Kari Kepala Ikan, Kuah Kacang Dal dan Masala Vadai kini bukan lagi hidangan asing buat masyarakat Malaysia. Bahkan bila sebut saja menu India, ramai yang terkenang rasa rempah-ratus yang pelbagai dan aromanya yang memikat.
IKLAN
Salah satu ‘rahsia’ besar yang digunakan untuk mendapatkan wangian dalam sajian India ialah dengan meletakkan daun kari. Sama ada dimasak bersama kuah atau digoreng begitu saja sebelum ditaburkan ke atas hidangan, ia adalah pelengkap masakan India.
Selain menerbitkan aroma semerbak, daun kari juga sebenarnya kaya dengan pelbagai khasiat untuk tubuh. Antaranya melancarkan pencernaan, melegakan keletihan dan mengawal kadar gula dalam darah sekali gus mengatasi penyakit diabetes.
Jadi, kepada anda yang mahu mendapatkan kembali tenaga yang hilang atau mengalami masalah pencernaan, malam ini mungkin boleh hidangkan dua menu India berikut untuk keluarga tersayang.
Kambing Varural
Bahan-bahan perapan:
500 gram daging kambing (dipotong kecil)
1 sudu besar serbuk kunyit diperap lebih kurang 15 minit
1 sudu besar serbuk ketumbar
1 sudu kecil serbuk jintan putih
Bahan-bahan utama:
2 sudu besar serbuk kari daging
1 biji bawang besar (dimayang)
1 inci halia (ditumbuk)
3 ulas bawang putih (ditumbuk)
3 sudu besar cili giling
4 tangkai daun kari
Rempah 4 sekawan
Sedikit kicap manis
Garam
Gula
Air
IKLAN
Cara membuat:
Panaskan sedikit minyak dan tumis bahan tumbuk, daun kari, rempah 4 sekawan dan bawang besar hingga naik bau. Masukkan cili giling dan serbuk kari daging. Kacau dan biarkan sedikit garing. Masukkan pula daging kambing. Tambah sedikit air dan masak hingga mendidih. Seterusnya, masukkan kicap manis, garam dan gula. Sesuaikan rasa ikut selera. Masak dengan api sederhana hingga mendapat kepekatan yang diinginkan.
Ayam Peratal
IKLAN
Bahan-bahan untuk ayam:
1 ekor ayam (dipotong saiz sederhana)
4 sudu besar serbuk cili
4 sudu besar serbuk daging
1 sudu kecil serbuk ketumbar campurkan semua bahan & perap 20 minit
1 sudu kecil serbuk kunyit
1 sudu kecil serbuk garam masala
1 sudu besar garam
Bahan-bahan lain:
1 inci kulit kayu manis
4 biji buah pelaga
2 biji bunga lawang
2 sudu kecil jintan manis
½ sudu kecil biji halba
3 biji bawang merah (dihiris)
3 biji tomato (dipotong dadu)
3 tangkai cili hijau (dihiris)
3 tangkai daun kari
2 sudu besar daun ketumbar (dicencang)
2 biji kentang (dipotong kiub)
1 cawan air
6 sudu besar minyak sapi
Garam
Cara membuat:
Panaskan minyak sapi dalam kuali. Tumis kulit kayu manis, buah pelaga, bunga lawang, jintan manis dan biji halba sehingga naik bau. Masukkan bawang merah bersama cili hijau dan daun kari. Tumis selama tiga minit. Kemudian, masukkan pula kentang dan ayam yang telah diperap. Masak atas api perlahan selama 10 hingga 15 minit dengan periuk bertutup. Sesekali kacau perlahan-lahan dan biarkan mendidih. Masak selama 10 minit sehingga kuah pekat. Seterusnya, masukkan tomato. Gaul dan biarkan mereneh. Akhir sekali, tabur daun ketumbar dan kacau sebati. Perasakan dengan garam secukupnya. Sedia untuk dihidang. Suziana Abu Daud
Resipi: TERIMA KASIH PEGAWAI PERHUBUNGAN AWAM GRAND BLUEWAVE HOTEL SHAH ALAM, FAZLIAH NOOR MOHD FOUZI
Hidangan lauk dan kuih pemanis Melayu sememangnya tidak pernah ketinggalan zaman. Mungkin ada yang menyatakan VIP tak masak, sesekali sahaja masuk ke dapur. Tetapi tidak buat tiga VIP ini yang sentiasa masuk dapur menyediakan pelbagai hidangan buat keluarga . Datin Sri Nur Shahida, Datin Illyka dan Datin Nor Hafizza Husni berkongsi resipi pelbagai resipi yang pastinya memikat selera untuk penggemar hidangan kampung.
DATIN SRI NUR SHAHIDA
Apa perkara paling mencabar buat Datin Sri setiap kali memasak?
Perkara paling mencabar setiap kali memasak ialah memikirkan apa yang hendak dimasak. Ini kerana setiap anak masing-masing mempunyai cita rasa yang berlainan. Oleh itu, saya perlu memasak satu menu yang semua anak suka makan.
Apa petua-petua memasak yang sering diamalkan oleh Datin Sri setiap kali memasak?
Tiada sebarang petua hebat yang saya amalkan. Apa yang penting ketika memasak ialah niat kita perlulah ikhlas serta memasak dengan penuh kasih sayang. Setiap kali memasak saya amalkan membaca Bismillah. Saya amalkan ini setiap kali mula memegang kuali.
Bagaimana Datin Sri mendapat ilham setiap kali hendak memasak?
Saya suka melihat program-program masakan serta menu-menu menarik di laman sosial. Saya ambil idea dan akan ubah mngikut cita rasa saya dan juga keluarga.
JENAHAK MASAK CUKA
Bahan-bahan:
1 ekor ikan jenahak saiz sederhana (dipotong-boleh juga diganti dengan ikan lain)
1/2 sudu kecil garam
1/2 sudu kecil serbuk kunyit
1 labu bawang besar (dipotong baji)
2 ulas bawang putih (dihiris)
1/2 inci halia (dihiris)
2 biji cili merah (dihiris serong)
5 -7 biji cili padi
1/2 sudu kecil biji sawi
1/2 sudu kecil serbuk kunyit
400 ml air
3 sudu besar cuka
1/2 batang lobak merah (dipotong)
1/2 batang timun (dipotong & dibuang empulur)
Garam dan gula secukupnya
Cara Membuat:
Goreng ikan yang dilumur garam dan serbuk kunyit sehingga masak, ketepikan. Buang minyak dan tinggalkan sedikit dalam 3 sudu besar. Tumis bawang merah, bawang putih dan halia hingga wangi. Masukkan cili merah, cili padi, biji sawi dan serbuk kunyit. Goreng seketika, masukkan air dan cuka. Biarkan mendidih. Perasakan dengan garam dan gula. Reneh seketika agar rasa masam kuah meresap pada isi ikan kemudian masukkan timun. Masak seketika kemudian hidangkan bersama nasi.
5
SUP KETAM
Bahan-bahan Sup:
3 ekor ketam (dipotong 4)
1 biji ubi kentang (dipotong dadu)
Garam secukupnya
Minyak jagung
Bahan-bahan Tumbuk:
4 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
Sedikit halia
15 biji lada putih
Bahan-bahan Tabur:
Daun sup
Bawang goreng
Cara Membuat:
Semua bahan tumbuk ditumbuk kasar. Panaskan minyak jagung, tumis bahan tumbuk sehingga garing. Masukkan air dan ubi kentang. Setelah ubi empuk masukkan ketam. Reneh dengan api perlahan supaya isi ketam mesra dengan kuah. Perasakan dengan garam. Sebelum dihidangkan taburkan daun sup dan bawang goreng.
KENGSOM IKAN SIAKAP
Bahan-bahan:
1 ekor ikan siakap (boleh ganti dengan ikan lain)
2 biji cili merah (dibuang biji & dikisar)
15 biji cili padi (dikisar)
1 inci kunyit hidup (dikisar)
1 biji bawang besar (dikisar)
2 biji bawang merah (dikisar)
2 ulas bawang putih (dikisar)
1 batang serai (dikisar)
1 inci belacan (dikisar)
Air asam jawa secukup rasa
1 biji limau nipis (ambil jusnya)
Nanas masak secukupnya
Kangkung secukupnya
Cara Membuat:
Masukkan bahan-bahan kisar ke dalam periuk. Masukkan juga hirisan nanas dan masak sehingga mendidih. Kemudian tambahkan air asam jawa. Perasakan dengan garam dan gula secukupnya. Seterusnya masukkan ikan, biarkan sehingga masak. Akhir sekali, masukkan kangkung dan jus perahan limau nipis. Sedia untuk dihidangkan.
DATIN NOR HAFFIZA HUSNI
Siapakah idola Datin dalam dunia masakan?
Sudah tentu ibu saya. Saya belajar memasak darinya. Ibu membuat perniagaan katering secara kecil-kecilan di kampung halaman saya di Kedah. Jadi, dia sememangnya pakar dalam bidang memasak ini. Sebagai anak, saya mengambil peluang mempelajari pelbagai resipi turun temurun darinya. Jika ibu berkunjung ke kediaman kami di Kuala Lumpur, dia akan memasak pelbagai makanan kegemaran saya dan keluarga. Di samping itu, ibu juga rajin menyediakan hidangan minum petang sejuk beku. Jadi, kami sentiasa tidak putus belakan kuih muih. Malah anak sulung juga pandai menikmati kuih muih tradisional seperti lepat psisang dan sebagainya sehingga guru-guru di tadika pelik dan bertanya dari mana dia belajar menikmati hidangan seperti itu. Saya bangga anak-anak tidak cerewet makan dan gemar menikmati hidangan yang pelbagai dan pastinya nasi.
IKAN KELI GORENG BERLADA
BAHAN-BAHAN
5 ekor ikan keli|dibersihkan
Garam secukup rasa
Sedikit serbuk kunyit
1 cawan cili keringdirebus
1 labu bawang besar
3 ulas bawang putih
1/2 inci belacan
Sedikit air asam jawa
3 biji cili merah
CARA MEMBUAT:
Bersihkan ikan keli dan kemudian gaulkan bersama kunyit dan garam. Panaskan minyak dan goreng sehingga garing. Sementara itu, kisar cili kering yang telah direbus bersama bawang besar, bawang putih dan belacan. Gunakan minyak yang sama dan tumiskan bahan-bahan yang telah dikisar. Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa dan masukkan pula ikan dan gaulkan sehingga sebati sebelum dihidangkan.
SAMBAL UDANG
BAHAN-BAHAN:
1/2 kg udang bersaid besar
1 cawan cili kering|direbus
2 labu bawang besar
1/2 inci belacan
Sedikit air asam jawa
Garam secukup rasa
Gula secukup rasa
Minyak untuk menumis
CARA MEMBUAT:
Bersihkan udang dan asingkan seketika. Sementara itu, rebus cili kering dan toskan airnya. Kemudian kisar cili yang telah direbus bersama bawang besar dan belacan. Panaskan minyak dan goreng udang seketika. Asingkan. Tumiskan pula bahan-bahan yang dikisar sehingga cili masak. Tambahkan garam, gula dan air asam jawa sedikit demi sedikit. Biarkan ia mendidih seketika sebelum memasukkan udang. Siap untuk dihidangkan.
TELUR ITIK MASAK LEMAK BERSAMA BELIMBING BULUH
BAHAN-BAHAN:
4 biji telur itik
1 kotak santan
1/2 inci kunyit
Sedikit daun kunyit
2 batang serai
5 biji belimbing buluh
Garam secukup rasa
Sedikit cili padi
CARA MEMBUAT:
Kisar kunyit hidup bersama cili padi sehingga lumat.Sementara itu, panaskan periuk dan masukkan bahan-bahan yang telah dikisar terlebih dahulu. Apabila bahan tumisan telah naik baunya, masukkan santan cair. Biarkan seketika. Tambahkan garam dan sedikit gula mengikut citarasa. Pecahkan telur itik sebiji demi sebiji ke dalam kuah. Tambahkan santan dan sentiasa kacau untuk mengelakkan ia pecah minyak. Akhir sekali, masukkan belimbing buluh dan sedia untuk dihidangkan.
DATIN ILLYKA Petua memasak asam pedas yang anda amalkan?
Tiada sebarang petua kecuali resipi yang saya gunakan untuk memasak asam pedas merupakan resipi turun temurun yang dimasak oleh ibu saya. Selain itu, untuk menyediakan asam pedas Johor, pastikan cili yang digunakan ditumis dalam tempoh yang lama untuk memastikan ia boleh tahan lebih lama. Dari segi penggunaan bahan pula, asam pedas Johor menggunakan air asam yang pekat dan mempunyai tekstur kuah yang lebih pekat berbanding asam pedas Melaka.
Masakan Ibu yang paling digemari? Tidak kekok masak di dapur?
Sudah tentu asam pedas ibu saya!Sejak kecil saya telah didedahkan dengan dunia masakan oleh ibu dan masuk ke dapur dan membantunya memasak. Jadi, tidak timbul rasa kekok untuk memasak dan saya juga sebenarnya gemar mengajak rakan-rakan ke rumah dan memasak pelbagai hidangan untuk mereka. Lagipun, keluarga lebih gemar menikmati hidangan di rumah berbanding makan di luar. Jadi, saya banyak mempelajari resipi-resipi masakan dari ibu.
ASAM PEDAS KEPALA IKAN MERAH
BAHAN-BAHAN:
1 cawan cili kering|direbus dan kisar
5 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
1/2 inci kunyit hidup
1/2 inci halia
Sedikit belacan bakar
2 tangkai daun kesum
2 ekor kepala ikan merah
1 cawan air asam jawa
CARA MEMBUAT:
Kisar bahan-bahan seperti cili kering, bawang merah, bawang putih, kunyit hidup, halia dan belacan yang telah dibakar. Panaskan minyak dan tumis bahan-bahan tersebut sehingga ia menjadi garing dan naik baunya . Letak air asam sedikit dahulu kemudian letak ikan supaya cili sebati pada ikan . Tambah air perlahan-lahan supaya kuah asam pedas tidak menjadi cair. Kemudian tambahkan garam, gula dan sedikit bahan perasa. Masukkan pula daun kesum. Sedia untuk dihidangkan.
KUIH LAPIS
BAHAN-BAHAN:
1 cawan tepung beras
2 cawan santan sederhana pekat
2 sudu besar tepung gandum
2 sudu besar tepung jagung
1/2 cawan gula pasir
1/4 sudu kecil garam
sedikit pewarna merah dan perisa ros
CARA MEMBUAT:
Panaskan pengukus dan sediakan loyang berukuran 7 inci. Masukkan santan ke dalam periuk. Panaskan sebentar. Masukkan tepung beras, tepung gandum, tepung jagung, gula dan garam ke dalam mangkuk. Masukkan santan. Gaul rata hingga tidak berketul-ketul.Bahagikan adunan kepada dua bahagian. Warnakan satu bahagian dengan warna merah dan letakkan perisa ros.Masukkan loyang ke dalam kukusan. Tuang 100 ml adunan tanpa warna ke dalam loyang. Kukus selama lima minit dengan api kuat. Setelah lapisan pertama masak, tuang 100ml adunan merah. Kukus lagi. Ulang proses hingga habis enam lapisan dengan diakhiri dengan lapisan merah.
BUBUR CHA CHA BERSAMA KELEDEK
BAHAN-BAHAN:
1 ketul keledek sederhana besar
1 cawan bubur caca
3 sudu besar sagu biji, rendam dan toskan
2 cawan santan
1 helai daun pandan, disimpul
1 ketul gula melaka
1/2 cawan gula pasir
1/4 sudu kecil garam
Air secukupnya
CARA MEMBUAT:
Kupas keledek, potong dadu, rendam dan ketepikan. Cuci bubur caca dan rebus hingga lembut. Tos dan ketepikan. Masak gula melaka dan gula pasir bersama cawan air hingga gula larut. Masukkan keledek ke dalam air gula dan daun pandan. Biar hingga keledek empuk. Masukkan biji sagu dan caca yang telah direbus. Masukkan juga santan dan garam. Masak hingga mendidih. Tambah air jika bubur dan keledek kelihatan agak pekat.
Bagi sesetengah wanita, memasak adakalanya dijadikan hobi mahupun terapi diri ketika berada di rumah. Kalau ada minat pastinya ia memberi kepuasan, lebih-lebih lagi jika air tangan kita itu menjadi kegemaran keluarga. Lagi lah bersemangat hendak memasak setiap hari dengan menu-menu yang istimewa walaupun simple.
Datin Ismatia (kiri) bersama Puan Sri Nisa Bakri.
Siapa yang tidak kenal dengan Datin Ismatia yang sering berkongsi resipi mudah di akaun Instagramnya ‘Masak with Passion’. Wanita anggun berasal dari Kelantan ini merupakan pengasas produk kecantikan Tia Amelia.
Penyediaan menu ringkas dengan bahan-bahan yang mudah didapati telah menarik minat warga media sosial untuk sentiasa mengikuti perkembangannya di Instagram.
Dengan jumlah pengikut seramai 413 ribu yang begitu setia menonton video masakan yang dihasilkan olehnya. Ramai yang mencuba resipi Datin Isma dan kalau diikut betul-betul memang menjadi!
Bersama suami tersayang.
Baru-baru ini Datin Isma berkongsi resipi Asam Pedas Kepala Ikan Salmon menerusi satu video ringkas di Instagramnya. Jarang kita dengar, kepala ikan salmon dibuat asam pedas, kan? Maklumlah, harga ikan salmon pun boleh tahan.
Apa kata, kali ini kita cuba resipi asam pedas versi ‘kayangan’ dari Datin Isma.
ASAM PEDAS KEPALA IKAN SALMON
Bahan-Bahan A (kisar):
6 ulas bawang merah
6 ulas bawang putih
Sedikit lada hitam
Sedikit belacan
Bahan-Bahan B:
4 sudu makan cili kering kisar
Sedikit asam jawa
Gula (secukup rasa)
Garam (secukup rasa)
Bahan perasa (secukup rasa)
Bahan-Bahan C:
Tomato (dibelah dua)
Bunga kantan (dibelah dua)
Segenggam daun kesum
Bendi
Cara-Cara Membuat:
1. Panaskan minyak kemudian tumis bahan kisar.2. Diikuti cili kering yang dikisar. Tumis sehingga garing dan pecah minyak.3. Seterusnya masukkan gula, garam dan bahan perasa.4. Tambahkan asam jawa secukup rasa. Gaul rata.5. Masukkan kepala ikan salmon satu persatu.6. Tambahkan sedikit air.7. Kemudian masukkan tomato dan bunga kantan.8. Masukkan pula daun kesum.9. Akhir sekali masukkan bendi, kacau sekejap dan angkat. Boleh dihidangkan bersama nasi panas.
Memetik kata-kata Datin Isma kepada Nona dahulu, “Saya gembira dapat membantu wanita-wanita yang tidak pandai memasak namun akhirnya mereka pandai kerana mengikut tutorial video di Instagram saya. Sehinggakan suami mereka memuji kebolehan mereka memasak dan meminta lagi mereka masak resipi tersebut.”
Sempena perayaan Hari Raya Korban atau Aidiladha ini, tentu banyak daging-daging segar yang suami bawa pulang dari masjid, bukan? Nak masak apa banyak-banyak tu?
Selain buat sup atau rendang, apa kata anda masak daging lembu mahupun kambing korban atau akikah tu dengan menu berasaskan dari Timur Tengah. Ataupun, guna ayam pun boleh.
Memang lari daripada menu kebiasaan yang sering dimasak setiap kali Hari Raya dengan dua pilihan resipi yang kami kongsikan di bawah. Memang sedap sangat. Selamat mencuba!
LAMB SHANK TAJINE
Bahan-bahan:
100 gram tomato
1.5 kg lamb shank
10 gram tepung gandum
60 gram minyak jagung
50 gram bawang Holland
20 gram bawang putih
30 gram kulit kayu manis
30 gram ketumbar
1 biji lemon
100 gram kacang badam
200 gram aprikot kering
200 gram kismis
50 gram daun parsli English
50 gram daun parsli China
30 gram garam halus
(untuk hidangan 10 orang)
Cara membuat:
Rendam kismis dalam air panas selama 30 minit. Panaskan minyak dalam periuk berpenutup dan masak lamb shank kedua-dua belah hingga keperangan. Kemudian, masukkan bawang, bawang putih, halia dan ketumbar untuk dimasak lagi lima minit.
Sediakan stok saffron dan dibiarkan selama dua minit hingga larut. Sesudah itu, masukkan prun (jika mahu) bersama kismis, aprikot, kulit kayu manis dan stok saffron ke dalam kuali dan dididihkan. Perlahankan suhu dan tutup serta masak bersama lamb shank tadi selama kira-kira dua jam atau sehingga daging empuk.
Pastikan periksa daging setiap sejam setengah. Seterusnya, ambil hirisan lemon segar dan taburkan bersama garam. Tuang air mendidih ke dalam masakan dan asingkan sehingga daging masak serta kering. Apabila sudah masak, asingkan dan ambil bahan-bahan yang dididih bersama daging tadi untuk dikisar menjadi sos.
Gaulkan daging dan sos serta ditabur kacang badam yang sudah dipanggang dan juga daun parsli. Hidangkan.
CHICKEN APRICOT TAJINE
Bahan-bahan:
1.3 kg ayam (tanpa tulang)
25 gram tepung gandum
120 gram bawang Holland
20 gram bawang putih
50 ml minyak zaitun
20 gram halia muda (dikupas)
300 gram aprikot kering
50 gram pes sos tomato
1.3 kg sos tomato
1.3 kg kacang kuda (direbus)
75 gram jem madu
4 gram rempah Saffron
80 gram serbuk ketumbar
80 gram serbuk kayu manis
10 gram garam halus
10 gram serbuk lada hitam
(untuk hidangan 10 orang)
Cara membuat:
Masukkan semua bahan dalam kaserol dan didihkan. Tutup dan perlahankan api untuk mereneh bahan tadi selama 45 minit. Kacau secara berulang dan apabila sudah masak, asingkan penutup kaserol sehingga masakan kering dan pekat.
Bubuh garam dan serbuk lada secukupnya mengikut cita rasa masing-masiing. Tutup api dan hidangkan. Suziana Abu Daud
Resipi: TERIMA KASIH EKSEKUTIF KOMUNIKASI & PEMASARAN VE HOTEL & RESIDENCE, JACQUELINE SHU DAN SOUS CHEF, CEF MOHD IZAN IZAZUL