
Bonda Umirah Taib, bekas doktor dan ibu kepada tujuh cahaya mata, cukup petah berbicara tentang kehidupan, keibubapaan dan rumah tangga. Wanita berusia 35 tahun itu kini bahagia bergelar seorangpakar motivasi yang lahir bukan sekadar daripada ilmu, tetapi pengalaman yang pernah dilalui sendiri. Setiap perkongsiannya dekat dengan realiti wanita. Barangkali itulah yang menjadikan kata-katanya mudah singgah di hati, kerana sebelum menguatkan orang lain, dia sendiri pernah belajar menguatkan diri.
Bukan calang-calang wanita, Umirah Mohd Taib atau lebih dikenali sebagai Bonda Umirah Taib yang berusia 35 tahun merupakan ibu kepada tujuh cahaya mata, bekas doktor, usahawan, penulis dan pengamal terapi kekeluargaan yang cukup dekat dengan isu keibubapaan serta perkahwinan. Pernah berkhidmat sebagai doktor di Hospital Sungai Buloh, Bonda Umirah kemudiannya membina langkah baharu menerusi ByBonda, sebuah platform yang menjalankan program dan perkongsian ilmu secara dalam talian.
Bakat penulisannya pula berkembang menerusi Karya Bonda Publication, dengan karya pertama Seratus Surat Cinta Buat Isteri yang berjaya mencatat jualan ribuan naskhah. Perjalanan ini kemudiannya diteruskan menerusi ByBonda Academy, termasuk penganjuran program fizikal pertama di Kuala Lumpur dan Selangor bagi membuka ruang perkongsian ilmu secara lebih dekat bersama masyarakat.
Terbaharu, satu lagi impian berjaya digenggam apabila Bonda Umirah memperoleh Ijazah Sarjana dalam bidang Terapi Keluarga dan Perkahwinan selepas mengikuti Mastership Program Counselling and Guidance di Management and Science University (MSU).

Dilahirkan di Kuala Lumpur dan banyak membesar di Melaka bersama tiga adik-beradik, pengalaman zaman kanak-kanak banyak membentuk pandangannya terhadap sebuah rumah tangga. Ibu bapanya berpisah ketika mereka masih kecil menyebabkan Bonda Umirah banyak membesar bersama nenek. Pengalaman melalui sendiri kehidupan selepas perpisahan ibu bapa membuatkannya memahami bahawa apa sahaja yang berlaku antara suami dan isteri tidak pernah terhenti pada dua hati itu sahaja. Tempiasnya turut dirasai anak-anak.
Jodoh itu hadir ketika Bonda masih muda, pada usia 19 tahun. Pada 4 Disember 2010, Bonda Umirah mendirikan rumah tangga bersama Encik Shakib. Daripada satu akad yang sederhana, bermulalah perjalanan panjang dua insan dalam belajar mencintai, memahami dan saling menguatkan.
Hari ini, perkahwinan itu dikurniakan tujuh cahaya mata Muhammad Mujahid, Maryam Latifah, Maryam Azizah, Maryam Khadija, Maryam Fatimah, Muhammad Musthafa dan Maryam Sumayyah.
Bonda Umirah Taib Pilih Keluarga, Tinggalkan Kerjaya Doktor
Perkahwinan tidak pernah menjadi penghalang untuk Bonda Umirah meneruskan pendidikan. Beliau menyambung pengajian selama lima tahun dalam bidang perubatan di RCMP sebelum memulakan kerjaya sebagai doktor di Hospital Sungai Buloh. Dunia perubatan cukup dekat di hati, namun apabila dikurniakan tiga orang anak, tuntutan pekerjaan membuatkan naluri seorang ibu mula berbicara.
“Ada ketikanya saya hanya dapat bertemu anak-anak setiap dua hari sekali kerana perlu bertugas secara on-call, sedangkan mereka ketika itu masih berusia di bawah lima tahun. Pada masa sama, suami sedang membina kerjaya dalam bidang keusahawanan khususnya pendidikan dan tuisyen dalam talian,” ceritanya.

Di persimpangan itu, Bonda Umirah memilih keluarga. Beliau nekad melepaskan kerjaya sebagai doktor bagi memberikan lebih banyak masa kepada anak-anak, selain memberi ruang kepada suaminya mengembangkan kerjaya. Keputusan tersebut bukan bererti cita-citanya terkubur. Sebaliknya, dia hanya memilih untuk menyusun semula kehidupan mengikut keutamaan pada waktu itu.
Daripada dunia perubatan, Bonda Umirah bermula semula dalam bidang yang cukup asing. Istilah kedoktoran digantikan dengan pemasaran dan jualan. Tanpa asas perniagaan, beliau belajar daripada bawah dengan menjadi stokis dan ejen pelbagai produk, menjual pakaian kanak-kanak dengan anak-anak sendiri sebagai model serta pernah menjadi stokis jenama lipstik. Keberanian mencuba akhirnya membentuk jiwa keusahawanannya sehingga lahir beberapa cabang perniagaan dan platform ilmu termasuk ByBonda, Karya Bonda Publication dan ByBonda Academy.
Namun semakin jauh melangkah, Bonda Umirah mula mengenali dirinya dengan lebih jujur. Perniagaan memberikan kepuasan, tetapi jiwanya sentiasa tertarik kepada sesuatu yang pernah menjadi asas ketika memilih perubatan dahulu. Keinginan untuk membantu manusia.
Jiwa Lembut Bonda Umirah, Bantu Pasangan Bina Keluarga Bahagia
Daripada situlah perjalanan Bonda Umirah memasuki fasa yang lebih dekat dengan hati. Beliau mula memberikan perhatian kepada kaunseling, motivasi dan penulisan. Bakat menulis melahirkan buku Ibu Penat, Tapi Ibu Sayang, sebuah karya yang dekat dengan realiti seorang ibu sehingga berjaya terjual ribuan naskhah. Minat terhadap persoalan keluarga pula mendorongnya kembali menuntut ilmu sehingga memperoleh Ijazah Sarjana dalam bidang Terapi Keluarga dan Perkahwinan.
Apabila mula mendalami bidang kaunseling, pengalaman bertemu pelbagai individu pula membuatkannya melihat kaitan rapat antara keharmonian suami isteri dengan cara mereka membesarkan anak. “Fix the marriage, you will actually fix the parenting style,” itulah antara pegangan yang sering dibawanya.

Pengalaman sendiri sebagai isteri dan ibu kepada tujuh anak menjadikan setiap perkongsian terasa lebih dekat dengan realiti. Bonda Umirah tidak melihat perkahwinan sebagai perjalanan yang harus dipikul seorang diri. Baginya, pasangan perlu menjadi sistem sokongan antara satu sama lain. Sepanjang melalui tujuh kehamilan, khususnya selepas kehamilan keempat yang lebih berisiko, sokongan suami menjadi antara kekuatan yang membolehkannya terus mengurus kehidupan dan keluarga.
Bonda Umirah Taib Buktikan Impian Wanita Tiada Tarikh Luput
Selepas melalui pelbagai fasa kehidupan, definisi kejayaan Bonda Umirah juga semakin berubah. Baginya, kejayaan bukan sekadar kenaikan pangkat, kekayaan atau sejauh mana seseorang mampu membina nama. Nilainya terletak pada kemampuan melakukan perkara yang dicintai tanpa kehilangan insan yang paling bermakna sepanjang perjalanan.
Baginya, seorang ibu yang berpendidikan bukan hanya membina dirinya sendiri. Secara tidak langsung, dia sedang memperkenalkan budaya ilmu kepada anak-anak dan menjadi contoh bahawa proses belajar tidak mempunyai tarikh luput. Sama ada pada usia 35, 40 mahupun 45 tahun, cita-cita masih boleh dikejar mengikut garis masa kehidupan masing-masing.
Hari ini, legasi yang mahu ditinggalkan Bonda Umirah semakin jelas. Melalui penulisan, terapi dan perkongsian ilmu, beliau mahu membantu lebih ramai pasangan memahami bahawa keluarga bahagia tidak lahir hanya kerana cinta. Ia perlu dipelihara dengan ilmu, komunikasi, kesabaran dan kesediaan dua insan untuk terus belajar memahami satu sama lain. Inilah yang membuatkan beliau diberikan pengiktirafan Nona Motivator Award di majlis Nona Gala Awards 2026, baru-bari ini.

Pengalaman membesar dalam keluarga yang berpisah tidak pernah dijadikan alasan untuk meratapi kehidupan. Sebaliknya, pengalaman itulah yang membentuk tujuan hidupnya. Daripada seorang anak yang pernah memahami kesan sebuah perpisahan, kini Bonda Umirah menggunakan ilmu dan pengalaman untuk menguatkan keluarga lain.
Penulis: Norzalina Mohd Alias
Arahan Seni: Kiffy Razak
Konsep: Azniza Aziz
Foto: The Loft Studio
Solekan: Ann Karim
Artikel berkaitan: Emma Firyana Saroji, Perjuangan Hebat Mengejar Gelaran Ratu Boling Padang Dunia
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!


