Ads

Hieda Natasha Bina Empayar Beg Mewah Preloved, Pengalaman Jadi Personal Shopper Raih Kepercayaan Ramai

Hieda Natasha
Hieda Natasha

Di sebalik kejayaan Hieda Natasha membina empayar beg mewah preloved menerusi Hieda Natasha Monarchy yang dipercayai, tersimpan kisah perjuangan dan pengorbanan seorang wanita. Bermula dengan mengambil pesanan beg berjenama (personal shopper) ketika bergelar pramugari, perjalanan luar biasa itu akhirnya membawa beliau menerima Nona Outstanding Luxury Entrepreneur Award sempena Nona Gala Awards 2026.

Bermula dengan pengalaman sebagai pramugari selama 11 tahun, beliau bijak merebut peluang menjadi personal shopper dengan mengambil pesanan beg berjenama ketika bertugas ke destinasi antarabangsa. Siapa sangka, langkah kecil itu akhirnya membuka jalan kepada sebuah perniagaan berprestij yang bukan sahaja menawarkan koleksi beg mewah eksklusif, malah menjadi pilihan pelanggan berprofil tinggi yang mengutamakan keaslian, kualiti dan trend terkini.

Hari ini, dunia Hieda dikelilingi koleksi beg ikonik daripada rumah fesyen antarabangsa, pelanggan elit serta sebuah flagship store yang menjadi lambang perkembangan perniagaannya. Namun di sebalik pesona kemewahan itu, ada perjalanan seorang ibu yang pernah membesarkan anak sendirian selama sedekad. Pengalaman tersebut membentuk Hieda menjadi wanita yang berani mengambil risiko, menghargai setiap peluang dan tidak mudah mengalah apabila diuji.

Hieda Natasha
Hieda Natasha

Dari Pramugari Ke Personal Shopper, Langkah Awal Kejayaan Hieda Natasha

Dilahirkan di Kuala Lumpur, wanita berparas jelita ini memiliki kelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Perniagaan, khususnya insurans, namun minat membawanya memilih kerjaya sebagai pramugari.

Selama 11 tahun berkhidmat di dalam dan luar negara, Hieda berpeluang mengembara ke pelbagai destinasi dunia. Paris dan Amerika Syarikat bukan sekadar lokasi persinggahan, sebaliknya menjadi tempat beliau mula mengenali potensi perdagangan barangan mewah.

Ketika rakan-rakan teruja membeli-belah dan menikmati keindahan kota antarabangsa, Hieda melihat peluang yang berbeza. “Bila pergi luar negara, contohnya Paris atau Amerika Syarikat, orang lain sibuk mengambil gambar dan melawat tempat menarik. Tetapi saya pula terfikir, apa yang boleh saya jual dari negara ini? Kawan-kawan mula meminta saya membelikan beg Louis Vuitton dan Chanel. Daripada satu atau dua pesanan, lama-kelamaan semakin banyak,” ceritanya.

Hieda Natasha
Hieda Natasha

Bermula dengan memenuhi permintaan kenalan, Hieda perlahan-lahan memahami selok-belok perniagaan personal shopping, termasuk urusan pembelian antarabangsa, kastam dan kehendak pelanggan yang semakin khusus. Tanpa disedari, pengalaman di awan biru itu sedang menyediakan asas kepada sebuah perniagaan yang kelak menjadi sebahagian penting dalam hidupnya.

10 Tahun Bergelar Ibu Tunggal, Pengorbanan Yang Mendewasakan

Namun perjalanan Hieda tidak sentiasa seindah dunia fesyen yang diceburinya. Beliau pernah melalui kehidupan sebagai ibu tunggal selama 10 tahun, termasuk mengandung, melahirkan dan membesarkan anak tanpa pasangan. Ketika mengandungkan anak sulung pada usia kandungan tiga bulan, Hieda mula memikirkan semula hala tuju kehidupannya. Beliau sedar masa depan anak memerlukan perubahan besar daripada dirinya sendiri.

“Kalau saya tidak mempunyai cahaya mata, mungkin saya masih menjadi diri saya yang dahulu, yang tidak tahu hala tuju. Tetapi apabila kita mempunyai amanah, segala yang kita lakukan, daripada tutur kata hingga tindakan, semuanya menjurus kepada kebahagiaan anak,” luahnya.

Hieda Natasha
Hieda Natasha

Antara kenangan paling berat ialah apabila beliau pernah menerima tawaran bekerja di Arab Saudi tidak lama selepas kembali bertugas sebagai pramugari. Ketika itu anaknya masih menyusu, namun tuntutan kerja memerlukan beliau berada di luar negara selama tiga bulan tanpa pulang. Hieda terpaksa menghentikan penyusuan demi kerjaya yang dipilihnya.

Pengorbanan tersebut bukan keputusan mudah. Namun daripada pengalaman itulah beliau belajar bahawa ada masanya seorang ibu perlu membuat pilihan yang menyakitkan demi membina masa depan lebih baik. Kini, Hieda telah mendirikan rumah tangga kali kedua bersama Mohd Musawwir, yang terlebih dahulu menjadi rakan kerjasamanya dalam perniagaan selama tiga tahun sebelum mereka berkahwin. Hasil perkahwinan ini mereka dikurniakan seorang lagi cahaya mata yang menjadi pelengkap rumah tangga.

Keberanian Hieda Natasha Membina Empayar Beg Mewah Preloved

Keberanian Hieda terserlah apabila beliau mengambil keputusan membuka flagship store yang 10 kali lebih besar berbanding premis terdahulu di Taman Medan. Walaupun perniagaannya ketika itu sudah mempunyai pelanggan tetap, beliau percaya industri preloved luxury mempunyai ruang yang jauh lebih luas untuk berkembang.

Ads

“Sebenarnya saya takut kerana tempat baharu ini 10 kali ganda lebih besar daripada yang dahulu. Sebelum ini kami sudah selesa, pelanggan tetap datang dan perbelanjaan tidak terlalu tinggi. Tetapi saya rasa industri ini boleh pergi lebih jauh. Sudah tiba masanya untuk saya membawa perubahan dan menjadi trendsetter dalam industri sendiri.

Hieda Natasha
Hieda Natasha

Kalau kita tidak mengambil risiko, kita tidak akan tahu sama ada sesuatu itu berjaya atau tidak. Dalam perniagaan, apabila kita mengambil risiko besar dan strategi itu berkesan, kita teruskan. Kalau tidak, kita cuba dan sesuaikan semula,” jelasnya.

Perkembangan itu turut menyaksikan pasukan Hieda Natasha bertambah daripada hanya tiga atau empat pekerja kepada hampir 20 orang. Di sebalik kejayaan tersebut, Hieda pernah berdepan ujian apabila beberapa pekerja utama yang setia bersamanya meninggalkan syarikat ketika beliau sedang merancang pembukaan premis baharu.

Namun beliau memilih untuk membina semula pasukan dengan menggabungkan tenaga profesional berpengalaman dalam pengurusan, jualan, kewangan, logistik dan restorasi beg. Lebih membanggakan, beliau berkongsi kejayaan melahirkan bakat muda berusia 25 tahun yang mampu mencatat jualan sehingga RM2 juta sebulan.

Beg Mewah Preloved Hieda Natasha Raih Kepercayaan Pelanggan Elit

Hieda Natasha
Hieda Natasha

Dalam dunia luxury handbags, nilai sesebuah beg bukan sekadar terletak pada label atau harga. Keaslian, kondisi, sejarah pemilikan dan keistimewaan sesuatu rekaan turut menentukan daya tarikannya.

Hieda memahami bahawa pelanggan yang berbelanja puluhan ribu ringgit bukan hanya membeli sebuah aksesori fesyen, tetapi turut meletakkan kepercayaan terhadap individu yang menguruskan transaksi tersebut. Antara beg paling mahal pernah dijualnya bernilai RM50,000, manakala permintaan pelanggan terhadap koleksi eksklusif kadangkala melibatkan pencarian warna dan model yang sangat spesifik.

Dalam satu urusan, Hieda berjaya mendapatkan beg yang diinginkan pelanggan sehingga membolehkannya berjimat hampir RM50,000 berbanding pilihan lain. Kepercayaan tersebut turut merangkumi pelanggan berprofil tinggi, termasuk golongan Datin, Tan Sri dan kerabat diraja.

Antara pengalaman paling istimewa ialah apabila D.Y.M.M Tengku Permaisuri Selangor berkenan mendapatkan perkhidmatan restorasi beg vintaj daripada Hieda Natasha. “Pada mulanya Tuanku menghantar sebuah beg vintaj untuk dibaiki. Saya pernah bertanya mengapa Tuanku mahu membaikinya sedangkan boleh sahaja membeli beg baharu. Tuanku menjelaskan bahawa beg itu mempunyai nilai sentimental.

Ads

Saya berasa sangat bertuah kerana dapat menjadi sebahagian daripada usaha membaik pulih beg tersebut. Dahulu keadaannya sudah tidak sesuai digunakan, tetapi sekarang beg itu boleh digunakan semula,” kongsinya penuh penghargaan. Pengalaman tersebut memperlihatkan satu sisi menarik dalam dunia fesyen mewah. Ada kalanya nilai sentimental sebuah beg jauh mengatasi harga pasarannya.

Keaslian Beg Berjenama Jadi Prinsip Utama Hieda Natasha

Bagi Hieda, kredibiliti dalam industri beg mewah preloved tidak boleh dibina hanya melalui penampilan butik yang elegan atau koleksi berjenama. Keaslian produk merupakan prinsip yang tidak boleh dikompromi.

“Dalam dunia personal shopper, amanah adalah yang pertama. Bukan semua orang boleh memegang duit yang banyak. Kepercayaan pelanggan itulah yang saya pegang. Untuk memastikan keaslian setiap beg, saya tekankan bahawa mesti ada pengesahan seperti Entrupy atau Legit.

Walaupun kita sudah membeli dan membayar kepada pelanggan, kalau beg itu tidak lulus pengesahan, kita tidak akan menjualnya. Saya tidak mahu satu kesilapan meruntuhkan apa yang telah saya bina selama ini,” tegasnya.

Beliau juga tidak bergantung semata-mata pada pengalaman melihat atau menyentuh beg berjenama untuk menentukan ketulenannya. Menurut Hieda, teknologi penghasilan beg tiruan kini semakin canggih sehingga pemeriksaan mata kasar tidak lagi mencukupi.

Hieda Natasha
Hieda Natasha

Selain jual beli, Hieda Natasha turut menawarkan perkhidmatan bag spa dan restorasi, termasuk pembaikan tali, jahitan, pembaharuan warna serta gold plating pada perkakasan logam beg. Perkhidmatan tersebut memberi nafas baharu kepada koleksi lama, khususnya beg yang mempunyai nilai sentimental atau rekaan klasik yang ingin terus dipelihara pemiliknya.

Dalam masa sama, Hieda mahu mengubah persepsi bahawa pemilikan beg mewah hanya terbatas kepada mereka yang mampu berbelanja besar. “Kadangkala dengan harga seribu lebih pun kita sudah boleh memiliki beg mewah preloved. Contohnya, beg Lady Dior yang berharga sekitar RM31,000 di butik, di Hieda Natasha ada yang boleh didapati serendah RM3,999.

Saya mahu lebih ramai wanita berpeluang memakai beg mewah dalam keadaan yang baik, tanpa semestinya perlu membayar harga seperti membeli yang baharu,” katanya.

Ads

Makna Kejayaan Hieda Natasha, Berkongsi Rezeki & Memberi Inspirasi

Di sebalik kemajuan perniagaan, Hieda tidak pernah melupakan pengalaman yang membentuk dirinya. Bagi wanita ini, kejayaan sebenar bukan sekadar menjadi peneraju industri atau memiliki perniagaan yang berkembang pesat, tetapi kemampuan berkongsi manfaat dengan orang lain. Tahun lalu, beliau berjaya menaja sepenuhnya 10 pelanggan menunaikan umrah, manakala inisiatif berikutnya menyasarkan 40 penerima.

Di balik empayar perniagaan beg mewah preloved Hieda Natasha, ada perjalanan berliku yang jarang diceritakan. Saksikan vodcast penuh Inspirasi Nona bersama Hieda di sini…

“Saya percaya dalam perniagaan, kita perlu melihat berapa banyak manfaat yang dapat diberikan kepada orang sekeliling. Bukan hanya kepada diri sendiri atau keluarga, tetapi juga pekerja dan pelanggan yang sentiasa menyokong kita.

Bagi saya, kejayaan itu apabila kita mampu menjadi trendsetter dan pada masa sama terus memberi manfaat kepada orang lain. Apabila pekerja kita mempunyai kehidupan yang lebih baik, itu juga satu kejayaan,” ujarnya.

Kini, setelah melalui pelbagai fasa kehidupan, Hieda percaya pengalaman pahit tidak seharusnya menjadi alasan untuk seseorang berhenti mengejar impian. Sebaliknya, setiap kegagalan mempunyai pengajaran yang boleh membentuk kekuatan baharu.

“Kepada wanita di luar sana yang sedang melalui fasa sukar atau pernah jatuh, jangan takut untuk bangkit kembali. Apabila kita belajar daripada pengalaman lalu, kita mampu menggegarkan dunia apabila bangkit nanti. Semuanya bergantung kepada diri kita, sama ada mahu terus berada dalam kegagalan atau memilih untuk bangkit. The best revenge is actually our success,” katanya mengakhiri perbualan.

Solekan: Bobo Cinta

Foto: Jazlan Nangar

 

Artikel berkaitan: Sitti Fatimah Janna, Pengasas Kilang OEM Dari Tawau Ke Semenanjung Berani Cipta Kejayaan Besar

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download sekarang!

KLIK DI SEENI
∞
∞
Ads

Inspirasi Lain

Sitti Fatimah Janna

Sitti Fatimah Janna, Pengasas Kilang OEM Dari Tawau Ke Semenanjung Berani...

Bermula dengan gaji RM500 dan impian membahagiakan ibu bapa, Sitti Fatimah Janna kini mencipta kejayaan sebagai pengasas kilang OEM dari Tawau yang berjaya melebarkan sayap perniagaan ke Semenanjung.