
Punca rumah tangga retak bukan semata-mata kerana curang, tetapi apabila cinta, komunikasi dan rasa menghargai semakin hilang dalam perkahwinan. Perkongsian asatizah Nazirah Abu Bakar dan suaminya, Ustaz Muhammad Hafizan ini bagai menjentik rasa, menjawab persoalan banyak pasangan suami isteri.
Banyak pasangan gagal menyedari bahawa punca rumah tangga retak bermula daripada hubungan yang hambar, kurang perhatian dan emosi yang terabai. Dalam kehidupan yang semakin sibuk, ramai suami isteri terlalu fokus memenuhi tuntutan kerja, anak-anak dan komitmen harian sehingga terlupa menjaga hubungan yang menjadi asas kebahagiaan keluarga.
Tulis Ustazah Nazirah, tanpa kasih sayang, kepercayaan dan usaha mempertahankan hubungan, perkahwinan yang dibina atas dasar cinta akhirnya perlahan-lahan runtuh meskipun tiada orang ketiga. Perkongsian ini turut mendapat perhatian ramai kerana ia dekat dengan realiti kehidupan pasangan masa kini.

Punca Rumah Tangga Retak Semakin Membimbangkan
Ramai pasangan hanya menyedari masalah apabila hubungan mula menjadi dingin. Sedangkan, perubahan kecil seperti kurang berbual, tidak lagi bertanya khabar atau hilang rasa menghargai sebenarnya menjadi tanda awal kepada keretakan emosi dalam rumah tangga.
“Ada jarak yang perlahan-lahan terbina dalam rumahtangga bukan kerana curang, bukan juga kerana cinta itu hilang. Tetapi kerana dua hati yang dulu saling menggenggam tangan kini sama-sama sibuk memikul tanggungjawab.
Suami sibuk menjadi ayah yang mahu memberi yang terbaik.
Isteri pula tenggelam dalam peranan sebagai ibu yang tidak pernah berhenti berfikir tentang anak.Berusaha menyenangkan keluarga. Berusaha mencari yang namanya bahagia. Di antara tanggungjawab yang tidak pernah selesai itu, mereka mula jarang berbual, jarang bertanya, jarang memandang…”
Tidak dinafikan, kesibukan hidup boleh menyebabkan pasangan semakin jauh tanpa mereka sedari. Apabila komunikasi semakin kurang, hubungan suami isteri juga menjadi hambar dan penuh salah faham.


Cinta Yang Hilang Dalam Diam
Tambah Ustazah Nazirah lagi, kadang punca rumah tangga retak bukan kerana tiada cinta seperti awal-awal perkahwinan dulu. Sebaliknya, pasangan terlalu penat menghadapi rutin harian sehingga lupa meluangkan masa untuk satu sama lain.
“Bukan tidak sayang. Tetapi letih itu mengambil ruang. Diam itu menjadi bahasa. Dan hari-hari berlalu tanpa sempat mereka kembali menjadi ‘kita’.
Kadang-kadang, yang hilang bukan cinta. Yang hilang adalah masa untuk merasa cinta itu. Tinggal serumah, tetapi hati semakin berjauhan. Berjumpa setiap hari, tetapi tidak benar-benar ‘bertemu’,” tulis ibu kepada lima cahaya mata tersebut.
Kata-kata tersebut membuka mata ramai bahawa hubungan yang sihat memerlukan perhatian dan usaha berterusan. Dalam sesebuah perkahwinan, cinta bukan hanya hadir melalui kata-kata romantik, tetapi juga melalui perhatian kecil, sokongan emosi dan masa yang diluangkan bersama.
Mendirikan rumah tangga dengan Ustaz Muhammad Hafizan pada 2011, pendakwah dan personaliti motivasi ini turut menitip nasihat agar keharmonian perkahwinan terus terjaga. Nasihat tersebut dilihat sangat relevan terutama kepada pasangan muda yang sedang membina keluarga dan menyesuaikan diri dengan pelbagai cabaran kehidupan.
Jangan Biarkan Hubungan Semakin Jauh
“Hakikatnya, rumah tangga tidak runtuh hanya kerana badai besar. Kadang-kadang ia retak kerana hal-hal kecil yang dibiarkan, kesibukan yang tidak diurus, keletihan yang tidak difahami dan rasa yang tidak diluahkan.
Maka, sebelum jarak itu menjadi dinding berhentilah seketika. Pandang pasanganmu, bukan sekadar sebagai ibu atau ayah kepada anak-anakmu, tetapi sebagai insan yang dulu kau pilih, yang dulu kau doakan, kau genggam tangannya dengan nama Tuhan.
Tanya khabarnya. Dengar ceritanya. Pegang tangannya. Kerana dalam sibuk membina masa depan anak-anak, jangan sampai kita kehilangan satu sama lain di tengah perjalanan. Cinta tidak selalu perlu kata cinta yang bombastik, percutian yang mewah, rumah yang besar. Kadang-kadang, ia hanya perlukan ruang untuk kembali dirasa….”
Perkongsian ini menjadi peringatan penting bahawa punca rumah tangga retak sering bermula daripada perkara kecil yang dipandang remeh. Hubungan suami isteri memerlukan komunikasi yang baik, empati dan masa berkualiti supaya kasih sayang terus subur walaupun usia perkahwinan semakin panjang.
Dalam dunia serba pantas hari ini, pasangan perlu belajar memperlahankan langkah dan kembali menghargai insan di sisi. Walaupun sibuk mencari rezeki dan membesarkan anak-anak, hubungan suami isteri tetap perlu diberikan perhatian. Kadang-kadang, pelukan ringkas, pertanyaan ikhlas atau masa berbual beberapa minit sudah cukup untuk menguatkan kembali hubungan yang semakin renggang.
Punca rumah tangga retak tidak seharusnya dipandang ringan kerana ia boleh memberi kesan besar kepada emosi pasangan dan anak-anak. Justeru, setiap pasangan perlu saling memahami, menghormati dan sentiasa berusaha mempertahankan hubungan yang dibina atas dasar cinta dan kepercayaan.
Artikel berkaitan: https://www.nona.my/idea-hadiah-hari-ibu/
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!





