
Reina Lum membuktikan bahawa keberanian mengubah haluan kerjaya mampu membuka peluang yang tidak pernah dibayangkan. Daripada dunia undang-undang, wanita bernama Arina Binti Mohd Fairin Lum itu kini dikenali sebagai content creator berpengaruh dan techpreneur yang mahu mencipta impak kepada masyarakat. Berbekalkan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (LL.B) dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam serta Ijazah Sarjana dalam bidang Perundangan Syariah, Reina tidak pernah menyangka perkongsian ilmu di media sosial yang bermula sekadar suka-suka akhirnya membuka lembaran baharu dalam hidupnya.
Pada awalnya, tidak pernah terlintas di fikiran Reina untuk menjadikan media sosial sebagai sebuah kerjaya profesional. Namun apabila pandemik COVID-19 melanda dan dunia melalui tempoh sekatan pergerakan, beliau mula memikirkan cara untuk memanfaatkan pengetahuan serta pengalaman dalam bidang undang-undang bagi menghasilkan sesuatu yang lebih bermakna.
“Waktu itu Reina fikir, kalau kita bercakap tentang undang-undang dan informasi yang kita tahu, orang akan berminat atau tidak?” Sebagai percubaan, Reina memilih topik yang dekat dengan masyarakat iaitu perkahwinan dan perceraian, bersandarkan bidang yang pernah diamalkannya sebelum mengambil keputusan meninggalkan dunia perundangan. Ternyata sambutannya di luar jangkaan.
“Bila cerita tentang perkahwinan, ramai pula yang suka. Mungkin mereka tidak tahu tentang terma dan syarat yang patut diketahui atau bagaimana hendak melindungi diri sendiri. Dari situ, ia jadi seperti snowball effect,” kongsi wanita yang menerima pengiktirafan Nona Digital Trailblazer Award sempena Nona Gala Awards 2026.

Daripada sebuah percubaan, kandungan pendidikan berkaitan undang-undang akhirnya berkembang menjadi identiti yang cukup sinonim dengan Reina. Istilah yang lazimnya kedengaran kompleks diterjemahkan kepada bahasa lebih mudah, sekali gus membantu masyarakat memahami sesuatu isu serta lebih sedar tentang hak dan pilihan yang mereka miliki.
Keluarga & Pengalaman Clever Girl Malaysia Bentuk Jati Diri
Di sebalik personaliti lantang dan yakin di media sosial, Reina membesar dalam sebuah keluarga terpelajar berdarah campuran Melayu dan Cina. Beliau mempunyai seorang adik lelaki yang disifatkannya sambil tertawa sebagai annoying, tetapi cukup disayangi. “Itulah satu-satunya adik yang kita ada,” selorohnya.
Keluarga menjadi tempat pertama Reina mengenali nilai kehidupan yang kemudiannya membentuk dirinya hari ini. Ibu bapanya sentiasa mengingatkan anak-anak agar berusaha menjadi versi terbaik diri sendiri, selain tidak melupakan tanggungjawab terhadap keluarga dan masyarakat.
Jauh sebelum dikenali sebagai pencipta kandungan pendidikan, Reina pernah merasai pengalaman berada di bawah perhatian khalayak menerusi penyertaannya dalam program Clever Girl Malaysia pada tahun 2016. Ketika itu, beliau masih berada pada awal usia 20-an, masih mengenal diri, mahu diterima orang sekeliling dan langsung tidak mempunyai pengalaman berhadapan kamera.

“Saya masih sangat muda. Dalam usia awal 20-an, kita baru hendak mengenal dunia dan kita mahu orang menyukai kita. Ia satu tempoh yang sukar apabila berada di televisyen nasional.” Antara momen yang paling diingatinya ialah kesilapan menjawab soalan berkaitan warna Jalur Gemilang dalam episod awal program tersebut. Dalam usia yang masih muda, melihat satu kesilapan dinilai oleh khalayak bukanlah pengalaman yang mudah.
Namun 10 tahun kemudian, Reina tidak lagi melihat pengalaman tersebut melalui lensa yang sama. Apa yang pernah membuatkannya berasa tertekan akhirnya menjadi antara pelajaran kehidupan paling bermakna. “Pengalaman itulah yang mengajar Reina tentang empati, bagaimana hendak berhadapan dengan tekanan awam dan bagaimana kita hendak kekal menjadi diri sendiri walaupun apa yang orang lihat mungkin versi kita yang sangat berbeza.”
Berani Bersuara, Reina Lum Pilih Prinsip Berbanding Populariti
Apabila berbicara tentang wanita dan isu masyarakat, Reina tidak melihat dirinya sebagai satu-satunya individu yang perlu bersuara. Baginya, setiap orang mempunyai ruang untuk memainkan peranan masing-masing. “Setiap orang ada peluang untuk menyuarakan pendapat dan berkongsi ilmu. Reina betul-betul percaya kalau kita semua play our part, pergerakan itu akan menuju ke arah yang betul.”
Dalam dunia digital yang mudah menjadikan kontroversi dan sensasi sebagai jalan pantas meraih perhatian, Reina memilih untuk kekal dengan kandungan yang dipercayainya. Beliau sedar audiens lebih besar mungkin boleh diperoleh jika kandungannya dibuat kurang teknikal, lebih sensasi atau berunsurkan gosip. Namun sejak awal, Reina memilih untuk membina komuniti yang menghargai informasi serta perbincangan jujur.

“Saya memang fokus kepada membina satu komuniti yang benar-benar menghargai informasi. Sebagai content creator, kadang-kadang kita kena rise above. Kalau kita mahu menjadi platform untuk perbincangan sebenar, kadang-kadang topiknya serius dan reaksinya juga serius. Kita kena bersedia menerima yang baik, buruk dan segala-galanya.”
Di sebalik keberanian meninggalkan bidang undang-undang dan memilih laluan kerjaya yang jauh lebih tidak menentu, Reina mengakui suaminya memainkan peranan besar dalam perjalanan tersebut. “Sebenarnya kalau suami saya tidak menyokong apa yang saya buat, saya tidak akan berdiri di sini hari ini.”
Dari Content Creator Ke Techpreneur, Reina Lum Mahu Cipta Impak
Keputusan meninggalkan profesion undang-undang untuk menjadi pencipta kandungan sememangnya menimbulkan kebimbangan keluarga. Bagi Reina, kegusaran mereka cukup munasabah kerana ketika itu tiada siapa tahu sejauh mana perjalanan baharunya mampu pergi. Namun ketika orang lain masih tertanya-tanya, suaminya sudah terlebih dahulu percaya.
“Suami saya orang pertama yang mengatakan, ‘You will reach your goals and I will do everything to support that. Itulah yang paling saya hargai,” cerita Reina yang kini menjalani kehidupan berkeluarga bersama suami dan anak serta kembali menetap di Malaysia.

Selepas membina pengaruh menerusi perkongsian ilmu, Reina kini mengorak langkah sebagai seorang techpreneur dengan memiliki syarikat sendiri yang memberi fokus kepada bidang sumber manusia. Visinya bukan semata-mata mahu menukar populariti kepada keuntungan. Sebaliknya, Reina mahu membangunkan sebuah syarikat teknologi yang dapat membantu pengurusan bakat serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan di Malaysia.
Selama ini, beliau sering ditanya mengapa jumlah pengikut yang besar tidak digunakan untuk memulakan perniagaan atau membina sesuatu yang lebih mampan. Reina sebenarnya hanya menunggu masa dan tujuan yang tepat. Baginya, perniagaan yang mampan bukan sekadar perlu menghasilkan keuntungan, malah harus membawa kepuasan, memberi makna kepada pasukannya serta mempunyai nilai kepada masyarakat.
Jika selama ini beliau menggunakan platform digital untuk membantu masyarakat melalui informasi, kini Reina mahu membina sesuatu yang mampu memberikan impak dalam bentuk lebih nyata. “It’s really not about whether people remember Reina. It doesn’t really matter. We’re basically a blip in time.”
Sebaliknya, beliau mahu meninggalkan idea dan sesuatu yang mampu terus berfungsi serta memberi manfaat walaupun suatu hari nanti dirinya sudah tiada. Keinginan itu turut mendorong langkahnya meneroka dunia teknologi. Bagi Reina, mencapai tahap tertentu dalam kehidupan tanpa memberi makna kepada orang lain akhirnya boleh terasa kosong. Populariti dan kejayaan semata-mata belum tentu membawa kepuasan yang dicari.
Artikel berkaitan: Emma Firyana Saroji, Perjuangan Hebat Mengejar Gelaran Ratu Boling Padang Dunia
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!


