Sejak dulu sampai kini suka tengok raut wajah Datin Anne Ngasri yang sentiasa nampak baby face walaupun dah berusia 35 tahun. Kalau kata belasan tahun pun orang akan percaya, lebih-lebih lagi kalau Datin Anne Ngasri bergambar bersama anak-anaknya. Comel sangat!
Saat ditanya apa rahsianya, ini jawapan Datin muda ini. “Petua saya mudah saja. Saya amalkan banyak minum air suam termasuk ambil vitamin C serta buah-buahan. Kalau dalam seminggu tak dapat makan buah, saya rasa macam ada sesuatu yang tak lengkap.
Ramai juga yang tanya saya pakai apa untuk kulit, nampak cantik dan sentiasa muda remaja. Semestinya saya menggunakan produk ‘Glopink Beauty Skin by Anne Ngasri’ secara konsisten selama empat tahun. Alhamdulillah ia membantu dalam merawat masalah jerawat dan jeragat.
Bagi saya apa jua produk skincare yang kita guna, selain mesti sesuai dengan kulit pastikan juga kita konsisten menggunakannya,” kongsi Datin Anne Ngasri yang turut memiliki jenama tudung sendiri iaitu ‘AnneNgasri Exclusive’.
URUS KELUARGA TANPA PEMBANTU
“Tahun ini sudah masuk dua tahun saya menguruskan keluarga dan menjaga sendiri 6 orang anak tanpa pembantu. Sepanjang tempoh ini saya banyak habiskan masa di rumah. Walaupun penat namun saya gembira dan enjoy melakukannya demi keluarga.
Ramadan baru-baru ini mencabarlah juga kerana saya perlu memasak mengikut selera anak-anak sahaja. Namun alhamdulillah suami dan anak-anak yang sudah besar banyak membantu saya di rumah. Terawih tahun ini pun meriah sebab semua dapat solat berjemaah bersama-sama. Alhamdulillah.
Saya kurangkan aktiviti-aktiviti seni, sebab itulah saya jarang muncul di kaca televisyen. Kalau keluar pun kadang-kadang sahaja, itupun hanya untuk membeli barangan keperluan.”
Datin Anne Ngasri bercerai secara rasmi dengan suami pertama, Abdul Wafi Hassan pada 25 Mac 2010. Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan tiga orang anak. Kemudian Datin Anne Ngasri bernikah dengan Datuk Mohd Sumali Reduan, 48, pada 22 Disember 2012 dan dikurniakan dua orang anak.
Anak-anak Datin Anne ialah Suffian Hakim (anak Datuk Mohd Sumali Reduan hasil perkahwinannya yang terdahulu) kini berusia 15 tahun. Anak-anak Datin Anne yang lain ialah Abdul Warits Abdul Wafi (14), Abdul Wafri Abdul Wafi (12), Nazharah Afroza Abdul Wafi (8), Sufi Harraz (7) Mohd Sumali, dan Nefa Naura Mohd Sumali (2).
KONGSI TIP JAGA ANAK RAMAI
“Menguruskan anak yang ramai kadangkala membuatkan ibu-ibu mudah penat dan stres. Itu saya tak nafikan. Saya faham kerana kita sebagai manusia memang tak boleh lari daripada ujian. Apa yang saya amalkan ialah sentiasa berzikir dan beristighfar setiap kali melakukan kerja-kerja rumah. InshaAllah akan berkurang stres.
Secara tak langsung jiwa pun akan terasa lebih tenang kerana apa jua yang kita lakukan adalah ibadah. Atas pertolongan Allah SWT jugalah segala urusan kita dipermudahkan.
Allah SWT menjadikan wanita sebagai seorang yang lembut jiwanya walaupun luaran nampak kasar atau lasak. Wanita juga seorang yang cukup teliti. Jadi, jangan terlalu memaksa diri kita untuk melakukan semua kerja dalam satu masa. Lakukan secara perlahan-lahan, InshaAllah semuanya akan selesai dengan baik.
PERKONGSIAN
Memandangkan ekonomi kita sekarang terjejas teruk dek kerana pandemik COVID-19 ramai yang terjejas sumber pendapatan. Baik yang bujang mahupun yang sudah berkahwin. Nasihat saya khususnya buat wanita-wanita yang terjejas dari segi sumber pendapatan keluarga, bersabarlah dan sentiasa percaya bahawa semua rezeki kita datang dariNya. Yakinlah kepadaNya.
Saya tahu ramai ibu dan wanita di luar sana yang hebat memasak. Bukan sekadar dapat menggembirakan hati seluruh ahli keluarga dengan air tangan sendiri bahkan kemahiran memasak itu juga boleh dimanfaatkan sebagai satu sumber ekonomi keluarga. Sekarang ni segalanya mudah, hanya di hujung jari (online). Ia boleh dijadikan inisiatif untuk membantu suami dalam menjana ekonomi keluarga bersama-sama.
Selain mengusahakan perniagaan tudung dan produk kecantikan, Datin Anne Ngasri juga masih aktif berlakon tetapi agak terhad. Datin Anne Ngasri atau nama sebenarnya Nasriah Ngasri merupakan adik kepada pelakon dan penerbit NS Star Sdn Bhd, Darling Ngasri.
Kredit Foto: Instagram @annengasri_official @annengasri.exclusive