Langkah penjimatan perlu diambil sekiranya kita mahu menstabilkan ekonomi keluarga. Sebagai wanita dan ibu, banyak juga tips yang boleh digunakan.
Ads
Jangan bawa wang!
Apabila anda menerima pelawaan daripada rakan-rakan untuk keluar bersama, jangan bawa wang tunai yang banyak. Cukup sekadar untuk bayaran tempat meletak kenderaan serta makanan dan minuman anda sahaja. Sekiranya mereka ingin pergi membeli-belah, anda boleh mengikut mereka tetapi jangan sampai anda pula yang berbelanja!
Kurangkan penggunaan utiliti
Tarif elektrik semakin meningkat. Sebagai langkah penjimatan, pastikan penggunaan elektrik pada tahap rendah. Padamkan lampu atau penghawa dingin sekiranya tidak digunakan. Kumpulkan baju kotor pada kuantiti yang banyak sebelum mencuci agar penggunaan mesin basuh dapat dikurangkan.
Keperluan dapur
Setiap awal bulan, berbelanjalah lebih banyak untuk keperluan dapur. Beli barangan yang boleh tahan lama. Kemudian, setiap minggu anda hanya perlu membeli keperluan segar yang hanya boleh bertahan beberapa hari seperti susu, sayur-sayuran dan ikan.
Jualan murah
Sebagai ibu, anda perlu bijak mencari ruang untuk berbelanja murah. Perhatikan jualan gudang untuk keperluan anak-anak contohnya jualan penghabisan stok atau warehouse sale. Barangan berjenama yang dijual pada harga lebih rendah adalah pembelian yang sangat menjimatkan. Di samping ia tahan lama, ia juga datang daripada jenama yang diyakini.
Kad kredit
Hubungi talian kad kredit anda dan pohon untuk bayaran balik yang lebih rendah kadar faedah. Dengan bayaran balik yang rendah, sekurang-kurangnya anda boleh berjimat dari segi wang tunai.
Lampin kain
Ads
Sekiranya anak kecil anda yang masih memakai lampin hanya duduk di rumah, anda boleh memakai kain lampin. Namun, apabila berada di luar, gunakanlah lampin pakai buang. Anda cuma perlu rajin mencuci kain lampin untuk menikmati penjimatan yang lebih tinggi.
Makan di rumah
Jika anda takt ahu memasak, inilah masanya untuk belajar. Gunakan saja carian di internet atau rajin-rajinlah menuntut ilmu dengan ibu, ahli keluarga atau teman yang pandai memasak. Anda juga boleh minta jiran untuk mengajar anda memasak. Boleh eratkan silaturrahim.
Kumpul kupon
Terdapat banyak pasar raya yang menggunakan tawaran kupon dengan pembelian. Kenal pasti pasar raya yang mengumpul poin atau kupon dan berbelanjalah di sana. Bijak dan menjimatkan!
Ads
Barang mainan
Anak-anak kecil biasanya lebih tertarik untuk bermain dengan kotak, plastik atau botol. Sesekali mereka juga akan bermain permainan seperti anak patung mahupun kereta. Peringatan buat anda, jangan membeli terlalu banyak barang permainan kerana ia satu pembaziran.
Makanan dalam tin
Cuba buat carian Google untuk puri mudah dan berkhasiat. Apa salahnya luangkan masa untuk menyediakan sendiri puri untuk anak. Lebih jimat dan berkhasiat berbanding puri sejuk beku.
Recycle saja!
Gunakan semula barangan anak pertama untuk anak kedua dan seterusnya. Tak perlu beli baru kerana pasti masih ada yang elok. Lagipun, ia ada sentimental value!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Wah, kagum dengan pencapaian arkitek landskap berjaya ini! Mana tidaknya, bukan hanya memegang status isteri dan ibu dua anak. Malah LAr. Wan Salamatul Juita Datuk Dr. Wan Hashim juga sebenarnya merupakan Pengasas dan Pengarah Syarikat Verona Design Sdn Bhd. Bukan calang-calang!
Dalam kesibukan menguruskan keluarga dan syarikat, dia berjaya membuktikan kemampuan diri menggenggam segulung ijazah. Meskipun sudah memiliki empayar sendiri dan dikenali dalam industri, Wan Salamatul Juita atau mesra disapa Juita tetap melanjutkan pengajian demi minat dan ilmu serta perkhidmatan terbaik kepada klien terlibat.
Yang pasti, hujung November lalu mencatat sejarah tersendiri buat Juita apabila dia berjaya meraih Master of Sustainable Landscape Management (MSLM), Fakulti Reka Bentuk dan Seni Bina, Jabatan Seni Bina Landskap, Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan mencatat Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.98!
Tidak hairanlah, Juita dipilih oleh pihak UPM sebagai antara graduan bernilai.
Ditanya dari mana datangnya semangat untuk menimba ilmu pada usia 40 tahun dan sudah pun mempunyai perniagaan sendiri, ini jawapan Wan Juita. “Anyone who keeps learning stays young. No matter how successful a person is, I believe in continues learning to upskill myself which will complement my long-term professional development.
Businesses that dedicate themselves to learning new skills will be better able to adapt to change and maintain their business under difficult circumstances in a market that is continuously evolving.
Sebagai pemilik perniagaan yang menerajui pejabat, saya menyedari kedinamikan industri ini kerana ia sentiasa berkembang dan berubah. Dalam setiap dekad akan ada cabaran baru yang akan datang.
Tetapi dalam setiap cabaran baru, apa yang kekal adalah cabaran ke arah membina dunia yang mampan dan ini adalah keperluan untuk difahami terutamanya dalam bidang landskap. ‘Therefore, the constant search of knowledge is crucial’.”
Wan Juita yang juga ibu dua orang cahaya mata menghadiri Majlis Konvokesyen UPM ke-46 sesi ketiga yang disampaikan Pro Canselor UPM, Academician Emeritus Prof. Tan Sri Dato’ Dr. Syed Jalaludin Syed Salim.
Semoga kejayaan LAr. Juita Wan Hashim menjadi pemangkin semangat buat kaum wanita di luar sana untuk terus mengejar impian.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Siapa yang tidak kenal dengan jurusolek tersohor Datin Saidatulnisa Aminuddin yang sering menjadi pilihan golongan ternama mahupun kerabat Diraja. Berpengalaman selama 35 tahun dalam dunia solekan meletakkan wanita berusia 54 tahun ini pada kedudukannya yang tersendiri.
APA PERKEMBANGAN TERKINI DATIN SAIDATULNISA?
Saya bakal mengeluarkan kosmetik berjenama sendiri iaitu The Cosmetic Company. Produk ini merupakan inspirasi dan pengalaman saya buat mereka yang menunggu kosmetik tempatan berkualiti, berpatutan serta sesuai untuk pengguna di Malaysia.
PANDANGAN TERHADAP TRANSFORMASI SOLEKAN TERKINI. ADAKAH IA MENGUBAH PRINSIP SOLEKAN DATIN SAIDATULNISA?
Saya masih berpegang teguh kepada solekan yang tidak keterlaluan, tidak makan dek zaman atau evergreen (malar segar). Lebih-lebih lagi solekan untuk perkahwinan yang akan terpahat pada gambar kenangan sampai bila-bila. Jadi, solekan yang viral ini selalunya bersifat unik dan hanyalah trend pada saat itu sahaja.
SEBAGAI SENIOR DALAM BIDANG SOLEKAN, APA PANDANGAN DATIN SAIDATULNISA TENTANG LAMBAKAN ‘JURUSOLEK SEGERA’ TERUTAMA DI MEDIA SOSIAL YANG RATA-RATA KURANG ILMU MAHUPUN KEPAKARAN DALAM BIDANG SOLEKAN?
Masing-masing mempunyai cara yang tersendiri. Mungkin kita perlu memberi ruang kepada semua orang untuk berkarya. Saya percaya masing-masing ada rezeki yang telah ditetapkan oleh-Nya, namun saya juga berpendapat pelanggan di luar sana tahu kelebihan solekan serta jurusolek yang mereka pilih.
BAGAIMANA DATIN SAIDATULNISA MENJAGA NILAI EKSKLUSIF SEBAGAI JURUSOLEK PROFESIONAL YANG SERING MENJADI PILIHAN GOLONGAN TERNAMA TERMASUK KERABAT, VVIP DAN SELEBRITI TERNAMA? ADAKAH DATIN SEORANG YANG MEMILIH?
Saya tidak memilih cuma mengekalkan polisi confidentiality sesama pelanggan lebih-lebih lagi selebriti, VVIP dan golongan ternama. Saya menghormati pelanggan dan tidak akan melangkaui batas antara saya dan pelanggan. Saya turut menghormati dan berpengalaman dalam protokol istana. Oleh itu, VVIP dan golongan ternama mudah berasa selesa dengan saya.
DARI MANAKAH BAKAT DAN ILMU SOLEKAN YANG DATIN SAIDATULNISA PEROLEHI?
Saya belajar sendiri tanpa sesiapa tunjuk ajar. Mungkin juga saya memperolehi bakat ini dari Nenda yang pakar dalam solekan pengantin dan golongan Diraja dahulu.
APAKAH RAHSIA ATAU TIP YANG DIAMALKAN OLEH DATIN SAIDATULNISA BAGI MENYERLAHKAN SOLEKAN?
Tiada sebarang rahsia mahupun pantang cuma saya masih mengekalkan tip daripada Nenda saya. Selalunya sebelum menyolek saya terlebih dahulu akan berselawat ke atas junjungan Nabi SAW sambil berpegang teguh kepada prinsip saya sendiri iaitu ‘Less is more’.
APA PANDANGAN DATIN SAIDATULNISA TENTANG REVOLUSI AKAN DATANG?
Dunia solekan akan sentiasa berevolusi tetapi bagi saya kita tetap perlukan solekan yang evergreen (malar segar) kerana sejauh mana transformasi itu berlaku saya percaya bahawa adat, budaya dan agama kita tidak sesuai untuk terikut-ikut solekan yang terlalu berlebihan dan bertentangan dengan adat, budaya dan agama kita. AMY MOHD
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Sebaris ayat, cinta kepada bangsa dan negara Malaysia, saya sanggup mati untuknya… hampir membuatkan jantung penulis luruh ke kaki. Terasa besarnya hati wanita itu, dan alangkah kecilnya jiwa penulis di depan tokoh yang banyak berjasa ini.
Sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-63 ini, yang jatuhnya pada tahun penuh dugaan, dengan pandemik COVID-19 dan kelembapan ekonominya, ayuh kita bangkitkan semangat patriotisme dan rasa cintakan negara sehebat mungkin.
Siapa lagi yang lebih layak mengimbau besarnya nilai kemerdekaan di negara kita, jika bukan mereka yang pernah melalui sendiri peritnya kehidupan pada zaman penjajahan.
Ya, saban kali tibanya tanggal 31 Ogos, nostalgia berbual mesra di kediaman Tan Sri Datin Paduka Seri Zaleha Ismail, sampai sekarang masih meninggalkan rasa rindu mahu membalik masa.
Kalau perlu dikumpulkan semua sumbangan mantan Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat itu, rasanya tidak cukup sehari. Wanita bijak lulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Ekonomi) dari Universiti Malaya ini memegang portfolio kerjaya yang begitu impresif sejak remaja.
Sambil membiarkan penulis ralit meneliti album-album gambar lama, kotak kenangan Tan Sri Zaleha sebagai anak pra-merdeka pun mula terbuka.
Layar nostalgia hitam putih bagai berputar menceritakan kisah keperitan hidup, termasuk yang dilalui sendiri oleh beliau sekeluarga. Paling sukar dilupakan, tentu sekali sewaktu anak jati Kuala Langat itu membesar pada zaman pemerintahan Jepun.
Penjajahan Jepun di Tanah Melayu pada tahun 1941 menandakan satu detik perubahan antara pemerintahan orang Inggeris kepada Jepun. Tan Sri Zaleha yang baru memasuki Sekolah Melayu Sg. Pelek pada ketika itu turut menerima tempiasnya.
“Setiap pagi kami dipaksa berbaris, berdiri menghadap matahari terbit sambil menyanyikan lagu kebangsaan Jepun, Kimi Ga Yo. Hari-hari menyanyi, sampaikan sekarang pun saya hafal liriknya… Kimigayo wa… Chiyo ni, yachiyo ni…” nyanyi Tan Sri Zaleha sambil merenung jauh.
“Di kampung kami, ada seorang budak lelaki yang tugasnya memberi signal jika askar Jepun datang. Setiap kali signal berbunyi, kami semua akan bertempiaran lari ke hutan dan bersembunyi.
Kami akan menyorok di celah-celah perdu pokok sehinggalah suasana kembali selamat. Bimbang jika dijumpai, nyawa akan melayang. Yang gadis akan diperk0sa, kanak-kanak dihambat dengan benet. Orang lelaki atau warga tua pula akan dipukul tanpa belas kasihan.
Pada ketika itu, arwah bapa saya bertugas sebagai penghulu kampung. Namun kerana tak sanggup melihatkan kekejaman askar Jepun, dia tekad meletak jawatan. Bayangkan kalau mereka datang ke kampung, habis rumah-rumah penduduk digeledah.
Bukan itu saja, kami juga pernah menyaksikan bom meletup di depan rumah. Bayangkan betapa takut dan cemasnya pada waktu itu. Mujurlah tiada sesiapa yang tercedera,” imbau Tan Sri Zaleha.
SEKOLAH INGGERIS
Sekitar tahun 1945, setepatnya selepas Perang Dunia Kedua berakhir, beliau sekeluarga pun berpindah ke Bagan Lalang. Cerita Tan Sri Zaleha, di sekolah ada seorang guru bernama Cikgu Atan yang tiba-tiba bertanya, ‘Ada sesiapa yang nak masuk ke sekolah Inggeris?’ kepada semua anak murid.
Maka dia pun cepat-cepat mengangkat tangan, tekad mengambil peperiksaan dan akhirnya diterima masuk ke High School Kajang.
“Pernah saya disindir oleh datuk saudara yang sangat skeptikal terhadap sistem pembelajaran Inggeris. Katanya pelajar Melayu di sekolah Inggeris pasti tak tahu mengucap nanti. Tapi saya keraskan hati. Saya belajar bersungguh-sungguh, lulus ujian dan berpindah lagi ke Methodist Girl School di Kuala Lumpur.
Persepsi negatif orang dulu-dulu terbukti salah kerana pelajar Muslim sebenarnya tidak perlu pun mengikuti kelas agama Kristian sewaktu belajar.
Kebetulan waktu itu, ayah saya menyambung tugas sebagai penghulu kampung di Seputeh, seterusnya ke Sungai Penchala. Saya masih ingat, hari-hari ayah akan mengayuh basikal tuanya untuk menghantar saya ke sekolah.
Perjalanan kami agak jauh, namun masa itulah saya yang membonceng basikal ayah dapat memeluk erat pinggangnya.
Tidak lama kemudian, ayah ditukarkan ke Salak Tinggi. Di situlah bermulanya fasa berdikari yang sebenar apabila saya terpaksa menumpang di rumah bapa saudara di Kampung Baru.
Berbekalkan duit tambang bas 10 sen, dapatlah saya berulang-alik ke sekolah dengan selesa setiap hari. Dan satu perkara hebat yang saya pelajari sewaktu di Methodist Girl School adalah tentang selflessness. Tentang memberi, dan bukan menerima semata-mata.”
KEMERDEKAAN
Kenangan menyambut hari kemerdekaan, tanggal 31 Ogos 1957 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur sehingga kini masih basah di fikiran Tan Sri Zaleha. “Ketika itu saya masih menuntut di Tingkatan 6.
Awal pagi jam 4, saya sudah keluar rumah di Kampung Baru menuju ke stadium. Dalam cuaca yang agak mendung dan hujan renyai-renyai, saya dan tunang sanggup berpayung semata-mata ingin menyaksikan peristiwa bersejarah tersebut.
Sampai di Stadium Merdeka, saya lihat ramai yang sudah tiba lebih awal daripada kami. Selain masyarakat yang berbilang bangsa, ramai juga menteri dan pemimpin yang hadir. Upacara yang sepatutnya berlangsung jam 8 pagi, ditunda ke pukul 9 kerana hujan lebat.
Saya ingat lagi, sambil saya menanti dengan perut yang berkeriut belum bersarapan, baju yang basah tadi pun sempat kering. Kemudian tibalah saat yang dinanti-nantikan. Detik Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj melaungkan lafaz keramat, Merdeka! Merdeka! Merdeka! jantung saya bagai ditiup semangat berkobar-kobar.”
Bezanya anak muda dahulu dan sekarang, sambung Tan Sri Zaleha, adalah pada jati diri yang semakin hilang. “Dulu kami sanggup berhujan dan berpanas, berjalan beramai-ramai dengan satu tujuan untuk menyelesaikan sesuatu isu.
Mungkin sejak kecil telah didendangkan dengan semangat agar menuntut kemerdekaan, kami jadi ‘agresif’ dan berjiwa patriotik.
Anak-anak pasca merdeka pula seharusnya merasa bertuah kerana dapat menikmati kemakmuran dan kemajuan negara tanpa perlu bersusah payah. Golongan muda sekarang dapat membesar dengan selesa, tak seperti pada zaman saya dulu. Namun jangan sesekali dilupa bahawa pencapaian kita hari ini, harus dipertahankan dari generasi ke generasi.
Ingat, bukan mudah meraih berkat ‘kebebasan’. Jika kita hanyut dibawa arus budaya luar, tak mustahil jika suatu hari nanti ia hilang semula,” pesan Tan Sri Zaleha sambil menekankan pentingnya mengekalkan identiti bangsa Melayu sejati dalam setiap jiwa anak muda.
EVOLUSI
Kesempatan meniti tahun demi tahun dan melihat sendiri evolusi yang berlaku di Malaysia, membuatkan Tan Sri Zaleha percaya tentang kuasa pendidikan. “Selepas kemerdekaan, banyak peningkatan yang berlaku terhadap kehidupan rakyat secara progresif. Saya sendiri berevolusi. Contohnya daripada terpaksa berjalan ke sekolah sejauh 10km, bertukar naik basikal, kemudian naik bas dan akhir sekali naik kereta milik ibu bapa.
Evolusi sebenarnya berkait rapat dengan ilmu. Saya yakin jika kita tidak menuntut ilmu, kita sukar menyumbang bakti secara direct kepada negara. Dengan pengetahuan yang dimiliki juga, kita bukan sahaja dapat menjana ekonomi dan membantu keluarga, malah dapat berjasa melalui sektor yang diceburi.
Sebagai contoh, saya sendiri merupakan seorang anak kampung yang susah. Namun usaha belajar tanpa jemu akhirnya meletakkan diri saya sebaris di barisan Kabinet Malaysia. Percayalah, peluang itu selalu ada bagi mereka yang berusaha.
Kesempatan melalui pelbagai zaman yang berkembang pesat, selalu membuatkan saya bersyukur ke hadrat Ilahi. Saya bangga kerana dari semasa ke semasa, negara kita mampu menyediakan pelbagai prasarana yang diperlukan rakyat.
Kemudahan pendidikan dan peluang pekerjaan melimpah ruah, maka terpulanglah bagaimana kita harus memanfaatkannya. Sebab itu berulang-ulang saya tekankan, orang perempuan mesti belajar bersungguh-sungguh supaya kita senang mendapat pekerjaan yang baik,” ulas wanita yang menjadikan tokoh Indra Gandhi dan almarhumah Tan Sri Aishah Ghani itu sebagai idola terhebat.
Satu perkara yang penulis kagum tentang Tan Sri Zaleha, adalah fokus beliau terhadap sesuatu yang sedang dibuat. Masakan tidak, di saat sembang kami meleret ke cerita lain, beliau tiba-tiba akan kembali bertanya tentang soalan sebenar yang ditanyakan penulis. Begitulah sikap wanita pintar ini, orangnya tidak mudah melencong.
“Ya, begitu juga jati diri kita. Sayangilah tanah air ini dan martabatkan semula bangsa Melayu. Saya tidak bercakap soal racism, tetapi realiti sejarah pernah mencatatkan bahawa bangsa kita adalah bangsa yang amat gagah dan berani.
Berbanggalah dengan identiti nenek moyang kita, sepertimana bangsa keturunan Red Indian atau puak asli Afrika pada asal-usul mereka. Saya ingin melihat kegemilangan bangsa Melayu yang terbilang, tak kira dari rumpun apa pun, kita harus bersatu-padu,” akhiri beliau.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Diam tak diam, genap tiga tahun Fazeera bergelar suri hati Fizo Omar. Sepanjang tempoh perkahwinan yang berusia tiga tahun itu, pasangan ini cekal melayari alam rumah tangga ...