
Berani meninggalkan dunia kejuruteraan demi membina sebuah empayar kecantikan berteraskan nilai Muslimah, Noor Akmal Fadzila Ibrahim tampil sebagai seorang figura wanita yang membawa visi tersendiri dalam industri estetik. Menerusi Seri Wajah, beliau bukan sahaja membangunkan rangkaian spa khusus untuk Muslimah, malah mencipta ruang yang mengangkat privasi, keselesaan dan pemerkasaan wanita sebagai teras perniagaan.
Tidak pernah merancang untuk bergelar usahawan, Noor Akmal Fadzila Ibrahim akhirnya memilih untuk meninggalkan kerjaya profesional dan membina sesuatu yang dekat dengan nilai serta prinsip yang dipegangnya. Pemegang Ijazah Kejuruteraan Elektrikal dari Universiti Malaya (UM) dan Sarjana Pengurusan Kejuruteraan dari University of Sunderland, United Kingdom ini memulakan kerjaya sebagai Jurutera IT & Telekomunikasi.
Namun, perjalanan hidup membawanya ke arah yang berbeza apabila beliau mula menceburi dunia perniagaan dan seterusnya mengasaskan Seri Wajah Muslimah Aesthetic pada tahun 2021.
Di sebalik keputusan Noor untuk bergelar usahawan, ada seorang insan yang banyak membentuk cara beliau melihat kehidupan dan perniagaan iaitu arwah bapanya. Walaupun tidak pernah merancang untuk mengikut jejak langkah bapa dalam dunia perniagaan, pengalaman menyaksikan jatuh bangun insan tersayang itu membentuk keberaniannya untuk mengambil risiko.
Arwah bapanya pernah melalui pengalaman sukar apabila perniagaan yang dibina mengalami kebankrapan. Disebabkan pengalaman tersebut, beliau tidak terlalu menggalakkan Noor untuk menceburi dunia perniagaan, namun tidak juga menghalang.

“Arwah ayah tak galakkan saya berbisnes. Dia tidak menghalang dan tidak juga terlalu menggalakkan sebab katanya perniagaan ini banyak ups and downs. Tapi ayah guide saya dari jauh.”
Bagi Noor, kata-kata dan pengalaman bapanya menjadi sebahagian daripada bekalan yang dibawa ketika mula membina perniagaan.
“Dia pernah jatuh bankrap disebabkan perniagaan. Jadi saya faham kenapa dia tidak mahu anak-anak lalui benda yang dia rasa dulu. Masa awal berniaga, arwah ayah masih ada. Tapi sekarang dia dah tak ada dengan saya,” katanya.
Kehilangan itu meninggalkan kesan yang mendalam buat Noor, terutama apabila beliau melihat sejauh mana Seri Wajah berkembang hari ini. “Mula-mula saya macam hilang arah. Namun atas didikannya, kini saya berada pada tahap selesa. Betapa saya mahu ayah ada bersama untuk melihat. Bukan kerana hebatnya saya, tetapi betapa hebatnya dia membesarkan saya dalam keadaan susah.”
Didikan dan pengalaman hidup bersama arwah bapanya menjadi anatara nilai yang dibawa Noor dalam mengemudi perniagaan terutama keberanian mengambil risiko, berpegang pada prinsip serta bangkit ketika berdepan kegagalan.
Seri Wajah diwujudkan sebagai sebuah pusat rawatan wajah dan estetik yang memberi tumpuan khusus kepada Muslimah. Konsepnya berteraskan privasi, keselesaan dan penjagaan aurat dengan rawatan dikendalikan oleh terapis wanita dalam suasana yang tertutup dan selesa.

Sebagai sebuah spa yang patuh syariah, Seri Wajah berusaha memastikan pengalaman pelanggan bukan sahaja memenuhi keperluan kecantikan, tetapi turut selari dengan nilai dan batas yang menjadi pegangan seorang Muslimah.
“Bagi saya, Muslimah juga berhak mempunyai ruang untuk menjaga diri dan mendapatkan rawatan kecantikan dalam keadaan yang selesa, tenang dan terjaga privasinya. Saya melihat ini sebagai satu usaha kecil untuk memberi manfaat kepada Muslimah, pada masa yang sama membuka peluang pekerjaan kepada lebih ramai wanita.”
Tambahnya, kecantikan bukan sekadar tentang penampilan. Malah berkait rapat dengan keyakinan diri. Seiring visi tersebut, Seri Wajah bukan sahaja menyediakan perkhidmatan kecantikan, tetapi membina ekosistem yang membuka ruang kepada lebih ramai wanita untuk mendapatkan rawatan dan peluang pekerjaan.
Seperti kebanyakan perniagaan, perjalanan Seri Wajah tidak sentiasa mudah. Antara ujian terbesar hadir ketika pandemik COVID-19 apabila industri kecantikan menjadi antara sektor yang terpaksa menghentikan operasi untuk tempoh yang panjang. Dalam keadaan perniagaan tidak dapat beroperasi seperti biasa, Noor dan pasukannya berusaha memastikan kelangsungan syarikat serta kebajikan hampir 100 orang kakitangan ketika itu.
“Memang sangat mencabar. Kami cuba mencari jalan untuk menaja penadapatan. Kami mula membuat jualan secara online dan alhamdulillah ia membantu. Kami juga pernah membeli durian Musang King di Raub, membungkus dan menjualnya di Kuala Lumpur. Nangka dari Lanchang juga pernah kami jual,” imbau Noor tanpa berselindung.
Yang paling meninggalkan kesan buat Noor ialah semangat pasukannya. “Saya sangat terharu dengan inisiatif team yang sanggup memasak dan berniaga tepi jalan demi meneruskan kelangsungan hidup. Walaupun susah, mereka tetap berjuang bersama Seri Wajah Muslimah Aesthetic.”

Daripada menjual produk secara dalam talian sehinggalah durian, Nangka dan makanan di tepi jalan, pelbagai usaha dilakukan Noor bersama pasukannya untuk memastikan perniagaan dan sumber pendapatan kakitangan dapat terus bertahan sepanjang tempoh mencabar tersebut.
Selepas melalui pelbagai cabaran, Seri Wajah terus berkembang. Sepanjang lima tahun penubuhannya, Noor kini mempunyai 14 cawangan di Malaysia termasuk di beberapa Kawasan utama seperti Lembah Klang, Johor dan Pantai Timur. Pertumbuhan tersebut menjadi antara pencapaian yang paling bermakna buat Noor. Namun, beliau tidak melihat jumlah cawangan sebagai ukuran kejayaan semata-mata.
“Bagi saya, perkara yang paling membanggakan ialah apabila kita mampu membina sebuah perniagaan yang terus bertahan, berkembang dan memberi manfaat kepada lebih ramai orang. Setiap kali kita membuka cawangan baharu, ia bukan sekadar membuka satu lagi lokasi.
Ia bermaksud kita membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan memberi peluang kepada lebih ramai Muslimah untuk mendapatkan perkhidmatan kecantikan dalam suasana yang mereka selesa,” kongsinya.

Noor melihat perjalanan Seri Wajah masih panjang. Beliau mahu terus mengembangkan Seri Wajah sebagai jenama Muslimah yang kukuh bukan sahaja dari segi jumlah cawangan, malah kualiti perkhidmatan, Pembangunan pasukan dan impaknya kepada masyarakat.
“Saya tidak mahu kejayaan diukur hanya berdasarkan berapa banyak cawangan yang kita ada atau berapa besar angka yang kita capai. Saya mahu apabila orang menyebut Seri Wajah, mereka tahu bahawa ini ialah sebuah jenama yang dibina untuk Muslimah.
Sebuah tempat di mana wanita boleh menjaga diri, membina keyakinan dan memdapat peluang untuk membina kehidupan yang lebih baik,” ujarnya.
Berni meninggalkan dunia kejuruteraan, teguh mengharungi getir pandemik sehingga berjaya mengembangkan Seri Wajah kepada 14 cawangan dalam tempoh lima tahun, perjalanan Noor membuktikan bahawa setiap cabaran mampu menjadi titik perubahan apabila disertai keberanian untuk terus melangkah.
Mengakhiri perbualan, wanita jelita ini sempat menitipkan pesan. “Tak pernah ada orang dalam dunia ini yang tidak pernah gagal. Apa yang berlaku dalam hidup kita mungkin kita tidak faham hari ini. Tetapi saya percaya setiap sesuatu yang berlaku ada hikmahnya. Teruskan melangkah, terus kuat dan percaya kepada aturan Allah. Kadang-kadang cahaya itu hanya kita nampak selepas kita melalui kegelapan.”
Artikel https://www.nona.my/33-penerima-nona-gala-awards-2026/
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!


