Ads

Sitti Fatimah Janna, Pengasas Kilang OEM Dari Tawau Ke Semenanjung Berani Cipta Kejayaan Besar

Sitti Fatimah Janna
Sitti Fatimah Janna

Sitti Fatimah Janna, pengasas kilang OEM dari Tawau, Sabah, membuktikan bahawa impian sederhana mampu mencetuskan kejayaan besar. Bermula dengan gaji RM500 dan hasrat untuk membantu keluarga, siapa sangka perjalanan wanita ini akhirnya membawanya ke tampuk kepimpinan tiga syarikat, iaitu SFJ Beauty Sdn. Bhd., SFJ Manufacturing Sdn. Bhd. dan SFJ Group Sdn. Bhd. Hari ini, empayar perniagaan yang dibangunkannya bukan sahaja mengukuhkan kedudukan dalam industri pengilangan OEM, malah berjaya melebarkan sayap dari Sabah ke Semenanjung.

Bukan mengejar kemewahan, jauh sekali memasang impian untuk memiliki kilang sendiri ketika itu. Sebaliknya, hasrat Sitti Fatimah Janna cukup sederhana. Dilahirkan dalam keluarga seramai 10 orang adik-beradik, beliau cuma mahu mempunyai lebihan wang untuk membantu ibu dan bapa yang telah banyak berkorban membesarkan mereka.

“Selepas setahun bekerja, saya tengok simpanan masih kosong. Saya terfikir, ‘Adakah aku hidup hanya untuk bekerja?’ Saya mahu membantu keluarga. Tapi waktu itu, nak bagi RM50 sebulan kepada bapa yang hantar saya pergi kerja setiap hari pun saya tidak mampu,” luahnya mengenang kembali fasa tersebut.

Kini, wanita yang berasal dari Tawau, Sabah, ini merupakan Ketua Pegawai Eksekutif SFJ Beauty Sdn. Bhd., SFJ Manufacturing Sdn. Bhd. dan SFJ Group Sdn. Bhd. yang menerajui perniagaan pengilangan OEM, khususnya produk penjagaan diri, penjagaan tubuh dan penjagaan kulit.

Bermula di Sabah, perniagaan yang dibangunkannya kini turut mempunyai operasi di Semenanjung, malah sedang mengatur langkah untuk mengembangkan sayap ke Indonesia. Di sebalik perkembangan yang membanggakan itu, perjalanan Sitti Fatimah bukanlah kisah kejayaan yang tercipta dalam sekelip mata. Sebaliknya, ada kesusahan, ketakutan, kerugian dan pengorbanan yang pernah dilalui sebelum SFJ mampu berdiri seperti hari ini.

Sitti Fatimah Janna
Sitti Fatimah Janna

Sitti Fatimah Janna, Dari Gaji RM500 Hingga Bergelar Pengasas Kilang OEM

Mengimbas kembali permulaan kerjayanya, Sitti Fatimah pernah bekerja sebagai kerani sumber manusia di sebuah kilang di Tawau dengan menerima gaji sekitar RM500 sebulan. Selepas melalui tempoh percubaan, pendapatannya meningkat kepada RM600. Namun, selepas setahun bekerja, beliau mula memikirkan masa depan apabila mendapati dirinya masih belum mempunyai simpanan.

Lebih menyentuh hati, beliau mahu membantu keluarga tetapi pendapatan ketika itu tidak memungkinkan hasrat tersebut. Melihat sendiri jerih perit bapanya membesarkan 10 orang anak, jauh di sudut hati tersimpan keinginan untuk membalas pengorbanan ibu bapanya.

Situasi tersebut akhirnya mendorong Sitti Fatimah mencari sumber pendapatan tambahan. Sekitar tahun 2012, beliau mula mencuba nasib berniaga secara dalam talian biarpun tidak mempunyai modal yang besar. “Saya sebenarnya tidak mempunyai modal. Apabila customer buat bayaran, barulah saya pergi beli barang di pasar. Saya tak ada kenderaan. Ada customer order 10 kilo, 20 kilo, jadi saya angkut barang dan naik bas. Memang sangat struggle masa mula-mula,” dedahnya.

Biarpun serba kekurangan, pengalaman tersebut sedikit pun tidak mematahkan semangatnya. Malah, Sitti Fatimah masih mengingati keterujaannya apabila menerima satu tempahan bernilai RM300.

Sitti Fatimah Janna
Sitti Fatimah Janna

Jumlah itu mungkin dianggap kecil bagi sesetengah orang, tetapi ketika menerima gaji sekitar RM600 sebulan, RM300 bersamaan dengan separuh daripada pendapatan bulanannya. “Saya sangat gembira. Sepanjang perjalanan pergi beli barang itu, saya senyum seorang diri. Saya fikir, dalam satu hari saya boleh dapat jualan RM300.”

Daripada situlah keyakinannya terhadap dunia perniagaan mula bercambah. Sedikit demi sedikit, beliau mula mempunyai simpanan dan paling menggembirakan apabila akhirnya mampu menghulurkan wang kepada ibu bapa tersayang.

Perjalanan Sitti Fatimah bagaimanapun tidak terus membawanya menjadi pemilik sebuah kilang. Pada peringkat awal, beliau hanya bertindak sebagai orang tengah dan mengakui pernah berasa takut untuk mengembangkan perniagaan ke tahap yang lebih besar. Menariknya, individu yang membuka fikirannya untuk berani melangkah ke hadapan ialah pelanggannya sendiri.

“Dulu saya sebenarnya sangat takut untuk grow. Masa itu saya belum ada kilang sendiri, saya cuma orang tengah. Sampai satu tahap, customer saya sendiri yang push saya. Dia cakap dengan saya, macam mana saya mahu grow kalau kakak tidak grow?”

Kata-kata tersebut benar-benar meninggalkan kesan kepada Sitti Fatimah. Pelanggannya ketika itu mahu meningkatkan tempahan sehingga 10,000 unit dan berpotensi berkembang kepada 30,000 hingga 50,000 unit sebulan. Namun, kapasiti perniagaannya ketika itu masih kecil.

Daripada kata-kata tersebut, Sitti Fatimah mula sedar bahawa untuk membantu pelanggan berkembang, beliau sendiri perlu berani melakukan perkara yang selama ini ditakutinya. Lantas tercetus keputusan untuk membuka kilang sendiri.

Ads

Bukan mudah melalui pelbagai proses dan prosedur yang diperlukan, termasuk mendapatkan pensijilan GMP. Namun, usaha itu akhirnya membolehkan SFJ membangunkan operasi pengilangan yang memenuhi piawaian yang ditetapkan.

Bina Kepercayaan Pelanggan, Angkat Kredibiliti SFJ Dalam Industri OEM

Berkecimpung dalam industri OEM turut membuatkan Sitti Fatimah cukup memahami persepsi masyarakat terhadap produk yang dihasilkan secara ‘timbang kilo’. Tidak menafikan kewujudan produk sebegitu dalam pasaran, beliau bagaimanapun menegaskan bahawa SFJ memberikan penekanan terhadap aspek formulasi, keselamatan dan keberkesanan produk.

“Di SFJ, kami ada makmal sendiri, chemist dan kami juga bekerjasama dengan saintis. Sebelum sesuatu formulasi dihasilkan, kami perlu ikut guideline yang telah ditetapkan. Memang ada produk timbang kilo di pasaran, mungkin harganya lebih murah. Tapi bagi kami, paling penting ialah keberkesanan dan keselamatan produk.”

Sitti Fatimah Janna
Sitti Fatimah Janna

Dalam pemilihan bahan pula, SFJ bekerjasama dengan pembekal yang dipercayai serta memberi perhatian terhadap dokumen teknikal dan pensijilan berkaitan, termasuk Certificate of Analysis (COA), Safety Data Sheet (SDS) serta pensijilan halal bagi bahan yang berkaitan.

Baginya, kredibiliti sebuah syarikat OEM tidak hanya bergantung pada kemampuan menghasilkan produk, tetapi juga sejauh mana produk berkenaan selamat, memenuhi piawaian dan mampu membantu pelanggan membangunkan jenama mereka.

Atas prinsip yang sama, Sitti Fatimah tidak mahu hubungan SFJ dengan pelanggan berakhir selepas produk siap dihasilkan. “Kami tak tengok mereka sekadar sebagai klien tetapi sebagai rakan strategik.”

Ada pelanggan SFJ yang bermula dengan tempahan 500 unit sebelum berkembang sehingga mencecah 50,000 unit sebulan. Bukan sekadar menghasilkan formulasi, pasukannya turut membantu pelanggan yang memerlukan pandangan berkaitan produk, pembungkusan dan pemasaran. Malah, Sitti Fatimah pernah diminta menemani pelanggan ke China bagi mencari packaging yang sesuai. “Kalau mereka perlukan bantuan dan kami boleh bantu, kami akan cuba bantu. Sebab bila bisnes mereka grow, insya-Allah bisnes kita pun grow bersama.”

Hampir dua tahun selepas menerima pengiktirafan Nona Superwoman Award 2024, Sitti Fatimah turut melihat peningkatan kredibiliti SFJ termasuk keyakinan dalam kalangan pelanggan dari Semenanjung. Namun, dalam perjalanan membina kepercayaan tersebut, pernah berlaku satu kejadian yang benar-benar menguji prinsipnya sebagai seorang usahawan.

Pernah Rugi RM700,000 Namun Tidak Mengalah Mengejar Impian

Tiada perjalanan perniagaan yang sentiasa indah. Sitti Fatimah sendiri pernah berdepan dengan kerugian kira-kira RM700,000 hanya daripada satu tempahan apabila berlaku perubahan pada tekstur produk yang dihasilkan. Selepas pemeriksaan dilakukan, pihak SFJ mendapati terdapat isu pada produk yang berpunca daripada proses di pihak mereka.

Ads
Sitti Fatimah Janna
Sitti Fatimah Janna

“Kami pernah rugi lebih kurang RM700,000 daripada satu tempahan. Bila kami check, memang ada isu daripada pihak kami.” Jumlah sebesar itu tentunya bukan kecil bagi mana-mana perniagaan. Namun, daripada mencari alasan atau meletakkan kesalahan kepada pihak lain, SFJ mengambil keputusan untuk bertanggungjawab dan menggantikan produk berkenaan.

“Walaupun jumlahnya sangat besar, kami pilih untuk bertanggungjawab dan ganti produk itu. Kita boleh saja cari alasan, tetapi kami tak mahu buat begitu.”

Pengalaman pahit tersebut akhirnya menjadi antara pengajaran terbesar buat SFJ. Pemilihan pembekal dan bahan mentah diperketat selain sistem serta aspek kawalan kualiti terus diperhalusi. Lebih bermakna apabila pelanggan yang terlibat dalam insiden tersebut masih memilih untuk kekal bersama SFJ sehingga hari ini. “Apa yang sangat bermakna bagi saya, customer itu masih kekal dengan kami sampai sekarang. Bagi kami, kepercayaan dan kesetiaan customer itu sangat mahal.”

Sebahagian besar pelanggan SFJ terdiri daripada golongan wanita dan sepanjang berurusan dengan mereka, Sitti Fatimah melihat ramai sebenarnya mempunyai impian untuk berniaga tetapi berdepan dengan masalah keyakinan diri. Ada yang takut muncul di hadapan kamera, berasakan diri masih belum cukup pandai atau terlalu lama menunggu kerana mahukan segala-galanya sempurna sebelum berani bermula. Sebagai seseorang yang pernah melalui ketakutan yang sama, beliau cukup memahami perasaan tersebut.

“Saya selalu pesan, jangan tunggu sempurna. Jangan tunggu sampai betul-betul pandai baru mahu bermula. Kadang-kadang kita memang kena paksa diri untuk cuba. Ramai founder yang kita nampak yakin depan kamera sebenarnya pemalu. Tapi mereka tetap cuba. Dari situ keyakinan itu dibina.”

Kejayaan Lebih Bermakna Apabila Mampu Membahagiakan Ibu Bapa

Jika ada satu perkara yang tidak pernah berubah sejak hari pertama Sitti Fatimah bekerja dengan gaji RM500, perkara itu ialah keinginannya untuk membahagiakan keluarga. Dahulu, beliau terkilan kerana tidak mampu memberikan RM50 kepada bapa yang menghantarnya bekerja setiap hari. Apabila perniagaan mula memberikan hasil, kegembiraan terbesar ialah apabila beliau akhirnya mampu membantu ibu dan bapanya.

Lebih sedekad kemudian, rezeki tersebut membolehkannya memberikan sesuatu yang jauh lebih bermakna. “Alhamdulillah, saya dapat bawa keluarga pergi menunaikan umrah dan haji serta dapat bantu mak ayah.” Nikmat yang diperoleh juga tidak mahu dinikmati sendirian. SFJ pernah menaja ahli pasukannya untuk menunaikan umrah, sesuatu yang cukup dekat di hati Sitti Fatimah. “Saya percaya apabila kita berkongsi rezeki, insya-Allah lebih banyak kebaikan akan kembali kepada kita.”

Dalam kesibukan menguruskan perniagaan, beliau turut berusaha memastikan hubungan kekeluargaan tidak terpinggir. Apabila sudah berkemampuan, Sitti Fatimah dan adik-beradiknya memilih membina rumah berdekatan agar dapat terus meluangkan masa bersama keluarga dan ibu bapa. Begitu juga tanggungjawab terhadap anak-anak yang sentiasa mendapat tempat penting dalam hidupnya. “Anak adalah rezeki dan amanah. Jadi kita kena bagi yang terbaik kepada mereka.”

Dari Tawau Ke Semenanjung, Sitti Fatimah Janna Kini Sasar Pasaran Indonesia

Jika dahulu lokasi kilang di Sabah menjadi antara cabaran SFJ kerana sekitar 90 peratus pelanggannya datang dari Semenanjung, perkembangan perniagaan kini membolehkan syarikat tersebut mempunyai operasi di Semenanjung.

Ads

Tidak mahu berhenti di situ, Sitti Fatimah kini memasang impian yang lebih besar untuk membawa SFJ merentasi sempadan negara. Indonesia menjadi destinasi seterusnya. SFJ kini sedang mengatur langkah ke arah mewujudkan operasi pengilangan di negara berkenaan dengan misi membantu pelanggan Malaysia memasuki pasaran Indonesia.

“Matlamat kami adalah untuk bantu klien Malaysia masuk pasaran Indonesia. Kita tahu market di sana sangat besar dan orang Indonesia juga ada penerimaan terhadap produk Malaysia.” Dengan adanya operasi pengilangan di Indonesia kelak, beliau berharap proses membawa produk pelanggan Malaysia memasuki pasaran negara itu dapat dipermudahkan selain mengurangkan kos yang terlibat. Ketika ini, proses berkaitan pensijilan dan persediaan operasi masih berjalan sebelum operasi dapat dimulakan.

Sitti Fatimah Janna
Sitti Fatimah Janna

Daripada mengangkut tempahan 10 hingga 20 kilogram menaiki bas kepada memiliki kilang sendiri, perjalanan Sitti Fatimah cukup membuktikan bahawa latar belakang sederhana bukan penghalang untuk seseorang memasang impian besar. Namun, setelah lebih sedekad mengejar kejayaan, wanita ini tidak lagi mengukur pencapaian hanya berdasarkan angka jualan, jumlah tempahan mahupun sejauh mana empayar SFJ mampu berkembang.

“Pada akhirnya, bukan duit semata-mata yang kita kejar. Kita mahu anak-anak hidup bahagia, selesa, rasa disayangi dan dihargai. Bagi saya, itulah antara makna sebenar sebuah kejayaan.”

Barangkali itulah yang paling tepat menggambarkan perjalanan Sitti Fatimah Janna. Segalanya bermula bukan kerana mahu menjadi seorang CEO atau membina sebuah empayar, sebaliknya daripada hasrat seorang anak yang mahu mempunyai sedikit lebihan wang untuk diberikan kepada ibu bapanya.

Daripada gaji RM500 kepada kegembiraan menerima tempahan RM300, daripada mengangkut barang menaiki bas sehingga berani membuka kilang sendiri, setiap pengalaman membentuk wanita yang berdiri di sebalik kejayaan SFJ hari ini.

Dan ketika langkah seterusnya sedang disusun menuju Indonesia, satu perkara jelas tidak pernah berubah. Sitti Fatimah masih membawa semangat wanita yang sama seperti ketika beliau bermula dahulu, iaitu tidak menunggu untuk menjadi sempurna sebelum berani mencuba.

Penulis & Penyelaras: Norzalina Mohd Alias

Konsep: Azniza Aziz

Arahan Seni: Zera Naim

Solekan: Kelrina

Foto: The Loft Studio

 

Artikel berkaitan: Datuk Yusry Abdul Halim & Datin Lisa Surihani Layari 14 Tahun Usia Perkahwinan, Bahagia Ada 3 Zuriat & Kerjaya Hebat

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download sekarang!

KLIK DI SEENI
∞
∞
Ads

Inspirasi Lain

Hieda Natasha

Hieda Natasha Bina Empayar Beg Mewah Preloved, Pengalaman Jadi Personal Shopper...

Daripada seorang pramugari yang mengambil pesanan beg berjenama kepada peneraju perniagaan beg mewah preloved, Hieda Natasha membuktikan bahawa keberanian mengambil risiko dan menjaga amanah pelanggan menjadi tunjang sebuah kejayaan.