Siapa yang tak kenal dengan artis wanita era 80an Azian Mazwan Sapuwan yang popular dengan lagu berjudul Rumah Kecil Tiang Seribu dan Erti Budi. Wanita yang memiliki susuk tubuh persis anak dara ini sebenarnya ibu kepada 7 orang anak dan berusia 45 tahun.

IKLAN

IKLAN

Selain mengekalkan bentuk badan, Azian yang berketinggian 154 cm ini juga berjaya memiliki saiz pinggang idaman ramai wanita iaitu 27 inci dengan berat 49 kg. Mempunyai berat badan yang sukar naik juga adalah satu kelebihan buat Azian. Kagumnya!

Ketika penulis berbual santai bersama Azian usai sesi fotografi untuk keluaran Syawal akan datang, Azian sempat berkongsi 10 rahsia cantik dan sihat yang diamalkan. Mudah rupanya! Tapi syaratnya perlu konsisten ya.

10 RAHSIA CANTIK & SIHAT AZIAN MAZWAN SAPUWAN

  1. Jangan minum ais kerana ianya sejuk. Bimbang urat dan perut kita sejuk, tegang seterusnya kita jadi tidak sihat. Apabila tidak sihat terus naik ke muka. Kalau nak minum sekali sekala boleh.
  2. Ambil sekurang-kurangnya satu jenis vitamin sebagai makanan tambahan untuk badan. Jangan berlebihan bimbang nanti antibodi badan yang sedia ada akan terganggu. Saya mengamalkan satu jenis vitamin sahaja iaitu CalMeg (kalsium dan magnesium dalam satu tablet).
  3. Banyakkan meminum air kosong.
  4. Tidur yang cukup. Tidak semestinya tidur yang lama tetapi tidur dalam jangka masa ideal yang diperlukan badan.
  5. Elakkan bangun lambat bimbang nanti badan akan menjadi lesu, penat, malas dan sakit urat.
  6. Mandi pagi sebelum Subuh. Badan kekal cergas dan segar sepanjang hari.
  7. Jaga pemakanan. Kalau makan nasi ambil lauk yang tidak memudaratkan tekak, perut dan badan. Contohnya alergik.
  8. Saya amalkan minum air kunyit tetapi tidak terlalu kerap. Apabila datang bulan saya berhenti buat sementara. Saya dapatkan stok dari seorang rakan yang membuatnya sendiri. Jus kunyit bagus untuk kulit muka serta urat-urat badan.
  9. Sentiasa berfikiran positif dan yakin dengan diri sendiri. Jangan mudah buruk sangka kepada seseorang kerana kita sendiri belum tentu sempurna dan terbaik. Lebih baik perbaiki kekurangan diri. Elakkan banyak berborak kosong kerana ia membawa kita ke arah anasir-anasir negatif.
  10. Sentiasa menjaga penampilan diri dari hujung rambut sampai ke hujung kaki. Simple pun orang tetap akan pandang kita. Untuk seri wajah sekurang-kurangnya calitlah lipstik ketika hendak keluar.

Selain bergelar penyanyi, Azian juga kini merupakan Penolong Akauntan di Jabatan Akauntan Negara sejak 10 tahun lalu. Sebelum ini Azian pernah bertugas dalam sektor swasta selama 13 tahun dalam bidang yang sama. Minatnya terhadap bidang nyanyian adalah sejak usia 11 tahun dan mula serius selepas menyertai pertandingan Bintang RTM 1986.

Kredit Foto: Instagram Azian Mazwan Sapuwan