
Peribadi wanita yang satu ketika lalu dianggap lemah kini sudah berubah. Dalam kelembutannya tertanam sifat pintar dan adil dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Inilah kelebihan Nadia Kahf yang dilantik sebagai hakim pertama berhijab di Mahkamah Tinggi New Jersey, Amerika Syarikat (AS).
Mengangkat sumpah dengan tangan di atas kalam al-Quran milik neneknya, Nadia kelahiran Syria menyertai dua lagi wanita Islam, Sharifa Salaam dan Kalimah Ahmad di Mahkamah Tinggi pada hujung Mac lalu.
“Saya bangga untuk mewakili masyarakat Islam dan Arab di New Jersey dan di Amerika Syarikat.
Saya mahu generasi muda melihat bahawa mereka boleh mengamalkan agama mereka tanpa rasa takut. Mereka boleh menjadi siapa mereka.
Diversiti adalah kekuatan kita, ia bukan kelemahan. Saya harap lebih ramai orang memahaminya.” Nadia Kahf
Nadia yang merupakan peguam imigresen dan undang-undang keluarga dari firma guaman WayneKahf juga bekas Pengerusi Lembaga Pengarah Majlis Hubungan Amerika-Islam (CAIR-NJ).
Pengarah Eksekutif CAIR-NJ Selaedin Maksut menzahirkan kegembiraan melihat wanita Muslim di sana diiktiraf masyarakat.
“Nadia telah lama berkhidmat kepada masyarakat Islam di New Jersey. Saya berbesar hati dapat bekerja di bawah kepimpinan dan bimbingannya di CAIR-NJ. Melihatnya mengangkat sumpah setahun selepas pencalonannya adalah sesuatu yang luar biasa.
Nadia mungkin yang pertama memakai tudung di Mahkamah Tinggi di New Jersey, tetapi dia pastinya bukan yang terakhir, insya-ALLAH. Dengan pencapaian dan pengalamannya yang luas, beliau telah meletakkan kedudukan yang tinggi untuk wanita Islam yang lain.”
MUSLIMAH
Pada Jun 2022, Laila Ikram mencipta sejarah dilantik hakim wanita Muslim pertama di Arizona.
Peguam cara Michigan, Fadwa Hammoud pada Oktober 2021 dengan menjadi wanita Arab Amerika Islam pertama yang berhujah di Mahkamah Agung AS.
Nadia Kahf berhijrah ke Amerika Syarikat (AS) dari Syria ketika berusia 2 tahun. Dia telah lama bekerja di yayasan Islam negara itu.
Hebatnya pencapaian Nadia, bukan mudah untuk merintis jalan menjadi hakim di Mahkamah Tinggi yang terletak di negara bukan Islam. Moga kejayaannya menjadi inspirasi kepada wanita lain!
**************
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang (link)
**************
10 Wanita Paling Berkuasa Di Dunia, Nama Ursula von der Leyen Dahului Tempat Teratas Tahun 2022

Tahun 2022 bakal melabuhkan tirainya. Lensa media tahun ini banyak menumpukan usaha dunia dalam pemulihan ekonomi selepas pandemik, selain ketegangan Rusia-Ukraine, krisis bekalan makanan dan inflasi di Eropah. Cabaran getir itu turut dipikul oleh ramai pemimpin wanita dunia seperti yang dilaporkan dalam The World’s 100 Most Powerful Women oleh Forbes.
Peribahasa ‘tangan yang menghayun buaian boleh menggoncang dunia’ menjelaskan betapa wanita adalah satu daripada entiti peradaban yang penting. Begitu juga kata-kata bahawa kejayaan lelaki dapat dilihat dari dua perkara iaitu siapa ibunya dan siapa isterinya, juga merakamkan peri pentingnya seorang wanita.
Dalam membuat penilaian tahun ini, Forbes mengambil kira empat metrik utama iaitu wang, media, impak dan lingkungan pengaruh untuk menentukan senarai hierarki paling berkuasa di dunia.
Untuk pemimpin politik, ia diukur dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta populasi rakyat. Sementara pemimpin korporat diukur dari jumlah hasil, kakitangan dan liputan media.
Dapatan daripada kajian itu menyaksikan senarai penuh para wanita yang bertanding untuk pengekalan status quo.
PALING BERKUASA
Pemimpin wanita dalam politik kekal tersenarai di tangga tiga teratas, disusuli Ketua Pegawai Eksekutif wanita pertama di syarikat gergasi automotif, General Motors (GM). Wanita dalam sektor kewangan, perniagaan dan philanthropy turut menempa dalam senarai The World’s 100 Most Powerful Women oleh Forbes ini.
1. Ursula von der Leyen – Presiden Suruhanjaya Eropah, 64 tahun
2. Christine Lagarde – Presiden Bank Pusat Eropah, 66 tahun
3. Kamala Harris – Naib Presiden Amerika Syarikat, 58 tahun
4. Mary Barra – Ketua Pegawai Eksekutif General Motors, 60 tahun
5. Abigail Johnson – Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Fidelity Investments, 60 tahun
6. Melinda French Gates – Philanthropist, 58 tahun
7. Giorgia Meloni – Perdana Menteri Itali, 45 tahun
8. Karen Lynch – Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif CVS Health, 59 tahun
9. Julia Sweet – Pengerusi & Ketua Pegawai Eksekutif Accenture, 55 tahun
10. Jane Fraser – Ketua Pegawai Eksekutif Citigroup, 55 tahun
KENALI URSULA

Waktu sukar melahirkan pemimpin yang baik. Nama Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen tersenarai di tempat pertama sebagai wanita paling berkuasa di dunia pada tahun 2022.
Berusia 64 tahun, wanita yang pernah menjadi Menteri Pertahanan Jerman itu turut mencipta sejarah sebagai wanita pertama yang dilantik sebagai Presiden Suruhanjaya Eropah.
Disifatkan sebagai seorang pemimpin yang tenang tetapi tegas, Ursula van der Leyen jelas tidak mudah tunduk dengan cabaran serta sentiasa mencari jalan penyelesaian dalam menangani konflik di Eropah.
Beliau juga dianggap sebagai wanita paling berkuasa di benua itu, malah bertanggung jawab menyusun rancangan pemulihan pandemik Eropah, European Green Deal untuk perubahan iklim, sekatan perdagangan ke atas Rusia oleh Kesatuan Eropah (EU) dan sokongan EU terhadap Ukraine.
Bawa Netizen Dekati Sejarah Islam, Perkongsian Kembara AZRINAZ Ke Jerusalem Dapat Pujian!

Meskipun sekadar membaca postingnya di Instagram, tapi ilmu yang dikongsikan bekas personaliti televisyen, Azrinaz Mazhar Hakim ini mampu membuatkan sesiapa saja berasa seolah-olah berada di bumi Palestin. Berpeluang mengunjungi Masjid Al-Aqsa dan kawasan sekitarnya bersama suami tercinta hujung Mei lalu, usaha Azrinaz menyampaikan kisah para anbia dan sejarah Islam yang tercipta di sana wajar diberikan pujian.
Setiap maklumat yang dikongsi cukup terperinci dan jelas memberi manfaat kepada mereka yang belum pernah menjejakkan kaki ke sana. Dengan pengalaman yang ada sebagai bekas wartawan, Azrinaz tahu bagaimana cara untuk menyampaikan sesuatu maklumat dengan lebih berkesan dan mudah difahami. Malah, beliau turut memuat naik beberapa video pendek. Macam tengok program dokumentari pula!

Dengan cuaca yang panas, banyak berjalan dan sedang berpuasa, Azrinaz tetap kelihatan bertenaga. Khabarnya, beliau juga menjalani ibadah puasa yang panjang iaitu selama 17 jam sepanjang berada di sana. Namun, ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus meneroka dan menyelami peradaban Islam dan kisah para nabi, rasul serta sahabat.
View this post on InstagramIn Amman, Jordan ?? before crossing the border of Jerusalam #deadsea
A post shared by Azrinaz Mazhar (@azrinazmazharhakim) on
Salah satu perkara menarik yang dikongsikan adalah tentang Qubbah Al Shakra atau dikenali Dome of the Rock. Dalam perkongsian tersebut, Azrinaz ada membicarakan tentang tiga pendapat mengenai batu tergantung iaitu Ulama Tasawuf, Ulama Bahasa dan Ulama Usuluddin.
“Datanglah dengan niat untuk bersembahyang di Al-Aqsa kerana ini yang pernah disebut di dalam hadith. As-Sakhra hanyalah satu tempat di mana mikrajnya Nabi. Tergantung atau tidak itu bukan matlamatnya. Matlamatnya ialah menyaksikannya, menambahkan keyakinan kita terhadap rukun iman iaitu percaya pada kitab (Al-Quran).
Tempat adalah penting, tapi yang lebih penting adalah penghayatannya. Jika kita melihat ia tergantung, kemudian mengagungkannya lebih dari mengagungkan Allah, ia tidak memberi makna apa-apa. Semoga semakin hari, semakin iman kita terpelihara dari perkara yang boleh mengguris kesahihannya Qubbah Al Shakra.”
Selain itu, Azrinaz juga mendedahkan tentang Street of Shuhada yang terletak di Westbank, Hebron. Di sini, ia terbahagi kepada tiga bahagian iaitu yang merupakan kawasan Palestin, ditadbir oleh kedua-dua Palestin dan Israel; dan sepenuhnya oleh Israel.
“Keistimewaan Hebron adalah masjid Ibrahim di mana menempatkan makam Nabi Ibrahim a.s. Ia juga tempat berkumpulnya seluruh ahli keluarga baginda. Nabi Ibrahim adalah bapa kepada segala nabi.”
Tak ketinggalan tentang peristiwa Nabi Yunus a.s yang ditelan ikan nun.


“Saya berdiri di dalam Masjid Kibli (kubah kelabu) iaitu masjid utama dalam perkarangan Al-Aqsa. Masjid ini juga dipanggil Masjid Al-Aqsa. Terdapat lima masjid di dalam kawasan ini iaitu Masjid Kibli, Qubbat Ak Sakhirah (Dome of the Rock), Masjid Marwani, Masjid Utama lama dan Masjid Buroq.
Ramai umat sering keliru dengan menganggap Dome of the Rock adalah masjid utama. Dome of the Rock menjadi tumpuan kerana kedudukan tanahnya yang paling tinggi, kubahnya diselaputi 200 kg emas dan menempatkan batu Israk Mikraj.”
Jelas Azrinaz lagi, beliau sangat bersyukur kerana Allah makbulkan doanya untuk berada di Al-Aqsa bersama suami. Tahun lalu Azrinaz berpeluang menyambut 10 Ramadan terakhir di Kota Suci Mekah. Yang pasti katanya, ia merupakan dua pengalaman berbeza yang tiada galang ganti.
Apa-apa pun, terima kasih kerana berkongsi ilmu yang sangat bernilai ini. Moga Azrinaz dan suami dikurniakan kesihatan yang baik dan sentiasa berada di bawah lindungan-Nya.
Sumber: Instagram Azrinaz Mazhar Hakim
Dulu Bawa Kancil, Kini SHEDA RODZIE Ada 2 Kereta Mewah & Billboard Sendiri

Berkat restu suami dan ibu bapa, inilah hasilnya. Baru berusia 28 tahun dah ada kehidupan yang ‘sempurna’. Usahawan muda kelahiran Sungai Petani, Kedah ini yang dikenali sebagai Sheda Rodzie mula membina empayar bisnes kecantikannya di awal usia 20an. Baginya cabaran perlu ada dalam bisnes kerana itulah antara proses kejayaan. Sebelum berada di tahap sekarang, macam-macam pengalaman suka duka dilalui termasuk pernah dikhianati orang yang paling dipercayai.
Nona kongsikan permulaan bisnes ibu kepada seorang anak ini sehinggalah kini berjaya memiliki rumah dan kereta idaman. Semoga Sheda terus dikurniakan keberkatan rezeki dalam bisnes.
“Saya minat berbisnes sejak di bangku sekolah lagi dan zaman kolej terutamanya bisnes kecantikan. Saya pernah buat part time dengan makeup artist, jual barangan kosmetik Avon, jadi dropship dan agen untuk produk-produk orang. Saya bukan berasal dari keluarga yang berbisnes. Ibu saya seorang guru tetapi ketika di zaman mudanya ibu minat berbisnes. Saya pula suka ikut ibu dan mungkin dari situlah minat saya tercetus sebab sering terdedah dengan cara ibu berbisnes. Saya anak tunggal dalam keluarga dan mempunyai seorang bapa tiri. Bapa kandung pula sudah lama meninggal dunia.


FANATIK DENGAN KECANTIKAN
Kini saya merupakan pengasas produk kecantikan SR Beauty Cosmetic. Ia mula diperkenalkan pada tahun 2015 dan HQ terletak di Sungai Petani, Kedah. Produk pertama keluaran SR Beauty Cosmetic ialah Miracle Spray. Alhamdulillah sekarang dah ada 4 produk di pasaran. Coming soon ialah SR Skincare. Buat masa ini saya mempunyai lebih daripada 100 pengedar seluruh Malaysia. Tahun lalu SR Beauty Cosmetic berjaya naikkan billboard pertama di lebuhraya exit Tol Sungai Petani Selatan.
Sepanjang bergelar pengasas produk kecantikan, saya pernah menerima pengiktirafan dalam BRITISHPEDIA 2020, serta pernah menerima Best Inspiring and Creativity Woman Award Indonesia pada tahun 2019. Selain itu, saya juga terpilih sebagai salah seorang pengasas produk kecantikan di utara untuk memberi sharing kepada MSU College Sungai Petani, Kedah.
PANDEMIK BUKAN HALANGAN
Sebagai seorang pengasas banyak tanggungjawab yang perlu dipikul. Perlunya kekuatan dan semangat untuk terus mengorak langkah. Nasihat saya ialah teruskan mencari mentor, kekuatan dan jalan. Plan perlu ada, Plan A, B, C dan seterusnya. Jangan tak berbuat apa-apa. Walaupun HQ tidak dapat beroperasi tetapi kami work from home (WFH). Teruskan mengorak langkah agar dapat berkongsi rezeki dengan fighters yang sentiasa ada bersama SR Beauty Cosmetic.
Dengan pandemik sekarang ini alhamdulillah saya berjaya keluarkan satu lagi produk untuk terus membantu wanita-wanita dan juga fighters SR Beauty Cosmetic yang hilang sumber pendapatan semasa pandemik ini. Saya ada keluarkan satu produk dan bakal dilancarkan dalam bulan Ogos ini. Produk yang eksklusif termasuk sistem bonus payslip setiap bulan yang kita keluarkan kepada sellers yang mendaftar.
RESTU
Kalau nak mulakan bisnes paling utama minta restu ibu bapa. Bagi yang sudah berkahwin mohon restu suami. Bila suami dan ibu bapa redha termasuklah restu daripada mentor kita, dengan izinNya perjalanan kita akan dipermudahkan. Setiap kejayaan pasti ada ujian dan cabaran. Jadikannya sebagai penguat semangat. Kalau tiada ujian dan cabaran itu bukan proses kejayaan.
Tulang belakang saya semestinya suami, anak serta ibu bapa. Mereka inilah yang banyak memberi sokongan ketika saya bermula dari bawah, waktu zaman saya bawa kereta Kancil yang banyak berjasa dalam hidup saya selama ini. Nak berjaya prinsip saya mudah, buat sesuatu dengan bersungguh-sungguh dengan niat yang betul. Ada matlamat yang jelas dan cari mentor yang betul. Kalau kita bersungguh pun kalau tak ada matlamat yang jelas, niat pula tak betul maka sukarlah untuk sampai ke destinasi impian kita tu. Jadi, buat bersungguh-sungguh sampai jadi.

DETIK STRUGGLE
Detik paling struggle ialah ketika saya pernah handle dua bisnes iaitu bridal dan kosmetik. Akibatnya, saya tak boleh fokus. Mungkin sebab terpengaruh dengan kata-kata orang, kalau buat banyak bisnes lagi cepat kaya. Selepas mendapatkan mentor barulah saya tahu pentingnya fokus dalam bisnes. Baru saya nampak peningkatan dalam bisnes SR Beauty Cosmetic. Semasa handle dua bisnes tu keadaan saya sangat struggle dan memenatkan sehinggakan saya pernah menangis, down teruk. Saya juga pernah dikecam dan didoakan benda-benda yang tak baik. Itu semua pengalaman pahit dan bagi saya ia satu proses.
Bagi saya, bila kita fokus Insha-Allah kita akan dapat do the best lagi. Kita boleh adjust part mana yang ada kekurangan, perlu diperbaiki. Tapi pentingnya ada mentor sebab kita akan dapat tahu jalan mana yang patut kita lalui, betul ke salah cara kita selama ni. Kalau nak jalan sendiri boleh tapi kalau ada roadblock di tengah macam mana kita nak selesaikan. Bila ada mentor mudah lagi untuk kita nak buat keputusan.
PERNAH DIKHIANATI
Sebagai ketua antara pengalaman pahit pernah saya lalui ialah dikhianati oleh orang yang paling dipercayai. Itulah saat yang saya tak dapat lupa sampai sekarang. Orang yang paling saya percaya, paling diharapkan tergamak lakukan begitu. Jadi nasihat saya jangan terlalu percaya dengan semua orang. Dalam bisnes kena ada pro dan kontra. Perlu ada sikap optimis dan bersederhana. Tidak boleh terlampau percaya, sikap was-was tu perlu ada dalam bisnes.
Dari segi masa, kalau ikutkan memang tak pernah cukup tetapi kita sendiri yang kena bahagikan masa untuk bisnes dan keluarga. Kedua-duanya sangat penting. Jadi saya cuba buat yang terbaik buat kedua-duanya. Fahamkan suami dan anak tentang kerja kita. Insha-Allah semuanya akan dipermudahkan.
NASIHAT & IMPIAN
Nasihat saya buat wanita yang mahu berjaya dalam bisnes di samping menjadi isteri yang terbaik, anak yang terbaik buat keluarga ialah teruskan mengorak langkah dengan niat yang betul. Kalau kita berjaya, hasilnya itu kita akan dapat bantu lebih ramai lagi orang. Apa pun mulakan dengan niat. Proses nak jumpa kejayaan ni perlu tempuhi ujian dan cabaran dulu, tiada jalan pintas. Teruskan dengan niat dan minat. Tapi bagi saya minat akan jatuh nombor dua. Kena ada kesungguhan nak ubah hidup. Buat bisnes untuk apa, mesti ada big why.
Impian masa depan saya nak ada pejabat yang lebih besar, menambah lagi pasukan untuk SR Beauty Cosmetic HQ. Saya nak berkongsi rezeki dengan lebih ramai lagi untuk pekerja-pekerja, krew-krew di bawah SR Beauty Cosmetic HQ seterusnya ke pasaran yang lebih besar untuk jenama SR Beauty Cosmetic agar lebih dikenali ramai.
Satu lagi impian yang masih belum tercapai, saya berhasrat untuk menunaikan umrah bersama suami, anak dan ibu bapa. Tahun ini, target yang berjaya dicapai hasil daripada SR Beauty Cosmetic ialah membeli rumah dan kereta impian saya. Kereta pertama ialah Volkswagen dan kedua Vellfire, alhamdulillah. Seterusnya hasrat saya untuk bantu lebih ramai lagi khususnya wanita yang bergelar surirumah. Ada yang dah berjaya capai income 5 angka sebulan.
Dengan platform SR Beauty Cosmetic dapatlah membuka peluang kepada kaum wanita terutama surirumah dan berkerjaya yang hilang sumber pendapatan semasa pandemik COVID-19. Telah ramai yang berjaya menjana income 5 angka sebulan dengan SR Beauty Cosmetic. Lepas ni akan ada lagi peluang yang best di dalam SR Beauty Cosmetic Academy yang mana kami membuka peluang dengan platform terbaru iaitu SR Skincare untuk menjana bonus dan dapat pegang payslip sendiri walaupun bekerja dari rumah.”
Kredit Foto: Instagram @shedarodzie @srbeautycosmetic