Ads

Dato’ Seri Alha Alfa, Dari Jurusolek Kini Usahawan Kosmetik Berjaya & Rancang Tembusi Pasaran Global

Dato' Seri Alha Alfa Terima Nona Best Iconic Beauty Empire Award
Dato' Seri Alha Alfa Terima Nona Best Iconic Beauty Empire Award

Bermula sebagai jurusolek, keberanian Dato’ Seri Alha Alfa atau nama penuhnya Dato’ Seri Abdul Al Halim Mohd Al Fadzli melangkah ke dunia perniagaan dengan membina jenama kosmetik sendiri membuka lembaran baharu dalam kehidupannya. Bagi figura ini perjalanan sebagai usahawan dibentuk oleh pengalaman, ketelitian dalam menghasilkan produk berkualiti serta tekad untuk mengubah kehidupan di samping membahagiakan ibu bapa. 

Di sebalik kejayaan Alha Alfa Cosmetics yang diasaskan sejak 2016, tersimpan fasa getir yang pernah menguji kemampuannya, terutama ketika pandemik COVID-19. Enggan menjadikan kesukaran itu sebagai noktah, Dato’ Seri Alha memilih untuk mengkaji perkembangan industri kosmetik, meneroka peluang baharu dan menyusun semula strategi demi memastikan perniagaannya terus berkembang. 

Kini jenama yang dibina berasaskan kepakaran dan pengalaman itu bersedia mengorak langkah lebih jauh ke pasaran antarabangsa. Apatah lagi dunia solekan menjadi sebahagian besar daripada kehidupan Dato’ Seri Alha yang sudah lebih dua dekad berkecimpung dalam bidang berkenaan. 

“Ini adalah satu perniagaan yang memang dekat dengan diri saya. Umum mengetahui saya ialah seorang makeup artist selebriti. Saya dah buat mekap lebih daripada 20 tahun. Jadi saya dah ada kelebihan dalam bidang ini sebab dah tahu tekstur, warna dan formulasi yang sesuai untuk pengguna khususnya golongan wanita di Malaysia.  

Saya juga meletakkan standard produk Alha Alfa Cosmetics pada tahap tinggi. Ia dijamin selamat, tahan lama, mudah digunakan dan paling utama memberikan efek mekap seolah-olah mendapat sentuhan daripada jurusolek profesional,” ujarnya membuka bicara. 

Dato' Seri Alha Alfa, Dari Jurusolek Kini Usahawan Kosmetik Berjaya & Rancang Tembusi Pasaran Global

Kepelbagaian produk kecantikan dan kosmetik di pasaran hari ini bukan sahaja menawarkan lebih banyak pilihan kepada pengguna, malah mewujudkan persaingan yang mendorong setiap jenama untuk terus meningkatkan kualiti. Bagi Dato’ Seri Alha, perkembangan tersebut dilihat sebagai persaingan sihat yang turut mendorong Alha Alfa Cosmetics untuk menawarkan rangkaian produk terbaik kepada pengguna. 

Setiap produk melalui proses penyelidikan dan pembangunan mengikut piawaian yang tinggi dengan mengetengahkan inovasi terkini serta formulasi berasaskan bahan semula jadi. Perhatian terhadap aspek berkenaan menjadi antara usahanya untuk memastikan produk Alha Alfa Cosmetics mampu berdiri setanding dengan kualiti jenama antarabangsa. 

“Saya tak mahu orang Malaysia beli alat mekap sekadar untuk cuba atau sebab FOMO. Kemudian lepas pakai mereka rasa kualiti itu tak bagus dan tinggalkan. Di situ saya belajar walau macam mana sekalipun saya akan pastikan produk saya menjalani proses R&D yang sama atau lebih baik lagi daripada jenama antarabangsa. Sudah tentu sebagai makeup artist yang ada produk sendiri, saya mahu melebarkan sayap perniagaan ini hingga ke peringkat global. InsyaAllah,” telus Pengarah Eksekutif Alha Alfa Rich Legacy Sdn Bhd ini.  

Ads

KEPUASAN 

“Sebagai pengasas, saya rasa sangat teruja bila lihat mereka meletakkan produk saya sebaris dengan produk antarabangsa. Di media sosial misalnya, walaupun mereka pakai produk dari luar negara tetap akan diselit juga produk Alha Alfa Cosmetics. Saya juga bersyukur dapat feedback menyatakan produk kami bagus.” 

Tidak berhenti pada pencapaian semasa, Dato’ Seri Alha turut merencana peluasan perniagaan untuk memenuhi permintaan pada skala lebih besar. Pasaran antarabangsa menjadi antara sasaran utama apabila jenamanya kini sudah bertapak di Indonesia. 

“Sejujurnya kami sudah pun terima banyak peluang perniagaan cuma buat masa ini kami masih dalam usaha memperkukuhkan lagi keupayaan syarikat menjelang permintaan berskala lebih besar kelak. Setakat ini, kami telah pun berada di Indonesia dan insyaAllah dalam tempoh lima tahun akan datang dapat melebarkan lagi produk kami menembusi pasaran dunia seperti Perancis serta diterima masuk ke Sephora.” 

Dato' Seri Alha Alfa, Dari Jurusolek Kini Usahawan Kosmetik Berjaya & Rancang Tembusi Pasaran Global

Mengulas pencapaian yang diraih sepanjang tahun ini, beliau turut berkongsi beberapa perkembangan yang membuka ruang lebih luas kepada jenamanya untuk mendekati pengguna. “Alhamdulillah kami menerima satu lagi pencapaian baharu iaitu berpeluang menjalin kerjasama dengan AirAsia. Tahun ini juga kami bekerjasama dengan Watson Pink di seluruh Malaysia, selain menambah lagi kelas-kelas mekap di setiap negeri supaya dapat mengembangkan sayap perniagaan.” 

Ads

Atas kredibiliti, kegigihan dan sumbangannya dalam industri kecantikan selain membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat, ahli perniagaan berusia 37 tahun ini pernah dilantik sebagai Profesor Adjung di Universiti MAHSA dalam bidang kecantikan dan solekan pada tahun 2022.  

TITIK TERENDAH 

Dedah Dato’ Seri Alha, antara episod paling mencabar dalam perjalanannya sebagai usahawan berlaku sewaktu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika pandemik COVID-19. Ketika itu, momentum perniagaannya berada pada tahap baik sebelum rutin kehidupan masyarakat berubah sekelip mata dan seterusnya menjejaskan corak perbelanjaan pengguna. 

“Titik terendah saya berlaku ketika PKP yang menyaksikan perniagaan kami waktu itu berada di puncak. Tapi tiba-tiba kuasa membeli terus menurun disebabkan semua orang terkurung dalam rumah. Bukan mudah untuk saya bertahan apatah lagi dengan beratus orang pekerja yang perlu dibayar gaji setiap bulan.” 

Dengan adanya keluarga dan sahabat yang sentiasa berada di sisi memberi idea untuk kami mengeluarkan produk. Kalau orang duduk rumah, apa yang mereka buat? Skincare! Jadi waktu PKP itu saya R&D produk skincare Alha Alfa. Alhamdulillah sambutan sangat memberangsangkan. Jualan kami melonjak naik dan banyak skincare baru yang kami hasilkan. Satu iktibar yang saya dapat daripada situasi itu ialah kita perlu percaya rezeki dan Allah sentiasa membantu,” ceritanya yang meraih pendapatan dua kali ganda ketika PKP. 

Ads

Dato' Seri Alha Alfa, Dari Jurusolek Kini Usahawan Kosmetik Berjaya & Rancang Tembusi Pasaran Global Dato' Seri Alha Alfa, Dari Jurusolek Kini Usahawan Kosmetik Berjaya & Rancang Tembusi Pasaran Global

Kreativiti Dato’ Seri Alha bersama kerja keras kakitangan dalam menyesuaikan strategi perniagaan ketika tempoh tersebut berjaya memastikan Alha Alfa Cosmetics terus relevan di pasaran. Sebagai penghargaan terhadap usaha para pekerja yang bersama-sama membangunkan syarikat, beliau turut memberikan ganjaran termasuk bonus dan percutian. 

Perjalanan perniagaannya kemudian berkembang menerusi cabang lain apabila Dato’ Seri Alha mengusahakan Alha Alfa Travel Legacy yang menawarkan perkhidmatan pelancongan dan umrah. Dalam masa sama, Pertubuhan Erat Kasih Alha Alfa (PEKAA) diwujudkan bagi menyalurkan bantuan kepada golongan memerlukan termasuk mangsa banjir dan bencana di negara ini. 

Sikap berani mencuba menjadi sebahagian daripada karakter Dato’ Seri Alha sebagai usahawan. Beliau enggan mengambil masa terlalu lama untuk membuat sesuatu keputusan, sebaliknya memilih untuk memulakan langkah dengan kesediaan belajar daripada pengalaman dan memperbaiki setiap kekurangan sepanjang perjalanan. 

“Prinsip saya mudah saja. Saya sentiasa meletakkan rezeki Allah sentiasa ada dan berani untuk mencuba sesuatu perkara yang memang saya tak tahu lagi apa yang akan berlaku. Saya ambil pendekatan ‘langgar’ dulu. Kalau dah rasa ‘langgaran’ itu baru kita kaji balik apa yang patut diperbetulkan.” 

Selagi kita tak teruskan, kita tak tahu peluang yang menanti. Kalau kita berusaha dan bertawakal kepada Allah serta diiringi doa mak ayah, insyaAllah perancangan itu menjadi. Kepada anda yang sedang berusaha, letakkan niat yang betul dalam berniaga. 

Kalau kita nak berlawan dengan orang, kita akan sentiasa rasa kalah sebab ada saja orang yang lebih hebat daripada kita. Yang penting, buat semampu dan sehabis baik. Jangan lihat kejayaan orang dengan rasa dengki. Ambil kejayaan orang hebat ini supaya semoga satu hari nanti kita juga boleh menjadi sama atau lebih baik daripada mereka. Ingat, setiap perniagaan ada naik turunnya tapi jangan takut untuk bangkit semula,” pesan Dato’ Seri Alha mengakhiri perbualan. 

 Artikel https://www.nona.my/33-penerima-nona-gala-awards-2026/

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download sekarang!

KLIK DI SEENI
∞
∞
Ads

Inspirasi Lain

Dari Dunia Perundangan Kini Pengarah Urusan Eskayvie, DATIN DR. KARTIKA WATI...

Pengasas Bersama merangkap Pengarah Urusan Eskayvie, Datin Wira Dr. Kartika Wati Mohamed membina perjalanan sebagai usahawan daripada keberanian mencabar potensi diri, keteguhan menghadapi kegagalan...