Rezeki takkan salah alamat. Sebagai wanita muda dan berjaya, pencapaian Asyalliee yang baru berusia 21 tahun ini nyata cukup mengagumkan. Masakan tidak, dia sudah memiliki segala-galanya.. perniagaan yang maju, rumah besar, kereta mewah dan keluarga bahagia. Bahkan sekarang ini Asya sedang hamil anak kedua.
Menzahirkan rasa syukur atas kurniaan tersebut, Asya yang mula dikenali sebagai Syasya Solero suatu masa dulu turut berkongsi kegembiraan tersebut di Instagram baru-baru ini. “Alhamdullilah target 2018 yang terakhir telah tercapai. Rasa macam tak sangka dapat beli rumah dengan hasil duit sendiri, yelah sebab sebelum ni saya dan husband kerja dekat DC Comic IOI Citymall masing-masing naik motor pergi kerja.
Hujung bulan ngam ngam duit untuk makan. Setelah berkahwin dan pada awalnya pun masih ada ujian dihimpit dengan kekurangan duit, duit pernah ada RM50 je dalam bank. Macam-macam dugaan fitnah sana sini.
Ads
Tapi sejak lahirnya anak kami Haider, rezeki tu datang mencurah-curah, Alhamdullilah dengan rezeki yang Allah SWT berikan kepada kami sekarang. Kami start business pun bukan ada duit dalam bank. Suami saya rela jual motor kesayangannya untuk modal business kami.
Memang saya dah azam kuat untuk teruskan usaha mencari rezeki Allah SWT supaya anak anak kami dan juga keluarga kami hidup dengan senang. Sebab saya dan suami pun bukan dari keluarga yang berharta.
Walau apa pun ini semua pinjaman dari Allah SWT untuk kami sekeluarga. Yang penting jaga solat, jaga hubungan dengan keluarga dan juga jangan lupa bersedekah. Dan membantu yang lain-lain. Target tahun ni semua dah capai seperti ANAK , KERETA , OFFICE dan juga RUMAH. Now usahakan untuk capai target 2019 pula. Doakan tau! Saya doakan awak semua pun boleh capai impian masing-masing yang penting jangan berhenti berusaha dan berdoa ok.”
Ads
Ads
Masih ingat lagi temubual bersama Asya sekitar tahun 2017. Tanpa berselindung, dia mengakui pernah kemurungan gara-gara video ‘Macam cantik macam comel’ miliknya viral di Internet.
“Saya mula tahu video itu dah jadi viral daripada kawan-kawan di Facebook beberapa minggu selepas ia dimuat naik. Bila tengok YouTube, sana-sini heboh dengan video saya. Komen berbaur kecaman dan sindiran memang banyak. Tapi ada juga yang beri kata-kata positif. Pertama kali dinilai masyarakat dan dapat perhatian dengan cara sebegitu buatkan saya rasa sangat sedih dan alami kemurungan. Setiap hari saya menangis dalam bilik seorang diri, tak lalu makan, rasa geram, marah, semuanya bercampur-baur.
Syasya Solero dulu saya sifatkan seorang wanita yang lemah. Dia takut hadapi kenyataan dan suka mengasingkan diri. Sebaik dipilih jadi model, saya nekad mahu tukar nama dan personaliti. Tak mahu lagi lemah apabila dikutuk dan disindir. Dalam masa sama, saya hendak buktikan kepada netizen yang berfikiran negatif bahawa insan yang pernah viral seperti saya bukan orang yang cetek akal dan mampu maju ke depan,” tegasnya.
Moga semangat juang Asya menggapai kejayaan dalam hidup menjadi sumber inspirasi kepada para wanita. Percayalah, gagal sekali tidak bermakna kita akan gagal selama-lamanya.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Laman sosial hari ini dilihat sebagai sebuah platform yang digunakan untuk pelbagai fungsi juga kepentingan setiap individu.
Antara salah satu kelemahan yang wujud apabila menggunakan laman sosial ini apabila ia mudah menyebarkan fitnah, membina minda negatif serta membentuk peribadi seseorang itu menjadi individu yang mudah menilai orang lain, tanpa sebab asbab yang kukuh.
Mengulas lanjut mengenai isu ini, NONA secara eksklusif menemu bual penyanyi bersuara lunak, Ernie Zakri berkaitan isu tampil sempurna di laman sosial.
Maka, moleklah sekiranya jika kita menggunakan laman sosial seperti Instagram, Facebook, Twitter juga Tiktok untuk kebaikan diri sendiri dan memberi kebaikan kepada orang lain.
Berbicara soal laman sosial, ramai diantara kita yang ingin tampil sempurna sehinggalah memperjudikan diri mereka sendiri.
Oleh disebabkan taksub dengan pujian serta kata-kata positif dari pengguna laman sosial, ada yang sanggup berbelanja beratusan ribu ringgit sehingga berhutang hanya untuk tampil sempurna di laman sosial. Adakah ia berbaloi?
Penyanyi yang juga ibu kepada seorang cahaya mata perempuan, Nur Khawla Soleha menyatakan bahawa menjadi sempurna di laman sosial bukanlah perkara yang mudah.
Malah, dia menyifatkan sebagai seorang manusia, definisi kesempurnaan itu amat mustahil untuk dicapai, namun ia bukanlah alasan untuk tidak menjadi yang lebih baik dari semalam.
“Menjadi sempurna di laman sosial ini saya kira begitu am dari sudut pengertiannya. Namun, apa yang pasti, kita sebagai manusia biasa pastinya tidak akan pernah lari dari melakukan kesilapan.
“Oleh itu, kita haruslah berusaha untuk menjadi yang terbaik dalam semua perkara, di semua tempat termasuklah di laman sosial.”
Tambahnya lagi, sebagai pengguna laman sosial yang bijak, kita disarankan untuk menyebarkan nilai-nilai positif supaya dapat membentuk sebuah komuniti yang harmoni dan bertanggungjawab.
“Berbaiklah dengan yang lain dan berilah komen dan kata-kata yang positif amanya bagi kaum hawa. Jadilah wanita yang mulia tinggi sifat sopan dan santunya, usah terlalu mudah menghukum di laman sosial sehingga memberi kesan buruk kepada orang sekeliling.
“Elakkan dari menghujah kata-kata kesat, negatif, memaki-hamun juga mencaci. Kita tidak mungkin bisa menjadi sempurna, namun cubalah jadi yang lebih baik.
“Sesungguhnya, memberi kebaikan kepada orang lain merupakan sebuah amalan yang mulia dan harus dipraktikkan dalam kehidupan harian kita,” tegas Ernie mengenai isu ini.
Oleh itu, ayuh kita jadikan platform laman sosial sebagai sebuah tempat yang bisa menyebarkan nilai-nilai murni dan positif yang bukan menjauhkan kita semua, malah lebih mendekatkan diri kita sebagai hamba-Nya.
Semoga penulisan artikel ini memberi pengajaran kepada diri kita untuk sentiasa bijak menggunakan laman sosial pada hari ini!
Sekadar info, artikel ini merupakan artikel olahan semula dari HIJABISTA
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kami sekarang di SINI!
Sempena sambutan Hari Polis ke-214 hari ini, Nona terpanggil untuk mengimbau kisah Fokus bersama DSP Noorhamasiren yang kini baru saja menggalas jawatan baru sebagai DSP Kolaborasi Agensi Bukan Kerajaan di Bahagian Kepolisian Komuniti, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Ibupejabat Polis Bukit Aman.
Sebagai salah seorang anggota PDRM, frontliner hebat ini telah banyak mencurahkan khidmat bakti, komitmen mahupun pengorbanan dalam memastikan kedaulatan, keselamatan negara dan ketenteraman awam sentiasa terjamin. Apatah lagi dalam memerangi wabak COVID-19 sejak dari tahun lalu.
DSP Noorhamasiren Boonthnam Ekkasook sebelum ini menggalas jawatan Pemangku Pegawai Turus D11 (Seksual, Wanita & Kanak-Kanak) di Jabatan Siasatan Jenayah Ibupejabat Polis Kontinjen Selangor.
Namun bermula Mac, beliau telah bertukar ke Bukit Aman dengan memegang portfolio yang lebih besar dan mencabar.
“Tugas saya kini lebih kepada pencegahan jenayah. Objektif Jabatan adalah untuk merangka strategi serta melaksanakan inisiatif-inisiatif dengan objektif untuk mengurangkan jenayah dan meningkatkan persepsi keselamatan,” ujar wanita kacukan Melayu Siam yang mesra disapa Puan Siren itu.
Temu bual Nona dengan Puan Siren yang viral dengan gelaran Akak Polis ini antara kenangan terindah kami tahun lepas! Jom tonton…
Perbualan kami tentang tugasannya sepanjang Ops COVID-19 (Perintah Kawalan Pergerakan) lalu cukup meniupkan inspirasi, sekaligus membuat penulis tambah kagum dengan keberanian wirawati negara tersebut.
“Pada 16 Mac 2020, Perdana Menteri mengumumkan pelaksanaan PKP selama dua minggu mulai 18 hingga 31 Mac di seluruh negara, disebabkan situasi ancaman wabak COVID-19 yang menimbulkan kebimbangan. Jadi PDRM berperanan sebagai agensi yang membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam mengekang penularan pandemik tersebut.
Objektif kami jelas untuk menyedarkan masyarakat bahaya COVID-19 dan memastikan PKP dipatuhi. Operasi pasukan saya terdiri daripada seorang pegawai dan tiga orang APR, untuk memantau kawasan-kawasan yang dikenal pasti sering menjadi tumpuan orang awam.
Pendekatan yang kami gunakan sebenarnya lebih kepada memberi nasihat secara berhemah kepada orang ramai yang berkumpul, supaya beredar dan mematuhi PKP yang dikuat kuasakan,” cerita Puan Siren panjang lebar.
KETEGASAN
Di sebalik perwatakan tegas beliau, Puan Siren sebenarnya seorang yang amat komited dalam tugas, berdisiplin tinggi dan berintegriti kerana mereka membawa nama pasukan PDRM.
“Wajah saya mungkin nampak garang tapi niat hanya mahu memberi teguran, nasihat dan jika perlu mengeluarkan kompaun serta tangkapan individu yang melanggar undang-undang.
Khususnya ketika Ops COVID-19, kami perlu tegas mengambil tindakan terhadap individu yang mengingkari PKPB dengan melakukan kesalahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) atau mana-mana peraturan yang dibuat dibawah Akta ini.
Bagi menangani perkara ini, tindakan penguatkuasaan mengkompaun kesalahan terhadap mana-mana orang yang mengingkari PKPB akan diambil sebagaimana kuasa yang diberikan di bawah seksyen 22 akta yang sama.”
“Tidak dinafikan sebagai frontliners, kebimbangan terhadap penyakit sudah tentu ada kerana kami sentiasa keluar bertemu masyarakat. Begitu juga apabila menjalankan tugas, rasa bimbang terhadap keselamatan keluarga serta terhadap setiap orang yang ditahan kerana tidak mengetahui latar belakang mereka.
Cabaran lain adalah dari segi menguruskan keluarga kerana saya perlu meninggalkan suami dan anak-anak pada bulan Ramadan untuk menjalankan tugas. Pernah juga bersahur dan berbuka di tepi jalan masa tu.
Sebenarnya sebagai pegawai polis, saya berjumpa pelbagai karakter manusia. Mahu atau tidak, saya mesti melengkapkan diri dengan kekuatan mental, fizikal dan emosi.
Setakat sakit-sakit ringan macam pening kepala, selesema atau batuk, itu perkara biasa. Ada kalanya bertemu orang susah sampai tersentuh hati dan perasaan, tapi demi tugas diteruskan juga,” luah Puan Siren.
Menyentuh secara ringkas latar belakang Puan Siren, wanita ini mula berkhidmat dalam PDRM pada 1 Oktober 2000 sebagai Inspektor Pelatih. Selepas tamat latihan, beliau diarahkan bertugas di Ibupejabat Polis Daerah Kajang sebagai Pegawai Penyiasat Siasatan Seksual.
Kemudian beliau bertugas sebagai Pemangku Pegawai Turus D11 (Seksual, Wanita dan Kanak-kanak) Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor sebelum berpindah ke Bukit Aman baru-baru ini.
“Bulan Oktober 2020 menandakan tahun ke-20 usia perkhidmatan saya. Alhamdulilah keluarga amat memahami tugas dan kerjaya ini. Sebenarnya penglibatan saya dalam operasi Jabatan Siasatan Jenayah, bukanlah satu perkara baru.
Tetapi operasi kali ini berbeza sebagai Pegawai Pemantauan dan Penguatkuasaan Ops COVID-19, yang mana kami berlawan dengan sejenis virus yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar dan sememangnya menjadi ancaman kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat.
Setiap kali keluar bertugas, perasaan bimbang dan takut sememangnya ada, kerana saya mempunyai keluarga yang perlu dijaga dan kemungkinan kita menjadi ejen pembawa kuman tersebut kepada ahli keluarga sendiri.
Mujurlah keluarga memahami dan selalu menasihati saya supaya sentiasa mengambil langkah-langkah keselamatan seperti yang telah dinasihatkan oleh KKM.
Soal perlindungan diri menjadi keutamaan kami. Kami perlu memakai sut PPE, mask, sarung tangan dan mengamalkan penggunaan hand sanitizer yang sentiasa berada di poket saya.”
Kerjaya beruniform merupakan cita-cita Puan Siren sejak kecil. Ceritanya, sejak di bangku sekolah lagi beliau telah dilantik sebagai ketua darjah, dan di peringkat sekolah menengah dilantik sebagai ketua tingkatan dan pengawas, juga kerap menyertai pasukan beruniform seperti Kadet Polis.
Daripada aktiviti kepimpinan yang dijalankan, minat beliau terhadap imej, ketrampilan, ketegasan dan disiplin anggota beruniform cukup menarik minatnya.
“Misi saya sekarang dalam Jabatan amat jelas iaitu ingin mencegah jenayah secara holistikke arah pengwujudan komuniti sejahtera. Kami sebagai agensi penguatkuasa utama yang berintegriti akan selalu kompeten dan komited bekerja untuk masyarakat,” akhiri Puan Siren sambil tersenyum.
Setinggi-tinggi penghargaan daripada kami buat seluruh warga kerja PDRM. Terima kasih di atas pengorbanan yang dicurahkan tanpa mengira penat lelah dan masa sebagai petugas barisan hadapan selama ini. Polis dan masyarakat berpisah tiada!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
“Tidak pernah terlintas di fikiran pada usia 24 tahun saya akhirnya berjaya menggapai impian terbesar iaitu untuk berkhidmat di hospital yang pernah merawat saya ketika diserang kanser dahulu.”
Itu antara ungkapan daripada bekas pesakit kanser, Montana Brown yang kini bertugas sebagai jururawat di hospital yang sama dia pernah dirawat sebagai pesakit kanser.
Seawal usianya dua tahun, Montana Brown disahkan menghidap Rhabdomyosarcoma iaitu sejenis kanser yang menyerang bahagian tisu dan otot badan. Bayangkan dalam usia yang sangat muda dan tidak mengerti apa-apa tentang kanser, Montana Brown sudah pun bergelar seorang ‘pejuang’!
Bermula dari saat itu kehidupan Montana Brown tidak seriang kanak-anak seusia dengannya. Setahun dia terpaksa menjalani rawatan kemoterapi di Aflac Cancer and Blood Disorders Center, Children’s Healthcare, Atlanta, Amerika. Namun kehidupan Montana Brown kembali cerah apabila rawatan itu berjaya dan dia sembuh seperti sedia kala.
KANSER KEMBALI MENYERANG
Disangkakan panas hingga ke petang rupanya hujan di tengah hari. Ketika usianya mencecah 15 tahun dan aktif sebagai cheerleader di sekolah, kanser itu kembali menyerang. Tanpa sebarang simptom, Montana Brown tidak menyedari bahawa kansernya kembali merebak.
“Saya langsung tidak menyedari kehadirannya kerana tiada sebarang simptom yang dirasai. Namun, ibu dan bapa saya memberitahu yang mereka merasai ada sesuatu yang tidak kena pada diri saya. Sekali lagi saya menjalani rawatan kemoterapi dan berjaya melawannya buat kali kedua.
Saya bersyukur kepada Tuhan dan sangat terhutang budi dengan jururawat-jururawat di Aflac Cancer and Blood Disorders Center kerana telah berusaha sedaya upaya mereka demi menyelamatkan nyawa saya. Ini cukup menyentuh hati saya. Jururawat di sini semuanya terbaik sejak daripada mula saya dirawat.
Mereka memiliki sifat penyayang, ambil berat dan belas kasihan yang tinggi terhadap kanak-kanak di bawah jagaan mereka. Kasih sayang yang ditunjukkan buat saya dan keluarga itulah detik yang membantu saya untuk terus berjuang sebagai pesakit kanser.
Inilah yang menginspirasikan saya untuk bergelar jururawat. Saya ingin membantu pesakit-pesakit kanser seterusnya berbakti dan menyemai kasih sayang terhadap mereka sama seperti jururawat-jururawat yang pernah merawat saya dahulu.”
Montana Brown mula bertugas sebagai jururawat di bahagian Onkologi Pediatrik, Aflac Cancer and Blood Disorders Center sejak September 2017.
Kebetulan pula, September merupakan bulan kesedaran kanser kanak-kanak. Montana Brown menganggap detik itu adalah paling bermakna dalam hidupnya kerana impian untuk bergelar jururawat sudah menjadi kenyataan.
KONGSI KISAH
Bagi meluahkah keterujaannya, Montana Brown berkongsi kisah di Facebook dan mendapat respon yang sangat hebat daripada para netizen. Tidak kurang juga ada yang menjadikan kisahnya sebagai inspirasi khususnya buat wanita. Hospital tempatnya bertugas turut berkongsi kisahnya di page Facebook.
“Saya terharu kerana Tuhan telah memilih saya untuk menikmati kehidupan yang cukup menakjubkan ini. Saya sangat teruja untuk bertugas di hospital yang benar-benar memberikan inspirasi,” ungkap Montana Brown.
Antara petikan kata-kata netizen terhadap perkongsian kisah Montana Brown di Facebook.
“Saya berdoa semoga anak perempuan saya yang kini sedang melawan kanser otak mendapat peluang seperti ini! Kanser telah mengubah kehidupan anda dan mengajar anda tentang impian terhebat!”.
Semoga Montana Brown terus menjadi sumber inspirasi buat masyarakat. Sehingga kini Montana Brown masih lagi menjalani rawatan kemoterapi di hospital tersebut dan pada masa yang sama turut berkhidmat di situ.
Sumber: BuzzFeed News dan Facebook Montana Brown
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ajal, maut, jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Allah SWT dan sudah pun tertulis di Luh Mahfuz. Industri seni tanah air pada 5 Ogos lalu kehilangan seorang bintang berbakat besar dikenali sebagai Cik Man yang telah lama mewarnai dunia hiburan sejak 40 tahun lepas.