelEvo, Perkasa Usahawan Dengan Pendidikan, Teknologi & Konsultasi Terima Nona Best Business Leadership & Growth Excellence Award

Ads

Seiring dengan aspirasi tersebut, antara langkah penting ke arah itu ialah pembangunan Kuasa OS, iaitu sistem operasi berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang dibangunkan bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana meningkatkan produktiviti serta kecekapan operasi.

Menurut Mr. Pudin, sistem tersebut dirancang merangkumi pelbagai fungsi operasi termasuk pemasaran, jualan, sumber manusia dan pengurusan. Dalam aspek pemasaran misalnya, penggunaan ejen kecerdasan buatan mampu membantu mempercepatkan tugasan yang sebelum ini memerlukan tempoh yang jauh lebih panjang.

“Melalui Kuasa OS, kami menggunakan ejen kecerdasan buatan untuk membantu melaksanakan pelbagai tugasan operasi, termasuk dalam pemasaran. Tugasan tertentu yang sebelum ini boleh mengambil masa berhari-hari kini boleh dipercepatkan kepada hanya beberapa minit. Matlamat akhirnya ialah meningkatkan kecekapan, mempercepatkan pelaksanaan dan membantu pemilik perniagaan membuat keputusan berdasarkan data serta pemantauan yang lebih baik.”

FunnelEvo, Perkasa Usahawan Dengan Pendidikan, Teknologi & Konsultasi Terima Nona Best Business Leadership & Growth Excellence Award FunnelEvo, Perkasa Usahawan Dengan Pendidikan, Teknologi & Konsultasi Terima Nona Best Business Leadership & Growth Excellence Award

Dalam dunia perniagaan yang sentiasa berubah, keberanian untuk terus mencuba menjadi sebahagian daripada budaya yang dibina di FunnelEvo. Bagi Mr. Pudin, prinsip untuk terus bergerak itu turut diterjemahkan menerusi podcast ‘Buat Saja’.

“Kami tubuhkan podcast ‘Buat Saja’ kerana prinsip kami mudah, jangan terlalu lama berfikir sehingga kita tidak bergerak. Buat dahulu. Apabila ada kesilapan, kita perbaiki. Dalam perjalanan membina sesuatu, akan ada masa kita jatuh dan ada perkara yang tidak menjadi seperti dirancang. Tetapi jangan berhenti bergerak. Kadang-kadang pengalaman yang paling sukar itulah yang akhirnya membawa kita pergi lebih jauh,” ujar Mr. Pudin.

“Prinsip berniaga ini adalah jangan berhenti. Kita terus buat kerja kita, terus memberi manfaat dan terus pandang ke depan. Kalau menjadi, kita bersyukur. Kalau belum menjadi, kita belajar dan teruskan perjalanan. InsyaAllah,” akhiri Fahdi.

Artikel https://www.nona.my/33-penerima-nona-gala-awards-2026/

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download sekarang!

KLIK DI SEENI
∞
∞
Ads

Inspirasi Lain

Hieda Natasha

Hieda Natasha Bina Empayar Beg Mewah Preloved, Pengalaman Jadi Personal Shopper...

Daripada seorang pramugari yang mengambil pesanan beg berjenama kepada peneraju perniagaan beg mewah preloved, Hieda Natasha membuktikan bahawa keberanian mengambil risiko dan menjaga amanah pelanggan menjadi tunjang sebuah kejayaan.