Alhamdulillah, seorang lagi selebriti tanah air tampil menghulurkan bantuan kepada masyarakat saat negara dilanda wabak Covid-19 ketika ini. Selepas Dato’ Sri Eizlan Yusof
dan isteri, Datin Seri Natasha Boudville memerah keringat menyumbangkan makanan kepada frontliners, pelawak terkenal Harith Iskander dan isteri, Dr Jezamine Lim memasak lebih 1,000 pek makanan kepada golongan terjejas serta para pereka fesyen tanah air menjahit peralatan perlindungan diri (PPE) untuk kegunaan petugas kesihatan… kali ini pelakon cantik, Bella Dally dan suami pula tampil meringankan kegusaran orang awam terhadap jangkitan virus Covid-19 dengan menawarkan khidmat sanitasi secara percuma!
Nona percaya selain nama-nama selebriti yang dinyatakan di atas, pasti ada ramai lagi penggiat seni tanah air yang turut tidak ketinggalan memberikan bantuan kepada individu terjejas mengikut kemampuan masing-masing. Terbaru, niat murni Bella Dally dan suaminya telah menarik perhatian masyarakat.
Berkongsi usaha tersebut di laman Instagram miliknya, isteri kepada Arif Izuddin ini menjelaskan khidmat pembersihan awam ini adalah satu bentuk tanggungjawab sosial mereka kepada pihak memerlukan terutamanya di kawasan masjid dan surau. “My husband and I have decided to do CSR (public sanitisation) for mosques/surau in KL & Selangor areas for free. Kalau korang tahu any AJK masjid/surau please share this message with them and ask them to DM (direct message) me their telephone number, my husband will contact them personally.
Kami akan tanggung semua cost termasuk chemical dan peralatan. Sesiapa yang nak jadi sukarelawan pun dialu-alukan. Just DM me with your contact details. Thank you,” pesan Bella atau nama sebenarnya Nabilah Ali Dally.
Difahamkan idea tersebut timbul dua hari lalu selepas suaminya dan beberapa kakitangan terlibat melakukan operasi pembersihan awam di sebuah pangsapuri di Rawang, Selangor. “My husband’s team did public sanitisation today! They started at a flat in Rawang. It’s not an easy task for sure! Doing sanitisation in their PPE suits in this kind of weather, carrying the machine, going up and coming back down without lifts to refill the chemical. May Allah protect them all.”
Ads
Murninya hati pasangan suami isteri ini kerana sanggup mengeluarkan belanja sendiri demi memastikan orang ramai terhindar daripada virus Covid-19. Satu inisiatif yang patut dipuji dan menjadi contoh kepada lebih ramai public figure dan ahli korporat untuk tampil menghulurkan bantuan. Inilah masanya rakyat Malaysia bersatu-padu meringankan beban yang dihadapi kerajaan ketika ini dan dalam masa sama dapat membela nasib golongan terjejas tidak kira dari segi wang ringgit, tenaga, kelengkapan perubatan, mahupun makanan.
Mengimbas kembali perkahwinan Bella dan Arif, kedua-duanya dilaporkan baru menyambut ulang tahun perkahwinan mereka yang pertama pada 31 Mac lepas. Pastinya sambutan ulang tahun perkahwinan ini memberi memori unik buat Bella dan suami kerana kesudian mereka berkongsi ‘rezeki’ dengan orang ramai semata-mata demi memastikan khalayak terhindar daripada jangkitan Covid-19.
Bella dan Arif selamat bergelar suami isteri pada tanggal 31 Mac 2019 dalam resepi gilang-gemilang di Putrajaya selepas kedua-duanya mengikat tali pertunangan pada Januari tahun lalu. Hanya mengenali hati budi masing-masing selama enam bulan, Duta Ariani yang juga aktres berasal dari Sabah ini terbuka pintu hati untuk menerima Arif sebagai suami selepas melihat kesungguhan jejaka tersebut untuk memperisterikan dirinya.
Moga bantuan Bella Dally dan suami memberi suntikan semangat dan inspirasi kepada orang ramai untuk turut sama membuat kebajikan serta dikurniakan rezeki melimpah ruah selepas ini.
Kredit foto: Instagram Bella Dally
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Tatkala ramai memuat naik foto bahagia sambut raya dengan anak dan pasangan, artis-artis jelita bergelar ibu tunggal ini tetap cuit perhatian dengan nostalgia tersendiri. Mampu memikul tanggungjawab dengan pesona luar biasa, inilah bukti wanita kuat!
Kadangkala bersendirian lebih baik dan bergelar ibu tunggal tidaklah seburuk yang difikirkan. Menjelang Hari Raya yang jatuh pada 10 April 2024, media sosial dibanjiri muat naik foto kenangan bersama keluarga masing-masing.
Menariknya, posting 6 selebriti ini tersenyum bahagia dengan anak-anak walaupun tanpa figura lelaki bernama suami melambangkan bahagia setiap orang itu berbeza. Namun yang pasti, pelengkapnya tentulah anak di sisi!
Artis Ibu Tunggal
(1) Erra Fazira
@errafazira
Manis berbaju hijau sedondon, pasangan ibu dan anak kesayangan ramai, Erra Fazira dan Engku Aleesya mengubat kerinduan peminat. Makin besar makin seiras wajah ibunya. Melalui kemas kini Erra di media sosial, tahun ni primadona kita beraya di Kuala Lumpur saja.
(2) Ziana Zain
@iamzianazain
Wah, Ziana Zain pilih warna tema hitam untuk sambut lebaran dengan anak-anak. Nampak klasik bila bergambar. Bertuah Ziana selalu ditemani permata hatinya, Muhammad Aiman, Muhammad Ammar dan si kembar Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh.
Tak jemu mata memandang penampilan Puteri Sarah sekarang. Tahun ni Sarah dan anak-anak, Syaikhul Islam dan Sumayyah berbaju jingga atau brick orange. Nampak bahagia sungguh si kecil beraya dengan Atok dan Nenek mereka!
Raya vibes Arab! Memulakan pagi Syawal dengan bersembahyang raya di masjid, Lufya sempat merakam nostalgia manis dengan puteri kesayangannya, Laana Haura sebelum beraya. Walaupun hanya berdua, terpancar kebahagiaan ibu dan anak ini sepanjang masa.
Ibu kepada Jebat Jayden dan kakak kepada selebriti Neelofa ni memang sering jadi tumpuan kamera. Tahun ni nampak Nabila santai berbaju kurung merah, sementara hero Jebat berbaju Melayu kelabu. Keletah Jebat memang mencuit hati, sibuk main bunga api dengan sepupu!
Sungguhpun masih berstatus isteri Aliff Aziz, hanya kelihatan Bella Astillah ditemani anak-anak saja menjelang Hari Raya kali ni. Memilih rona putih krim, Bella tampil anggun di sisi 2 cahaya matanya, Mohamad Ayden Adrean dan Ara Adreanna.
Apabila berada di tanah suci Mekah tiada lagi perbezaan darjat mahupun pangkat. Semua yang ada sama di sisi Allah SWT.
Pengalaman kali pertama menunaikan umrah pada Mac 2019 telah membawa perubahan besar dalam kehidupan Surina Mohd Zain sekaligus mengajar dirinya menjadi seorang yang reda dengan takdir Allah SWT.
Surina kini bertugas sebagai Pengarah Projek di Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Lebih membahagiakan wanita ini apabila niatnya untuk menjejakkan kaki ke tanah suci Mekah sebelum usia 40 tahun termakbul.
“Setiap kali selesai solat saya sering berdoa dan berniat semoga suatu hari nanti saya dapat ke tanah suci sebelum usia 40 tahun. Alhamdulillah doa saya dimakbulkan apabila pada Mac tahun lalu saya berpeluang menunaikan umrah untuk pertama kalinya pada usia 39 tahun.
Sejak dulu saya memang dah berniat, sebelum umur 40 tahun mesti ada turning points ke arah kebaikan termasuk tujuan hidup. Objektif hidup saya ialah berjaya di dunia dan akhirat.
Saya ke tanah suci pada 20-30 Mac 2019 diuruskan oleh agensi pelancongan berdaftar iaitu Qalesya Travel & Services Sdn Bhd.”
PENGALAMAN DI TANAH SUCI
“Memandangkan ini pengalaman pertama saya, segala persiapan dilakukan sebaik mungkin. Sewaktu menjejakkan kaki ke tanah suci perasaan saya berlainan sekali, tidak seperti beberapa trip yang pernah saya pergi sebelum ini. Ia cukup membahagiakan dan menenangkan jiwa. Tak dapat digambarkan dengan kata-kata.
Saya berpeluang menunaikan solat di Hijir Ismail selama 30 minit. Saya juga dapat mencium Hajarul Aswad dengan pertolongan dua wanita dari Indonesia termasuk menjejakkan kaki ke Raudah. Saya dapat bersolat dan berdoa dengan selesa. Alhamdulillah segalanya dipermudahkan atas izin-Nya.
Cuma saya tidak berkesempatan untuk melakukan tawaf wida’ kerana tiba-tiba datang haid. Selepas makan ubat, haid berhenti dan saya dapat meneruskan ibadah semula di Madinah.”
PERISTIWA MENAKJUBKAN
“Peristiwa ini terjadi ketika saya berniat hendak membawa kerusi wakaf masjid ke hotel kerana mahu menggunakannya atas sebab tertentu. Nak dijadikan cerita ketika saya hendak mengambilnya di masjid, kerusi itu sudah tiada di tempatnya. Lantas saya berniat untuk mencarinya semula esok selepas Subuh. Saya solat Isyak di masjid kemudian kembali ke hotel.
Sebaik tiba di hotel berlaku satu peristiwa yang sangat menakjubkan! Saya terkejut apabila melihat kerusi wakaf itu tiba-tiba sahaja sudah berada di hadapan pintu bilik. Bukan hanya terkejut, saya juga terkedu kerana memikirkan siapa pula yang membawa kerusi itu? Subhanallah!”
TERUS ISTIQAMAH
“Pengalaman ke tanah suci telah menjadikan saya seorang yang lebih reda dengan takdir Allah SWT. Saya percaya kita mesti berbuat baik dalam apa jua perkara mahupun keadaan demi mendapatkan ganjaran kebaikan dari Allah SWT. Semuanya kerana Dia.
Bagi saya segala yang dilakukan mahupuan kejayaan adalah untuk dunia dan akhirat. Ia perlu selari dan berpandukan ajaran serta undang-undang Islam. Secara tak langsung saya dapat menjaga penampilan dan kelakuan dengan baik. Saya akui sebelum ini saya jahil..
Impian saya selepas ini ialah untuk menunaikan ibadah haji pula. Never say good bye to Kaabah and Mecca. I will come back. Rindu sangat!”
Pagi bersejarah itu jantung penulis Norzalina seakan terlucut ke kaki. Selama bertahun-tahun mengutus surat rasmi dan berkali-kali jualah tersandar di kerusi kerana tarikh yang diberi selalu tidak menjadi, akhirnya wajah pasangan ini muncul di depan kami. Salam yang dihulur bonda Tun Dr. Siti Hasmah, penulis kucup dengan rasa syukur yang amat. Allah SWT kabulkan impian, malah Dia juga menyusun rencana pertemuan Nona ini untuk keluaran Ramadan nan suci.
Kesempatan mendekati Tun Dr. Siti Hasmah secara one to one, sampai ke hujung nyawa pun akan terakam sebagai momen paling manis dalam kerjaya penulis. Sifat keibuannya, jenaka spontannya serta ruang memori yang dikongsi secara peribadi benar-benar mencambahkan rasa kagum terhadap doktor wanita Melayu pertama di Malaysia itu. 60 tahun mendirikan rumah tangga di sisi Tun Dr. Mahathir Mohamad, bukan satu tempoh singkat. Ibarat irama biola yang digesek indah, lagu cinta mereka melayang sampai ke langit!
Sambil membetulkan duduk, pantas soalan tentang sikap suami tersayang diajukan kepada beliau. Tun Dr. Siti Hasmah kelihatan berfikir sejenak, barangkali jenuh mengenangkan pelbagai karakter lelaki yang didampinginya semenjak muda. “Bagi saya, dia seorang yang biasa. Seorang manusia yang ada perasaan sama macam kita semua. Ada masa-masanya dia tak mahu diganggu dan ada masa-masa juga, dia mahukan teman untuk berbual,” ujar wanita bijak itu yang kini menginjak usia 90 tahun.
Menurut Tun Dr. Siti Hasmah lagi, sebenarnya Tun M akan berubah menjadi pendiam ketika dia ‘tenggelam’ dalam lautan pemikiran. Khususnya tatkala mencari penyelesaian berkaitan sesuatu perkara. Pada satu waktu yang lain pula, dia boleh berubah menjadi seorang yang penuh humor dan sarat kelucuan. “Saya selalu pesan pada dia, janganlah lucu-lucu sangat takut orang tak faham kita sedang melawak. Bimbang nanti, orang salah tafsir kata-katanya.”
Ramai juga yang tidak tahu bahawa Tun M sebenarnya seorang suami yang sangat cerewet tentang penampilan si isteri. “Ya, bayangkan setiap kali kami keluar bersama, dari depan pintu rumah lagi dia akan tengok penampilan saya dari hujung rambut ke hujung kaki. Rambut palsu saya ni, dialah yang suka betul-betulkan dan dia pantang kalau nampak ‘bulat’ sangat di dahi. Mesti akan dirapikan agar nampak lebih natural,” akui Tun Dr. Siti Hasmah sambil tertawa kecil.
Tun M juga merupakan seorang yang sangat teliti tentang soal pakaian. Jarang sekali Tun Dr. Siti Hasmah dapat menata rias penampilan si suami biarpun pernah mencubanya berkali-kali. “Bukan saya tak mahu tolong dia! Tapi selalu yang saya pilih, tak kena di mata. Pernah beberapa kali saya suai padankan baju untuk dipakai tapi setiap kali itu jugalah dia tak setuju. Akhirnya, dia pilih sendiri kot atau sut yang dimahukan,” akui Tun Dr. Siti Hasmah terhadap imej Tun M yang gemar bersut nehru atau bush jacket itu.
Mengenang kembali perbualan kami yang berlangsung di kamar pejabat Tun Dr. Siti Hasmah sendiri, ingin rasanya menahan kolam air mata dari bergenang. Seorang tokoh yang penyayang, senyumannya sentiasa basah di ingatan. Penulis tidak pernah lupa dengan usikan bahawa setiap gambarnya yang kami rakam perlu dibayar. Wajahnya tiba-tiba serius. Tapi beliau kemudiannya tertawa ceria. Ah, berharganya nostalgia itu!
Semenjak bersara pada tahun 2003, Tun Dr. Siti Hasmah hanya mengaktifkan diri dalam persatuan NGO sebagai ahli kehormat. Namun kebelakangan ini, masanya lebih fokus di rumah, menulis sebuah jurnal biografi tentang kehidupannya untuk dibukukan. Sehingga ke detik temu bual ini dilaksanakan, beliau masih lagi tekun menyiapkan draf buku biografi tersebut sebelum diterbitkan beberapa bulan lagi.
Berbekalkan sebatang pen di tangan dan halaman jurnal kosong, setiap hari wanita kelahiran Klang, Selangor itu mencatatkan perihal perjalanan hidupnya secara longhand writing. Bahasanya lebih individual dan dekat di jiwa, penuh dengan coretan tulus seorang isteri, ibu kepada 7 cahaya mata, nenda kepada 18 cucu dan alhamdulilah, moyang kepada seorang cicit. Bahkan dedikasi Tun Dr. Siti Hasmah sebagai salah seorang doktor wanita pertama di Tanah Melayu turut ditulis rapi, menandakan komitmennya terhadap masa depan perubatan di negara ini.
Tidak pernah lelah memperjuangkan kepentingan kesihatan wanita dan kanak-kanak, amalan perancangan keluarga serta banyak lagi, banyak pengalaman Tun Dr. Siti Hasmah sewaktu berkhidmat sebagai doktor perubatan lewat tahun 1955 di Kedah dikongsi bersama penulis. “Negeri Kedah pada waktu itu masih dalam suasana luar bandar, dihuni ramai penduduk miskin dan rata-ratanya buta huruf. Saya masih ingat, pihak hospital sering dipersalahkan apabila kami gagal untuk menyelamatkan nyawa seseorang gara-gara sikap masyarakat yang konservatif dan lambat mendapatkan rawatan.
Setelah diperhalusi, kami dapat tahu bahawa masyarakat kampung selalu teragak-agak untuk membawa pesakit ke hospital kerana pelbagai pantang-larang. Jika berlaku komplikasi sewaktu bersalin di rumah contohnya, si ibu perlu mendapatkan kebenaran suami serta keluarga terlebih dahulu untuk rawatan kecemasan. Kemudian wujud pula masalah pengangkutan. Bayangkan pesakit perlu ditandu sehingga ke jalan besar, sebelum teksi atau kenderaan tertentu membawanya ke hospital. Tapi bila sampai, malangnya si ibu sudah kehilangan darah yang banyak.
Sehingga sekarang saya sangat bersyukur dilahirkan sebagai seorang doktor wanita Melayu Islam yang mampu memberi sumbangan besar terhadap masyarakat. Sebagai bekas pegawai perubatan, saya amat terhutang budi kepada mantan Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak yang sangat mengambil berat tentang kesusahan masyarakat luar bandar. Pada zamannya, banyak jalan raya dibina menghubungkan kawasan luar bandar dengan bandar seterusnya meningkatkan taraf kesihatan rakyat dengan lebih baik,” luah Tun Dr. Siti Hasmah yang turut mengagumi kepimpinan Tun Fatimah Hashim itu.
Kebimbangan beliau terhadap penularan gerakan anti-vaksin di kalangan ibu bapa muda terlihat jelas melalui getar nada suaranya. Wajahnya tiba-tiba berkerut seribu, tanda protes terhadap ‘keberanian’ generasi sekarang yang mempersoalkan keselamatan dan keberkesanan vaksin, terutamanya apabila penyakit yang dicegah oleh vaksin kian menghilang. “Jujurnya saya sangat bimbang dengan situasi ini. Di Malaysia, kadar kes penyakit berjangkit seperti batuk kokol, difteria dan polio telah tiada semenjak program imunisasi kanak-kanak bawah 1 tahun diwajibkan.
Usaha pemberian imunisasi tidak sepatutnya berhenti walaupun kes terkawal. Kesempatan ini, saya ingin menasihatkan semua ibu bapa supaya JANGANLAH mengelak daripada vaksin demi kesihatan anak-anak tersayang. Jangan tunggu sehingga musibah melanda, barulah mahu bertindak. Takut waktu itu sudah terlambat,” pesannya dengan serius.
KARAKTER
Gaya klasik Tun Dr. Siti Hasmah dalam busana kurung dan perhiasan kalung mutiara tidak dapat dipisahkan. Sambil tertawa, beliau mengakui senang bersederhana dalam penampilannya. “Saya suka pakai mutiara kerana orang tak berani tanya berapa harganya. It is the most classic piece of jewelry that a woman can own. Zaman dulu-dulu pernah juga pakai perhiasan emas berlian yang Mak bagi, tapi susah pula nak padankan dengan baju. Semenjak itu cinta saya berkembang pada mutiara.”
Cerita tentang anting-anting ketip Tun Siti juga memecah derai tawa kami. Hampir berlinang air mata penulis menahan gelak. “Dulu semasa memakai anting-anting biasa, seseorang menegur saya kerana anting-anting sebelah kiri nampak nak jatuh. Mungkin zaman bidan kampung dulu-dulu menindik cara tradisional, maka jadilah lubang tindik itu semakin panjang bila berusia. Sebelum ia jadi semakin panjang, lebih baiklah saya berhenti sekarang dan pakai saja yang ketip,” selorohnya bersahaja.
Bercerita lanjut tentang keluarga pasangan ini, jujurnya ia satu lagi episod paling menarik untuk penulis gaulkan dalam penulisan. Namun satu yang pasti, kebahagiaan itu milik mereka. “Kami sekeluarga jarang berkumpul. Anak Marina di London, manakala keempat-empat anak Mirzan di Amerika Syarikat. Ini jam kalau apa-apa terjadi pada anak, ibu bapa mereka terus ke sana walaupun terpaksa mengejar penerbangan di tengah malam.
Berbeza pada zaman saya, kami jarang sekali dapat jenguk anak-anak yang belajar di luar negara. Lebih-lebih lagi suami bertugas sebagai Perdana Menteri pada waktu itu. Kami sekadar berkomunikasi melalui Aerogram. Saya teringat cerita Mastisa, menantu saya, tentang anaknya yang merayu minta si ibu tulis surat. Katanya dia pelik kenapa kawan-kawan selalu berlari ke ‘suatu tempat’ pada setiap pagi. Rupa-rupanya ke tempat mailbox. Masing-masing menunggu surat daripada keluarga padahal cucu saya ber-Skype dengan keluarganya sepanjang masa. Jadi saya cakap, saya sendiri mahu hantar surat bertulisan tangan pada cucu itu.”
Sanjungan penulis terhadap Tun Dr. Siti Hasmah tumbuh sejak zaman persekolahan lagi. Beliau mendukung karakter seorang isteri pemimpin yang sebenar, yang sentiasa menyokong jatuh bangun kerjaya suami tanpa jemu. She is beside him, she is with him, not behind him. “Saya sentiasa memberi sokongan penuh tapi saya tak mahu bersaing dengannya. Apabila kami walkabout ke mana-mana, selalunya orang akan nampak Tun M saja. Tak nampak saya. Saya pasti akan ke belakang bagi memberi peluang rakyat berjumpa dengannya.”
Tun tak cemburu? Soal kami penuh tanda tanya. “Saya tak jealous. Saya tahu orang sayang pada dia dan dia pun tahu bagaimana perasaan orang-orang yang sayangkan dia. Dia pernah bersuara, selagi orang suka dan mahu jumpa kita, kita layanlah dengan mesra. Yang perlu kita risau ialah apabila orang dah tak mahu berjumpa lagi,” akui beliau dengan suara perlahan.
Biarpun jarang mempamerkan kasih sayang di depan masyarakat, namun seluruh rakyat Malaysia tahu betapa dalamnya cinta pasangan merpati dua sejoli itu. Kesetiaan Tun M terhadap Tun Dr. Siti Hasmah adalah bukti bahawa cinta sejati sememangnya wujud, malah mampu bertahan kukuh sehingga ke penghujung hayat. Saat wanita ini menceritakan karakter Tun M yang amat private, hati penulis bagai tersentuh rasa percaya.
“Dalam motokar, dia pegang tangan saya. Pegangan tangan itu akan dileraikan apabila kami melintasi tol dan jari-jemari akan kembali bertaut selepas itu. Suami juga tak gemar kami berpakaian sedondon seperti pasangan lain. Bukan sahaja sewaktu menghadiri undangan perkahwinan, malah pada hari raya pun pakaian kami berlainan,” ulasnya.
Melihat kesungguhan sang pemilik tulang rusuknya yang tidak pernah mengenal erti penat meskipun dihalang faktor usia yang kian lanjut, Tun Dr. Siti Hasmah kelihatan termenung sejenak. “Saya juga seorang rakyat Malaysia. Istimewanya cuma Allah jumpakan saya dengan Dr. Mahathir yang akhirnya menjadi Perdana Menteri. Saya kagum melihat bakat dia berucap. Dia selalu ada idea tentang apa sahaja. Saya fikir kerana suami sangat suka membaca tentang pelbagai buku. Buku-buku adalah sebahagian daripada dunianya.
Dia membaca buku biografi, sejarah, sains, agama malah macam-macam lagi. Tidak cukup membaca, dia menulis pula. Tentang segala-galanya. Bagi saya, ilham yang Allah selalu beri kepadanya amat mengagumkan. Dia boleh bercakap tentang pelbagai perkara kerana sentiasa mengaktifkan fikiran dengan membaca pada setiap masa,” kata Tun Dr. Siti Hasmah berterus-terang.
Ketika menebarkan pandangan ke seluruh ruang bilik, perhatian penulis sempat berlabuh kepada sebuah potret beliau yang sedang bermain biola. Ya, beliau punya bakat terpendam menggesek biola. Di rumah, beliau diajar oleh seorang guru muzik profesional yang pada waktu yang sama turut mengajar cucu mereka di rumah. Timbul keinginan agar dapat mendengar alunan gesekan biola daripada Tun Dr. Siti Hasmah pula, suatu hari nanti.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!