
Kehilangan ibu menjadi titik duka yang meruntun jiwa, apatah lagi apabila pemergian insan tercinta itu meninggalkan amanah besar berupa sebuah empayar perniagaan yang ketika itu sedang mekar di puncak kejayaan. Tragedi pemergian pengasas Dnars Skincare, Allahyarhamah Hajah Faziani Rohban Ahmad pada 17 Mei 2019 bukan sekadar menggemparkan industri kecantikan Malaysia, malah merentap jiwa anak-anak yang ditinggalkan.
Kini selepas menempuh gelombang badai, air mata dan ranjau yang tidak terhitung, Mohamed Aqbar Hakim dan adiknya, Irdiena Hakim bangkit membuktikan bahawa semangat serta kecekalan arwah ibu terus mengalir dalam diri mereka. Berbekalkan keberanian dan daya juang yang tidak pernah padam, dua beradik ini memilih untuk mempertahankan jenama warisan keluarga yang dibina dengan penuh keringat dan pengorbanan.
Menerajui sebuah perniagaan bernilai jutaan ringgit ketika usia baru menginjak belasan tahun bukanlah suatu fasa indah bak kisah dongeng. Mengimbas detik getir tersebut, Aqbar ketika itu baru berusia 19 tahun dan sedang menuntut di peringkat Diploma semester kelima. Namun keadaan memaksanya membuat keputusan berat untuk menangguhkan pengajian demi kelangsungan legasi keluarga.

“Waktu arwah Mommy tiada, kami ada pelbagai komitmen serta kempen besar bersama stesen televisyen dan lain-lain. Mahu atau tidak, kami berdua kena teruskan. Sebenarnya dua minggu sebelum Mommy pergi, Mommy buat kali pertama membawa saya ke hadapan kamera. Selepas pemergiannya, saya sedar produk kosmetik memerlukan sentuhan wanita, lalu saya ‘menolak’ Dina ke hadapan dan saya menguruskan strategi dari belakang tabir saja,” imbas Aqbar membuka bicara.
Bagi Irdiena pula yang kini menggalas jawatan Pengarah Urusan, mengambil alih perniagaan seawal usia 16 tahun menuntut ketahanan mental dan emosi yang luar biasa. Ketika rakan sebaya masih menikmati zaman remaja, Irdiena sudah melangkah ke bilik mesyuarat dan gudang operasi, belajar memahami selok-belok sebuah perniagaan yang diwariskan kepadanya.
“Ramai yang menyangka bila kita ambil alih legasi sedia ada, perjalanannya mudah. Hakikatnya, menyambung kelangsungan sebuah perniagaan jauh lebih sukar daripada memulakan sesuatu dari kosong. Mommy mempunyai visi dan perancangan tertentu namun tidak sempat dikongsikan kepada kami. Kalau mental tidak kuat, jenama Dnars mungkin sudah lenyap.”
ARWAH IBU
Dalam dunia perniagaan yang penuh pancaroba, dua beradik ini sentiasa berpegang teguh kepada pesanan arwah ibu mereka iaitu jangan berhutang dan jangan bergaduh sesama adik-beradik kerana harta.
Bagi Irdiena, kelangsungan sesebuah jenama bergantung kepada kestabilan kewangan yang sihat tanpa dibebani liabiliti berlebihan. Prinsip tidak berhutang menjadi antara tunjang bagaimana Dnars Skincare kekal berdiri teguh biarpun berdepan pasang surut ekonomi.

Sementara bagi Aqbar, keharmonian antara adik-beradik mendahului segala-galanya. Harta dunia tidak membawa makna jika hubungan kekeluargaan menjadi taruhan. Baginya, roh dan jiwa perniagaan Dnars Skincare tidak pernah diasaskan atas kepentingan diri, sebaliknya berpaksikan kasih sayang dalam keluarga.
“Mommy tidak pernah berdoa anak-anaknya mengejar kekayaan semata-mata. Doa arwah sentiasa agar anak-anaknya berbakti kepada agama dan berjasa kepada masyarakat. Apabila berniaga, fokus kita adalah memberi manfaat kepada kakitangan, pengguna dan orang di sekeliling. Itulah denyut nadi Dnars Skincare yang sebenar,” kongsi Aqbar.
SINERGI
Mengemudi perniagaan bersama ahli keluarga pastinya menuntut kematangan. Walaupun ada kalanya wujud perbezaan pendapat, mereka mempunyai ikatan kekeluargaan yang sukar direntap meskipun pernah berdepan cubaan yang menggugat keharmonian.
Menyentuh personaliti masing-masing, Aqbar menyifatkan adiknya memiliki aura ‘Alpha’, tegas, berani membuat keputusan dengan pantas dan sentiasa berfikir ke hadapan tanpa menoleh ke belakang. Bagi Irdiena pula, ketenangan dan kesabaran Aqbar adalah cerminan sifat arwah bonda mereka.
“Abang Aqbar seorang yang sangat penyabar. Dia sentiasa tenang melalui segala proses dan ujian serta tidak mudah melatah. Kalau saya lebih mudah terusik dan kadangkala mahu semuanya berlaku segera, Abang Aqbar sentiasa menjadi pengimbang yang menyejukkan keadaan. Kami saling melengkapi dalam portfolio berbeza bersama sokongan barisan Lembaga Pengarah dan pasukan yang setia menjadikan Dnars kekal menjadi pilihan dan mempunyai kelompok peminatnya sendiri,” jelas Irdiena.
Kejayaan mempertahankan empayar warisan ini tidak hadir tanpa luka. Antara detik paling menghiris hati sepanjang perjalanan mereka adalah ketika berdepan kemelut perundangan dan konflik kekeluargaan yang menyaksikan nama baik mereka diuji hebat.
Kemuncak keperitan itu terjadi apabila Aqbar sendiri ditahan dan bermalam di lokap akibat konflik melibatkan individu terdekat. Mengenang kembali episod duka tersebut, air mata kedua-duanya tumpah di hadapan lensa kamera.
“Melihat abang sendiri digari dan dibawa ke lokap adalah titik terendah dalam hidup saya. Semua orang cuba sembunyikan perkara itu daripada pengetahuan saya kerana tahu saya tidak boleh terima. Kami tidak pernah berdendam, namun keperitan itu mengajar kami erti reda dengan takdir yang sudah diaturkan,” luah Irdiena.

Di sebalik tirai besi yang dingin, Aqbar cuba meredakan api kemarahan dengan ilmu, kesabaran dan ketakwaan. Jelasnya, ketika itu beliau hanya meminta sebuah buku mengenai kisah Sultan Muhammad Al-Fateh daripada pegawai penjara untuk menenangkan gelora hati.
“Di dalam lokap, hati saya membara dengan rasa marah dan dendam. Namun membaca kisah bagaimana Sultan Muhammad Al-Fateh menakluki Kota Konstantinopel pada usia 21 tahun mengubah segalanya. Pemimpin-pemimpin besar dunia pernah diuji di penjara. Saat saya melangkah keluar dari lokap, segala rasa dendam lenyap. Saya gantikan dendam itu dengan tekad untuk memajukan diri demi keluarga dan syarikat.”
Daripada episod duka itu, Irdiena turut memetik hikmah kehidupan yang cukup mahal. “Saya belajar bahawa orang yang baik belum tentu ikhlas, tetapi orang yang ikhlas sudah pasti baik. Kita tidak boleh mengharapkan manusia membalas setiap kebaikan kita. Buatlah kebaikan semata-mata kerana Allah. Kebaikan, amal jariah serta sedekah arwah Mommy itulah yang Allah gantikan sebagai benteng kekuatan untuk anak-anaknya terus berdiri hari ini.”
Bermula hanya dengan sebuku sabun susu kambing dan sabun beras yang dipasarkan melalui risalah pada cermin kenderaan suatu ketika dahulu, Dnars Skincare kini berkembang menjadi jenama penjagaan wajah dan kosmetik dengan 20 jenis produk. Dalam usaha membawa jenama ke fasa baharu, Aqbar turut memperkenalkan inovasi khusus buat lelaki menerusi Baars by Dnars.

Menolak pendekatan ‘marketing murahan’ atau sensasi tular yang tidak bermoral, Dnars memilih jalan konsistensi dan kekuatan kualiti produk. “Trend sekarang menuntut kita mendengar apa yang pelanggan mahukan. Kami tidak mahu naik pantas dengan publisiti toksik lalu jatuh tersembam. Kami mahu kelestarian yang panjang. Walaupun pernah tertangguh akibat pandemik dan pemergian Mommy menghadap Ilahi, misi kami menembusi pasaran Indonesia dan pasaran global tetap menjadi agenda utama dan akan kami teruskan,” tegas mereka.
Mengakhiri bicara penuh emosi, Irdiena menitipkan luahan yang selama ini tersimpan di lubuk hati, seandainya arwah ibunya masih berada di sisi untuk menyaksikan pencapaian mereka hari ini.
“Terima kasih Mommy kerana mendidik dan memarahi Kakak dahulu. Segala ketegasan Mommy membentuk Kakak menjadi wanita sekuat hari ini. Kakak sudah all out, korbankan seluruh jiwa, tenaga dan masa untuk Dnars. Kakak cuma berharap Mommy bangga melihat Kakak dan Abang mampu menjaga legasi ini, dan kami berjanji akan menjaganya hingga ke tujuh keturunan.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!


