Ads

Dari Dunia Seni Ke Bisnes Penganjuran Acara, BEN ALI & NADIYAH SHAHAB Pasangan Usahawan Selebriti Inspirasi

Tampil serasi dan sarat visi, pasangan selebriti dan usahawan Nur Ali Nadzwan dan Sharifah Nadiyah Syed Fuad Al Shahab membuktikan bahawa cinta, disiplin serta keberanian meneroka peluang mampu membina empayar perniagaan bernilai jutaan ringgit. 

Menerusi panji Absolut Brands Sdn Bhd dan anak syarikat Absolut Events & Management, pasangan yang mendirikan rumah tangga pada November 2018 ini berjaya mencetuskan anjakan paradigma dalam landskap perniagaan tempatan, daripada industri makanan dan minuman (F&B) sehinggalah penganjuran acara beli-belah berskala mega. 

Bermula daripada sebiji kek yang dibawa pulang kepada Ben dan keyakinan bahawa produk berkenaan memiliki potensi besar, pasangan ini mengambil langkah berani menerusi idea kreatif yang belum pernah diterokai ketika itu, iaitu konsep kek do-it-yourself (DIY). 

“Pada waktu itu, kebanyakan kek di pasaran sudah siap dengan sos dan hiasan. Kami pula memperkenalkan kelainan apabila pembeli diberi kebebasan untuk menuang sendiri limpahan coklat serta memilih topping mengikut cita rasa masing-masing,” singkap Nadiyah penuh nostalgia. 

Dari Dunia Seni Ke Bisnes Penganjuran Acara, BEN ALI & NADIYAH SHAHAB Pasangan Usahawan Selebriti Inspirasi

Seiring permintaan yang kian meningkat, Ben dan Nadiyah tidak pernah kekok turun padang, malah sanggup melakukan segala-galanya sendiri. “Kami pernah membungkus kek dan sos di pondok rehat tepi jalan, malah menumpang ruang di bawah khemah jualan air kelapa di Cheras demi memastikan perniagaan terus bertahan.” 

Kejayaan manisan tersebut membawa mereka ke pelbagai bazar dan festival makanan. Menyedari keupayaan mereka menarik ribuan peminat serta mahu mewujudkan platform yang adil dan berimpak tinggi untuk usahawan lain, tercetuslah idea penubuhan Absolut Events termasuk penganjuran acara berskala mega, Absolut Food Fest dan Absolut Bazaar. 

Ramai menyangka kelahiran festival makanan dan beli-belah dirangka di bilik mesyuarat korporat. Hakikatnya, idea tersebut tercetus ketika mereka berdua menikmati percutian di Hong Kong pada tahun 2019. “Why not kita buat food fest? Kita kumpulkan semua jenama F&B yang tengah viral, panggil barisan selebriti berniaga dan selitkan hiburan serta konsert,” imbas Ben. 

PENGANJURAN ACARA 

Ads

Bagi Ben dan Nadiyah, mengemudi festival bukanlah sekadar mendirikan khemah, menyusun reruai dan mengaut keuntungan daripada sewaan. Di sebalik kerlipan lampu dan hiruk-pikuk karnival, tersimpan amanah serta air mata para peniaga yang meletakkan harapan setinggi gunung. 

“Sesiapa sahaja boleh menjual tapak booth, tetapi untuk memahami apa yang orang mahukan memerlukan hati dan jiwa yang mendalam. Setiap booth di festival kami mewakili semangat, pengorbanan dan air mata sebuah keluarga. Ia adalah mata pencarian yang membuatkan mereka bersemangat untuk bangun bekerja setiap pagi,” luah Nadiyah. 

Tambah Ben, “Kejayaan vendor adalah kejayaan kami. Apabila mereka pulang dengan senyuman dan hasil jualan yang memberangsangkan, itulah kepuasan sebenar yang tiada nilainya.” 

Dari Dunia Seni Ke Bisnes Penganjuran Acara, BEN ALI & NADIYAH SHAHAB Pasangan Usahawan Selebriti Inspirasi

Di sebalik tabir syarikat, keharmonian Ben dan Nadiyah berakar umbi daripada pembahagian peranan yang seimbang dan saling melengkapi. Ben menerajui operasi dan kewangan dengan corak kerja yang sangat teliti, berstruktur dan menepati masa. Nadiyah pula menjadi nadi kepada hala tuju kreatif, penjenamaan korporat serta perhubungan awam. 

Meskipun memiliki latar belakang sebagai graduan undang-undang dari University of London sebelum melangkah ke dunia glamor sebagai pelakon dan model, Nadiyah tidak menafikan pernah diselubungi imposter syndrome ketika mula menceburi bidang perniagaan. 

Ads

“Saya tiada asas perniagaan secara formal. Ada masanya saya ragu-ragu dengan diri sendiri. Namun, Ben sentiasa memberi ruang dan sokongan tanpa berbelah bahagi. Walau segila mana pun idea kreatif yang saya lontarkan, dia tidak pernah memperlekehkan. Dia akan cari jalan untuk menjadikannya realiti,” ujar Nadiyah sambil tersenyum. 

Menyentuh soal kepimpinan, tiada istilah ‘kuasa veto’ dalam kamus perniagaan mereka. Setiap keputusan besar dibincangkan bersama dari hati ke hati. Sekiranya timbul cabaran, mereka berdiri teguh menghadapinya bersama tanpa menuding jari. 

CABARAN 

Tirai pascapandemik dibuka pada tahun 2022 dengan satu episod hitam yang hampir mematahkan semangat. Berhasrat mengimbangi kos operasi dan bayaran artis berprofil tinggi seperti Joe Flizzow dan MK yang dijemput membuat persembahan, mereka memperkenalkan caj tiket masuk serendah RM5. 

Keputusan itu akhirnya mengundang padah. Ruangan komen di media sosial dibanjiri kecaman hebat. Pasangan ini dilabel sebagai ‘scammer’ semata-mata kerana mengenakan tiket masuk bagi sebuah festival makanan. 

Ads

“Dua jam pertama memang kami ‘kena bash’ teruk. Mesej kecaman masuk bertalu-talu sehinggakan Nadiyah mengalami ‘panic attack’. Kami duduk berdua dalam bilik dan berbincang sama ada patut berhenti atau teruskan. Tapi kami dah belanja besar bawa artis-artis hebat, kami tak boleh berpatah balik.” 

Walaupun acara tersebut sesak dengan ribuan pengunjung, dari sudut pulangan kewangan, mereka terpaksa menanggung kerugian yang amat besar. Namun, di sebalik kepahitan itulah lahirnya hikmah paling bermakna. Hanya tiga minggu selepas peristiwa tersebut, dengan sokongan agensi keusahawanan dan geran kementerian yang diterajui Tan Sri Noh Omar pada waktu itu, Ben dan Nadiyah bangkit mempertaruhkan segala saki baki tenaga untuk melancarkan Absolut Bazaar. Dari situlah bermulanya siri festival beli-belah maraton sehingga 66 jam tanpa henti di MITEC yang melakar rekod negara dalam Malaysia Book of Records. 

Kematangan Ben Ali dan Nadiyah Shahab hari ini banyak dibentuk oleh pasang surut yang pernah dilalui. Walaupun jenama Absolut kini berdiri megah, Ben menegaskan bahawa mereka tidak pernah mendabik dada. 

“Pengajaran terbesar buat kami ialah jangan sekali-kali rasa kita sudah hebat atau nombor satu. Kita tengok syarikat gergasi korporat atau media yang sebesar alam pun boleh bergelut dan terkesan, inikan pula bisnes kecil macam kita.” 

Melihat ke hadapan, Ben mengakui cukup mengagumi ketokohan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, khususnya dari sudut pemikiran futuristik yang sentiasa menjangkau lima hingga 10 tahun ke hadapan, sekali gus menjadi inspirasi buat dirinya dalam menguruskan perniagaan. 

Bagi Nadiyah pula, ikon keusahawanan pujaannya ialah Ummul Mukminin, Saidatina Khadijah R.A., seorang wanita dan saudagar agung yang berdikari serta mendominasi dunia perniagaan pada zamannya dengan penuh integriti dan maruah. 

Bagi pasangan ini, rahsia kelangsungan ikatan perhubungan dan perniagaan selama lapan tahun berpaksikan satu perkataan, iaitu respect. “Kami melalui pelbagai suka duka bersama, tetapi saling menghormati kekuatan dan pandangan pasangan adalah kunci yang mengekalkan kami bersama sehingga hari ini,” titip Ben dalam nada sebak. 

Visi mereka tidak pernah terhenti di sempadan tanah air. Jenama Absolut Bazaar kini melebarkan sayap ke peringkat serantau dan antarabangsa. Kejayaan penganjuran di Singapura menerusi Singapore Expo dan di Brunei membuktikan format acara mereka diterima baik oleh masyarakat serantau. Mereka kemudiannya melangkah ke Eropah menerusi penganjuran di London, United Kingdom, sekali gus membuka laluan strategik Business-to-Business (B2B) untuk usahawan tempatan menembusi pasaran global.

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download sekarang!

KLIK DI SEENI
∞
∞
Ads

Inspirasi Lain

Yusry Abdul Halim

Datuk Yusry Abdul Halim & Datin Lisa Surihani Layari 14 Tahun...

Empat belas tahun menyulam cinta, Datuk Yusry Abdul Halim dan Datin Lisa Surihani menemukan makna kejayaan sebenar dalam kebahagiaan keluarga, keserasian jiwa dan keindahan tumbuh bersama.