Semua wanita menginginkan rambut yang sihat dan bersinar sepanjang waktu. Maka ramai yang mencari produk dan jenis perawatan tertentu untuk mendapatkan rambut yang kuat dan sihat.
Tidak dinafikan, penggunaan syampu, perapi atau jenis perawatan khusus yang mahal dapat membantu. Namun tidak ada salahnya untuk memulakan penjagaan daripada dalam iaitu melalui nutrisi makanan yang seimbang dan menyihatkan.
Pastikan bahawa anda mendapatkan cukup nutrisi yang penting untuk menjaga kesihatan dan penampilan rambut. Kebanyakan makanan sedia ada mengandungi nutrisi-nutrisi protein, zat besi dan vitamin B.
Masukkan jenis-jenis makanan berikut dalam diet harian untuk meningkatkan kondisi rambut seperti menggunakan produk-produk rambut di salun.
(a) IKAN
Ikan mengandungi protein yang sangat tinggi dan penting untuk menstimulasi pertumbuhan rambut. Selain itu, banyak ikan yang mengandung vitamin B12 dan zat besi iaitu nutrisi penting untuk kesihatan rambut. Ia termasuklah jenis ikan yang kaya dengan Omega-3 seperti salmon, tuna dan sardin yang sangat bagus untuk mencegah kulit kepala menjadi kering penyebab rambut kusam.
(b) TELUR
Individu yang kekurangan vitamin B12 dalam tubuh mengalami pertumbuhan rambut putih atau uban yang lebih cepat. Telur mengandungi jumlah protein yang tinggi, juga vitamin B-12. Telur juga diperkaya dengan biotin iaitu nutrisi yang dipercayai baik untuk pertumbuhan rambut, kulit dan kuku.
(c) SUSU RENDAH LEMAK, KEJU & YOGURT
Pengambilan sumber makanan diperkaya dengan protein, susu dan produk olahan susu rendah lemak juga baik untuk dikonsumsi. Dua sumber ini diperkaya dengan kalsium sebagai mineral penting untuk pertumbuhan rambut yang sihat. Susu lembu rendah lemak juga baik untuk mencegah keguguran rambut.
(d) KEKACANG
Kekacang boleh dijadikan sumber protein alternatif kerana mengandungi biotin, zat besi dan zink yang membantu untuk menumbuhkan rambut yang sihat.
(e) SAYURAN HIJAU
Bayam, brokoli dan sayuran berdaun hijau yang lain mengandungi sejumlah vitamin dan mineral yang penting untuk kesihatan rambut. Vitamin A dan C membantu penghasilan minyak di kulit kepala, agar kulit kepala tidak kering dan tetap bersinar. Selain itu, sayur-sayuran hijau juga mengandung kalsium dan zat besi.
(f) KIWI
Kiwi sangat kaya dengan sumber vitamin C. Seperti yang kita tahu, zat besi akan diserap dengan lebih baik jika dipadukan dengan sumber makanan berdos vitamin C yang tinggi. Untuk itu kiwi merupakan sumber terbaik untuk menjaga dan meningkatkan kondisi kesihatan rambut secara alami. KR