Ads

Datuk Yusry Abdul Halim & Datin Lisa Surihani Layari 14 Tahun Usia Perkahwinan, Bahagia Ada 3 Zuriat & Kerjaya Hebat

Yusry Abdul Halim
Yusry Abdul Halim

Datuk Yusry Abdul Halim dan Datin Lisa Surihani kini melayari 14 tahun usia perkahwinan, bahagia dikurniakan tiga zuriat serta masing-masing memiliki perjalanan kerjaya yang hebat. Sejak disatukan pada tahun 2012, waktu seakan berlalu dalam sekelip mata. Daripada cinta yang dahulunya hanya tentang mereka berdua, hari ini bahagia itu berkembang bersama kehadiran anak-anak, kerjaya dan tanggungjawab yang semakin mendewasakan. Keindahan perjalanan pasangan ini turut diraikan menerusi pengiktirafan Nona Inspirational Couple Award sempena Nona Gala Awards 2026.

Sebahagian daripada tahun-tahun awal perkahwinan mereka pernah dirakam menerusi program Pasport Cinta. Apabila sesekali menonton semula rakaman tersebut, Yusry sendiri seakan tidak percaya melihat versi dirinya ketika itu. “Bila saya tengok balik, macam, ‘Eh, ini aku ke?’ Sebab masa sudah banyak berubah. Kita tak perasan perubahan yang kita harungi sampai hari ini. Rasanya macam baru semalam.”

Jika dahulu kehidupan mereka lebih spontan kerana hanya perlu memikirkan tentang dua individu, kehadiran anak-anak mengubah dimensi rumah tangga. Namun, mereka terus belajar menyesuaikan diri dengan setiap fasa kehidupan yang datang. “Kita somehow evolve together,” kata Yusry ringkas.

Yusry Abdul Halim
Yusry Abdul Halim

Yusry Abdul Halim & Lisa Surihani Saling Menguatkan

Nama Yusry Abdul Halim dan Lisa Surihani cukup dekat di hati rakyat Malaysia, kedua-duanya membesar di depan mata khalayak dengan pesona tersendiri. Yusry mencipta fenomena sebagai vokalis kumpulan popular era 90-an, KRU, manakala Lisa pula mencuri hati sebagai model dan pelakon jelita sehingga cukup sinonim dengan gelaran Malaysia’s Sweetheart.

Walau bagaimanapun, terdapat perbezaan jelas antara persona mereka di depan kamera dengan tanggungjawab dalam kehidupan sebenar. “Kalau di rumah, tugas saya sebagai suami dan ayah. Saya perlu mahir memisahkan antara personal dan kerjaya,” ujar Yusry.

Menurut Lisa pula, sepanjang perkahwinan mereka tidak pernah menentukan apa yang boleh atau tidak boleh dilakukan pasangan dalam soal kerjaya. Sebaliknya, masing-masing menghormati kapasiti dan pilihan profesional satu sama lain. “We respect each other’s capacities and work. Apa yang kita mahu lakukan adalah memberi moral support kepada satu sama lain.”

Yusry Abdul Halim
Yusry Abdul Halim

Selepas puluhan tahun berada dalam industri seni, definisi pencapaian turut berubah. Yusry tidak lagi melihat trofi sebagai penentu mutlak kejayaan seseorang anak seni. Baginya, apa yang lebih bernilai adalah apabila seseorang masih mempunyai ruang untuk berkarya dan hasil kerjanya terus diterima khalayak. “Saya tak rasa awards itu penting. Tapi saya rasa penghargaan paling tinggi adalah daripada peminat kami sendiri.”

Yusry Abdul Halim
Yusry Abdul Halim

Lisa berkongsi pandangan hampir sama. Pengalaman hidup dan peranannya sebagai seorang ibu telah mengubah perspektif terhadap kerjaya. Hari ini, antara nikmat terbesar buat Lisa adalah mempunyai kebebasan untuk memilih naskhah yang lebih dekat dengan prinsip dan fasa kehidupannya. “Sekarang ini, alhamdulillah, saya boleh memilih naskhah yang saya rasa lebih seiring dengan fasa kehidupan saya. Bagi saya, itu satu blessing.”

Tiga Zuriat, Amanah Terindah Dalam Perkahwinan

Sebagai ibu bapa kepada Yahaira Leanne, Yusof Leonne dan Yunos Laith, mereka sedar bahawa didikan mereka menjadi sekolah pertama buat anak-anak. Yusry mahu anak-anak melihat bagaimana seorang ayah menjalankan pekerjaannya dengan disiplin, dedikasi dan minat. Dalam masa sama, beliau sering mengingatkan mereka supaya tidak terlalu terpesona atau hanyut dengan perhatian orang ramai.

Ads

Yusry sendiri pernah melalui fasa apabila perhatian khalayak beralih kepadanya, kemudian kepada Lisa dan kembali semula mengikut karya yang sedang mendapat perhatian. Pengalaman itu mengajarnya bahawa glamor bukan sesuatu yang kekal. “Keep your feet on the ground. Jangan ingat benda ini glamor, suka-suka. Kita melakukannya kerana kerja. Apabila dihargai peminat, alhamdulillah. Tetapi jangan buat kerana itu. Buat atas keikhlasan.”

Yusry Abdul Halim
Yusry Abdul Halim

Lisa pula percaya contoh yang ditunjukkan ibu bapa meninggalkan kesan lebih besar berbanding sekadar pesanan berulang. Mereka mahu anak-anak memahami nilai keikhlasan, menghormati orang lain, disiplin, menjaga masa dan paling penting, adab. “Ya, soal adab cukup penting dan nilai inilah yang kita mahu tanamkan dalam jiwa anak-anak.”

Keserasian Jiwa Di Sebalik Kemasyhuran

Industri hiburan yang dikenali Yusry pada era 1990-an sudah jauh berubah. Jika dahulu promosi dilakukan menerusi majalah, radio dan pelbagai acara fizikal, hari ini media sosial menjadi antara medium utama untuk memastikan karya sampai kepada khalayak.

Sebagai anak seni yang masih mempunyai sesuatu untuk ditawarkan, Yusry percaya generasinya perlu memahami cara baharu berkomunikasi dengan masyarakat. Namun, mengikuti perubahan tidak bermaksud seseorang perlu melakukan semua trend. “As long as kita tak terlalu ‘menjual jiwa’ kita dan as long as masih ada authenticity yang kita pegang, okey. Supaya ia tidak terasa terlalu jauh daripada diri kita,” kata Yusry.

Yusry Abdul Halim
Yusry Abdul Halim

Di sebalik karakter Lisa yang dilihat tenang dan yakin, beliau mengakui ada waktunya seorang wanita berhadapan dengan keraguan terhadap diri sendiri. Dalam detik sebegitu, Yusry menjadi individu yang cukup memahami dirinya. “Abang is my anchor. Dia memberikan saya rasa selamat.”

Ads

Menurut Lisa, kehadiran Yusry sebagai suami, bapa kepada anak-anak mereka dan individu yang memahami perjalanan kerjayanya memberikan rasa selamat. Ada waktunya beliau berhadapan keresahan atau mempersoalkan kemampuan sendiri. Yusry pula tahu bagaimana mahu menenangkannya dan membawa Lisa kembali kepada niat asal sebelum melakukan sesuatu sebaik mungkin.

Jika Lisa melihat suaminya sebagai anchor, Yusry pula melihat kekuatan isterinya daripada sisi yang mungkin tidak diketahui masyarakat. Apa yang paling membuatkannya bangga bukan pencapaian Lisa di layar, sebaliknya kebaikan yang dilakukan isterinya tanpa mengharapkan penghargaan. “Dia banyak buat benda yang orang lain tak tahu pun dia buat. Dia bantu orang tanpa mengharapkan penghargaan ataupun acknowledgement.”

Keluarga, Legasi Terindah Mengatasi Segalanya

Yusry menyifatkan dirinya sebagai seorang yang mempunyai visi besar tentang keluarga, sementara Lisa menjadi individu yang membantu menyusun perjalanan untuk menjadikan visi tersebut realiti. Pada tahap kehidupan sekarang, Yusry mengakui tidak banyak lagi yang mahu dikejarnya. Baginya, kemampuan untuk terus berada dalam industri secara sepenuh masa, melakukan pekerjaan yang dicintai dan daripada rezeki itu mampu menyara keluarga sudah cukup besar maknanya. “Saya bersyukur. Kejayaan di situlah sebenarnya saya rasa, sebab masih boleh membesarkan anak dengan baik, jaga isteri dengan baik.”

Yusry Abdul Halim
Yusry Abdul Halim

Lisa bersetuju. Matlamat mereka hari ini lebih tertumpu kepada keluarga, mencari rezeki yang baik dan halal serta membesarkan anak-anak menjadi insan yang baik, soleh dan solehah. Bercerita tentang masa depan, Yusry ketika muda pernah membayangkan legasi sebagai nama besar yang akan terus dikenang seperti seniman agung terdahulu. Namun, hari ini pandangannya berubah apabila melihat bagaimana industri dan generasi terus berganti. “People will forget, people will move on.”

Kini, legasi yang penting buat Yusry kembali kepada keluarga. Beliau berharap anak-anak mereka membesar menjadi manusia yang baik, berguna kepada masyarakat dan agama serta terus mengingati ibu bapa apabila mereka sudah tiada. Lisa pula melihat legasi daripada sudut yang lebih spiritual. Apa sahaja nilai baik yang diajar kepada anak-anak dan kemudian diamalkan mereka, itulah yang diharapkan menjadi amal jariah buat ibu dan bapa. “Apa jua yang kita ajarkan kepada anak-anak, kalau mereka amalkan berdasarkan apa yang kita ajar, benda itu menjadi jariah bagi kita.”

Ads

Penulis & Penyelaras: Nadhra Mohd 

Arahan Seni: Azniza Aziz 

Solekan: Halisa Said 

Busana: Zaimi Zulkafli 

Foto: The Loft Studio 

 

Artikel berkaitan: Bonda Umirah Taib, Inspirasi Hebat Bekas Doktor & Ibu 7 Anak, Kini Bahagia Jadi Pakar Motivasi

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download sekarang!

KLIK DI SEENI
∞
∞
Ads

Inspirasi Lain

Reina Lum

Reina Lum, Berani Ubah Haluan Dari Dunia Undang-Undang ke Content Creator...

Berbekalkan ilmu undang-undang dan keberanian mencuba sesuatu yang baharu, Reina Lum membina pengaruh sebagai pencipta kandungan sebelum melangkah ke dunia teknologi. Di sebalik kejayaannya, tersimpan kisah sokongan keluarga, prinsip hidup dan impian mencipta sesuatu yang memberi manfaat kepada masyarakat.