Ads

Dari Dunia Perundangan Kini Pengarah Urusan Eskayvie, DATIN DR. KARTIKA WATI MOHAMED Tekad Perkasakan Kaum Wanita

Pengasas Bersama merangkap Pengarah Urusan Eskayvie, Datin Wira Dr. Kartika Wati Mohamed membina perjalanan sebagai usahawan daripada keberanian mencabar potensi diri, keteguhan menghadapi kegagalan dan kesediaan untuk terus belajar. Daripada dunia perundangan hingga menerajui perniagaan, beliau membuktikan bahawa kepimpinan wanita bukan sekadar tentang kejayaan yang diraih, tetapi sejauh mana ilmu, pengalaman dan peluang yang dimiliki mampu memberi manfaat kepada kehidupan orang lain. 

Menoleh kembali perjalanan kerjayanya, Datin Wira Dr. Kartika sebenarnya bermula dalam dunia perundangan. Beliau memulakan kerjaya sebagai peguam sebelum mengambil langkah berani menubuhkan firma guamannya sendiri, Kartika & Co. Disiplin dalam bidang perundangan, cermat meneliti fakta, ketegasan membuat keputusan berisiko serta amanah profesional menjadi antara asas yang membentuk jati dirinya. 

Namun, nalurinya menginginkan sesuatu yang lebih besar. Beliau terdorong untuk mencabar potensi diri dan membina legasi yang mampu menyentuh serta mengubah kehidupan masyarakat secara lebih meluas. Titik perubahan itu hadir apabila beliau bersama suaminya, Datuk Dr. Syid Ayob Syid Mustafa Al-Qudri, mengasaskan Eskayvie. 

Dari Dunia Perundangan Kini Pengarah Urusan Eskayvie, DATIN DR. KARTIKA WATI MOHAMED Tekad Perkasakan Kaum Wanita

“Keberanian bukan bermaksud kita langsung tidak merasa takut. Keberanian adalah apabila kita tetap memilih untuk melangkah ke hadapan walaupun belum mempunyai semua jawapan,” ungkapnya tenang. Bagi beliau, latar belakang perundangan mengajarnya berfikir secara kritis, manakala dunia keusahawanan pula membuka ruang untuk membina sebuah perniagaan yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat. 

RESIPI KEPIMPINAN 

Perjalanan membina sebuah perniagaan tidak pernah sunyi daripada cabaran dan ujian. Antara fasa paling mencabar dalam sejarah Eskayvie berlaku sekitar tahun 2015 hingga 2016 apabila prestasi syarikat merosot teruk sehingga pernah terlintas di fikirannya untuk menutup operasi perniagaan. 

Datin Wira Dr. Kartika mengakui cabaran tersebut berpunca daripada kealpaannya yang terlalu selesa dengan pendekatan konvensional, selain lambat menyesuaikan perniagaan dengan perkembangan digital serta tumpuan yang terbahagi kepada beberapa perniagaan lain. Keadaan itu menyebabkan kos operasi meningkat, aliran tunai semakin terhimpit dan jualan merosot. 

Ads

Namun, saat berdepan titik paling mencabar itulah beliau memilih untuk tidak mengalah. Datin Wira Dr. Kartika mengetepikan ego, kembali berguru dan membuka ruang untuk mempelajari ilmu baharu sebelum menyusun semula strategi perniagaan agar lebih selari dengan perkembangan dunia digital. 

“Resilience bukan sekadar bertahan ketika waktu susah. Ia adalah keberanian untuk mengakui apa yang tidak lagi berkesan, belajar daripadanya, dan bangkit kembali sebagai versi diri yang jauh lebih baik,” kongsi usahawan hebat ini. 

Gaya kepimpinan Datin Wira Dr. Kartika turut berevolusi seiring kematangan dan pengalaman. Jika pada awal pembabitannya beliau amat berorientasikan hasil (result-driven) dan tegas memastikan setiap perkara memenuhi piawaian yang ditetapkan, kini pendekatan itu diperkaya dengan empati serta kebijaksanaan untuk mendengar. 

Dari Dunia Perundangan Kini Pengarah Urusan Eskayvie, DATIN DR. KARTIKA WATI MOHAMED Tekad Perkasakan Kaum Wanita

Beliau percaya bahawa memimpin bukan tentang menjadi individu paling dominan, sebaliknya menyatukan hati dan tenaga manusia ke arah matlamat yang sama. Seorang pemimpin perlu tahu bila masanya untuk memberikan arahan tegas dan bila pula perlu memberi ruang kepada pasukan untuk mencuba, melakukan kesilapan dan berkembang. 

Ads

“Bina manusia dahulu sebelum memikirkan hasil. Apabila kita membangunkan potensi manusia dengan ikhlas dan betul, hasil kejayaan akan menyusul dengan sendirinya. Kepimpinan sebenar bukan diukur daripada berapa ramai yang mengikut kita, tetapi berapa ramai yang akhirnya mampu berdiri dan menjadi pemimpin hasil bimbingan kita.” 

Menerusi misi besar Memperkasa Ekonomi & Kesihatan Ummah, warga kerja dan para usahawan Eskayvie digerakkan bukan sekadar untuk mengejar angka komisen atau gaji, tetapi menghayati makna perjuangan yang lebih luas dalam membina ekonomi serta meningkatkan kesedaran terhadap kesihatan. 

PEMERKASAAN WANITA 

Sebagai seorang wanita, isteri dan ibu, Datin Wira Dr. Kartika memahami realiti wanita yang memikul pelbagai peranan dalam satu-satu masa. Hasratnya melihat lebih ramai wanita berdikari dari segi kewangan bukan bertujuan menyaingi kaum lelaki atau mengambil alih peranan ketua keluarga, sebaliknya memberikan mereka pilihan, keyakinan dan keupayaan untuk turut menyumbang kepada keluarga. 

Ads

Melihat suri rumah dan wanita biasa yang dahulunya kurang berkeyakinan kini mampu menjana pendapatan empat hingga lima angka, membiayai persekolahan anak-anak, membantu keluarga serta membimbing usahawan baharu menjadi antara kepuasan paling bermakna buat dirinya. “Apabila seorang wanita diperkasakan, kesannya bukan hanya kepada dirinya seorang. Dia berupaya mengubah kehidupan sebuah keluarga, dan daripada sebuah keluarga yang sejahtera, ia mampu merubah masa depan sebuah generasi.” 

Dalam industri kesihatan dan suplemen yang sarat persaingan serta berdepan pelbagai persepsi masyarakat, Eskayvie memilih untuk berpaksikan prinsip sains dan integriti. Formulasi produknya tidak dibangunkan semata-mata mengikut trend, sebaliknya berdasarkan kajian klinikal, keselamatan bahan serta dos yang tepat. Prinsip beliau cukup jelas, “Jangan sesekali hasilkan sesuatu produk yang kita sendiri tidak berani dan yakin untuk berikan kepada keluarga kita sendiri.” 

Kekuatan Eskayvie turut digerakkan menerusi sinergi bersama suaminya, Datuk Dr. Syid Ayob yang mempunyai kepakaran dalam bidang perubatan dan sains, manakala Datin Wira Dr. Kartika menerajui strategi perniagaan, pemasaran serta pengurusan organisasi. Perbezaan pandangan diraikan secara profesional demi kepentingan syarikat, manakala apabila kembali ke rumah, mereka menanggalkan ‘topi korporat’ untuk kembali kepada peranan sebagai suami isteri dan ibu bapa. 

Di sebalik kesibukan menerajui Eskayvie, Datin Wira Dr. Kartika tetap mengutamakan peranannya sebagai ibu kepada lapan orang cahaya mata. Bagi mengimbangi tuntutan kerjaya dan keluarga, beliau meluangkan masa untuk berehat dan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Sujud, zikir, doa, membaca dan bermuhasabah menjadi sumber ketenangan serta kekuatan buat dirinya. “Grounding yang paling kukuh adalah apabila kita kembali kepada Allah SWT. Ada masanya, ketenangan itulah yang mengurniakan kejernihan akal untuk kita melihat apa yang benar-benar berharga dalam kehidupan.” 

Dari Dunia Perundangan Kini Pengarah Urusan Eskayvie, DATIN DR. KARTIKA WATI MOHAMED Tekad Perkasakan Kaum Wanita

Selepas melalui pelbagai fasa dalam dunia profesional dan keusahawanan, definisi kejayaan buat Datin Wira Dr. Kartika hari ini tidak lagi hanya berkisar pada graf keuntungan. Beliau mahu apa yang dibina mampu meninggalkan manfaat yang berterusan kepada orang lain, termasuk pada suatu hari nanti apabila dirinya tidak lagi berada di barisan hadapan organisasi. Buat wanita muda yang berhasrat mengorak langkah dalam dunia kepimpinan dan perniagaan, beliau menitipkan satu pesan yang lahir daripada perjalanan panjangnya sendiri. 

“Jangan tunggu sehingga anda rasa cukup bersedia untuk bermula, kerana hakikatnya kita tidak akan pernah memiliki semua jawapan di garis permulaan. Tambah ilmu, cari bimbingan yang tepat, dan jangan biarkan keraguan hari ini memadamkan potensi hebat anda pada masa hadapan. Beranikan diri melangkah!” akhiri beliau.

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download sekarang!

KLIK DI SEENI
∞
∞
Ads

Inspirasi Lain

Seri Wajah Muslimah Terima Nona Best Muslimah Aesthetic Leadership Award

Seri Wajah Muslimah, Pelopor Spa Kecantikan Khusus Buat Muslimah & Angkat...

Berani meninggalkan dunia kejuruteraan demi membina sebuah empayar kecantikan berteraskan nilai Muslimah, Noor Akmal Fadzila Ibrahim tampil sebagai seorang figura wanita yang membawa visi tersendiri dalam industri estetik. Menerusi Seri Wajah, beliau bukan sahaja membangunkan rangkaian spa khusus untuk Muslimah, malah mencipta ruang yang mengangkat privasi, keselesaan dan pemerkasaan wanita sebagai teras perniagaan.